Friday, June 3, 2011

Presiden PAS : Umat Melayu Islam teras politik tapi lemah jati diri

GOMBAK, 3 Jun — Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun komuniti Melayu Islam merupakan teras politik negara ini tetapi semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islam dan tidak menjadikannya agama yang memerintah, malah tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk.

Justeru kata Presiden PAS (gambar), parti itu wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah.

Kata Hadi, pada masa yang sama, Umno sekadar mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam kerana Melayu Umno tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon parti kompone Pakatan Rakyat itu.

Hakikatnya, kata beliau, Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka.

“Allah SWT telah membuktikan bahawa semua bangsa yang kuat berpegang dengan Islam menjadi bangsa yang memimpin dunia, walaupun bangsa itu dilahirkan di bumi yang kering tanpa hasil.

“Manakala umat Islam dari mana-mana bangsa pun sekiranya meninggalkan Islam walau pun ramai jumlah dan kaya raya, menjadi perosak, zalim dan lemah, seterusnya tidak layak memimpin dan akhirnya hancur musnah, walau pun menjadi kuasa besar dunia,” kata beliau dalam ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Ke-57 hari ini.

Maka kata beliau, “menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus-menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam supaya membebaskan diri daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah.”


Oleh G Manimaran TMI

No comments:

Post a Comment