Friday, April 9, 2010

PAS Sarawak diarah tidak buat kenyataan mengenai kerusi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 April : PAS Pusat meminta PAS Sarawak supaya jangan membuat sebarang kenyataan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya di negeri itu sehingga ia diselesaikan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

Setiauasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, sebarang kenyataan yang dibuat tanpa merujuk PAS Pusat dan Pakatan Rakyat akan menimbulkan persepsi kurang baik kepada PAS.

"Kalau PAS negeri mempunyai apa-apa pandangan, mereka boleh memberikannya kepada PAS Pusat dan kita akan bincangkan sesama parti dalam Pakatan Rakyat sebelum mengambil sesuatu keputusan.

"Jika diambil pendekatan yang ada sekarang, kita akan menyusahkan diri kita,"
kata beliau kepada Harakahdaily mengulas beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan tertentu PAS Sarawak.

Antaranya tentang kerusi-kerusi yang hendak ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya negeri yang dijangka akan berjalan tidak lama lagi.


Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil Parlimen Sibu akan diadakan serentak dengan pilihan raya Dun seluruh negeri Sarawak.

SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil Parlimen Sibu dalam masa 60 hari selepas menerima notis kematian anggota Parlimennya, Datuk Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.

Lau meninggal dunia pagi tadi kerana barah.

Saifudin yakin, dalam pilihan raya Sibu ini, hanya satu calon dari Pakatan Rakyat akan bertanding berbanding pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon DAP dan calon PKR menentang calon BN di Sibu. Hasilnya kedua-dua mereka kalah dengan majoriti 3,235 undi di tangan Robert Lau.