Tuesday, May 5, 2009

DEMONTRASI BESAR-BESARAN 7 MEI BUKAN TAJAAN PAS, TAPI PROVOKASI ZAMBRY

PAS sama sekali tidak tidak mengarahkan ahli dan penyokongnya untuk mengadakan demontrasi besar-besaran pada 7 Mei ini sempena persidangan Dewan Undang Negeri Perak.

"PAS tidak pernah mengerluarkan arahan sama ada berbentuk tulisan atau lisan untuk mengajak penyokongnya mengadakan demontrasi besar-besaran di bandar raya ini."

Demikian ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam sidang medianysa di Pejabat PAS Negeri di sini semalam. Turut hadir Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki.

Beliau memberi jaminan Pakatan Rakyat tidak akan menganjurkan perhimpunan tersebut dan akan memberikan nasihat kepada ahli dan penyokongnya agar tidak menyertai sebarang himpunan haram pada tarikh tersebut.

"Tetapi sekiranya orang ramai hadir juga, itu di luar tanggungjawab Pakatan Rakyat. Wakil Pakatan Rakyat menuntut supaya pihak polis menggunakan kebijaksanaan yang berhemah apabila berhadapan dengan perhimpunan seumpama itu," katanya.

Ahmad Awang memberitahu pada jam 10.00 pagi semalam beliau bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki dan seorang peguam daripada PAS telah bertemu dengan Ketua Polis Perak ekoran surat yang telah dihantar oleh pihak polis.

Dalam surat itu menjelaskan pertemuan Adun Pakatan Rakyat dan pimpinan parti politik dengan Ketua Polis Perak.

"Yang hadir wakil PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), wakil DAP dan Umno atau BN tidak ada," katanya.

Ketua Polis Perak memberitahu pihak polis hendak mengingatkan PAS agar tidak mengadakan demontrasi besar-besaran pada 7 Mei ini kerana kata Ketua Polis Perak, pihaknya ada mendapat maklumat demontrasi besar-besaran akan diadakan pada 7 Mei ini.

Pihak polis juga bersedia kata Ketua Polis Perak itu untuk memberi perlindungan kepada mana-mana Adun Pakatan Rakyat yang merasakan diri mereka tidak selamat, pihak polis akan mengiring Adun tersebut untuk sampai ke Dewan.

Menurut beliau, PAS tidak tahu menahu tentang demontrasi besar-besaran oleh pihak tertentu pada 7 Mei itu sehinggalah pimpinan parti membaca akhbar kenyataan yang dibuat oleh Dato' Zambry Abdul Kadir yang menyatakan akan berlaku demontrasi besar-besaran oleh pihak tertentu.

"Kenyataan Zambry ini satu provokasi yang membuat tuduhan kepada pembangkang mengenai demontrasi besaran-besaran pada 7 Mei, sepatutnya Zambry dipanggil oleh pihak polis ekoran kenyataan provokasinya itu," tegas Ahmad awang.

Beliau bimbang kenyataan provokasi daripada Zambry itu merupakan satu taktik dari Umno/BN yang akhinya nanti pihak tersebut yang merancang dan mengadakan perhimpunan besar-besaran itu.

"Apa yang berlaku pada 3 Mac lalu jelas ada pihak tertentu di bekalang Umno yang membuat provakasi sehingga mencederakan orang ramai, tetapi PAS menghadapinya dengan cukup sabar kerana tidak mahu menimbulkan pergaduhan dan kekacauan," katanya.

"PAS telahpun membuat laporan kepada pihak polis tetapi sehingga ini tidak ada tindakan dari pihak polis terhadap kumpulan tertentu yang mencetuskan kekacauan itu," katanya.

Beliau turut menasihati ahli dan penyokong PAs supaya tidak terlibat dalam demonstrasi besar-besaran itu kerana dibimbangi ada pihak tertentu yang merancang dan melakukan perbuatan yang tidak diingini yang akhirnya nanti PAs dituduh sebagai dalang menganjurkan perhimpunan itu, inilah yang Umno/BN mahu dan harap-harapkan.

artikel asal : HarakahDaily

RAIS : LELAKI YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

"Berani buat berani tanggung." Seringnya ungkapan seperti ini dituju kepada golangan belia yang terlajak dalam pergaulan .

Terlalu bebas antara lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan masalah gejala sosial.

Hasil hubungan bebas itu, kerapkali berlaku perempuan mengandung anak luar nikah. Apabila sampai kepengetahuan keluarga atau insentif perempuan itu sendiri bagi mengelak malu, maka diancam lelaki supaya bertanggungjawab. "Sudah buat kena bertanggungjawab."

Sekiranya bernasib baik si lelaki mengambil sikap bertanggungjawab maka selamat nama baik kedua keluarga terbabit. Bagaimanapun tidak kurang juga yang menghilangkan diri sama ada mahu menjaga nama baiknya atau keluarga beliau kerana perbuatannya merosakkan anak orang.

Atau mungkin juga kerana perangainya yang jahat dan suka lari daripada tanggungjawab. Kalau sebut soal taubat jauh sekali. Malah orang seperti ini boleh memangsakan gadis lain pula. Kejahatan orang seperti ini mungkin kerana ada uminiti, orang berpangkat dan terhormat atau memang perangainya jahat.

Perangainya yang jahat mungkin kerana feelnya jahat. Malah kejahatan ini boleh menjadi orang seperti itu cukup licik yang boleh mengelak daripada undang-undang sama ada menggunakan keilmuan undang-undang atau taktikal sebagaimana yang dikatakan "tidak termakan dengan undang-undang."

Kalau Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tetap membisu dalam menjawab isu debat beliau mencabar bekas Menteri di Jabatan Perdana, Dato' Zaid Ibrahim, beliau seolah seperti lelaki tidak bertanggungjawab tadi.

Kenapa Rais berani 'buat', maksudnya kenapa Rais berani mencabar Zaid berdebat. 'Sampai mengandung gadis itu' - Zaid menyambut cabaran debat tersebut. 'Berani buat berani tanggung' - Berani cabar kena berani sahut.

Menteri berkenaan mendakwa Zaid sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Oleh itu, Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

Rais juga dilaporkan pernah berkata, tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap Najib mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design". Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

'Sudah buat tidak pula mahu taubat'. Kalau tidak berani berdebat minta maaf kerana mencabar Zaid. Bertaubat tidak mengulangi kerana cabaran beliau itu memberi implikasi bahawa beliau yang betul dan orang lain salah. Jangan mahu tegak benang basah dan menunjukkan orang lain tidak betul.

Sebaliknya kemuncak drama ini 'bisu'. Apakah keputusan Rais sama ada ambil tanggungjawab atau hilangkan diri (membisu). Dimana prinsip Rais ini?

Nanti hilang kredibiliti kerana Najib tetap melantik beliau dalam Kabinet walaupun kalah dalam pertandingan dalaman Umno. Sepatutnya Rais kena jaga nama baik beliau.

Apakah Rais sudah silap pertimbangan dalam usaha menjaga nama baik ketuanya kerana berkelulusan Phd dalam bidang undang-undang yang lebih tinggi keilmuannya daripada Zaid, rupa-rupanya tersilap mencabar 'harimau yang ada taring'.

Di mana hilangnya keberanian Rais yang mencabar Zaid sehingga tiba-tiba timbul pengcut dan membisu seribu bahasa sebaliknya pandai pula berdalih dengan alasan bagi mengelak kenyataannya kepada media berhubung sahutan debat Zaid.

Rais kena buang sifat pengecut. Tunjuk kejantanan sepertimana jantannya bekas Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik bersedia berdebat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Julai lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka disiar secara langsung oleh televisyen swasta.

Buktikan keilmuan 'pengajian habis darjah' yang diperolehi beliau itu betul-betul bermanafaat pada negara dan mempertahankan ketuanya daripada serangan musuh politik Najib. Jika tidak apa faedahnya Najib melantik beliau yang ada ilmu tinggi tetapi langsung tidak mampu menjadi barisan pertahanan Najib menangkis dakwaan pembangkang.

Atau apakah Rais berhasrat menggunakan penyimpan mohor diraja bagi mengumumkan debat terpaksa dibatalkan seperti mana pernah berlaku pada 1986 dimana penyimpan mohor tersebut mengumumkan melalui televisyen bahawa debat antara PAS dengan Umno tidak jadi.

Debat tersebut bagi membincangkan tuduhan Umno mengatakan PAS mengkafirkan Umno. Semua tarikh dan masa serta tempat debat ditentukan Umno. PAS tidak memberikan apa-apa syarat bagi menjayakan debat tersebut. PAS menyebut debat tersebut sebagai muzakarah sebaliknya media terus menggunakan istilah debat.

Selama ini penyimpan mohor diraja hanya keluar tiga kali dalam televisyen Malaysia iaitu bagi menentukan tarikh berpuasa, menyambut raya Aidilfitri dan tarikh tentukan raya Aidiladha.

Apabila penyimpan mohor keluar televisyen pada hari tersebut bagi mengumumkan debat tidak jadi ia cukup mengejutkan rakyat Malaysia.

Jadi siapa sebenarnya yang mainkan raja-raja Melayu?

artikel asal : HarakahDaily

Mengapa PM baru perlu segera melawat negara jiran?

Sewaktu aplikasi Microsoft Word dibuka untuk menulis artikel ini pada petang Rabu, 29 April, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak bersama isteri beliau serta rombongan terdiri daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu dan Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay; dan beberapa pegawai kanan kerajaan tiba di Bandar Seri Begawan.

Menurut ceritanya, rombongan Najib dijangka membincangkan isu kepentingan bersama dengan matlamat memperkukuh dan meningkatkan persahabatan serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa adalah penting Malaysia menjalin hubungan diplomatik sihat dengan negara-negara luar terutamanya negara anggota ASEAN, tetapi nampaknya sudah menjadi semacam satu tabiat mahal yang kerap dilakukan bagi PerdanaMenteri baru negara membuat lawatan seumpama ini tidak lama setelah mengangkat sumpah jawatan.

Dahulupun ketika (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mula-mula menjadi Perdana Menteri beliau begitu tergesa-gesa mengadakan lawatan bukan sahaja ke negara ASEAN malah ke negara-negara lain sehinggakan beliau mencipta rekod peribadi tersendiri dalam mengadakan lawatan luar ke luar negara.

Kini tidak sampai pun sebulan Najib mengambil tempat Abdullah selaku Perdana Menteri, beliau dan rombongannya telahpun mengadakan lawatan ke dua buah negara ASEAN bermula dengan Indonesia.

Tentulah sesuatu yang baik, setidak-tidaknya untuk diri beliau sendiri sekiranya Najib bercita-cita mahu menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri yang sekurang-kurangnya lebih menonjol daripada Abdullah kerana merasakan tidak mungkin dapat menyamai kecermelangan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejauh ini, iaitu dalam masa sebulan selepas menjadi Perdana Menteri, dari segi mencipta slogan Najib sudahpun menunjukkan kegarangannya apabila dengan tergesa-gesa mengidentifikasikan kepimpinannya dengan slogan 'Satu Malaysia' sehinggakan dunia tertanya apakah fokus dan cita-cita negara rakyat Malaysia mengalami perubahan sebaik sahaja bertukar Perdana Menteri.

Tatkala Dr Mahathir mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Hussein Onn pada 1981, beliau memiliki beberapa slogan dalam begnya. Antaranya termasuklah Penerapan Nilai-Nilai Islam, Dasar Pandang Ke Timur dan beberapa lagi.

Sebelum bersara Dr Mahathir mencipta pula Wawasan 2020 dengan harapan setidak-tidaknya slogan itu kekal menjadi popular dan diasosiasikan kepada dirinya lama setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Mungkin Dr Mahathir menyedari cita-cita menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju tidak mungkin dapat dicapai pada tahun 2020 sekiranya ia hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan pada kadar 7 peratus yang dinikmati Malaysia pada beberapa tahun sekitar 1980-an.

Beliau sendiri sudah tentu lebih maklum prestasi seperti itu sukar dikekalkan kerana keadaan ekonomi yang tidak statik dan sentiasa berubah-rubah dari masa ke semasa. Namun, bagi beliau, selagi rakyat Malaysia percaya cita-cita itu berkemungkinan dicapai menerusi semangat Malaysia Boleh, maka selagi itulah Wawasan 2020 akan kekal diperkata dan dikumandangkan.

Begitupun, disebabkan terlalu lama menjadi Perdana Menteri, beliau terlupa bahawa jawatan tersebut bukan sekadar kepimpinan dan khidmat untuk rakyat dan negara tetapi ia juga adalah semacam satu perlumbaan peribadi 'siapakah sebenarnya lebih tahu macam mana nak jadi Perdana Menteri'.

Maka tidak lama selepas beliau bersara, Wawasan 2020 segera dipeti-besikan oleh Abdullah. Beliau menggantikannya dengan Islam Hadhari, Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan tiba-tiba fokus dan orientasi cita-cita rakyat Malaysia mengalami satu transformasi minda dan psikologi yang besar.

Kini tibalah pula giliran apa yang menjadi lencana keperdana-menteriannya (premiership) dibungkus satu persatu oleh Najib sebelum disimpan dalam peti-besi sejarah buat selama-lamanya.

Islam Hadhari dikatakan akan dikaji semula dan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang pula sudah tidak kedengaran lagi.

Nampaknya Najib memulakan perlumbaannya di atas landasan yang dibina Dr Mahathir dan dijejaki oleh Abdullah. Bermula dengan pencipataan slogan, diikuti pula dengan pengukiran janji untuk membuat itu dan ini seolah-olah secara tidak langsung mengatakan 'segala sesuatu yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu tidak betul dan dialah sebenarnya yang benar-benar tahu bagaimana membuatkan apa yang salah menjadi betul'.

Kini Najib seolah-olah berusaha keras untuk memintas rekod Abdullah dalam membuat lawatan luar negara.

Nampaknya semua ini dan banyak lagi sudah menjadi semacam satu tradisi pemimpin Umno apabila dilantik menjadi Perdana Menteri.

Selain membazirkan wang awam bagi membuat lawatan hanya untuk memberitahu pemimpin negara yang dilawati bahawa "I'm the new boss now", atas alasan kononnya mahu menjalinkan persabahatan dan kerjasama dua-hala lebih erat (seolah-olah sebelum ini persahabatan dan kerjasama kurang erat di bawah kepimpinan lama), rakyat juga akan kehilangan fokus apabila slogan baru diperkenalkan bagi menggantikan slogan yang telah dipopularkan dengan kos yang ditanggung rakyat sendiri.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kita dipersenda dan ditertawakan oleh orang lain.

Kini Najib sibuk bercakap tentang liberalisasi. Tapi apakah beliau telah membebaskan dirinya dari tradisi memulakan jawatan Perdana Menteri ini dengan pelbagai pembaziran yang sebenarnya tidak diperlukan sama sekali?
artikel asal : HarakahDaily

ADUN PERAK DILARANG BAWA PEMERHATI

Wakil-wakil rakyat Perak dilarang membawa penyokong masing-masing "bagi mengelakkan sebarang kerumitan", demikian arahan terbaru yang dikeluarkan oleh setiausaha kerajaan negeri.

"Untuk mengelakkan sebarang kerumitan, Yang Berhormat Datuk, tuan-puan TIDAK DIBENARKAN membawa pemerhati. Segala kerjasama amat dihargai, terima kasih," arahan pejabat Datuk Abdul Rahman Hashim dipetik.

Dalam kad undangan kepada ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, turut disertakan aturcara majlis istiadat pembukaan rasmi penggal kedua persidangan DUN oleh Sultan Perak, Khamis ini.

Beliau menerima undangan tersebut melalui khidmat Poslaju pada 11.15 pagi ini, katanya.

Dalam kenyataannya, wakil rakyat DAP itu mempertikaikan arahan tersebut yang disifatkannya "tidak telus dan autokratik."

Ong juga berkata arahan itu satu percubaan menghalang orang ramai melihat sendiri perjalanan sidang tersebut.

Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.

Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.

Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.

Polis semalam melarang orang ramai berhimpun dekat Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan DUN, setelah penyokong Pakatan ingin tampil menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pilihan mereka.

artikel asal : malaysiakini

Menjelang Sidang DUN, Polis Sekat Penyokong DAP ke Perak

Penyokong DAP dakwa disekat ke Ipoh


Polis cuba menghalang penyokong DAP yang merancang ke Perak bagi menyatakan sokongan persidangan penting DUN Perak – yang menentukan masa depan pemerintahan Pakatan Rakyat – Khamis ini.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, seorang anggota polis unit Cawangan Khas telah menghubungi pembantunya kelmarin agar membatalkan niat mereka membawa kira-kira 25 penyokong ke Ipoh.

"Sekiranya orang lain naik bas boleh pergi ke Pulau Pinang, Singapura, kenapa tidak boleh naik bas ke Ipoh?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Teo berkata larangan polis itu berkemungkinan kerana beranggapan mereka akan terlibat dalam perhimpunan haram pada hari persidangan tersebut.

Beliau menolak dakwaan ingin terlibat dalam perhimpunan haram dan menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas.

Ahli parlimen DAP itu menegaskan akan meneruskan hasratnya untuk menyertai saat-saat penting itu – kemuncak perebutan kuasa antara dua menteri besar, Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dengan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan Rakyat) sejak Februari lalu.

Selain percubaan BN memecat Speaker DUN V Sivakumar, ADUN DAP di Tronoh, keadaan kelam-kabut akibat susunan kerusi yang masih tidak jelas sewaktu persidangan dijangka mengundang kejadian tidak diingini.

Semalam polis Perak melarang orang ramai berhimpun di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan – yang menempatkan bangunan DUN itu – seperti diseru dalam ceramah Pakatan dan blog.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram termasuk mereka yang merancang atau yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan tersebut," kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.

Mengulas lanjut senario yang bakal ditempuhinya, Teo tidak menolak kemungkinan rombongannya akan ditahan atau disekat oleh polis ketika dalam perjalanan ke sana.

"Saya akan memberitahu rombongan, (mengenai) tindakan berjaga-jaga kepada mereka sebelum bertolak, sama hari ini atau esok," katanya.

Mereka akan bertolak dari Serdang ke Ipoh pada jam 11.30 malam esok.

artikel asal : malaysiakini

NAJIB, SELESAIKAN DULU 4 KELUH-KESAH RAKYAT

Alangkah lunaknya telinga dan damainya hati rakyat tatkala menyaksikan Perdana Menteri melontarkan keyakinan dan kesungguhan merencanakan perubahan positif dalam pentadbirannya.

Setelah sebelum ini menzahirkan keterbukaan kerajaannya terhadap kebebasan media, diikuti beberapa siri tinjau mesra beliau sendiri ke kawasan tertentu bagi mendekati rakyat, kini Dato' Seri Najib Razak beralih pula menyarankan anjakan di sektor awam.

Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 di Putrajaya, Selasa (28 April) lalu, Najib meminta pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan rakyat.

Untuk itu, beliau mengarahkan para pegawai tinggi kerajaan turut turun padang bersama pemimpin politik dari semasa ke semasa.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan dihadapi rakyat. Barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Wah! Syabas Perdana Menteriku, syabas! Kita percaya andainya beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu dan memastikan pentadbirannya berjalan seiringan dengan prinsip digariskannya itu, nescaya kedamaian akan menggunung di hati rakyat.

Apatah lagi Najib turut menegaskan pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dimaksudkannya itu.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," ujarnya serius.

Kita lupakan sejenak pengkhususan beliau terhadap sektor awam. Kita ambil semangat kesungguhannya beserta lafaznya mengenai pembaharuan itu secara umum. Kita andaikan Najib mahukan perubahan positif bukan sahaja melibatkan sektor awam, tetapi juga pentadbiran politik di bawahnya.

Maka di sana sebenarnya sudah tersedia sebilangan keluh kesah dan gundah gulana rakyat untuk diselami dan diteliti Najib serta pentadbirannya. Sebahagiannya malah kita percaya sudah didengari dan dimaklumi Najib, lama sebelum punggungnya menghenyak kerusi empuk di meja Perdana Menteri, sebelum isterinya tersenyum lebar hingga ke pipi menikmati status 'Wanita Pertama' negara.

Banyak sekali keluh kesah rakyat, terlalu banyak. Kita ambil saja beberapa antaranya yang agak ketara dan mudah difahami. Pertama, kita pergi ke Perak. Tanyakan rakyat di sana apa sebenarnya keluh kesah dan gundah gulana utama mereka?

Sudah dapat diduga jawaban mereka. Bahkan, soalan itu tidak perlu ditanya sebenarnya.

Rakyat Perak mahu krisis politik tidak berkesudahan yang melanda negeri mereka ditamatkan.

Selesaikan kemelut itu secara telus dan adil. Cara sebaiknya ialah memulangkan hak menentukan kerajaan yang sah kepada rakyat. Mereka telahpun memilih kerajaan yang mereka mahu setahun lalu, namun pilihan itu telah dikhianati.

Maka cara terbaik bagi Najib memperbetulkan keadaan ialah mengusahakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dan adakan satu pilihan raya semula. Nah, apakah sanggup Najib berbuat demikian?

Sehubungan itu juga rakyat berharap pentadbiran Najib lebih 'gentlemen' menerima keputusan rakyat menolak parti itu di empat lagi negeri. Hormatilah pilihan rakyat yang mahukan parti lain memerintah Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

Jangan lagi ada usaha atau sekelumit hasrat menjatuhkan kerajaan-kerajaan itu secara tidak bermoral, yakni di luar proses pilihan raya. Jangan digugat dan digigit kerajaan pilihan rakyat itu dengan segala macam tindakan tidak bertanggungjawab. Jangan ditimpakan mereka dengan karenah birokrasi antara kerajaan, sekatan bantuan mahu pun sabotaj pentadbiran.

Kemudian, kita selami pula keluh kesah rakyat terhadap batang tubuh Najib sendiri. Maaf cakap Dato' Seri, banyak tuntutan kedengaran di luar sana agar Dato' Seri membersihkan diri daripada dakwaan dan palitan dengan satu isu moral yang sangat masyhur. Rasanya tidak perlu lagi disebut apakah isu tersebut.

Rakyat sangat gundah gulana apabila Perdana Menteri menjadi balunan dan persendaan media asing atas fitnah itu. Lalu ada rakyat menggesa Najib menyaman media asing terbabit. Buktikan Perdana Menteri kita bersih dan apa yang mereka laporkan itu fitnah semata.

Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang bersih. Bukan sahaja pada nilaian partinya, tapi dalam sanubari rakyat dan juga di mata dunia.

Panjang lagi senarai keluh kesah rakyat. Kalau dapat ditangani yang empat di atas tadi pun sudah cukup baik buat Perdana Menteriku!

artikel asal : HarakahDaily

DUN Kota Alam Shah: Isteri Manoharan kemungkinan ambil alih kerusi

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, S. Pushpaneela berkemungkinan akan memikul jawatan wakil rakyat secara rasmi jika beliau meletak jawatan pada 19 Mei ini.

Banyak pihak dalaman parti telah memperkatakan tentang kemungkinan tersebut.

“DAP akan menghormati sebarang keputusan Manoharan, tetapi bukan semua orang akan bersetuju dengan cadangan supaya kerusi berkenaan diserahkan secara automatik kepada Pushpaneela,” kata seorang sumber dalaman parti yang juga merupakan pemimpin tempatan.

Pushpaneela ketika ditanya pendapat beliau berkata “Saya menyerahkan perkara tersebut kepada pengundi Kota Alam Shah untuk membuat keputusan sama ada menerima saya ataupun sebalinya.”

Bagaimanapun tegas beliau, keutamaannya ialah adalah untuk berjuang bagi membebaskan Manoharan daripada terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya mahu membolehkan beliau berkhidmat secara peribadi kepada rakyat yang mengundinya sebelum ini

Sementara itu Kerajaan Selangor akan memberi masa kepada Manoharan untuk membuat keputusan sama ada melepaskan jawatan atau kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim berkata KeADILan serta Pas tidak akan masuk campur dalam keputusan Manoharan yang merupakan wakil daripada DAP.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor (BBTOAS) semalam, beliau berkata pakatan pembangkang di Selangor bersedia menghadapi pilihanraya kecil jika Manoharan membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi itu.

Penasihat Undang-Undang Hindraf itu ditahan pada 13 Disember 2007.

artikel asal : Suara KeAdilan

Pakatan Rakyat Selangor Sedia Menghadapi Pilihanraya Bila-bila Masa, Tan Sri Khalid Ibrahim




klip video ehsan : greenboc

Insiden bomoh : JAMAIY mahu Zambry, SUK Perak bertaubat


JAMAIY salah satu Gabungan NGO Islam Perak hari ini merasa kesal dengan 'insiden khurafat' yang berlaku di Dun Perak baru-baru ini seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh Adun Titi Serong, Idham Lim.

Pengerusinya Dr Khairuddin Dato' Abd Malik berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangan kerajaan Perak bahawa mereka kesal dan marah apabila khidmat bomoh telah dibawa ke Kompleks SUK Perak pada pagi 30 April lalu oleh salah seorang Wakil Rakyat Adun Barisan Nasional (BN) yang juga bertaraf Exco.

Bomoh tersebut dikatakan dibawa khusus ke bilik persidangan dan fokusnya adalah tempat duduk VIP seperti kerusi DYMM Tuanku Sultan Perak, Speaker dan Menteri Besar.

"Menteri Besar Barisan Nasional Dr. Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato? Dr. Abdul Rahman Hashim perlu mengambil tanggungjawab atas insiden kurafat yang memalukan ini.

"Jika insiden ini dalam pengetahuan Dr. Zamry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato? Dr. Abdul Rahman Hashim maknanya mereka telah merestui kerja-kerja syirik yang dikutuk oleh Allah, " katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mereka katanya mesti bertaubat dan memohon maaf kepada Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan seluruh rakyat beragama Islam dan dalam masa yang sama meletakkan jawatan.

"Jika perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan, mereka tidak layak memegang tugas besar Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan kerana kecuaian yang melampau.

"Siasatan mesti dibuat oleh jabatan Agama Islam Perak secepat mungkin tanpa rasa takut," katanya.

Bagi DYMM Tuanku Sultan Perak adalah disarankan demi menjaga nama baik baginda supaya membatalkan keberangkatan ke Sidang DUN pada 7 Mei inii kerana insiden yang mencemarkan institusi Raja sebagai Ketua Agama dan Payung Rakyat, katanya.

artikel asal : TVAntara

'Saya ada bukti bomoh ke DUN Perak' : ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim

Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai "bukti" berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zambry ke sebuah balai polis malam tadi, melaporkan kenyataan Khalil di laman blognya idhamlim.blogspot.com yang disifatkan sebagai "tuduhan melampau dan keterlaluan".

Coretan itu antara lain mendakwa Zambry dan BN membenarkan bangunan DUN dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker DUN V Sivakumar dan mendesak Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa berhubung amalan berkenaan.

Selain itu, Khalil turut berkata, lima ADUN Pakatan didatangi sekumpulan polis yang "mengambil gambar dalam keadaan mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan."

Sehubungan itu, beliau membantah tindakan itu yang dianggapnya "semacam provokasi untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat" menjelang persidangan bersejarah itu - untuk menentukan kesahihan Zambry dan menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Diminta menjelaskan lanjut bukti dakwaannya itu, Khalil berkata:

"Sekarang masalahnya, orang memberitahu saya, (itulah) bukti saya. Maklumat daripada orang yang tahu betul cerita ini."

Mengulas laporan polis itu, Khalil berkata Zambry berhak membuat laporan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

"Tetapi (menjadi) hak saya melaporkan (kepada media) dan minta mufti memberikan fatwa.

"Ada, (atau) tak ada pun (perbuatan itu), saya rasa mufti kena beri fatwa dialah, pandangannya macam mana (sama ada) boleh pakai bomoh," katanya.

Diminta menjelaskan lanjut kehadiran polis itu, Khalil berkata, pasukan keselamatan itu muncul Jumaat lalu antara jam 5.30 hingga 6 petang.

"Sebagaimana dijelaskan Thomas Su (dalam sidang media semalam), wakil rakyat Pasir Pinji, yang menulis surat waktu mula jadi exco (Perak) supaya keselamatan rumah beliau ditinjau polis.

"Tetapi surat beliau tidak diberikan respons sampai sekarang. Tiba-tiba bila dewan hendak bersidang, 20 orang polis datang rumah beliau.

"Apa cerita? Semasa kita minta bantuan mereka tidak datang," kata Khalil.

"Apalah salahnya kami diberitahu dulu (apabila) hendak datang rumah. Sekurang-kurangnya bolehlah minum teh. Wakil rakyat ini biasalah, rumah dia kurang-kurang ada biskut kering. Boleh makan biskut kering."

Empat ADUN lain yang didatangi polis: Lim Phek Her (Menglembu), Loke Chee Yan (Kepayang), Chang Lih Kang (Teja) dan A Sivasubramaniam (Buntong).

artikel asal : malaysiakini

PAS Anjur Munajat Perdana Mohon Keamanan Negeri Perak 7 Mei Sempena Sidang DUN

Rakyat diminta hadir dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda matinya demokrasi di Malaysia





klip video ehsan : tvpas09

ISU GUNA PERKATAAN 'ALLAH' : Wanita Kristian Dapat Kebenaran Mahkamah Cabar Tindakan KDN Rampas VCD

Wanita dibenar cabar rampasan CD guna 'Allah'.

Seorang wanita beragama Kristian mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas lapan CD ajaran agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah".

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman mengeluarkan perintah itu kepada Jill Ireland Lawrence Bill, 27, yang berasal dari Sarawak, untuk memulakan prosiding di mahkamah bagi mendapatkan tiga relif iaitu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan kementeriaan merampas CD berkenaan, perintah mandamus bagi mengarahkan kementerian memulakangkan CD itu kepadanya, dan perintah bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan "Allah".

Beliau mengeluarkan perintah itu dalam kamar selepas mendengar hujah peguam yang mewakili wanita itu, Annou Xavier dan Henry Teh, dan Peguam Kanan Persekutuan, Suzanna Atan, yang mewakili kementerian dan kerajaan, yang dinamakan sebagai responden.

Kesemua CD itu dirampas pada 11 Mei tahun lepas semasa Jill tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Antara tajuk-tajuk CD berkenaan ialah "Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah and Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah". Ia dibawa masuk dari Indonesia.

Jill, seorang kerani, mendakwa dia menggunakan "Allah" dalam amalan dan pendidikan agamanya dengan menggunakan Bahasa Malaysia, dan juga ALKITAB dalam Bahasa Indonesia yang menggunakan perkataan "Allah".

Katanya beliau menerima surat bertarikh 7 Julai tahun lepas dari Kementerian Dalam Negeri yang menjelaskan bahawa rampasan itu dibuat kerana CD itu mengancam keselamatan, mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang dan melanggar garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

artikel asal : mStarOnline

Isu Agama Anak : Pakatan Rakyat berjaya memaksa kerajaan tarik balik ketetapan

Tekanan dari pihak Pakatan Rakyat telah berjaya memaksa kerajaan Barisan Nasional untuk bermesyuarat bagi mencari penyelesaian berhemah berhubung status agama anak apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam membabitkan beberapa kementerian dan Jabatan Agama.

Menurut satu laporan Bernama hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata mesyuarat tertutup itu juga berkemungkinan disertai oleh beberapa pertubuhan agama tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.

Berikutan kenyataan dari Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim semalam mahukan kerajaan BN menarik balik ketetapan bahawa status ugama anak saudara baru harus mengikut ugama asal mereka seperi yang dilaporkan.

Kenyataan BN telah dikecam hebat oleh semua pemimpin Pakatan Rakyat kerana BN tidak mengambil kira keputusan ulama dan undang-undang sivil bagi menanggani kes yang amat sensitif di mata masyarakat berbilang kaum dan agama dinegara ini.

Pakatan Rakyat juga telah mengambil langkah drastik dngan menubuhkan satu jawatankuas khas bagi membincangkan kes ini.

Jamil Khir berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Nazri Aziz yang bertanggungjawab mengenai perundangan dan Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab mengenai isu perhubungan kaum bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai mesyuarat itu.

Antara kementerian yang akan terlibat dalam mesyuarat itu termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar “Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran dalam Perkhidmatan Awam” di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelbagai pendebatan mengenai keputusan Kabinet pada 22 April lepas di mana anak-anak di bawah umur kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Jamil Khir berkata sehingga mesyuarat itu diadakan beliau tidak akan memberi sebarang ulasan berkaitan isu tersebut.

“Sehingga menunggu mesyuarat tersebut diadakan, akan ada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan yang akan mengambil tanggungjawab masing-masing untuk selesaikan isu itu,”katanya.

artikel asal : Suara KeAdilan

PAKATAN RAKYAT Kutuk UMNO Arahkan SUK Perak Hadkan Liputan DUN

Menteri Besar Perak Mohammed Nizar Jamaluddin mengalu-alukan semua media untuk menghadiri mensyuarat sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

“Saya amat mengalu-alukan semua jenis media termasuk ‘Media Baru’ dan mereka bebas membuat liputan semasa persidangan Dun berlangsung dan saya ingin nyatakan Pakatan Rakyat tidak sekali-kali pernah menghalang sebarang liputan media,” jelas beliau semasa sidang akhbar di ibupejabat KeADILan semalam.

Berikutan setiausaha dewan Abdullah Antong Sabri yang digantung Speaker V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan media membuat liputan semasa sidang Dun pada 7 Mei dan hanya membenarakan media tertentu sahaja dapat masuk ke dewan.

Sivakumar, dalam satu kenyataan beliau hari ini memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri dan hujah wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Sempena hari Kebebasan Media Sedunia 2009 yang sisambut semalam, Penasihat Agong Dap Lim Kit Siang berkata bahawa tindakan tersebut adalah sebagai satu diskriminasi dan ketidakadilan terhadap media yang tidak seharusnya berlaku.

“Saya merasa kesal atas tindakan demikian terjadi pada waktu seluruh dunia memperjuangkan hak dan kebebasan media. Ini adlah satu tindakan yang memalukan,” jelas beliau semasa sidang akhbar tersebut.

Berpegang kepada prisnsip itulah, maka Sivakumar telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

“Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

“Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya,” katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya.

artikel asal : Suara KeAdilan



klip video ehsan : greenboc