Sunday, June 21, 2009

IBRAHIM 'RAJA KATAK' KATA PAS PENAKUT?

Oleh: WFAUZDIN NS

IBRAHIM Ali `Al-Kataki' seorang-seorangnya Ahli Parlimen yang menjadi Wakil Rakyat atas ihsan Pas yang menang atas tiket Bebas. Sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai pemenang pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, bergema dewan tempat pengumuman dengan laungan Takbir dan Ibrahim Ali ini tersenyum lebar sambil memakai baju Melayu yang berlencanakan lambang Pas. Memang wajar beliau tersenyum megah kerana sebelum ini telah beberapa kali beliau bertanding sebagai Calon Bebas di Parlimen Pasir Mas dan juga di Dun tetapi undi yang beliau perolehi amat memalukan.


Kini, Ibrahim seperti melukut di tepi gantang dalam politik. Pas tidak pelawa, malahan Pas mendesaknya meletakkan jawatan sebagai MP Pasir Mas kerana beliau telah mengkhianati kepercayaan pengundi di Pasir Mas. PKR sudah semestinya tidak akan berselera dengan Ibrahim ini kerana kebanyakan pemimpin di dalam PKR adalah bekas-bekas ahli Umno dan mereka kenal siapa `Raja Katak' tersebut. Maka, Ibrahim Ali hanya mengharapkan kalau-kalau Umno berselera atau kepingin untuk menerimanya kembali setelah beliau terperosok tersembam di dalam tong setelah ditendang keluar dari Umno secara amat memalukan. Nasib baik selepas itu, beliau di`pelihara' oleh Pas dan beliau berkata bahawa beliau sanggup duduk di tangga Pas. Itu cara `Raja Katak' menagih simpati.

Baru-baru ini ketika isu Kerajaan Perpaduan hangat diperkatakan, Ibrahim Ali menyatakan bahawa Mursyidul Am serta mereka-mereka yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno ini adalah kerana takut kepada PKR dan DAP. Beliau berkata Pas takut akan kehilangan sokongan dari PKR dan DAP. Ibrahim berhujah, apalah salahnya Pas menerima untuk berunding dan bekerjasama dengan Umno kerana Pas nanti boleh menyuarakan apa jua kepentingan agama atau negara kepada Umno. Lucu sungguh hujah `Raja Katak' ini.

Lupakah Ibrahim Ali apa yang Umno lakukan terhadap beliau? Apa salah beliau sehingga Umno menendangnya keluar sedemikian rupa? Jika Ibrahim Ali sebagai pemimpin Umno yang mengetuai Bahagian Umno, malahan bekas seorang Menteri di dalam Kerajaan Umno/Bn boleh dikhianati sebegitu rupa, apa jaminan Pas pula? Mengapa Ibrahim Ali tidak berunding dan berbincang dengan pemimpin Umno ketika itu? Bolehkah agaknya jika beliau berunding dengan pemimpin Umno ketika itu, jawatan beliau dan kedudukan beliau di dalam politik Umno boleh diselamatkan? Sebenarnya, `Raja Katak' ini pun tahu siapa Umno sebenarnya kerana beliau sendiri sudah kena akibat bermain dengan Umno.

Oleh yang demikian, memang wajar kita menolak Umno sebulat-bulatnya. Janganlah dicari mana-mana dalil atau nas untuk `membersihkan' Umno kerana hanya dengan satu cara sahaja untuk kita menghapuskan kezaliman Umno/Bn di muka bumi ini iaitu dengan melalui pilihanraya umum akan datang. Beberapa langkah yang telah PR lakukan sudah tepat membuatkan beberapa `batu nisan' Umno telah kita tanamkan. Satu lagi `batu nisan' bakal akan kita sediakan untuk Umno di Manek Urai. Kita sediakan `batu nisan' ini sudah terlalu lama buat Umno/Bn, jangan `batu nisan' memakan tuan sudahlah. /wfauzdin.blogspot.com

Pacak Satu Lagi Batu Nisan UMNO Di Manek Murai

Oleh: WFAUZDIN NS

BIAR betapa hebatnya propaganda Umno dan media kawalan mereka mengatakan Pas terutamanya kini di ambang perpecahan, namun sebagai penyokong setia Pas dan juga PR termasuk Kelab Penyokong Pas harus berani turun membuktikan bahawa propaganda murahan Umno tidak laku di bumi Kelantan ini khususnya di Manek Urai. Memang benar, berlaku sedikit kocakan di dalam Pas dan tempiasnya dirasai oleh rakan-rakan di dalam PR, tetapi sehingga kini kesemua pimpinan Pas dan juga PR telah nekad untuk `menggali' satu lagi `kubur' buat Umno dan `batu nisan'nya telah pun ditempah.


Mahu tidak mahu, Umno terpaksa menggigit jari dan menelan air liur mereka untuk melihat Pas berpecah. Oleh itu, tidak hairan lagi di TV3 khususnya dan Utusan Meloya amnya, begitu hebat `lagu' ciptaan Tuan Guru Presiden Pas bertajuk `Kerajaan Perpaduan Umno-Pas' dimainkan, sedangkan sebenarnya `lagu' berkenaan masih belum dilengkapi dengan `irama dan lagu' hanya sekadar `lirik' yang tercipta, bahkan albumnya pun belum dikeluarkan. Tetapi `lagu' yang tidak siap berkenaan amat diminati oleh Umno kerana `ada udang di sebalik batu'. Dan yang terbaru seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, `lagu Kerajaan Perpaduan' tersebut telah ditarik balik kerana tiadanya `irama dan lagu' yang bersesuaian buat tajuk `lagu' tersebut pada ketika ini. Maka, sumbanglah bunyinya `lagu' tersebut apabila Umno memainkannya.

Setelah beberapa kali Umno di`kapankan' di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil sebelum ini, sudah pasti Umno tidak mahu lagi menanggung malu. Apatah lagi Umno mengakui bahawa kekuatan Pas dan PR hanyalah bergantung kepada yang bukan Melayu, maka di bumi Kelantan ini Umno terpaksa membuktikannya. Jika Umno tewas, ini bererti semua kaum menolak Umno kecuali mungkin golongan `jin jahat atau hantu-hantu' yang sudah cukup umur untuk mengundi. Pas tidak harus leka dengan kemungkinan bantuan dari `makhluk halus' ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa `makhluk halus' seperti ini wujud semasa pilihanraya.

Gunakanlah peluang ini untuk membuktikan bahawa sebenarnya Umno dan Pas tidak serasi untuk di`tunangkan' apatah lagi untuk di`kahwin'kan. Sekian lama Pas telah cuba untuk berdakwah dengan Umno, tetapi jenis Umno ini tidak akan menerima Pas selagi Pas berjuang atas paksi Islam. Tetapi Pas tidak lama mengambil masa untuk menyedarkan bukan Islam terhadap Islam, apabila beberapa pemimpin bukan Islam dari DAP dan PKR kini telah mula memetik ayat-ayat Al-Quran di dalam ucapan-ucapan mereka. Jelas terbukti bahawa Pas sebenarnya lebih serasi, mudah dan senang untuk menjalankan kerja dakwah mereka bila berada di dalam PR jika dibandingkan bersama dengan Umno. Umno ingin bersatu atas dasar Melayu kerana pada mereka Melayu itu Islam, kuat Melayu maka kuatlah Islam. Prinsip ini sebenarnya sesat lagi menyesatkan. Kekuatan kerajaan Islam di zaman Uthmaniah bukan kerana Uthmaniah itu Melayu, tetapi kerana perjuangannya meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan juga kerana keadilannya terhadap semua rakyat.

Saya berharap tiada larangan buat sesiapa sahaja untuk menabur bakti di Manek Urai asalkan tujuannya satu iaitu untuk `mengapan'kan Umno. Kesemua peringkat pimpinan haruslah dibenarkan datang ke Manek Urai kerana di sana nanti kita akan dapat melihat dengan lebih jelas dan nyata siapakah yang ikhlas berjuang untuk Pas dan siapakah yang datang untuk membawa `cincin pertunangan untuk melamar Umno'. Tetapi saya percaya, setelah berbagai pendapat dan kritikan telah dibuat termasuk nasihat dan teguran dari Mursyidul Am, pemimpin-pemimpin Pas yang akan datang ke Manek Urai akan datang dengan semangat yang lebih kuat dan jitu. Biarkan mereka datang untuk mensucikan `dosa-dosa' mereka terhadap parti yang kita sayangi ini. /wfauzdin.blogspot.com

Datuk Anwar Ibrahim Gusar Hakim Berat Sebelah Adili Krisis Perak

Datuk Seri Anwar Ibrahim gusar terhadap kewibawaan sistem keadilan dalam membicarakan krisis dua Menteri Besar Perak yang kini akan di putuskan di Mahkamah Persekutuan.

"Kita tidak menaruh penuh keyakinan kepada sistem kehakiman, semua orang tahu, kes video V.K Lingam dengan laporan Suruhanjaya sehingga kini tiada tindakan undang- undang. kita tidak menjangka ada perubahan dalam bidang ini. Tuntutan Datuk Sri Nizar itu masih mengikut proses biasa. Saya tidak mengharapkan Ketua Hakim negara akan bersetuju," Kata Datuk Sri Anwar.

"Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengisytiharkan Datuk Seri Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Hakim Datuk Abdul Aziz Rahim membuat keputusan demikian berikutan Datuk Sri Nizar tidak pernah meletakkan jawatannya dan tidak ada undi tidak percaya terhadap beliau dalam DUN Perak," tambahnya lagi.

Anwar berkata Ketua Hakim Negara Zaki Azmi harus menunaikan permohonan Nizar supaya permohonan beliau didengar oleh panel 11 hakim.

"Mengapa rasional kita adakan 11 hakim ? Isu ini isu perlembagaan yang besar. Kita tidak boleh angkat mana- mana hakim tertentu yang membuat keputusan yang memberat pada mana- mana pihak tertentu. Biarkan mereka buat keputusan dan biarkan masing- masing menulis supaya ini akan menjadi bahan yang akan dibaca oleh masyarakat," ujarnya lagi.


Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry Kadir sebagai Menteri Mesar Perak yang sah.

Beliau terpaksa memfailkan rayuan itu walaupun dua daripada tiga hakim mahkamah rayuan berkenaan gagal mengemukakan hujah bertulis untuk menyokong keputusan mereka itu yang mengejutkan banyak pihak termasuk pengamal undang-undang dan orang ramai.

Nizar telah meminta panel 11 hakim untuk mendengar rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai depan.

TVA

Pengundi Manek Urai teruskan agenda Pakatan Rakyat

Pengundi di Manek Urai perlu meneruskan perjuangan yang telah dilakukan rakan-rakan di tempat lain pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

"Jangan pula rakyat di sini gagal meneruskan usaha yang dilakukan rakyat di tempat lain dengan menolak Umno dan Barisan Nasional.

"Rakyat di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti telah menolak BN pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Husam Musa ketika melancarkan jentera pilihan raya pemuda di Lata Rek, kelmarin


Bagaimanapun beliau yakin pengundi di Manek Urai tidak akan mencacatkan perjuangan yang diteruskan rakan-rakan di tempat lain.

Ini kerana kata beliau rakyat Kelantan mempunyai daya juang yang tinggi kerana lebih awal lagi menolak BN ketika situasi itu tidak berlaku di negeri-negeri lain.

"Ketika orang lain masih lena dalam perjuangan kita telah lama bangkit. Ketika orang lain baru hendak bangun kita sudah boleh berdiri di atas kerusi," ujarnya.

Beliau berkata, biar pun mesej perpaduan Melayu yang cuba dibawa Umno di Manek Urai, namun ia tidak lebih sebagai retorik bagi mempengaruhi rakyat semata-mata.

Katanya, Umno sengaja hendak kelirukan rakyat di Manek Urai dengan isu orang Melayu perlu berpadu, sedangkan hakikat sebenar perpaduan yang hanya menguntungkan politik mereka sahaja.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Umno cuba memperbodohkan orang Melayu di kawasan hulu Kelantan kerana menganggap mereka tidak peka dengan perkembangan politik semasa.

Sedangkan katanya di kawasan yang mempunyai bilangan penduduk bukan Melayu yang agak ramai Umno cukup rimas kerana berlaku penolakan terhadap BN.

"Misalnya orang Cina di Kuala Sepetang, Bukit Gantang biar pun diberi bantuan bot oleh Umno namun mereka tetap menolak calon BN pada pilihan raya yang diadakan sebelum ini," ujarnya.

Begitu juga katanya di tempat-tempat lain orang bukan Melayu menolak Umno dan BN seperti telah dibuktikan pada lima pilihan raya kecil yang diadakan selepas Mac 2008.

Lebih-lebih lagi katanya, kalangan pengundi muda di saluran tiga dan empat hampir menyeluruh menolak BN.

Beliau berkata, rakyat bukan Melayu di luar Kelantan terus mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat setelah berjaya diwujudkan pada Mac 2008.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun berkata, terdapat Hadis Nabi Muhammad saw yang menjelaskan pada akhir zaman golongan muda lebih berminat kepada perjuangan Islam berbanding orang tua.

"Jadi apa yang berlaku sekarang sudah tepat dengan maksud Hadis Nabi Muhammad saw di mana menggambarkan orang tua semakin jauh dengan Islam, sedangkan golongan muda ramai mempertahankan Islam," katanya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pemuda perlu masuk setiap jalan dan lorong di Dun Manek Urai bagi menemui pengundi untuk menyampaikan mesej Islam.

"Pemuda hendaklah jumpa setiap pengundi di atas pagar dan yang menyokong Umno bagi menjelaskan kepada mereka kelebihan perjuangan Islam," katanya.

Kata beliau kemenangan di Manek Urai adalah hadiah kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah berjaya mempertahankan Kelantan sejak hampir 20 tahun lalu di bawah agenda membangun bersama Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata, pemuda yang turun ke medan hendaklah mempamerkan akhlak Islam bagi menarik perhatian penduduk.

"Biarlah orang kampung melihat cantiknya akhlak pemuda-pemuda PAS yang membawa mesej perjuangan Islam kepada mereka," katanya.

Hampir 500 pemuda daripada 29 cawangan PAS di Dun Manek Urai hadir pada program tersebut.

HarakahDaily

Pakatan Sedia Bincang Dengan UMNO/BN Atas Isu Awam Saja, Bukan Kerajaan Perpaduan

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Pakatan Rakyat tidak menolak sebarang rundingan dengan UMNO- Barisan Nasional bersabit isu- isu berkepentingan awam tetapi bukan menjurus kepada cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata isu kerajaan perpaduan langsung tidak timbul kerana pentadbiran negara dibawah UMNO- Barisan Nasional masih dibelit dengan kerakusan kuasa, kezaliman dan ketidakadilan melibatkan institusi awam.

“Isu berbincang dengan Barisan Nasional dan Umno tidak jadi masalah. tapi kalau kita bicara pasal perpaduan, untuk apa ? Untuk teruskan kezaliman? gunakan ISA untuk tangkap orang atau untuk menyalahgunakan proses mahkamah?, Untuk merampas Perak ? Itu tidak dibereskan,’ kata Anwar.

“Jadi kalau nak bincang...mengapa tidak ada pilihan raya di Perak ? Mengapa jenayah meningkat ? Mengapa Peguam Negara tidak telus ? Mengapa badan kehakiman belum bebas ? Mengapa media jadi alat propaganda murahan ? Ini yang akan dibahaskan. Ini akan membolehkan kita mengadakan perbincangan yang baik,” tambah Anwar.

“Kalau BN tegur kita sebab kritikan kita pedas, kita boleh dengar. Apa- apa penyesuaian yang boleh kita lakukan, kita akan lakukan. Untuk bicarakan tentang kerjaan perpaduan, itu bukan sesuatu yang munasabah sama sekali," kata Anwar.


Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama Wacana Pendidikan Rakyat anjuran sayap pemuda dan biro pendidikan PKR di Shah Alam.

Merujuk usaha UMNO meminda perlembagaannya, Anwar berkata yang jelas PKR telah pun mengorak langkah itu jauh lebih awal dan secara komprehensif supaya menjadi parti yang lebih demokratik dan bebas dari rasuah politik.

"Umno menimba sedikit idea kita. Tetapi proses demokrasi ini tunggaknya kepada falsafah perjuangan dan dasar dan diperkuatkan dengan kaedah yang demokratik,” jelas Anwar.

“Umno memilih satu daripada aspek iaitu corak yang demokratik. tapi kerakusan, kezaliman masih menjadi falsafah mereka. Jadi saya tidak fikir ia (Umno) akan melakukan melakukan banyak perubahan, ia cuma babak drama yang baik saja,” kata Anwar.

Pada 13 Jun lalu, PKR meluluskan beberapa pindaan perlembagaan parti untuk menghadkan tempoh maksima seseorang boleh menjadi presiden tidak lebih dari 3 penggal atau 9 tahun.

Sistem perwakilan untuk memilih pemimpin tertinggi dimansuhkan dan hak mengundi diberikan secara langsung kepada ahli biasa.

Pindaan juga diluluskan untuk memperuntukkan 30 peratus jawatan penting dalam parti untuk wanita.

Berlainan daripada pindaan yang diluluskan oleh PKR, UMNO akan terus mengekalkan sistem perwakilan bagi memilih pemimpin yang disifatkan faktor utama menyebabkan parti itu dibelenggui dengan budaya politik rasuah.

UMNO memilih untuk hanya meminda sistem kuota yang ditetapkan untuk membolehkan calon bertanding, isu-isu berhubung yuran, penambahan jumlah perwakilan, had kelayakan menjadi calon serta penglibatan ahli di peringkat akar umbi.

Pemerhati politik mempertikaikan sejauh mana pindaan itu akan berkesan untuk memastikan perwakilan UMNO tidak menjual undi mereka kepada calon yang menawarkan harga paling tinggi, sebagaimana yang lazim berlaku pada setiap pemilihan parti.

TVA