Thursday, December 3, 2009

BTN sudah lama terpesong - Bekas Pengarah

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Dis : Biro Tata Negara (BTN) yang diwujudkan kini bukan lagi untuk menjaga semangat bangsa dan cintakan negara, sebaliknya untuk menjaga kekuatan parti Umno.

Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah memberitahu modul kursus yang diajar dalam BTN khususnya selepas tahun 1998, lebih menekankan pengukuhan peserta kursus kepada pada parti pemerintah itu.

“Pada masa yang sama, peserta kursus juga turut diajar memusuhi pemimpin parti-parti pembangkang, khususnya ulama dalam PAS, lebih bersifat perkauman dan berbagai lagi,” ujarnya lagi.




Katanya, tindakan pemimpin kerajaan Selangor yang menghalang kakitangannya menghadiri kursus dalam BTN sebenarnya satu langkah yang baik memandangkan setiap peserta akan diasak sedemikian rupa untuk memenuhi impinan kerajaan Umno dan BN.

Beliau yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN Pusat, itu seterusnya memberitahu, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut dicanang kepada peserta kursus berkenaan.

“Modul kursus BTN khususnya diawal era 90-an, berbeza khususnya sewaktu dibawah seliawan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut ditekankan soal pendidikan Islam.

“Sekarang ni khususnya selepas tahun 1998, kursus berkenaan bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus pada propaganda Umno, perkauman dan memburukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masyarakat begitu mengagumi BTN sehingga antara tahun 1991 hingga 1998 merupakan zaman kegemilangan BTN kerana modul kursus yang diperkenalkan termasuk pendidikan Islam.

Namun tambahnya, kini ianya menjadi hambar kerana lebih bersifat politik demi untuk kepentingan parti pemerintah.

Beliau yang kini Timbalan Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali juga memberitahu, keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan juga menyebabkan rakyat turun ke bawah akibat kesan dari reformasi yang disuntik dari semangat kursus BTN, khususnya selepas penyingkiran Anwar.

“Kini mereka ingin melakukan perkara yang sama namun lebih sistemetik demi untuk kemenangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang,”ujarnya lagi.

Jelasnya, kursus BTN dalam tempoh lima hari amat berkesan kepada peserta kursus dengan asakan serta cara mereka menyampaikan ceramah melalui modul yang telah disediakan kepada peserta.

Jelasnya, BTN kini juga telah terpesong dari matlamat asal penubuhan iaitu untuk menguatkan bangsa Melayu itu sendiri, yang mana kini tidak menumpukan soal bangsa apa lagi agama, sebaliknya menanam semangat perjuangan Umno pada jiwa peserta kursus.

Pada masa yang sama beliau turut menyokong langkah kerajaan Selangor menghalang kakitangannya mengikuti kursus BTN bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri itu perlu mengadakan satu medan kursus khas untuk kakitangannya memandangkan setiap kakitangan awam perlu mengikuti kursus untuk kenaikan pangkat mereka.

Menurutnya lagi, kursus khas di bawah Menteri Besar perlu ditubuhkan sebagai alternatif baru untuk kakitangannya mengikuti kursus.

Pada masa yang sama, sambungnya masyarakat perlu didedahkan tentang intipati yang terdapat dalam kursus BTN agar mereka selamanya tidak diperbodohkan oleh kerajaan khususnya yang mengaitkan hanya Umno mampu memerintah negara.

“Fahaman atau ajaran sesat ini sewajarnya dibuang dari minda rakyat kerana Pakatan Rakyat juga mampu memerintah,”ujarnya.

Harakahdaily

Langgar akta Petronas : Najib yang patut letak jawatan

Salmah Mat Hussain

KOTA BHARU, 3 Dis : Mungkin agak melucukan apabila seorang ulama yang mahu mendoakan supaya dibuka pintu hati pemimpin tertentu, didesak supaya meletakkan jawatan, sedangkan ketua kerajaan yang jelas melanggarkan Akta Petronas dipertahan habis-habisan.




Ekoran itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana cuba melanggar akta dan perjanjian yang ditandatangani pada 1974.

Timbalannnya, Ahmad Baihaqi Atiqullah berkata, perdana menteri perlu meletakkan jawatan kerana kenyataannya mahu menukar royalti minyak kepada wang ihsan jelas bertentangan dengan perjanjian sebelum ini.

“Kenyataannya mahu membayar wang ihsan bercanggah dengan kebenaran dan fakta.

“Kami beranggapan jawapan itu bertujuan memperbodoh rakyat Kelantan dan menafikan perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Petronas pada 1974,” ujarnya di sini.


Najib melanggar Akta Petroleum Negara 1974 dengan hanya mengumumkan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan sedangkan perkataan 'wang ihsan' tidak langsung dinyatakan dalam akta tersebut.

Sebaliknya yang ada adalah 'bayaran tunai' atau disebut sebagai cash payment.

Oleh itu Ahmad Baihaqi berkata apabila seorang pemimpin tidak mampu lagi memegang amanah rakyat maka wajarlah beliau berundur secara terhormat.

Baru-baru ini kira-kira 100 ahli dan penyokong Umno yang berselindung di sebaliknya Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Pemuda PAS Kelantan menyatakan pendirian menyokong penuh kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Dewan Pemuda PAS juga sentiasa mendoakan kesejahteraan Tok Guru supaya dapat menerajui kerajaan negeri dan parti dengan berkesan biar pun berdepan dengan pelbagai desakan dilakukan pihak lawan.

“Kami menganggap apa yang dilakukan pihak tertentu sebelum ini tidak mampu menggugat kestabilan politik di negeri ini,” ujarnya.

Malah kata beliau dengan isu begitu kecil dipandang negetif pemimpin Umno sehingga menganjurkan demontrasi.

ehsan : Harakahdaily, tvpas09

Siasat proksi Najib terlibat ubah akuan Bala

dari Mkini Abdul Rahim Sabri
Dis 3, 09 2:37pm


Isu dua akuan bersumpah yang saling bercanggahan oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam berhubung kes Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan "proksi" perdana menteri, dilaporkan kepada polis Bukit Aman hari ini.

Dalam aduannya, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebut bahawa penyiasat tersebut, yang asalnya mendakwa Datuk Seri Najib Razak ada hubungan sulit dengan wanita Mongolia itu, berbohong apabila menafikannya dalam tempoh 24 jam.

"Maknanya sudah tentu salah satu akuan bersumpahnya adalah palsu. Membuat akuan bersumpah dengan maklumat palsu adalah salah di sisi undang-undang.

"Namun tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Balasubramaniam," aduan polis itu dipetik.

Dalam kenyataan terbarunya, Balasubramaniam mendedahkan bagaimana wujud tekanan terhadapnya agar menukar akuan bersumpah pertamanya, 3 Julai tahun lalu, susulan pertemuan dengan beberapa individu – antaranya adik perdana menteri Datuk Mohamed Nazim Razak dan peniaga permaidani Deepak Jaikishan, yang didakwa rapat dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

Nama-nama ini bagaimanapun tidak dinyatakan dalam aduan polis SAMM di ibu pejabat polis persekutuan pagi ini, sebaliknya hanya disebut "proksi" Najib.

Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin (foto atas, berkaca mata), yang membuat aduan tersebut, menambah kenyataan terbaru Balasubramaniam – bekas anggota polis Cawangan Khas – boleh didapati dalam laman web termasuk rakaman video di Youtube.

"Rakaman yang tersebar dalam Youtube dan banyak laman lagi menyatakan dengan jelas, beliau diculik, diugut dan disogok untuk menutup, (dan) menarik semula akuan bersumpahnya yang pertama dan menghilangkan diri (ke luar negara),” katanya dalam aduan itu.

"Beliau mengakui semua kegiatan tersebut melibatkan polis, tentera dan beberapa individu yang bertindak bagi pihak (proksi) Najib Razak.”

Dalam aduan sama, Badrul Hisham yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menyebut Balasubramaniam mendakwa menerima RM750,000 dan “dijanjikan RM5 juta sebagai habuan tambahan” selepas menafikan akuan pertama dalam akuan bersumpah kedua – yang dibuat 4 Julai tahun lalu.

Laporan tersebut diserahkan kepada pegawai perhubungan awam polis Bukit Aman, Inspektor Mohd Sail Hassan di hadapan pintu masuk ibu pejabat tersebut.




Semalam, Pemuda Pakatan Rakyat membawa isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam satu kenyataan parti itu hari ini, diminta hadir memberikan keterangan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.30 pagi esok berhubung dakwaan Balasubramaniam.

SPRM digesa siasat adik PM

PMBK : Ariffahmi letak jawatan Mac depan

Dis 3, 09 3:04pm

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuatkuasa 23 Mac 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul berkata, berdasarkan terma surat pelantikannya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

Berikutan itu, katanya, beliau akan memberi notis peletakan jawatannya pada 24 Disember ini.

"Ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya, sambil menambah tarikh rujukan itu berpandukan kalendar hijrah yang menjadi amalan sistem bayaran gaji oleh PMBK.


Menurutnya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira masa yang perlu diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mencari penggantinya untuk menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi berkata, ia bertujuan untuk memastikan PMBK dapat beroperasi seperti biasa setelah ketiadaan beliau.

"Dalam tempoh yang sama, tempoh ini akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja akhir merujuk kepada beberapa perkara yang telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah PMBK sebelum ini," katanya.

Merujuk kepada sidang media bersama beliau dengan Nik Aziz pada 23 november lalu, Ariffahmi berkata, beliau sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat menteri besar kelantan itu supaya meletak jawatan sebagai CEO PMBK.

"Dalam sidang media tersebut, Tuan Guru (Nik Aziz) menasihatkan saya untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi tujuan peletakan jawatan saya selaras dengan terma-terma pelantikan," katanya dalam kenyataan itu.

[Berita lanjut menyusul]

Perhimpunan rakyat sokong Nik Aziz di Kota Baru esok

"Satu perhimpunan besar, yang lebih 10 kali ganda daripada apa (tunjuk perasaan) yang dianjurkan oleh sekumpulan tidak sampai 100 orang (dari gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan) akan didakan esok,"


Oleh G. Manimaran dan Adib Zalkapli

PETALING JAYA, Dis 3 — Di sebalik spekulasi bahawa wujudnya "boikot senyap-senyap" dalam PAS sendiri terhadap kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu majlis besar-besaran yang dikenali sebagai Perhimpunan Rakyat bagi menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan itu akan diadakan di Kota Baru esok.

Ia dianjurkan oleh barisan kepimpinan PAS negeri dengan sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.

Usaha sedemikian bertujuan membalas tunjuk perasaan yang diadakan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan kelmarin.

"Satu perhimpunan besar, yang lebih 10 kali ganda daripada apa (tunjuk perasaan) yang dianjurkan oleh sekumpulan tidak sampai 100 orang (dari gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan) akan didakan esok," kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider juga difahamkan akan ada deklarasi menyatakan sokongan ke atas kepimpinan Nik Aziz pada majlis itu.

Lazimnya Nik Aziz akan mengadakan kuliah setiap Jumaat di hadapan bangunan PAS di Kota Baru.

Justeru perhimpunan itu akan diadakan serentak dengan kuliah mingguan tersebut.

"Akan ada ucapan beberapa pemimpin dan wakil NGO, bertujuan menunjukkan bahawa Tok Guru Nik Aziz masih menerima sokongan padu daripada rakyat negeri ini," kata Zaki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menambah, usaha itu yang digerakkan pemimpin-pemimpin PAS negeri dengan sokongan beberapa NGO bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa rakyat negeri Kelantan masih menyokong padu kepimpinan Nik Aziz yang kini berhadapan dengan siri kontroversi dan desakan agar meletakkan jawatan.

Kelmarin Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan Umno agar melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan, sebaliknya hanya akan melayan gesaan seumpama itu jika datang daripada kepimpinan PAS sendiri.

Kelmarin hampir 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim, Kota Baru memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.

Protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.

Sejak sebulan lalu Nik Aziz diserang dengan isu pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan kepada Menteri Besar Kelantan itu untuk menunaikan haji tahun ini.

Ketika ditanya mengenai tanggapan ramai bahawa Nik Aziz kini keseorangan dalam menghadapi siri itu dan wujudnya elemen memboikot kepimpinan beliau, Zaki menafikan persekitaran sedemikian.

"Tidak betul, Tok Guru tidak keseorangan dalam isu-isu yang ditimbulkan ini. Setiap keputusan yang diambil adalah keputusan kolektif.

"Cuma Tok Guru yang memberikan kenyataan-kenyataan media (dalam isu membabitkan kerajaan negeri) dan dalam isu pertikaian royalti petroleum, Datuk Husam Musa berada di depan dengan memberikan kenyataan, sebab ia melibatkan isu teknikal dan beliau selaku Exco yang berkaitan kewangan," kata lagi.

"Disebabkan formula ini kita dapat bertahan di Kelantan selama 19 tahun... setiap pemimpin tidak membuat kenyataan masing-masing, tapi keputusan dibuat secara bersama... kita ada Dewan Harian di mana semua orang memberikan pandangan dan keputusan dibuat bersama," katanya.

Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohamad Daud Iraqi mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai langkah mahu menyatakan sokongan padu kepada Nik Aziz untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak lima peratus daripada kerajaan pusat.

Mohamad berkata Dewan Ulama berpendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan dan parti.

“Buat masa ini Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbiranya.

“Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan,” katanya.

themalaysianinsider