Friday, January 8, 2010

Pakatan kutuk serangan ke atas gereja

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan : Pakatan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

Demikian kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan yang dikeluarkan petang ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pakatan.

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.


YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR


YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP


YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS




PAS Protests Egypts Action against Viva Palestina

Some 500 PAS members protested in front of the Egyptian embassy in Kuala Lumpur today, condemning police action against the Viva Palestina convoy that resulted in one Malaysian being injured.




malaysianmirror

Demo ringkas bantah guna 'Allah' di tiga masjid


Jan 8, 10 2:11pm

kemaskini 3.02pm Beberapa ratus menyertai demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat sebentar tadi bagi membantah penggunaan perkataan Allah di penerbitan Katholik yang kini menjadi kontroversi.

Perhimpunan dianjurkan dua pertubuhan Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Demonstrasi membantah isu yang sama turut diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan masjid negeri di Shah Alam.

Perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di tengah ibu kota itu dihadiri kira-kira 50 orang. Ia berlangsung hampir 20 minit.

Mereka menaikkan sepanduk bertulisan, antaranya, 'Jangan cabar toleransi Islam' dan 'Kalimah Allah hanya untuk kami', selain membacakan perisytiharan yang mengandungi tujuh tuntutan.

Di Shah Alam, beberapa orang kelihatan melepaskan kemarahannya terhadap ahli parlimen PAS bagi Shah Alam, Khalid Samad, yang bersetuju istilah Allah digunakan oleh penganut Kristian.

Orang ramai turut menurunkan tandatangan pada petisyen bantahan di Masjid Negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.




Pada 31 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald The Catholic Weekly menggunakan nama Allah dalam penerbitannya.

Keputusan itu mengundang reaksi negatif banyak kelompok dalam masyarakat Islam dalam tempoh seminggu ini.

Mahkamah yang sama bagaimanapun menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri.

[Laporan penuh menyusul]

Lagi gereja diserang, Naib Presiden PAS kutuk

PETALING JAYA, Jan 8 — Satu lagi gereja Katolik, kali ini yang terletak di sini diserang manakala Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengutuk serangan ke atas rumah ibadat Kristian tengah malam tadi.

"Kami mengutuk keras tindakan macam ini," kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini.

PAS telah pun meminta ahlinya tidak menyertai perhimpunan protes yang akan diadakan di ibu negara dan beberapa kawasan lain di seluruh negara berhubung keputusan mahkamah membenarkan Herald menggunakan perkataan "Allah" tengah hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata Islam tidak membenarkan umatnya memusnahkan rumah ibadat masyarakat bukan Islam.

"Walaupun ketika peperangan, masyarakat yang berlindung di rumah ibadat tidak boleh dibunuh ataupun rumah ibadat mereka dimusnahkan," katanya lagi.

Kira-kira empat jam selepas gereja di Taman Melawati dibakar, Church of the Assumption di Jalan Templer di sini diserang kira-kira 4 pagi tadi.

Ia tidak mengakibatkan kesan besar.

Pengurusan gereja Roman Katolik ini berkata bahan letupan buatan sendiri dibaling ke arah premis itu tetapi tidak meletup.

“Ia tidak meletup," kata editor akhbar Herald Father Lawrence Andrew kepada The Malaysian Insider.

IGP : 3 gereja diserang, seorang suspek dikenal pasti

Pihaknya akan membuat laporan polis.

Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijadual mengadakan sidang media kira-kira 11.30 pagi di Bukit Aman.

Tengah malam tadi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar oleh sekumpulan tiga hingga empat lelaki.

Dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Barisan Nasional (BN) mengecam perbuatan membakar Metro Tabernacle Church dan gereja lain.

Beliau melawat Metro Tabernacle Church sebentar tadi.

“Apa juga perasaan seseorang ada berhubung isu penggunaan perkataan Allah oleh Herald, tindakan memusnahkan rumah ibadat seperti ini tidak boleh dipertahankan,” kata.

Tambah beliau, jika perbuatan dilakukan mereka yang beragama Islam, pihak berkenaan perlu insaf memandangkan Islam sendiri menggalakkan pengikutnya menghormati kebebasan beragama masyarakat bukan Islam.

Terdahulu dalam ulasan menerusi twitter, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menyifatkan tindakan itu sebagai “pengecut.”

“Ini bukan Malaysia saya,” katanya.

Sementara itu ahli Majlis Kepimpinan PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengutuk Umno dan menggesa kerajaan mengambil tanggungjawab penuh terhadap serangan-serangan gereja sejak tengah malam tadi.

“Ia harus mengambil tanggungjawab penuh atas situasi yang semakin buruk antara masyarakat berlainan agama di negara ini dalam mengendalikan isu Allah,” katanya.

Ini akibat tindakan tidak bertanggungjawab mencetuskan emosi oleh pemimpin-pemimpin Umno, yang menyebabkan situasi bahaya sekarang ini, kata beliau.

themalaysianinsider

PAS kutuk keras tindakan serang gereja

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan : PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyerang gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, di sini awal pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.


Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam, katanya.

Katanya, begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka.

Bahkan, katanya, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.

"Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

"Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program Penerangan PAS Pusat pada hari esok di Shah Alam," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain yang dijamin hak dan kebebasan mereka.

Bahkan, katanya, Allah dengan tegas melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Tambahnya, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan para sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya.

Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Mekah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w. di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.

“PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan,” tegasnya kepada Harakahdaily pagi ini.

Harakahdaily difahamkan, tingkat bawah gereja berkenaan musnah akibat serangan itu.



Gereja di pinggir di ibu negara dibakar tengah malam tadi

Anggota polis memeriksa bangunan Gereja Metro Tabernacle A/G yang dibakar tengah malam tadi. — Gambar ihsan Metro Tabernacle

KUALA LUMPUR, Jan 8 — Sebuah gereja di pinggir ibu negara dibakar tengah malam tadi ketika pihak berkuasa memberi amaran agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan termasuk mengadakan perhimpunan haram di sebalik polemik keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan "Allah".

Gereja Metro Tabernacle A/G, yang terletak di Jalan 4/4C Desa Melawati dekat Setapak di sini dibakar, dipercayai oleh beberapa lelaki, kira-kira 12 tengah malam tadi.


Ia tiada hubungan dengan Gereja Roman Katolik yang mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald menggunakan perkataan "Allah" pada tahun 2007.

Pihak polis belum mengenal pasti mereka yang melakukan perbuatan itu dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Beberapa saksi mendakwa mereka ada melihat tiga atau empat orang yang menaiki dua motosikal berhenti di hadapan gereja berkenaan.

"Kemudian mereka memecahkan cermin tingkat bawah bangunan gereja sebelum membaling cecair yang dikatakan mengakibatkan kebakaran di gereja itu," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurusan gereja.

Gereja itu terletak di bangunan kedai tiga tingkat dengan ruang pejabat di bahagian bawah.

Pengurusan gereja sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sebelum kejadian itu, laman web mahkamah iaitu http://www.mahkamah.gov.my/ pula telah digodam oleh pihak bertanggungjawab.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah hari ini agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Beliau yang memantau secara serius perkara itu berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.

"Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif," kata beliau.

Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dijangka berhimpun bagi membantah penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat.

Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonanuntuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.

Laporan sebelum ini menyebut selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara hari ini.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Bantahan yang dinamakan “Satu hati mempertahankan kesucian Islam” diadakan selepas solat di Masjid Negara.

Dua NGO Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.

Musa berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Herald mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.

Pagi semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi bagi menyelesaikan isu semasa.

"Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik..kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negaraini.

"Tapi walau apapun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum," katanya.

Najib juga berkata kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

themalaysianinsider

Pas sedia berdialog dengan ketua paderi perjelas isu kalimah Allah



Dewan Pemuda Pas Pusat sedia berdialog dan berbincang dengan ketua paderi roman katolik Kuala Lumpur sebagai usaha menjelaskan isu sebenar berhubung penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, penjelasan dan perbincangan adalah penting sebagai memperbaiki segala salah faham yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, peranan dan tanggungjawab Dewan Pemuda Pas untuk menjelaskan kedudukan isu adalah penting supaya keadaan tidak bertambah buruk.

“Itu memang sikap kitalah. Kita akan memberikan penjelasan dan kita akan berikan hujah bagi melihat kedudukan sebenar isu ini dan kita akan melihat apa sebenarnya tindakan mereka, apa sebenarnya tujuan mereka, apa maksud mereka, apa motif mereka,” katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas tentang pertemuannya bersama Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam perbincangan itu nanti Dewan Pemuda Pas akan menyatakan sikap umat Islam serta prinsip-prinsip Islam terhadap isu ini.

Walau bagaimanapun, tarikh serta tempat pertemuan itu masih belum ditetapkan dan bergantung kepada kelapangan pihak paderi terlibat.

“Itu kita belum putuskan lagi dan kita cadang akan adakan buat di pejabat Tan Sri Murphy sendiri. Kita dah hantar surat dan masih menunggu respon daripada pihak mereka. Kita juga masih belum menetapkan tarikh dan terbuka kepada pihak mereka pada bila-bila masa sahaja," katanya. - FANSURINA ABDULLAH


ehsan : tvSelangor, Kelab GB