Tuesday, January 12, 2010

Lawat gereja kerana simpati – Nik Aziz

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Jan : Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kesediaan melawat beberapa gereja di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana simpati penganiayaan yang dilakukan.

Beliau berkata, kunjungan ke gereja yang terbakar kerana dikhianati sama seperti menziarahi orang yang sakit.

“Islam mengajar umatnya bersimpati terhadap orang teraniaya seperti kejadian membakar gereja di beberapa tempat di Lembah Klang baru-baru ini.

“Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Islam kerana menggunakan kaedah kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini.


Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan melawat tiga gereja di Kuala Lumpur termasuk Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dan Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing bagi melihat dari dekat kesan kerosakan akibat dikhianat pihak tidak bertanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempersoalkan tindakan pihak terbabit sehingga merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam.

“Saya pergi kerana rasa simpati terhadap mereka yang teraniaya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatannya ke gereja hanya boleh dijadikan isu kepada mereka yang berfikiran sempit.

“Sebelum ini pun saya pernah melawat kuil Hindu dan Buddha di Tumpat beberapa kali. Sami-sami Buddha juga datang ke pejabat saya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatan tersebut secara tidak langsung dapat menterjemahkan keindahan Islam kepada golongan bukan muslim.

Harakahdaily

Satu lagi kes sentuh kalimah ‘Allah’ difailkan

KUALA LUMPUR, Jan 12 — Tidak sampai dua minggu selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berakhir dengan kontroversi sensitiviti agama, satu lagi kes dibawa ke perhatian bidang perundangan — kali ini juga mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri.

Kes kali ini membabitkan permohonan seorang wanita Kristian dari Sarawak yang mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan “Allah”.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 15 Mac ini.

Kes itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Datuk Mohamed Apandi Ali tetapi disebabkan beliau mempunyai perbicaraan kes lain, ia dipinda kepada sebutan bagi pengurusan kes.

Tarikh itu ditetapkan di kamar Penolong Kanan Pendaftar Nik Mohd Fadli Nik Azlan dengan kehadiran peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill dan Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili defendan.

Pada 15 Mac nanti, defendan dikehendaki memfailkan afidavit jawapan.

Pada 20 Ogos 2008, Jill, 27, seorang kerani, memohon perintah certiriori bagi membatalkan keputusan kementerian itu merampas CD berkenaan, selain perintah mandamus bagi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan CD itu kepadanya, dan perisytiharan bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan “Allah”.
Pastor Daniel Raut berjumpa dengan wartawan di luar mahkamah pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May



Wanita itu mengadu bahawa pada 11 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri merampas CD berkenaan daripadanya sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.

CD itu mempunyai tajuk seperti “Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah and Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah” dibawa masuk dari Indonesia.

Pada 31 Dis lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald.

Keputusan itu berakhir dengan protes dan demonstrasi Jumaat lalu.

Setakat ini lapan gereja di seluruh negara telah menjadi sasaran serangan kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

themalaysianinsider

Police : Imps broke Miri church windows

“It was the work of naughty boys and not religious extremists,”


KUCHING, Jan 12 — The police believe the stone-throwing incident at the Lutong Good Shepherd Church in Miri on Sunday, which left several window panes smashed, was initiated by delinquents.

Sarawak Police Commissioner Datuk Mohmad Salleh said police have not received any more reports on church attacks in the state and that the situation was under control.

“It was the work of naughty boys and not religious extremists,” he told reporters after a monthly Sarawak police contingent assembly here today.

Mohmad said he ordered his officers to leave their telephone numbers with church officials to enable quick action to be taken in the event of any untoward incident.

He said the police were keeping all houses of worships, including churches and mosques, under surveillance, he added. — Reuters

themalaysianinsider

Wartawan PKR diugut depan rumah saudara Rosmah

Jimadie Shah Othman
Jan 12, 10 8:46am


Seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan mendakwa dikacau polis selepas mewawancara seorang wanita yang ada pertalian keluarga dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor kelmarin.

Abdul Qayum Abdul Rahman mendakwa, beliau mengunjungi wanita yang dikenalinya sebagai Saharah, yang juga saudara kepada mangsa tragedi pembunuhan kejam di Gemencheh baru-baru ini.

Minggu lalu, empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak diberdekatan di Kampung Batang Rokan.

Abdul Qayum mendakwa, selepas mengetahui beliau seorang wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki - dikenali sebagai Muhammad - memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya.

"Beliau turut merampas nota penulisan saya serta rakaman dihapuskan kerana tidak berpuas hati dengan temubual yang dijalankan bersama seorang wanita yang dikenali Saharah.

"Polis menunggu di luar rumah, manakala Muhammad mengambil segala pengenalan diri dan dokumen yang dibawa oleh saya tanpa kebenaran saya sendiri," aduan polis Abdul Qayum semalam dipetik.

"Polis dan Muhammad mengugut saya dalam berbentuk ancaman mahu mencari saya dan keluarga dengan cara apapun jika temu bual tersebut disiarkan."

Kejadian itu didakwa berlaku di depan rumah sumber tersebut.


Kerana bimbangnya keselamatan diri dan keluarganya, Abdul Qayum yang baru sebulan menyertai Suara Keadilan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam petang semalam.

Selain ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto, kanan), beliau ditemani ketua wartawan akhbar terbabit, Fazallah Pit.

malaysiakini

Nik Aziz dituduh terima kek RM500

Jimadie Shah Othman
Jan 11, 10 6:35pm


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat terus menerima asakan Umno, kali ini didakwa menerima hadiah kek, seberat 10 kg bernilai lebih RM500, daripada menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Ketua pegawai eksekutif PMBK Abdul Ariffahmi Ab Rahman, ketika menjawat ketua pegawai operasi perbadanan itu, meluluskan pembelian enam kek bernilai lebih RM3,000 September lalu kepada enam pihak, kata ketua penerangan Umno negeri.

"Isunya bukan pada harganya tetapi bagaimana (beliau) beli hadiah untuk diri sendiri dan bapa mertua? Tidak bolehkah guna duit poket sendiri?

"(Perkara) ini saya fikir mungkin penyelewengan yang paling kecil berbanding dengan yang lain-lain, macam jerawat kecil yang sudah pecah," kata Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang juga ADUN Kok Lanas, kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, satu pihak yang enggan dinamakannya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

"Perkara ini telah pun dilaporkan kepada mereka daripada seseorang (pemberi maklumat)," kata Md Alwi, sambil menggesa suruhanjaya itu menyiasat perkara berkenaan dengan segera.


Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada Abdul Ariffahmi setakat ini belum berhasil.

Nik Aziz sebelum ini dipertikaikan berhubung pelantikan menantunya itu sebagai peneraju PMBK Oktober tahun lalu sehingga memaksa campur tangan beberapa pemimpin kanan PAS.

Susulan itu, Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan tersebut berkuatkuasa 23 Mac ini.

Pada 13 November lepas, suruhanjaya itu turut dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nik Aziz dan keluarganya mendapat tajaan haji daripada seorang ahli perniagaan yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Menteri besar itu bagaimanapu membatalkan hasratnya ke tanah suci selepas media memainkan isu tersebut.

malaysiakini