Thursday, June 18, 2009

KAMI BERPEGANG TEGUH DENGAN 'AMANAT HAJI HADI'

"Percayalah, Perjuangan kita adalah jihad..." "Kita menentang Umno Bukan Kerana ianya Umno"... Amanat ini kami pegang walaupun ada pemimpin kami yang melupakannya.

Oleh: WFAUZDIN NS

HANYA seminggu dua sahaja Umno merasa selesa untuk bernafas apabila menyaksikan Pas bergelut dengan isu Kerajaan Perpaduan. Syabas, buat penyokong setia Pas yang terus mara ke hadapan menjadi perisai agar tembok pertahanan Pas tidak ditembusi oleh Umno dengan propagandanya. Disaat pimpinan Pas lebih banyak mendiamkan diri, penyokong-penyokong setia Pas termasuk penyokong-penyokong kuat PR berterusan menjadi penghalang kepada objektif Umno untuk melihat Pas terkubur


Meskipun Harakah, satu-satunya media Pas yang sepatutnya boleh diharapkan untuk mempertahankan maruah dan moral Pas dari di`jual' dengan murah kepada Umno, tetapi akhbar tersebut terikut dengan rentak pemimpin mereka. Lesu dan tidak bermaya malahan kadangkala kelihatan laporan atau beritanya saling tidak tumpah seperti Utusan Meloya pula. Mujur, usaha yang berterusan dari penyokong-penyokong bawahan yang mahukan Pas terus dihormati dan disegani bukan di`beli', disedari oleh Mursyidul Am Pas. Lantas, beliau mengeluarkan kenyataan yang agak keras bagi `mengejut'kan beberapa pimpinan yang mungkin `terlena' dengan mimpi indah bersama bakal `tunangan'nya bernama Umno.

Selepas itu, barulah seorang demi seorang mengeluarkan pandangan masing-masing dari segala pelusuk negeri. Apabila terjaga dari `lena' barulah mereka tahu bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan sesama pimpinan Pas apatah lagi bersama PR rakan yang banyak membantu Pas sebelum ini. Rahsia bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan, bahkan semata-mata pendapat atau keinginan peribadi dua tiga orang di dalam Pas telah didedahkan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Ustaz Abdul Halim. Ketika itu, baru kita faham sebenarnya situasi yang berlaku walaupun sebelum ini beberapa pemimpin Pas mengutarakan berbagai helah dan dalil untuk meyakinkan kita agar menerima `jalan yang mudah' itu. Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Aziz terlebih awal `menghidu' bau busuk dari idea tersebut walaupun Mufti Perak menghidunya sebagai wangi yang teramat harum.

Setelah menyedari bahawa bukan semua penyokong dan ahli-ahli Pas boleh di`beli' dengan harga yang terlalu murah, Umno mula gelisah dan mahu tidak mahu terpaksa juga pemimpin-pemimpin Umno memuji melangit dua tiga tokoh Pas ini agar impian Umno akan menjadi kenyataan. Jika dahulu mereka mengecam tokoh Pas ini dengan menuduh fatwanya `mengkafirkan Umno' dalam amanat yang terkenal itu, kini mereka terpaksa menjilat ludahnya kembali. Umno tidak mengerti bahawa masih ramai di kalangan penyokong-penyokong dan ahli Pas yang masih memegang kuat fatwa `Amanat Haji Hadi' itu kerana mereka yakin bahawa itu adalah amanat yang betul dan tidak silap walaupun mungkin terdapat dua tiga tokoh Pas sekarang ini yang menganggap amanat itu tidak lagi releven. Kerana Amanat itulah penyokong-penyokong dan ahli Pas menentang keras sebarang usaha ke arah Kerajaan Perpaduan bersama Umno. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno". / wfauzdin.blogspot.com

Peguam : Tiada bukti Anwar liwat Saiful

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa kebanyakan bukti penting - yang diperlukan untuk mensabitkan ketua pembangkang itu dengan tuduhan liwat - tidak ada dalam laporan perubatan yang disediakan oleh Hospital Kuala Lumpur.

Menurut mereka, laporan perubatan itu yang dikeluarkan oleh hospital tersebut, mendedahkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan berlaku tusukan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan - pengadu di mana kes jenayah itu diasaskan.

Satu salinan laporan perubatan itu disertakan bersama afidavit yang difailkan oleh Anwar semalam untuk mengetepikan tuduhan liwat terhadapnya. Kes itu akan didengar mulai 1 Julai ini.

Laporan perubatan itu bertarikh 13 Julai 2008 dan disahkan oleh tiga pakar dari hospital kerajaan tersebut.

Sebahagian daripada laporan tersebut, yang diedarkan kepada pihak media oleh peguam Anwar hari ini menyebut, tiada bukti klinikal yang konklusif yang menunjukkan berlaku tusukan di dubur dan tiada luka yang signikan pada tubuh pesakit (Mohd Saiful).

Bukti terpenting dalam tuduhan rogol atau liwat ialah menunjukkan bukti berlakunya tusukan, kata peguam Amer Hamzah Arshad.

Dan ianya tidak ada dalam kes ini, tambahnya.





malaysiakini

Sultan Tolak Idea Jambatan Ketiga Najib

Sultan Johor hari ini menolak cadangan pembinaan jambatan ketiga menghubungi Johor dengan Singapura seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu.

Titah Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Johor ketika merasmikan persidangan penggal kedua DUN Johor pagi ini.

"Beta dititahkan oleh Sultan Johor bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga itu," baginda dipetik bertitah.



TVA

Sebagai orang muda beliau kena lihat positif bahawa apa yang diluah Tok Guru adalah untuk lihat masa depan beliau dan parti lebih baik

Mahfuz dan Salahudin minta Ustaz Nasharudin jumpa Tok Guru

Dua Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub meminta Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.

Beliau menasihatkan Nasharudin bertemu dengan Tok Guru bagi meredakan isu berhubung gesaan Tok Guru agar beliau melepaskan jawatan selaku ahli Parlimen Bachok semalam.

Mahfuz yang ditemui di Dewan Rakyat hari ini berkata, sejak pagi tadi beliau cuba menghubungi Nasharudin bagi membincangkan cadangan bertemu dengan Tok Guru, bagaimanapun gagal.




"Saya cuba telefon beliau tetapi tidak berjaya, namun saya telah mengirimkan SMS kepadanya menyatakan cadangan agar beliau bertemu dengan Tok Guru.

"Sebagai orang muda beliau kena lihat positif bahawa apa yang diluah Tok Guru adalah untuk lihat masa depan beliau dan parti lebih baik.

"Saya percaya Tok Guru tidak ada sifat kebencian terhadap beliau sebab apa yang dilakukan Tok Guru atas dasar kasih sayang sepertimana sifat seorang ayah yang kadang menegur dan memukul anak atas dasar kasih sayang dan bukan kerana benci," katanya.

Mengulas isu yang sama, Salahudin Ayub turut mahu Nasharudin bertemu dengan Tok Guru dalam masa terdekat.

Penyelesaiakan secara 'anaka beranak' adalah penting dalam hal ini bagi meredakan ketegangan, ujarnya.

Beliau berharap harap Nasharaudin boleh melakukan demi kebaikan beliau dan redakan keadasn dan keresahan dalam parti.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada mesyuarat khas sekembalinya Presiden PAS dari luar negara hujung minggu ini bagi membincangkan isu terbabit.

HarakahDaily

Bersatulah Jentera PRK Manek Urai, Pedulikan 'Kerajaan Perpaduan'

Jentera PAS retak di Manek Urai?

Tidak cukup muktamar dua minggu lalu menjadi medan pertelagahan sesama pemimpin PAS berhubung kerajaan perpaduan, isu itu bakal membawa retak pula pada jentera pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Kini sudah tersebar ura-ura bahawa Dewan Pemuda PAS di beberapa negeri berhasrat menarik diri daripada membantu kempen sebagai tanda bantahan terhadap PAS Kelantan yang didakwa membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini semalam, Dewan Pemuda PAS di enam negeri termasuk Terengganu – negeri presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengutarakan idea tersebut – akan memboikot kempen di Manek Urai.

Idea tersebut bagaimanapun ditentang oleh keras oleh Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta bekas naib presiden Datuk Husam Musa, exco kanan kerajaan negeri.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS di muktamar ke-55, Husam dan seorang lagi naib presiden yang lantang menolak cadangan kerajaan perpaduan, Mohamad Sabu, tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden, yang berjaya dikekalkan oleh Nasharuddin Mat Isa.

Kerajaan perpaduan dan kekalahan Husam dikatakan tidak disenangi akar umbi PAS di Kelantan yang berdiri teguh di belakang Nik Aziz berhubung isu tersebut.

Malah, Ahad lalu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan supaya tidak menyertai kempen pilihanraya kecil DUN tersebut, antara 6 hingga 14 Julai.


'Buang masa'

Seorang pemimpin KPP Yap Kok Seng dilaporkan berkata, kehadiran mereka hanya akan "mengelirukan pengundi" dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan.

Susulan perkembangan tersebut, sumber-sumber itu berkata, ahli-ahli Dewan Pemuda PAS merasakan kehadiran mereka di Manek Urai hanya "membuang masa dan tidak memberikan apa-apa kesan bagi mengekalkan kerusi tersebut".

"Kalau datang tidak boleh naik pentas berceramah, buat apa kita datang?" kata sumber-sumber itu lagi.

Sehingga kini, tambah mereka, PAS Kelantan belum berhubung dengan negeri-negeri mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil itu walaupun ia akan berlangsung tidak lama lagi.

"Biasanya, sebulan awal (sebelum tarikh mengundi) kita dah tahu dah," tambah sumber-sumber.

Sementara itu, sumber PAS Kelantan pula memaklumkan, akar umbi PAS di negeri itu amat marah dengan Nasharuddin yang terus-menerus berbeza pandangan dengan Nik Aziz berhubung isu kontroversi itu.

"Jadi, kalau dia (mereka) tidak boikot kita pun, kita yang akan boikot dia di sini.

"Dia bolehlah datang, tetapi saya rasa dia tak boleh duduk dalam majlis yang ada Tok Guru," kata sumber itu lagi.

Tidak boleh berkempen

Semalam, Nik Aziz menggesa Nasharudin meninggalkan parti itu dan sekali gus meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan dengan Umno.

Menteri besar itu juga dilaporkan berkata, isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS tetapi satu lontaran idea peribadi.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok," Nik Aziz dipetik berkata.

Sementara itu, sumber-sumber lain pula memberitahu, mesyuarat jentera pilihanraya Kelantan telah memutuskan "pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS" yang tidak boleh berkempen dan berceramah di Manek Urai.

Bagaimanapun, pengarah pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar menafikan khabar angin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, kesemua 14 Dewan Pemuda PAS negeri telah diberikan tugas memantau DUN Manek Urai berdasarkan sembilan daerah mengundi yang dibahagi-bahagikan mengikut negeri.

"Tidak timbul perkara itu (boikot). Kalau benar, kenapa Kelantan yang keluarkan senarai (pembahagian kawasan kempen) ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

malaysiakini

Nak Kembalikan Kewibawaan Orang Melayu, Mufti Perak Setuju 'Kerajaan Perpaduan' Dijayakan

‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan.

‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

sumber ; http://www.utusan.com.my/

‘Perpecahan Melayu teruk’

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah.

Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia.

‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan.

‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

UtusanMalaysia

Kenyataan sebeginilah yang buat makin bercelaru!

"Nik Aziz tak nampak tindakan Hadi itu adalah untuk hidupkan kembali karier politik PAS yang hampir ditelan oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP.

"Adalah lebih baik PAS berkawan dengan Umno...kawan tak semestinya nak kahwin, kawan untuk kebaikan bersama," katanya.

"Jelas kelihatan Nik Aziz masih takut dan fobia dengan pengalaman lalu sewaktu PAS menjalinkan hubungan dengan Umno hingga terbentuknya kerajaan campuran.

"Tapi itu semua kisah lama dan Nik Aziz perlu lebih terbuka dalam soal ini.

"Saya tak boleh kata Nik Aziz tak matang dalam soal ini kerana beliau adalah orang lama dalam bidang politik, tapi sememangnya tindakan beliau kali ini memang tak tepat," katanya.

"Kenapa benci sangat dengan Umno, mereka sudah banyak berubah dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti.

"Kita perlu beri mereka peluang... kalau kerajaan campuran dulu gagal, tak semestinya idea kerajaan perpaduan yang disyorkan kini juga akan gagal," katanya.


sumber ; http://mstar.com.my/


Tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan dilihat sebagai keterlaluan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata Nik Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tindakan tersebut akan lebih mengeruhkan lagi hubungan sesama ahli dalam PAS.

"Bagi saya tindakan Nik Aziz itu agak keterlaluan kerana beliau tidak boleh terikat dengan gaya politik dan pemikiran konservatif," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Nik Aziz itu yang turut menyifatkan cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Ahmad berkata pada dasarnya Nik Aziz tidak melihat tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan mengenai kerajaan perpaduan tersebut akan memberi kebaikan kepada parti itu.

"Nik Aziz tak nampak tindakan Hadi itu adalah untuk hidupkan kembali karier politik PAS yang hampir ditelan oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP.

"Adalah lebih baik PAS berkawan dengan Umno...kawan tak semestinya nak kahwin, kawan untuk kebaikan bersama," katanya.

Malah Ahmad berkata Nik Aziz masih fobia dengan kerajaan campuran yang terjalin antara Umno-PAS pada tahun 1973-1977.

"Jelas kelihatan Nik Aziz masih takut dan fobia dengan pengalaman lalu sewaktu PAS menjalinkan hubungan dengan Umno hingga terbentuknya kerajaan campuran.

"Tapi itu semua kisah lama dan Nik Aziz perlu lebih terbuka dalam soal ini.

"Saya tak boleh kata Nik Aziz tak matang dalam soal ini kerana beliau adalah orang lama dalam bidang politik, tapi sememangnya tindakan beliau kali ini memang tak tepat," katanya.

Kata Ahmad lagi tindakan Nik Aziz membantah pembentukan kerajaan perpaduan juga seakan mahu terus menanam sikap benci dan marah kepada Umno.

"Kenapa benci sangat dengan Umno, mereka sudah banyak berubah dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti.

"Kita perlu beri mereka peluang... kalau kerajaan campuran dulu gagal, tak semestinya idea kerajaan perpaduan yang disyorkan kini juga akan gagal," katanya.

Sementara itu Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siva Murugan Pandian pula berkata, Nik Aziz seharusnya mengelak membuat kenyataan seperti itu kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan dalaman PAS.

"Kenyataan itu hanya akan memanjangkan lagi masalah dalaman dalam PAS yang berlanjutan sejak isu kerajaan perpaduan mula dibangkitkan," katanya.

"Perkara ini akan menimbulkan kesan besar terutamanya kepada penyokong Nasharuddin kerana beliau baru sahaja mengekalkan jawatanya sebagai Timbalan Presiden PAS," katanya.

mStarOnline

Dato' Ustaz Harun Taib Cadang Muktamar Khas PAS Redakan Isu Kerajaan Perpaduan

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan kerajaan perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja... kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas.

"Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau juga berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penerangan secara terperinci kepada pemimpin-pemimpin parti itu berhubung cadangan berkenaan.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. Insya Allah, selepas diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang baru dilantik pesuruhjaya PAS Terengganu.


Hari ini, dengan gaya penentangannya, mursyidul am PAS menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan tersebut dan juga melepaskan kerusi parlimen Bachok.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan rasa kesalnya terhadap kenyataan Nasharuddin semalam yang menyambut kesediaan perdana menteri untuk berbincang berhubung isu tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan, menteri besar itu mengulangi penegasannya bahawa isu kerajaan perpaduan dibawa "boneka Umno" dalam partinya dan satu agenda BN untuk memecah-belahkan PAS dan juga Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media yang sama, Harakahdaily.net pula melaporkan, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memutar belit kenyataannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu.

"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," Nik Aziz dipetik berkata.

Dengan tajuk berita 'Boneka UMNO' nasihat awal - Nik Aziz', harian tersebut melaporkan Nik Aziz dipetik berkata "boneka Umno" hanya nasihat awalnya dan perlu didengar oleh pemimpin lain PAS.

Nik Aziz bagaimanapun menyifatkan berita itu "ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri", lapor akhbar web itu lagi.

"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya.

Surat bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam' diterbitkan semalam.

malaysiakini

Dato' Abdul Halim Abdul Rahman Tegaskan Tiada Rancangan Persoalan Kerajaan Perpaduan Dibincangkan Dalam Majlis Syura Ulama

Ustaz Halim tegaskan tidak pernah bincang kerajaan perpaduan

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen BN Putatan, Marcus Mojinggoh di Dewan Rakyat, Ustaz Halim (PAS Pengkalan Chepa) menyatakan, adapun kenyataan balas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.

Untuk makluman, Ustaz Halim berbahas hari ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pindaan 2009.Isu kerajaan perpaduan dijawab selepas memberi respon kepada Marcus yang bertanyakan isu tersebut dalam perbahasan semalam.

Beliau merujuk pertanyaan beberapa ahli Parlimen BN yang mahu penjelasan mengenai kenyataan Ustaz Nasharudin yang dilaporkan berkata beliau positif ke atas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu kerajaan perpaduan.

Kenyataan Ustaz Halim kemudian disambut oleh beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur) yang menyifatkan kenyataan Najib adalah hanya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat sahaja.

Kit Siang seterusnya menyatakan, kenyataan Najib itu sebenarnya tidak terkesan kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya umpan sahaja.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu.



HarakahDaily

“Tubuh Kerajaan Baru” - Misi Saf Kepimpinan Baru Terengganu

Saf Kepimpinan Baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan baru.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib yakin dengan gandingan pimpinan baru yang mantap dari pelbagai lapangan dan bidang professional, PAS mampu menang dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

”Dengan gandingan yang ada ini, yang mantap dan terdiri dari pelbagai lapangan dan bidang professional,

”InsyaAllah, agenda utama selain memperkuatkan parti ialah mengambil alih (kerajaan) atau mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan,”katanya dalam sidang Media Khas di Pejabat PAS Terengganu semalam.

Katanya, beliau telah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya yang baru telah mengadakan mesyuarat dan menyusun saf kepimpinan baru PAS Terengganu.

Beliau telah mengumumkan perlantikan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan tujuh orang jawatankuasa tambahan.

Senarai penuh perlantikan tersebut adalah seperti dibawah ;


Timbalan Pesuruhjaya 1 : Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik
Timbalan Pesuruhjaya 2 : YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut
Timbalan Pesuruhjaya 3 : Ustaz Satiful Bahari Mamat
Setiausaha : Haji Yahaya Ali
Penolong Setiausaha 1 : Ustaz Kamarudin Yunus
Penolong Setiausaha 2 : Haji Hanafiah Ramli@Mat
Bendahari : Haji Muhyidin Abd Rashid
Ketua Penerangan : Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh
Pengarah Pilihanraya : Ariffin Deraman
Jawatan Kuasa : Us Harun Jusoh, Abd Haris Malik, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani
YBM Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Haji Husin Ismail, Hajjah
Zarani Othman, To’ Puan Ustazah Fatimah Zainab

Manohara Serah Bukti Kepada Polis

Manohara Odelia Pinot menyerahkan foto-foto bahagian badannya yang menunjukkan kesan luka - didakwa akibat didera suaminya, putera Sultan Kelatan - kepada polis Indonesia hari ini.

Bekas model muda itu, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, hadir bersama ibunya Daisy Fajarina untuk menyerahkan bukti, termasuk "diperkosa kali pertama" Tengku Muhammad Fakhry Petra, lapor akhbar web Detik.com.

Wanita 17 tahun ini tiba di ibu pejabat polis republik itu di Jakarta kira-kira jam 11 pagi waktu Indonesia bersama peguamnya Hotman Paris Hutapea dalam rangka siasatan lanjut kes yang diadukannya, 9 Jun lalu.

Dalam laporan polisnya, Manohara menamakan suaminya, Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan dan lima individu lagi berhubung dakwaan mendera dan menculiknya.

"Proses penyidikan (siasatan) hari ini sudah dimulai. Mulai dari awal peristiwa penganiayaan yang diterima oleh Manohara," Hotman dipetik berkata oleh akhbar terkenal itu.

Peguam itu dilaporkan berkata bukti itu termasuk tiket kapal yang dimiliki Manohara bertarikh 18 November 2007 - tempat yang didakwa insiden pemerkosaan pertama.


Tengku Muhammad Fakhry bagaimanapun menafikan tuduhan isterinya dan Daisy, malah membuat aduan polis di Kuala Lumpur sebagai membalas laporan Manohara terhadapnya.

Tengku Temenggong Kelantan juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya dan ibu mertuanya berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi peguam Manohara mempertikaikan tindakan seorang penganalisis foto yang mendedahkan beberapa keping gambar yang menunjukkan kesan luka di dada anak guamnya.

Menurut laman web akhbar terkenal Kompas hari ini, Farhat Abbas mengancam akan melaporkan Roy Suryo Notodiprojo - yang didakwanya tidak beretika apabila berbuat demikian - agar dikenakan tindakan.

"Kita akan segera laporkan. Harus ada tindakan hukum kepada Roy," Farhat dipetik berkata sewaktu mengiringi Manohara di ibu pejabat polis tersebut.

Peguam itu dilaporkan berkata Daisy "sangat berang" dengan tindakan Roy Suryo, juga seorang ahli parlimen Partai Demokrat, mendedahkannya kepada Detik.com, 10 Jun lalu.

Roy Suryo bagaimanapun menganggap kenyataan Farhat itu "seorang peguam yang tidak mengerti undang-undang."

malaysiakini

Perspektif Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Ustaz Harun Taib Lebih Jelas Mengenai Kerajaan Perpaduan

Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Ustaz Harun Taib telah memberikan perpektif, konsep kerajaan perpaduan yang sebagaimana dikemukakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang

Menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media di Pejabat PAS Terengganu semalam, katanya, beliau tidak mahu memberikan komen tetapi akan menerangkan konsep tersebut.

”Sepatutnya saya tidak komen kerana Presiden tidak ada, saya akan menerangkan, bukan pandangan,

”(ia adalah) apa konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan Presiden PAS,”jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru dilantik.

Beliau berkata, konsep kerajaan perpaduan itu mestilah dilihat urutan satu persatu bermula dengan tema ucapan dasar Muktamar PAS baru-baru ini, “Islam Memimpin Perubahan”.

Katanya Negara Malaysia mestilah berubah dan PAS mahu perubahan itu mesti dipimpin oleh Islam.

”Kalau perubahan kerajaan dipandu oleh Islam, perubahan SPR dipandu oleh islam, perubahan kehakiman dipandu oleh Islam,”

”sekarang ini yang mendepani kerja-kerja dan perjuangan Islam adalah PAS, jadi PAS yang akan memimpin sebuah kerajaan perpaduan, ini satu lontaran,

”jika semua orang (pihak) setuju, DAP setuju, PKR setuju, UMNO Setuju, MIC setuju, MCA setuju dan parti Sabah Sarawak setuju,”katanya.

Beliau berkata sekiranya hanya PAS dan UMNO (sahaja) bergabung, ianya bukan sebuah kerajaan perpaduan tetapi ia adalah sebuah kerajaan gabungan (campuran).

”PAS dengan UMNO tidak timbul, bukan PAS dengan UMNO sahaja, kalau PAS dan UMNO sahaja tak perlu melontarkan secara terbuka (konsep kerajaan perpaduan), bisik-bisik dengan UMNO (sahaja boleh) tubuh kerajaan,

”tidak (akan) berlaku, tidak ada gagasan, tidak ada seorang pun orang (ahli) PAS nak (gabung PAS dengan UMNO),”tegasnya.

Menurutnya konsep kerajaan perpaduan akan dibincangkan disemua peringkat pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

Walaupun begitu, katanya, jika semua bersetuju sekalipun, ia tidak boleh dilaksanakan kecuali satu Muktamar Khas diadakan bagi mendapat persetujuan semua ahli-ahli PAS,

Justeru, menurutnya, perlaksanaan kerajaan perpaduan akan mengambil masa dan tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat.





BuletinOnline

Wanita Keadilan : PKR Parti Perintis Iktiraf Wanita Dalam Politik

Pimpinan tertinggi Wanita Keadilan menyambut baik peruntukan 30% kedudukan dalam parti untuk golongan wanita di setiap peringkat Cabang, Negeri dan Pusat.
Peruntukan ini sekaligus memenuhi keperluan Piagam Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan dasar Wanita Negara bersabit kuota itu.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan kejayaan PKR meminda perlembagaan itu sebagai kejayaan yang bersejarah.

"Parti keadilan merupakan parti pertama memperuntukkan didalam perlembagaannya penglibatan wanita 30% di semua peringkat sekurang-kurangnya. Ia satu langkah baru untuk penglibatan wanita dalam arena politik, yang diiktiraf oleh sebuah parti yang baru dan parti yang progresif. Peruntukan 30% untuk wanita tidak pernah diberikan oleh mana- mana parti lain, termasuk parti- parti lama oleh UMNO. Saya dapati UMNO, MIC dan MCA sampai sekarang masih lagi tidak dapat mengenengahkan wanita. Ini satu pencapaian kepada PKR membuktikan komitmen bahawa wanita itu diiktiraf dan diberikan tempat disemua peringkat sekurang- kurangnya 30 peratus." Ujar Zuraida


13 Jun lalu, PKR telah meluluskan beberapa usul pindaan perlembagaan parti pada Kongres Nasional Khas 2009 di Bangi Selangor.

Antara lain pindaan perlembagaan membabitkan usul menghadkan tempoh presiden kepada tiga penggal, memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa, memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30% jawatan penting kepada wanita.

Ketua Wanita Selangor, Haniza Talha berkata, usaha kini perlu ditumpukan kepada mempersiapkan wanita supaya bersedia memegang sebarang jawatan dan kedudukan yang ditawarkan oleh parti.

Beliau juga menjelaskan, kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat telah pun menerapkan dasar ini dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat telah pun memenuhi dasar ini. Ahli majlis kerajaan negeri terdiri daripada 40% wanita. Sepuluh orang exco, 4 adalah wanita. Ini menggambarkan sikap bikin serupa cakap. Maknanya kita cakap dan kita benar- benar buat dan kita buktikan kemampuan kita. Apabila kita teraju kerajaan negeri Selangor, kita laksanakan dasar tersebut. Selepas itu, kerajaaan negeri juga telah melantik timbalan speaker DUN wanita juga, iaitu saya. Dan baru- baru ini tuan speaker juga mengumumkan 3 lagi jawatankuasa pilihan khas bagi melaksanakan check and balance dan salah satu dari jawatankuasa tersebut dipengerusikan wanita." Kata Haniza

TVA

PAS Tidak Bergolak – Datuk Seri Anwar Ibrahim

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata teguran yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat dapat dileraikan dengan penjelasan yang baik.

”Itu pandangan beliau dan selalunya dalam politik baik dalam PAS atau Pakatan kita mengambil kira pandangan dia (Tok Guru Nik Aziz),

”tapi saya yakin, InsyaAllah perkara ini dapat dileraikan dengan bijaksana oleh pimpinan PAS,”katanya di lobi parlimen semalam ketika memberikan respon tentang kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS.

Beliau berkata, tindakan Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan, menyuruh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan adalah kerana ada perkara-perkara yang berbangkit dalam PAS sebelum ini.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan terdapat pergolakan dalam PAS berikutan beberapa isu kebelakangan ini.

”Saya tidak fakir ada pergolakan sebab Muktamar PAS di Ipoh dan Muktamar baru-baru ini dalam kenyataan dan pendirian mereka itu adalah jelas,

”Jadi, saya tidak fikir ada kekeliruan tentang pendirian PAS,”jelasnya.

Katanya, dalam kenyataan media Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan akan tetap bersama Pakatan Rakyat dan tidak menolak kemungkinan berbincang dengan UMNO dengan syarat UMNO melaksanakan pilihanraya dengan bebas dan hentikan tindakan yang zalim.

(Klik Untuk Dengar Sidang Media Anwar di Buletin Online Radio)



BuletinOnline