Thursday, April 15, 2010

DAP wakil Pakatan Rakyat di Sibu

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 April : Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang tadi sebulat suara bersetuju bahawa calon DAP akan mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu kelak.

Bercakap pada suatu sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suatu mesyuarat khusus akan diadakan bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat Sarawak untuk menentukan calon terbaik.

"Atas semangat setiakawan, kita putuskan untuk letakkan calon di DAP di (Parlimen) Sibu kelak," ujarnya.

Menurut beliau, suatu mesyuarat khusus akan diadakan di Sarawak pada 18 April depan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan PAS dan DAP kerana menunjukkan muafakat yang begitu tinggi demi memenangkan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berharap semangat setiakawan tersebut boleh dilanjutkan di Sibu kelak.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kemudiannya menganggap Zaid merupakan pemimpin yang jujur kerana sanggup melepaskan jawatan menteri demi menyertai agenda perubahan bersama Pakatan Rakyat.

Dengan pengalaman dan kredibiliti yang ada pada Zaid, beliau melahirkan rasa yakin bahawa Zaid layak mewakili rakyat dari Parlimen Hulu Selangor ke Dewan Rakyat kelak.

Turut menyertai Anwar dan Abdul Hadi, Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS) dan Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Idris Ahmad (Ketua Penerangan PAS).