Friday, June 19, 2009
Wawancara Mkini Bersama Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan
Bawah kepemimpinan baru ustaz, apakah ruang-ruang baru yang hendak diterokai?
Dalam muktamar (Dewan Pemuda) lepas, kita ada projek “Semenanjung 2” bagi mengukuhkan tapak Dewan Pemuda di Sabah, Sarawak dan Labuan. Sudah sampai masanya tempat-tempat ini diberikan perhatian serius.
BN masih mampu menjadi pemerintah kerana sumbangan (undi) dari Sabah dan Sarawak. Kalau tidak kerana kerusi-kerusi di negeri ini, BN akan tumbang di peringkat persekutuan.
Jadi untuk itu, kita fikir, Sabah dan Sarawak tidak boleh dipandang di kelas kedua atau dipandang sepi. Kita bakal mewujudkan satu lajnah (biro) baru khusus untuk Sabah dan Sarawak agar kita dapat benar-benar pastikan PAS mampu tapak kukuh seperti di Semenanjung.
Kedua, saya melihat apa yang perlu dilakukan dalam Pemuda hari ini ialah memanfaatkan semaksimum mungkin tenaga atau sumber-sumber dalam parti, termasuk exco Dewan Pemuda PAS.
Sebelum ini, kita lihat kecenderungan, sama ada sedar atau tidak, kalau nak buat kenyataan akhbar, kalau nak buat kenyataan rasmi, biasanya oleh ketua Pemuda. Akhirnya, tradisi itu sedikit sebanyak menenggelamkan exco-exco Pemuda.
Jadi tahun ini, saya ambil pendekatan bekerja ala kabinet. Maknanya, selepas ini, exco Pemuda yang memegang portfolio masing-masing, dia akan keluarkan kenyataan sendiri bersesuaian dengan portfolionya. Dia akan bertindak dengan ruang dan bidang kuasa yang diberikan sebebas mungkin tanpa perlu terikat atau dibayangi oleh ketua Dewan Pemuda sendiri.
Akhirnya, akan dapat dilihat benar-benar Pemuda itu bekerja secara bersama. Beginilah saya rasa asas kekuatan sebuah organisasi.
Sebelum ini kenapa jadi begitu, ustaz?
Ia bukanlah dirancang, tetapi terjadi secara tidak langsung, kerana faktor ketua mungkin lebih menonjol, media tertumpu kepadanya. Kebetulan, kedua-dua ketua Pemuda sebelum ini terdiri daripada YB, ahli parlimen. Jadi media mesti ikut beliau. Secara tidak langsung, jadi (gejala) begitu.
Jadi, saya rasa (keadaan) itu perlu diubah, dengan saya tidak menganggap apa yang berlaku sebelum itu satu kesilapan, sebab ia berlaku secara tidak langsung.
Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub sebagai YB sebelum ini kelihatan agak menonjol, bagaimana ustaz (sebagai bukan wakil rakyat) hendak membuat perubahan?
Saya lihat itu satu cabaran bagi diri saya sendiri sehingga saya terpaksa membuat lonjakan dua kali ganda. Kalaupun tidak melebihi mereka, kalau boleh saya hendak duduk sebaris dan sebanding dengan mereka. Saya harus bekerja dua kali ganda lebih keras.
Insya Allah, saya dibantu oleh kumpulan yang cukup baik. Dalam mesyuarat Dewan Pemuda pertama semalam (15 Jun), ia cukup erat dan memberangsangkan. Saya boleh bekerja baik dengan mereka. Dalam sidang media pagi ini (16 Jun), saya bukan sendirian membuat kenyataan akhbar.
Sudah sekian lama Pemuda PAS dipimpin oleh bukan ulama, terakhir oleh Datuk Abu Bakar Chik. Ustaz melihat, adakah perkara ini menimbulkan masalah atau memberikan kelebihan (kepada Pemuda PAS)?
Saya lihat ini bukan satu kekangan atau masalah sebab walaupun saya berlatar belakang pengajian agama, tetapi penglibatan saya dalam Pemuda sejak zaman Datuk Mahfuz lagi. Jadi saya dapat didikan politik dan organisasi, sehinggalah berpindah kepada kepimpinan YB Salahuddin.
Bersama Mahfuz dua penggal, Salahuddin tiga penggal. Jadi, lima penggal saya belajar daripada mereka. Jadi, saya boleh mengimbangi latar belakang saya sebagai pelajar agama dengan kemahiran dan trend kerja mereka.
Sebab itu saya tidak rasa kekok atau janggal. Walaupun saya terima komen daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan cara saya berpakaian, mereka nampak saya berserban, berjubah...
Ustaz nampak perkara ini macam mana? (ketawa) Kelebihan ataupun apa?
(sambil ketawa) Ya, apabila orang mempertikaikan, secara tidak langsung mereka memberi perhatian kepada saya. Saya ingin sebut, kepimpinan bukan dinilai daripada cara berpakaian, tetapi pada karisma, pemikiran dan kemahiran bekerja.
Saya tidak akan menukar imej, sebab itulah diri saya. Saya tidak boleh jadi orang lain. Saya akan kekalkan imej itu. Saya percaya, kawan-kawan sedia memahaminya. Komentar-komentar itu saya anggap sebagai cabaran untuk saya buktikan bahawa saya bukanlah sebagaimana yang mereka sangka.
Dahulunya Mahfuz dan Salahuddin terkenal sebagai tokoh demonstrasi dalam isu-isu besar. Ustaz sebelum ini kelihatan kurang (terlibat). Adakah ustaz akan memainkan peranan yang sama?
Kita lihat pada kes, sebab tidak semua kes boleh diselesaikan dengan demonstrasi. Tambah-tambah lagi kita lihat, era kita ini adalah era maklumat, era engagement. Tidak semua isu perlu ditangani secara demonstrasi. Tetapi (terdapat) cara yang lebih sesuai, kita bawa ke meja rundingan, atau lebih sesuai dengan cara seperti berbincang, berdialog dan muzakarah.
Kita akan pilih isu-isu. Tetapi kalau kita kata tidak berdemonstrasi terus, itupun tidak wajar. Kadang-kadang kita perlukan umat Islam untuk menunjukkan sikap. Demonstrasi itu tunjuk perasaan, gerakan Islam ini perlu menunjukkan perasaan mereka dalam isu-isu tertentu.
Sebagai contoh, dalam isu penghinaan terhadap Nabi yang datang daripada pihak luar. Jadi, kita hendak bincang dengan siapa, hendak dialog dia siapa? Kalau isu seperti Sisters in Islam (yang dipertikaikan PAS), kita bersedia bertemu dan berdepan dengan mereka, dan kita berhujah untuk mencari kebenaran.
Dalam konteks sesama Pemuda Pakatan, adakah ruang-ruang ini akan dipertingkatkan lagi?
Ya, setakat ini hubungan kita dengan Pemuda Pakatan adalah baik. Sebelum muktamar lepas, sudah ada dua kali pertemuan secara rasmi. Dan bermula dari pertemuan itu, kita akan tubuhkan satu sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat secara rasmi supaya mudah untuk kita berinteraksi dan menangani isu-isu bersama.
Ia akan mengurangkan lagi jurang perbezaan. Walaupun kita tahu jurang perbedaan itu akan sentiasa wujud, tetapi kita harapkan, melalui sekretariat itu, kita akan dapat mewujudkan banyak suasana keberkesanan dalam Pakatan Rakyat.
Pendekatan terhadap pengundi bukan Melayu, bagaimana Dewan Pemuda melihat arah untuk menembusi (halangan) ini? Kita tahu usaha PAS sudah lama, terbaru melalui Kelab Penyokong PAS (KPP), tetapi bagaimana Pemuda PAS melihat isu ini?
Pendekatan kita dilihat semakin baik. Sebentar tadi pun saya dikunjungi Vincent Lee, orang kuat KPP yang datang ke pejabat, memberi input bagaimana hendak memperkasakan KPP serta bagaimanana Pemuda PAS harus bertindak.
Apa yang menarik dalam perbincangan itu, (ia) menyentuh bagaimana kita kena pergi lebih jauh, masuk (mengenali) dalam budaya bukan Muslim untuk lebih memahami jiwa dan cita rasa mereka.
Untuk menyampaikan dakwah, kita mesti memahami faktor-faktor itu. Kalau kita duduk jauh dan ada jurang antara kita dengan mereka, (keadaan) inilah yang menyulitkan. Dan mungkin perasaan curiga itu berpanjangan.
Dalam Islam, ada kaedah yang dikenali sebagai ahlul zimmah, (iaitu) golongan bukan Muslim yang berada bawah kerajaan Islam, (mereka) dilindungi, bahkan diberikan hak seperti hak orang Islam apabila mereka membayar jizyah. Jizyah itu maksudnya cukai per individu, cukai setiap kepala.
Cukai yang sedia ada ini tidak boleh dianggap sebagai jizyah?
Cukai apa?
Cukai pendapatan, cukai perniagaan, untuk memberi jaminan keselamatan dalam perniagaan dan ekonomi...
(Cukai sedia ada) itu konsepnya tidak sama. Cukai jizyah ini tidak memgambil kira soal pendapatan. Ia juga tidak mengambil kira soal tempoh, (dibayar) setahun sekali, macam zakat fitrah (bagi orang Islam).
Zakat ini, (sama ada) dia miskin atau kaya, apabila bernafas, lahir ke dunia, sebelum menjelang Syawal, dia mesti membayar zakat fitrah.
Kalau dia masih kecil, kalau masih tidak berdikari, maka walinya atau ayahnya (perlu membayar bagi pihaknya). Kalau untuk Muslim ada zakat fitrah, maka bukan Muslim, ada zakat cara mereka iaitu cukai jizyah.
Tujuannya untuk menunjukkan komitmen dan kebersamaan (mereka) dengan kerajaan (Islam). Apabila dia membayar (cukai) ini, dia dijaga keselamatannya. Perkara ini kita hendak beritahu kepada bukan Islam supaya mereka tidak berasa terancam untuk menyertai (perjuangan) Islam.
Apakah tidak akan kontroversi jika konsep ini diperkenalkan?
(Kontroversi) itu berkait soal (kegagalan) pendidikan, mereka tidak faham. Jadi harus difahamkan terlebih dahulu. Apabila kita memerintah, kita hendak buat cukai ini, kita hendak buat sistem kewangan Islam, (tetapi) nombor satu sekali, kita kena pergi kepada keadilan, kebajikan.
Jangan pergi dulu kepada soal cukai. Ia mesti didahului oleh pendidikan supaya mereka faham. Kedua, (laksanakan) kebajikan supaya mereka jinak, tenang. Selepas mereka jinak dan faham, insya Allah kita boleh laksanakan sistem keadilan itu.
Jadi, untuk bukan Muslim , saya lihat usaha memahamkan mereka ini perlu dipergiatkan, termasuklah dengan memahami budaya-budaya mereka. Kalau boleh kita hendak gerakkan selepas ini, lebih banyak terjemahan buku agama kepada bahasa Inggeris dan Cina.
Kempen politik sebelumnya yang dibuat Pemuda PAS misalnya menentang konsert, penggunaan alkohol dan budaya asing. Apakah ada pendekatan baru atau ustaz akan teruskan sahaja?
Pada dasarnya, kita teruskan. Dan kita akan kaji.
Soalan saya ini itimbulkan kerana ada reaksi dalam dan luar Pakatan yang agak negatif (terhadap pendekatan ini), akan meliarkan dan larikan orang (daripada PAS). Jadi, adakah...
Yang pertama, kita akan teruskan dasar itu. Sebab apa pun masalahnya, keadaannya, kita tetap tidak boleh berkompromi dengan kemaksiatan, kemungkaran, kerana itu sangat asas dalam Islam. Yang haram itu tetap haram hukumnya. Sementara yang halal itu tetap halal hukumnya.
Isunya adalah isu pendekatan, cara kita menangani isu itu. Untuk itu, kita akan kaji pendekatan yang telah kita bawa sebelum ini. Sejauh mana ia berkesan dan sejauh mana memberikan kesan negatif kepada parti dan perjuangan yang kita dukung ini.
Insya Allah, apabila kita melihat semula perkara itu, kita akan dapat melihat rumusannya bagaimana untuk bertindak selanjutnya. Tetapi pada dasarnya, untuk kita bersetuju dengan kemungkaran, bersetuju dengan segala tindakan yang bercanggah dengan Islam, (perkara) itu telah menjadi prinsip yang tidak boleh kita abaikan.
Dalam konteks ini, PAS sebagai gerakan Islam terlalu cepat atau aktif melarang tetapi alternatifnya tidak ada.
Saya akui faktor kelemahan dan kekurangan itu. Tetapi kita kena adil, sebab (PAS) ini hanyalah sebuah parti yang tidak ada keupayaan besar untuk menaja alternatif terhadap kemungkaran dan kemaksiatan.
Sebagai contoh, untuk menganjurkan satu konsert alternatif, kita memerlukan kos yang sangat tinggi. Untuk membikin filem-filem Islamik, bagi menggantikan kemunculan filem yang kotor dan tidak bermoral, kita memerlukan kos yang tinggi – untuk melatih atau membentuk pelakon yang baik. Sebab kalau kita ambil pelakon yang tidak baik, filem itu tidak laris dan diminati.
Jadi, di situ saya melihat kita perlukan kerajaan. Kita perlukan kerajaan dan islahkan kerajaan itu. Sebab itu kita sudah jumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kita mahu Jakim bertegas kepada agensi dan kementerian yang berkenaan, supaya mereka memastikan filem yang hendak disiarkan itu tidak bercanggah dengan norma-norma adat dan tatasusila orang Timur, atau lebih tepat lagi dengan syariah Islam.
Jadi, kalau mereka mendengar (pandangan PAS), cukuplah, tidak perlu kita wujudkan satu industri baru untuk menyaingi (yang sedia ada). Islam datang bukan membawa benda baru, tetapi memperbaiki apa yang telah ada.
Bagaimanana dengan usaha (memperkenalkan hiburan alternatif) di negeri-negeri Pakatan?
Ketiga-tiga negeri ini masih baru. Mereka masih berusaha menstabilkan kepimpinan dari aspek politik, pentadbiran dan seumpamanya. PAS dalam muktamar baru ini menyuarakan supaya menubuhkan skuad pemantau (negeri Pakatan), bahkan disebut dalam ucapan dasar presiden supaya negeri-negeri Pakatan Rakyat agar bertindak selari dengan syariah.
Apa pandangan ustaz terhadap kes Manohara Odelia Pinot?
Saya sudah membuat kenyataan dalam isu ini. Saya kata, kerajaan jangan biar ia menjadi macam isu Altantuya (Shaariibuu) pula selepas ini. Ia (kerajaan) mesti bertindak bijak sebab kes ini juga melibatkan golongan berprofil tinggi, melibatkan istana. Saya boleh komen setakat ini sahaja.
Bahagian pertama wawancara dengan Nasrudin Hassan.
Anggota polis yang beragama Islam tak sembahyang?
Demostrasi itu dikatakan akan diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat hari ini, namun sehingga kini tidak ada sebarang kelibat demonstrasi itu.
Polis yang berpakaian seragam dan preman memenuhi kedai-kedai dan perkarangan kedai di depan pejabat PAS itu.
Turut serta adalah beberapa wartawan dan jurugambar.
SiasahDaily
Shahrizat, pelawaan mu ditolak!
Semalam, Shahrizat dilaporkan berkata akan menghantar jemputan kepada Dewan Muslimat PAS untuk mengadakan perbincangan dalam isu-isu yang menyentuh penyatuan kaum Melayu-Islam di negara ini.
Katanya, langkah itu dibuat sebagai menyokong keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding tanpa syarat dengan kepimpinan PAS berhubung kerajaan perpaduan.
"Saya selaku ketua pergerakan Wanita Umno, akan mengutuskan jemputan kepada ketua Dewan Muslimat PAS untuk kami kaum wanita duduk berbincang bagaimana boleh menentukan penyatuan kaum Melayu Islam yang sedia terjalin di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Anwar Tidak Menolak Kemungkinan Kembali Ke Penjara Kerana Konspirasi Pendakwaan Fitnah
Perbicaraan atas tuduhan liwat terhadap Anwar akan bermula pada 1 Julai meskipun dua laporan perubatan membuktikan tidak ada tanda-tanda pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan diliwat sebagaimana yang didakwa beliau.
“Senario terburuk yang mungkin saya hadapi ialah mereka menolak permohonan ikat jamin saya dan segera menjatuhkan hukuman,” anwar dipetik berkata oleh agensi berita Peranchis, AFP.
Menurut Anwar, beliau menjangkakan bukti-bukti palsu akan dibentangkan di mahkamah oleh pendakawaan sekali lagi sebagaimana yang dilakukan pada perbicaraan 1998 dalam cubaan UMNO-Barisan Nasional menamatkan kareer politiknya.
“Itu adalah cara termudah bagi Umno untuk menghapuskan saya bagi menyelesaikan masalah politik mereka,” tambah beliau lagi.
Anwar, 61, secara konsisten menolak dakwaan yang dilemparkan ke atasnya oleh Saiful dan laporan perubatan Hospital Pusarawi dan Hospital Kuala Lumour yang disahkan oleh tiga pakar perubatan menguatkan hujah Anwar bahawa tuduhan itu satu lagi rekacipta dan konspirasi politik oleh pimpinan tertinggi UMNO.
“Kes ini tidak harus diteruskan apabila ia begitu jelas dilaporkan oleh pasukan doktor perubatan..yakni pakar perubatan bahawa tidak ada kesan (saiful) diliwat, jadi mengapa mereka tetap meneruskannya kecuali ia adalah menjadi satu konspirasi politik,” tambah beliau lagi.
Anwar berkata Parti Keadilan Rakyat akan mengatur langkah secara terancang dan aman untuk menarik perhatian rakyat terhadap cubaan UMNO-Barisan Nasional sekali lagi memperalatkan institusi-institusi negara untuk memenuhi agenda politik sempit mereka.
“Kita akan lawan dan saya juga kini lebih bersedia, tidak seperti 1998 kerana ketika itu ia berlaku secara mengejut dan tidak sesiapun menjangkakan rancangan jahat sedemikian dirancangkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar juga berkata beliau bersedia bersemuka di mahkamah dengan Mohd Saiful.
“Saya tiada masalah berhadapan dengannya. Isunya adalah beliau (Saiful) perlu bersedia dengan semua bukti yang menentang tuduhannya, terutamanya bukti laporan perubatan,” tambah beliau lagi.
Anwar berkata perbicaraan itu tidak akan memberi kesan kepada keutuhan Pakatan Rakyat sebagai gagasan berwibawa.
” Pakatan Rakyat bersedia menghadapi hakikat kemungkinan saya dipenjarakan dan sudahpun mengambil langkah yang sepatutnya,” tambah beliau.
Saiful membuat laporan polis kononnya beliau diliwat oleh Anwar beberapa hari selepas bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak.
Najib ketika itu sedang mengarahkan kempen untuk menumpaskan Anwar pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.
Najib menggunakan laporan polis itu sebagai modal politik namun rakyat menolak fitnah berkenaan. Anwar menang dengan majoriti besar di Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.
Meskipun tuduhan liwat oleh Saiful amat rapuh, Najib merestui tindakan Peguam Negara Gani Patail membawa pertuduhan terhadap Anwar ke mahkamah.
Anwar berkata dua laporan perubatan itu harus cukup untuk menyakinkan mana-mana pihak bahawa pertuduhan terhadapnya tidak berasas sama sekali.
PAS Umum Calon Manek Urai 26 Jun
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Nasir Daud berkata, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat pengumuman tersebut.
"Insya-Allah kita akan umumkan di kawasan DUN Manek Urai lama. Kita nantikan sahaja bila tiba masanya, PAS akan umumkan juga calonnya," kata Nasir.
Nasir berkata, senarai nama calon sedang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan peringkat negeri sebelum diperakukan oleh pimpinan tertinggi PAS pusat.
"Kita (PAS) telah panggil tujuh orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Harian PAS daripada 29 cawangan di kawasan Manek Urai. Setiap seorang daripada mereka dikehendaki menyenaraikan tiga nama calon yang dirasakan sesuai.
Nama-nama yang dipilih itu akan dinilai oleh jawatankuasa pemilihan PAS peringkat negeri. Ini cara kita (PAS) mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau juga menambah, calon yang bakal dipilih tidak semestinya orang tempatan.
"Yang penting dia (calon) boleh menang dan disukai rakyat. Pimpinan pusat akan mengutamakan faktor-faktor ini untuk memilih calon yang sesuai, " tambah beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.
Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis).
Beliau memenangi Dun Manek Urai buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 dan mengekalkannya untuk lima penggal berturut-turut.
DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang juga disandang oleh PAS.
TVA
Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin Kemuka Rayuan Walau Tanpa Hujah Bertulis Mahkamah Rayuan
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan esok permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Nizar berkata beliau terpaksa bertindak demikian walaupun panel hakim Mahkamah Rayuan belum mengemukakan hujah bertulis mereka dalam membuat keputusan itu bulan lalu.
Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop sebelum ini memberi jaminan untuk memberi hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang telah mengejutkan pelbagai pihak.
Menurut Nizar, beliau hairan mengapa hakim berkenaan melewat-lewatkan penyerahan ulasan bertulis sedangkan ketiga-ketiga mereka hanya mengambil masa 5 minit untuk menyampaikan keputusan secara lisan.
‘ Seolah-olah ada unsur ketidakadilan dalam aspek ini kerana rayuan Zambry mengambil masa 24 jam sahaja untuk dilaksanakan tetapi hal ini pula masih tertangguh’, kata Nizar yang dilihat sebagai Menteri Besar yang sah dilantik dengan mandate rakyat Perak.
Kerenah hakim terbabit menjejaskan usaha Nizar merayu untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu dengan memberikan alasan-alasan yang setimpal.
Nizar bersetuju dengan kenyataan Ketua hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi menyelar hakim yang melengah-lengahkan keputusan bertulis mereka.
Zaki juga menggesa hakim membuat keputusan dengan telus dan berdasarkan kepada bukti serta undang-undang termaktub.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham turut mendesak hakim terbabit untuk menyegerakan hujah bertulis mereka bagi memberi keadilan kepada pihak yang mempertikai keputusan itu.
“ Setiap keputusan hakim perlu disertai dengan fakta yang menyatakan sebab ia di ambil tetapi kegagalan mereka ini member ulasan bertulis adalah tidak mengikut sistem yang betul”, ujar Ngeh.
TVA
10 Ahli Parlimen PAS Tolak Kerajaan Perpaduan dan Berpegang Teguh Keputusan Muktamar
Jurucakap kumpulan itu, Dr Hatta Ramli (Pas-Kubang Kerian) berkata beliau dan rakan-rakannya menyokong pendirian Nik Aziz mahukan ahli-ahli berpegang kepada keputusan muktamar PAS.
“kami ahli-ahli parlimen pas ingin menyatakan kami berpegang teguh dengan keputusan muktamar pas yang sebulah suara mahu pas memperkukuh Pakatan rakyat dan menolak sebarang kerjsama dengan Umno-Barisan Nasional termasuk isu Kerajaan Perpaduan yang heboh dan panas diperkatakan,” tegas beliau.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, persoalan kerajaan Perpaduan ini tidak pernah menjadi agenda Pas seperti yang disebutkan oleh wakil rakyat Pas semalam di Dewan Rakyat," kata Dr Hatta.
Sepuluh Ahli Parlimen terbabit menandatangani kenyataan akhbar yang di bacakan kepada media di Parlimen hari ini.
Wawancara MKini Bersama Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasrudin Hassan
Berikut sedutan wawancara bahagian pertama Malaysiakini dengan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.
Bagaimana ustaz menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan pemimpin yang menonjol dalam Pakatan Rakyat?
Beliau salah seorang tokoh politik yang dihormati dan mencipta nama, terutamanya selepas (gelombang) Reformasi (selepas dipecat September, 1998). Walaupun ada pro dan kontra terhadap keperibadian dan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin, tetapi mahu tidak mahu kita harus akui, beliau mempunyai kredibiliti tertentu untuk dilantik dan dipilih sebagai ketua pembangkang.
Peranan yang paling besar perlu beliau mainkan adalah memastikan parti-parti dalam Pakatan berkembang dan menyaingi BN – itu memang menjadi harapan umum dan harapan rakyat keseluruhannya.
Dengan masalah peribadinya? Kesnya akan didengar di mahkamah awal bulan depan. Adakah ini akan menggugat kerjasama dalam Pakatan?
Setakat ini, kita melihat dari sudut momentum rakyat sejak dizalimi pada era awal reformasi, kes (liwat) yang dialami ini tidak akan menjejaskan kredibiliti beliau.
Sebab dapat kita lihat, bahawa penganiayaan dan kezaliman Umno-BN itu lebih ke depan. Orang tidak fokus apa yang dipolemikkan terhadap peribadi Datuk Seri Anwar, tetapi orang akan melihat kepada Umno dan BN yang bertindak ke atas Anwar.
Jadi dalam isu ini, bila-bila pun, orang akan pergi ke (kesimpulan) situ. Sehingga ada ungkapan, oleh kerana terlalu zalim dan jahatnya Umno dan BN ini, setiap satu atau dua kebaikannya akan tenggelam begitu sahaja.
Kebaikannya (Umno-BN) kita tidak nafikan (sebagai) satu kebaikan. Tetapi ia akan tenggelam kerana begitu besarnya kezaliman yang dilakukan (Umno-BN) sebelum ini.
Jika beliau didapati bersalah, apabila beliau tidak dapat bersama Pakatan? Adakah ia menggugat kerjasama dalam Pakatan? Orang melihat DAP dan PAS sangat jauh ideologinya, berbeza dengan Anwar yang dilihat berada tengah-tengah. Jadi bagaimana Pakatan dalam situasi seperti itu?
Kalau kita lihat hari ini, sistem kehakiman itu sendiri sering dipertikai. Kalau kita lihat dalam keputusan mahkamah yang melibatkan (kemelut politik) negeri Perak, misalnya, juga gagal diterima secara bulat oleh rakyat. Jadi, apa pun yang dilakukan Umno dan BN sekarang ini tidak menjadi satu kebaikan atau keuntungan bagi mereka.
Takdir, katakanlah, dengan saya menyebut semoga dijauhkan Allah (perkara ini), semoga tidak jadi begitu. Takdir, katakanlah, mahkamah mensabitkan kesalahan (terhadap Anwar) sekalipun, saya rasa sukar untuk diterima oleh rakyat. Kerana ketelusan institusi kehakiman gagal dipulihkan kerajaan Umno-BN.
Sebab itu, tuntutan kita supaya mereka memulihkan institusi kehakiman dan badan-badan lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seumpamanya.
Inilah isu pokoknya. Jika di situ (pemulihan institusi) tidak selesai, selama-lamanya orang melihat sama ada Datuk Seri Anwar, atau sesiapa pun, hanya mangsa kepada kezaliman Umno dan BN.
Dulu Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri sebelumnya, cuba melakukan reformasi dalam sebahagian bidang ini. Bagaimana ustaz melihatnya?
Saya melihat apa yang dilakukan Pak Lah tidak sampai. Dan (Datuk Seri) Najib (Razak) dilihat tidak berjaya meneruskannya. Tambahan, Najib sendiri diselubungi pelbagai fitnah, dakwaan (negatif) atas dirinya yang gagal dibersihkannya.
Kalau dirinya sebagai perdana menteri dipertikaikan integritinya, bagaimanana institusi dan kementerian di bawah kepimpinannya dilihat mempunyai integriti? Walaupun ia (reformasi) pernah dicuba pada zaman Pak Lah sebelum itu, usaha Pak Lah saya lihat tidak banyak tercapai.
Dengan gambaran negatif yang diberikan terhadap Umno-BN bawah kepimpinan Najib, bagaimana konteks idea muzakarah, dialog dengan Umno? Secara prinsipnya, bagaimana ustaz melihat isu ini?
Ia berasaskan prinsip dakwah. Oleh kerana kita (PAS) adalah gerakan Islam, kita sentiasa menganggap diri kita pendakwah untuk menyampaikan risalah kepada sesiapa sahaja, sekaligus Umno dan BN yang kita akui sebuah parti atau kerajaan yang salah dan zalim. Atau lebih tepat, bertentangan dengan dasar Islam itu sendiri.
Sejahat mana pun mereka, kita tidak boleh meninggalkan mereka (dalam dakwah). Kita mesti sampaikan dakwah ini hingga ke depan pintu rumah mereka. Soal mereka hendak terima atau tidak, itu soal hidayah daripada Tuhan.
Tetapi tugas dan tanggungjawab kita (PAS) menyampaikan risalah Islam kepada mereka, beritahu dasar perjuangan kita kepada mereka dan beritahu apa yang kita mahu memberi sumbangan kepada pembangunan negara, ekonomi, politik, bahkan sosial dan agama itu sendiri.
Kita diperintahkan oleh Allah menyampaikan dakwah Islam secara bijaksana dengan mengambil kira kaedah, kepelbagaian dan seumpamanya. Kedua, kita juga menyampaikan nasihat-nasihat yang tidak jemu kita berikan melalui khutbah, kuliah dan memorandum. Begitu juga dialog, debat atau apa saja ruang yang kita boleh sampaikan risalah kita.
Misalnya bagaimana Allah menghantar Nabi Musa berdepan dengan Firaun, di depan raja yang zalim, kenapa kita berhalangan mengambil sunnah yang sama untuk membawa risalah ini kepada mereka (Umno)?
Sebaik-baik kalimah adalah di depan sultan yang zalim. Sampai ke depan pintu pemerintah yang zalim kita mesti pergi. Jadi, saya kira tidak menjadi halangan untuk kita berunding, berbincang, berdialog (dengan Umno).
Cuma saya hendak menghapuskan persepsi yang menyatakan rundingan itu bertujuan menyertai (Umno – seperti isu yang berbangkit saat ini). Berunding tidak bermakna menyertai. Berunding, berbincang atau berdialog – itu bermaksud mengajak mereka memahami dasar perjuangan.
(Pandangan) itu secara prinsipnya, ustaz. Selain ceramah, akhbar, Parlimen, kita lihat jarang sekali diadakan dialog misalnya antara Dewan Pemuda PAS dan Pemuda Umno. Jadi, adakah ustaz akan menerokai bidang-bidang ini?
Ya, insya Allah, saya akan melibatkan (diri) lebih aktif. Ini yang saya kata, kita akan melibatkan ruang-ruang baru, usaha-usaha baru yang kita akan lakukan.
PAS selama ini memang mengambil sikap (mahu) engagement dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun ini terhadap bukan Islam dan NGO. Kenapa bagi Umno dan BN, saya lihat amat terkebelakang? Bagaimana hendak menggalakkan dakwah kalau pertemuan pun tidak ada? Mungkin orang mempertikaikan kalau ada rundingan tertutup (PAS-Umno), timbul misteri, ragu-ragu dalam dan luar parti, tetapi forum terbuka ini...
Ya, saya melihat (forum terbuka) itu juga satu keperluan sekarang. Cuma kita sedang memikirkan mekanismenya. Di sana kita melihat kekangan dan manipulasi media. Apabila kita buat terbuka, ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil pendekatan memanipulai isu atau perbincangan tersebut. Kita akan cuba melihat dan kita akan mula bergerak ke arah itu.
Berbalik kepada isu kerajaan perpaduan, dari segi prinsipnya, ustaz secara peribadi melihatnya bagaimana?
Pada 11 Jun yang lalu, PAS pusat telah mengadakan mesyuarat. Dan kita telah mengambil satu persefahaman atau keputusan untuk menghentikan polemik isu kerajaan perpaduan sehinggalah satu muzakarah politik diadakan di peringkat parti.
Maknanya, satu mekanisme yang diambil oleh parti untuk menyelesaikan masalah atau untuk mengambil tindakan lanjut ekoran idea yang dilontarkan Presiden (PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Muzakarah itu (nanti) akan dibincang secara lumat dari pelbagai aspek - dari segi hukumnya (kerajaan perpaduan), kesesuaian politik dan sebagainya.
Selepas itu, barulah presiden akan membuat pengisytiharan, apa langkah (PAS) seterusnya. Buat masa ini, (kerajaan perpaduan) hanyalah gagasan idea, pemikiran atau ijtihad politik Datuk Seri presiden dan ia terbuka kepada perbincangan.
Isu ini akan terus dihadapkan kepada PAS dan Dewan Pemuda mesti menjawab banyak kali persoalan yang sama. Barangkali juga isu yang sama akan diketengahkan pada pilihanraya kecil Manek Urai. Ustaz melihat bagaimana, perkara ini diteruskan atau terus berkata tidak ada?
Apabila ia telah menjadi keputusan parti di peringkat pusat (selepas muzakarah), maka seluruh kepimpinan (di semua peringkat) seharusnya mendukung keputusan yang sama. Dan saya yakin, kalau semua mendukung keputusan yang sama dan serupa, maka isu ini boleh diselesaikan.
Tinggal lagi, kita tidak bertanggungjawab dengan mainan media musuh yang mewakili Umno dan BN, sebagai contoh, yang pastinya mengambil seluruh ruang dan kesempatan memainkan isu ini.
Tetapi isu ini juga didorong oleh (kenyataan) beberapa pimpinan parti (PAS) yang...
Itulah yang saya kata, jika sekiranya seluruh kepimpinan itu mendukung keputusan yang dicapai itu, insya Allah segalanya selesai.
Jadi seolah-olah ada pergeseren yang terbuka (di kalangan pemimpin atasan PAS)?
Saya sebut tadi, (kerajaan perpaduan) ini adalah gagasan pemikiran yang terbuka kepada perbahasan. Saya tidak anggap (perbezaan) itu satu pergeseran, itulah wacana perbahasan yang kita maksudkan tadi.
Cuma, mungkin perbahasan itu perbahasan yang hangat dan terbuka, bukan diprogramkan secara khusus dalam majlis. Ada perbahasan yang kita khususkan, ada formatnya, ada skemanya. Bahkan ada perbahasan terbuka di kedai kopi, Dewan Rakyat dan seumpamanya.
Ahli-ahli dan pemimpin Dewan Pemuda PAS sendiri melihat bagaimana (isu kerajaan perpaduan)?
Saya positif. Saya melihat apabila wujudnya perbahasan begitu, ia membentuk kematangan. Selagi kita memahami perbahasan merupakan percambahan fikiran, bukan dibaca sebagai satu perbalahan dan pergeseran. Sebab itu, kita kena berlapang dada, bertolak ansur dan tenang dalam mengurus apa jua polemik, barulah kita matang.
Tidak timbul kegelisahan di kalangan ahli-ahli PAS sendiri?
Ahli PAS, saya yakin, dalam tempoh yang panjang bersama PAS, mereka dididik untuk mendengar kata pemimpin. Mereka dididik untuk mengikut kata pemimpin. Mungkin selepas muzakarah politik (dalam PAS) nanti, apabila pemimpin memberi kata putus, saya bercaya ia boleh selesai.
(Kerjasama) ini bukan baru (kepada PAS), sudah banyak kali. Sebelum ini berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudian Barisan Alternatif. (Kerjasama) ini semua siri-siri ijtihad politik. Apabila berlaku ijtihad politik, sedikit sebanyak berlakulah pergolakan atau perbahasan terbuka.
Di situ, pihak yang tidak bertanggungjawab mensensasikan dan melaga-lagakan tokoh-tokoh tertentu, bergolak buat seketika. Tetapi apabila dibuat keputusan dalam muktamar, saya percaya ahli akan bertaut kembali.
Maksudnya muqabalah (dengan Umno) dan isu kerajaan perpaduan ini tidak akan memecahkan parti?
Tidak, walaupun ia hangat dari segi perbahasan. Jika sekiranya pemimpin bijak dan tepat mengambil tindakan, saya nampak ia tidak ada masalah.
Di kalangan pemimpin Pakatan pula bagaimana? Sebabnya, kalau ustaz beri contoh APU, ia tidak kekal lama, begitu juga Barisan Alternatif. Apabila timbul isu ini, apakah Pakatan akan retak?
Saya tak bolehlah nak jawab bagi pihak orang lain. Tetapi saya percaya, melalui sekretariat (Pakatan) yang akan kita bentuk nanti, kita boleh memberikan penjelasan dan duduk bersama untuk menyelesaikan isu berbangkit ini secara harmoni.
Saya lihat apa pun yang berlaku, kuncinya salah faham, atau kegagalan kita menyampaikan maklumat dengan tepat dan (kegagalan) menyelesaikan isu secara harmoni. Jadi, kalau kita boleh pulihkan isu, insya Allah banyak masalah boleh selesai.
Jadi, banyak masalah dalam Pakatan selama setahun ini, sebahagian masalah salah faham?
Itu antara faktor utama, sebab kita tidak ada satu sekretariat yang betul-betul menyelaraskan ketiga-tiga (parti) ini. Sebab itu, dalam muktamar ini, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menimbulkan supaya diwujudkan sekretariat khas. Sebelum ini ada, tetapi tidak berkala. Cuma di peringkat majlis presiden (Pakatan).
malaysiakini
Kami menyokong penuh ketegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat - Ahli Parlimen PAS
Demikian kenyataan yang dibacakan Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai mwakili ahli-ahli Parlimen di Lobi Dewan Rakyat petang tadi.
Ia selaras seperti yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Abdul Halim Abdul Rahman semasa berucap di Dewan Rakyat semalam (17 Jun 2009) sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2008, ujar Dr Hatta.
"Kami juga menyokong penuh ketegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menangani persoalan ini.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh kalangan ahli-ahli Parlimen PAS.
HarakahDaily
Hishamuddin “bohong besar” mengenai DUN Perak - Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat itu berkata hakikat ialah polis bertindak zalim terhadap Speaker V.Sivakumar dan adun-adun Pakatan atas arahan Barisan Nasional.
Menurut Nizar, Hishammudin dilihat cuba memutar-belitkan hal sebenar. Rakaman video, menurut Nizar membuktikan kejadian sebenar berlaku.
Sehubungan itu beliau turut menempelak Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hasan kerana enggan bertangunggjawab di atas perlakuan liar anggota polis pada siding DUN itu.
‘ Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab terhadap kesalahan ini dan perlu meletakkan jawatan kerana anggota di bawah bidang kuasa beliau melanggar undang-undang dengan mengasari mereka yang tidak bersalah’.
Nizar percaya tindakan polis adalah dirancang dengan teliti kerana beratus-ratus orang anggota polis telah ditugaskan berkawal diluar dewan ketika sesi DUN berlangsung.
Pendapat beliau turut disokong Pengerusi DAP Perak,Datuk Ngeh Koo Ham yang berkata begitu ramai anggota polis merempuh masuk ke dewan walaupun tiada sebarang percakaran fizikal antara ahli dewan negeri ketika itu.
‘Sebelum mereka masuk hanya berlaku bantahan oral dari ADUN Pakatan Rakyat tetapi polis telah bertindak atas arahan speaker Barisan Nasional yang tidak sah untuk menggunakan kekerasan ke atas Sivakumar’.
Ngeh kecewa dengan Hishamudin kerana “individu yang sepatutunya mendukung prinsip-prinsip keadilan sebagai Menteri Dalam Negeri meilih untuk melakukan pembohongan di Parlimen.”
Tutup pintu 'Kerajaan Perpaduan' jika hanya dengan Umno
Jika berlaku penglibatan PAS-Umno itu merupakan 'campuran' dan bukan 'perpaduan' sebagaimana gagasan idea yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib berkata demikian pada sidang medianya di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Jalan Sultan Omar, dekat sini, semalam.
"PAS dengan Umno tidak timbul langsung dalam soal 'Kerajaan Perpaduan' dan jika hanya dengan PAS-Umno tidak perlu kita (PAS) heboh-hebohkan.
"Tidak berlaku 'perpaduan' jika hanya dengan Umno-PAS. Saya rasa tidak ada orang PAS yang berfikir begitu (gabung PAS-Umno) sahaja.
"Presiden PAS pun tidak bercakap begitu (PAS-Umno). Jika PAS bergabung dengan Umno pun tidak jadi Kerajaan Perpaduan lagi," jelasnya.
Katanya, PAS sekali-kali tidak akan bergabung dengan Umno sahaja sebagaimana yang pernah dilalui oleh parti itu suatu ketika dahulu.
Menurutnya, kekeliruan yang timbul mungkin kefahaman terhadap konsep ?Kerajaan Perpaduan? yang disama-ertikan dengan gabungan PAS-Umno.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menjelaskan hanya Presiden PAS (Ustaz Hadi) yang layak untuk menjelaskan kekeliruan serta kekusutan berkait dengan isu tersebut.
Namun begitu, katanya sebahagian dari konsep Kerajan Perpaduan itu adalah melibatkan semua parti-parti politik di negara ini dan kerajaan tanpa pembangkang.
Menurutnya, kerajaan perpaduan tersebut mestilah dipandukan oleh Islam sebagaimana tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 iaitu 'Islam Memimpin Perubahan'.
"Jika semu orang (parti) menerima Islam Memimpin Perubahan itu. Sekarang ini yang mendepani kerja-kerja Islam dan perjuangan Islam ialah PAS. Jadi PAS yang akan memimpin 'Kerajaan Perpaduan'.
"Jika semua orang setuju, DAP setuju, PKR setuju, Umno setuju, MCA setuju, MIC setuju, parti-parti di Sabah, Serawak setuju dan semua setuju. Jadilah Kerajaan Perpaduan yang berlandaskan kepada Islam," tegasnya.
Maka, kata Dato' Harun kerajaan perpaduan tanpa pembangkang akan wujud serta tidak ada siapa lagi yang dianiaya dan dizalimi.
Menurutnya, jika berlaku sebarang perubahan kerajaan, badan kehakiman, suruhanjaya pilihan raya (SPR), perundangan, dasar ekonomi dan dasar luar negara sekali pun mesti dipandu dengan Islam.
Justeru itu, katanya isu kerajaan perpaduan merupakan satu saranan menarik pernah dikemukakan oleh PAS dan semua parti-parti lain serta rakyat Malaysia harus berfikir
HarakahDaily
Anwar Namakan Najib, Gani Patail dan Musa Hassan Sebagai Perekacipta Tuduhan Liwat
Beliau turut menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail sebagai terbabit langsung dalam konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan mendalangi pertuduhan liwat itu.
Dalam mengemukakan 98 hujah itu, Anwar menegaskan pertuduhan terhadapnya menyalahguna proses mahkamah atas empat sebab utama :
1- Pertuduhan itu adalah konspirasi politik
2- Pertuduhan itu mencabuli hak beliau dibawah perlembagaan
3- Pendakwaan yang dilakukan adalah berniat jahat tetapi diteruskan walaupun ada keterangan pakar-pakar menafikan kejadian liwat dan
4- kegagalan meneruskan pendakwaan terhadap Saiful di Mahkamah Syariah.
Peguam Anwar Sivarasa Rasiah dan Amer Hamzah hari ini merujuk kepada laporan perubatan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang merumuskan tidak ada bukti Saiful diliwat.
Laporan awal oleh doktor Pusat Perubatan Pusrawi juga membuat rumusan sedemikian dan disertakan dalam affidavit Anwar memohon mahkamah membatalkan pertuduhan itu.
Dalam affidavit itu, Anwar berkata Perdana Menteri Najib Razak turut memainkan peranan di dalam konspirasi kes liwat terkini kerana menganggap Anwar sebagai ancaman utama kepada beliau.
“Lantaran itu, pertuduhan yang sengaja diada- adakan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu konspirasi untuk memastikan agar saya tidak menggugat kerjaya politik Najib,” kata Anwar dalam affidavit itu.
Anwar juga mengingatkan bahawa Najib telah menafikan pernah berjumpa Saiful tetapi “akhirnya mengaku ada menemui Saiful sebelum beliau membuat laporan palsu terhadap saya.”
“Mengapakan Saiful tidak terus membuat laporan polis serta merta sekiranya benar dia telah diliwat sepertimana yang didakwa? Apakah perlunya untuk beliau berjumpa dengan Najib,” tegas Anwar.
“Saya menegaskan bahawa Najib telah terlibat dalam usaha membuat laporan palsu terhadap saya,” tambah Anwar.
Anwar juga berkata kes liwat terhadapnya kali ini sekali lagi membabitkan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan yang memainkan peranan penting dalam memalsukan keterangan terhadapnya dalam kes-kes 1988 dan insiden mata lebam.
“Gani Patil dan Musa Hassan terlibat dan merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk menyediakan laporan polis palsu… berhubung penangkapan saya” pada tahun 1988 kata Anwar dalam afidavit itu.
Kedua-dua mereka juga terbabit dalam konspirasi untuk menyediakan laporan perubatan yang palsu oleh seorang doktor yang tidak pernah memeriksa Anwar dalam insiden mata lebam Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu Rahim Nor.
“Saya menegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu taktik untuk memastikan saya akan dipenjarakan atas kesalahan yang tidak saya lakukan dan juga untuk menutup kesalahan mereka (Gani dan Musa) sepertimana yang saya dedahkan,’ kata Anwar.
“Kedua- dua mereka tahu bahawa saya telah memperolehi maklumat mengenai salah laku mereka dan cara terbaik untuk mereka mengalih perhatian rakyat dan menutup kesalahan mereka ialah dengan sekali lagi mencipta pertuduhan baru dan mendakwa saya,” kata Anwar.
Anwar berkata tindakan yang diambil oleh Gani dan Musa mirip dengan perlakuan mereka dalam kes-kes 1998.
“Sejak awal (1998), apabila saya dituduh di Mahkamah secara mala fide (niat jahat), terdapat percubaan dan tindakan memalsukan keterangan terhadap saya dengan memperalatkan institusi kerajaan seperti Polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kimia dan lain-lain,” kata Anwar dalam afadivitnya itu.
Dalam kes rasuahnya, Anwar berkata sampel darahnya dicuri untuk ujian DNA oleh pegawai polis Mohd Rodwan Mohd Yusof untuk “satu penipuan yang nyata.”
Dalam kes liwat, Anwar berkata pihak polis dan pendakwaan jelas menggunakan manipulasi dan tipu-helah untuk memperolehi keterangan palsu daripada pengadu Azizah Abu Bakar yang banyak memberi kenyataan bercanggah.
Pembohonan oleh Azizah akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menerima rayuan Anwar dan membebaskan dari penjara pada tahun September 2004.
Anwar menguatkan hujahnya lagi dengan merujuk kepada cubaan Peguam Negara Gani Patail untuk memeras kenyataan palsu daripada R.Nallakarupan dan penderaan oleh polis terhadap Sukma Dermawan dan Munawar Anees.
Beliau berkata afadivitnya jelas menghuraikan bukti bahawa pendakwaan terbaru terhadapnya adalah pendakwaan terhadap saya dalam kes terkini” berniat jahat dan penyalahgunaan proses undang-undang yang ketara pada peringkat tertinggi.
TVA
Ustaz Nasharudin Tidak Perlu Letak Jawatan - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Harun Taib
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan
"Saya tidak nampak apa-apa kesalahan besar yang dilakukan sehingga kini," kata Ustaz Harun apabila dihubungi semalam.
Oleh itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berpendapat, tidak perlu Ustaz Nasharudin meletakkan apa-apa jawatan samada sebagai Timbalan Presiden ataupun Ahli Parlimen Bachok.
Ustaz Nasharudin menyandang semula jawatan Timbalan Presiden setelah mengalahkan dua pencabarnya, Dato’ Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS Ke 55 di Shah Alam dua minggu lalu.
Manakala Ustaz Harun kembali memimpin Dewan Ulama’ PAS Pusat pada Muktamar yang sama setelah melepaskan jawatannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang Nasharudin dua tahun lalu.
BuletinOnline
GAPENA Sokong BI Jadi Syarat Lulus SPM Dengan Syarat PPSMI Dimansuhkan
Katanya syaratsyarat tersebut perlu dipatuhi sebelum kerajaan meluluskan usul berkenaan bagi mengelak situasi yang sama seperti isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang banyak menimbulkan masalah terutama kepada pelajar luar bandar.
"Kita meletakkan syarat supaya pada kali ini kerajaan tidak tergopoh-gapah untuk melaksanakan usul ini sebagaimana yang terjadi semasa PPMSI dilaksanakan dahulu dan jika kerajaan menolak syarat tersebut kami akan tentang usul ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, antara syarat itu ialah Gapena mahu kerajaan memansuhkan PPSMI, mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua peringkat pembelajaran serta memastikan tenaga pengajar Bahasa Inggeris terlatih mencukupi serta bersedia berkhidmat di luar bandar.
"Kerajaan juga perlu memastikan prasarana dan alat bantuan mengajar bagi pelaksanaan usul ini mencukupi khususnya untuk sekolah di kawasan luar bandar, membatalkan syarat lulus MUET untuk memasuki Pusat Pengajian Tinggi dan memasukkan mata pelajaran kesusasteraan Melayu dan Sejarah dalam kurikulum sekolah," kata Zainal Abidin.
"Apa yang kami bimbang, pelajar luar bandar tidak mendapat kemudahan yang sama sperti pelajar di bandar kerana wujud trend sebilangan guru yang tidak mahu berkhidmat di luar bandar seperti di pedalaman atau perkampungan masyarakat Orang Asli."
Beliau menyokong cadangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya guru-guru yang telah bersara diambil semula untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan.
TVA
Kereta Lim Kit Siang Kena Sabotaj
Yang terbaru, semalam, Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa keretanya telah disabotaj dengan seseorang telah memancitkan tayarnya.
Tayar MPV Honda CRV milik ahli parlimen Ipoh Timur itu telah sengaja di pancitkan dengan jarum ketika diletakkan di ruang parkir bangunan parlimen.
Lim telah membangkitkan perkara tersebut dalam sesi soalan siding Dewan Rakyat semalam.
”Bagaimana perbuatan sabotaj boleh berlaku di kawasan bangunan Parlimen?,”soalnya.
Katanya kejadian tersebut mula disedari beliau ketika memandu keluar untuk makan tengahari sekitar jam 1.15 petang.
”Bila saya keluar makan tengahari, Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Pui, yang memandu kereta saya telah memberitahu kereta saya tak stabil,
”apabila sampai ditempat makan, saya memeriksa tayar kereta, saya dapati ia telah pancit,”katanya.
Katanya, selepas mengisi angin tayar tersebut, beliau meletakkan keetanya di ruang parkir dan masuk semula untuk menghadiri sidang.
Namun katanya, apabila beliau memandu pulang pada jam 4 petang beliau mendapati tayar kiri belakang keretanya telah kempis semula.
Kemudian, katanya, beliau menghantar keretanya ke kedai tayar berhampiran untuk diperiksa.
”Ada kesan jarum industri pada tayar tersebut, maknanya seseorang telah mencucuk tayar tersebut,
”amat memalukan, tiada lagi jaminan keselamatan dalam kawasan bangunan Parlimen, satu sejarah kepada Malaysia,”katanya.
BuletinOnline