Wednesday, October 20, 2010

UMNO-BN rancang salur RM75 billion dana KWSP dalam syarikat kroni

KUALA LUMPUR 20 Okt - Pengumuman Perdana Menteri membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meningkatkan pelaburan luar negaranya sehingga mencecah 20 peratus didakwa merupakan perancangan Umno-Barisan Nasional untuk menyalur keluar dana milik rakyat berjumlah RM75 bilion ke dalam sebuah syarikat misteri milik kerajaan yang disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE).

Sehingga kini Datuk Seri Najib Razak di dalam pembentangan Belanjawan 2011 Jumaat lalu gagal mendedahkan kepada umum identiti syarikat terbabit atau kaunter saham syarikat yang bakal menerima suntikan besar dari dana KWSP lantas menimbul kesangsian bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan licik Umno-Barisan Nasional untuk 'melarikan' aset negara.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail adalah suatu yang tidak masuk akal kerana dana berjumlah RM75 bilion itu akan digunakan untuk pelaburan yang tidak diketahui porfolionya dengan tepat tetapi cuma dikenali sebagai 'foreign portfolio' (portfolio asing).

"Kita tidak tahu portfolio yang mana tapi apa yang saya jangkakan ianya mempunyai kaitan dengan Bursa Saham New York di mana kerajaan mempunyai satu syarikat milik kerajaan yang tersenarai dalam bursa tersebut tetapi sehingga kini syarikat tersebut adalah misteri yang belum terjawab.

"Kita bimbang, dana KWSP akan disuntik ke dalam syarikat tersebut bagi menyelamatkannya kerana jika syarikat itu tidak mempunyai daya tahan maka kerajaan terpaksa menanggung denda yang dikenakan terhadapnya oleh Bursa Saham New York. Saya bimbang sudah wujud saluran yang disediakan di Bursa Saham New York dan pengumuman Najib sebagai persediaan untuk mengalirkan wang milik rakyat kepada syarikat misteri tersebut.

"Saya jangka duit KWSP ini akan digunakan dalam suntikan modal bagi mempertahankan syarikat kaitan kroni itu untuk terus disenaraikan dalam bursa tersebut," dedah Azan kepada Suara Keadilan.

Dalam pada itu, beliau juga turut mempertikaikan dasar kerajaan yang memperbesarkan peranan portfolio asing sedangkan Najib dalam pembentangan bajet kali ini menyatakan kerajaan mahu menggalakkan pelaburan swasta atau pelaburan dalam negara.

Tindakan itu katanya bercanggah dengan hasrat untuk mendaya kembali pelaburan swasta bagi mencapai ekonomi negara berpendapatan tinggi.

Apa yang membimbangkan kata Azan lagi, di samping perbelanjaan defisit yang menokok, hutang negara juga meningkat 18 peratus daripada RM378 bilion pada 2009 kepada RM441 bilion tahun ini.

"Daripada jumlah tersebut, kerajaan memperuntukan 5 peratus daripada belanjawan tersebut untuk melunaskan hutang, bermakna daripada RM212 bilion hanya RM10 bilion untuk tujuan pembayaran hutang.

"Ini bermakna daripada RM441 bilion, kita membayar hutang negara kurang daripada 2 peratus dan ini menunjukkan pengurusan hutang yang begitu lemah sekali.

"Keputusan ini adalah tidak munasabah sama sekali apabila kerajaan mencadangkan satu rang undang-undang perbekalan yang bersifat melunaskan hutang negara serendah 2-3 peratus sahaja.

"Sedangkan pada masa yang sama, kerajaan sanggup menggunakan wang KWSP untuk meningkat pelaburan di luar negara daripada 7 peratus kepada 20 peratus," tegas beliau.

Tambah Azan sikap ini menunjukkan kerajaan lebih rela menggunakan dana awam untuk melabur di luar negara daripada melunaskan hutang.

Azan juga menjelaskan hutang negara terdiri daripada empat kategori akaun iaitu penyata hutang awam luar negara, penyata hutang awam dalam negara, penyata jaminan dalam negara serta penyata jaminan luar negara.

oleh Fazli Othman SK

Galas : 13 bakal bertanding?

GUA MUSANG – Sehingga semalam, 13 borang pencalonan telah dijual bagi Pilihan Raya Kecil Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, daripada jumlah itu, masing-masing satu dibeli oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas manakala selebihnya dibeli oleh individu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada individu yang membeli borang pencalonan tersebut turut menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 4 November ini.

“Sehingga kini, 13 borang pencalonan sudah dibeli. Dari BN pun ada ambil borang dan dari Pas pun ada. Ada juga individu lain yang turut membeli borang. Tetapi kita tak tahu mereka itu daripada mana.

“Setakat ini persiapan bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas berjalan lancar dengan membabitkan 303 kakitangan SPR,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi taklimat kepada petugas pilihan raya dan parti bertanding, di sini, semalam.

Katanya, SPR juga akan menggunakan dua helikopter untuk mengangkut peti undi di kawasan yang terpencil seperti di Lojing.

“Sebanyak 13 pusat pengundian disediakan bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas dan daripada jumlah itu, hanya 4 pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi hingga 1 petang manakala selebihnya dibuka dari jam 8 hingga 5 petang,” katanya.

Empat pusat pengundian yang ditutup jam 1 petang adalah di Belatin dengan 162 pengundi, Balar (232), Bihai (278) dan Hau (254).

Jumlah daftar pemilih terkini, sehingga 27 September lalu adalah 11,553 pengundi.

Sementara itu, SPR akan mengadakan mesyuarat dengan Polis Kelantan di Putrajaya hari ini bagi mencari jalan dan kaedah terbaik mengawal keadaan semasa hari pengundian.

“Kami berharap insiden pergaduhan dan kekecohan yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai tahun lalu tidak berulang di sini,” katanya.

SH

Adun BN Kuala Nerang nafi diisytihar muflis kes KWSP, cetus spekulasi pilihan raya

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang dari Umno-BN, Datuk Syed Sobri Syed Hashim diisytihar bankrap minggu lalu ekoran kegagalan syarikatnya membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus menimbulkan kemungkinan membuka ruang kepada satu lagi pilihan raya kecil.

Kerusi disandang Syed Sobri, yang pernah berhadapan dengan isu yang sama dua tahun lalu, boleh diisytihar kosong jika gagal menjelaskan hutang itu kepada KWSP.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan wakil rakyat dari Kedah itu, yang didakwa bersama tiga defendan yang lain termasuk syarikatnnya, sebagai muflis Jumaat lalu.

Bagaimanapun di peringkat minggu lalu, mahkamah dikatakan hanya mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis selaku salah seorang pengarah syarikatnya.

Maklumat sebelum ini menyebut Syed Sobri (gambar) merupakan pengasas Kulim Enterprise.

Beliau dipercayai akan membuat rayuan.

Syarikatnya dipercayai gagal menjelaskan baki caruman lebih RM700,000. KWSP dikatakan membawa kes itu 2003.

Usaha mendapatkan kenyataan firma guaman yang mewakili Syed Sobri juga gagal.

Syed Sobri ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan beliau muflis sambil berkata, ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya.

“Semua terkawal, semua OK, saya tidak tahu siapa yang buat perkara ini.

“Tiada masalah, saya tidak tahu mengapa ini berlaku. Saya anggap ini satu fitnah pembangkang menjelang Perhimpunan Agung Umno,” kata beliau.

Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula semalam.

Sambil menegaskan perkara ini secara terus-menerus dan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu, Syed Sobri berkata, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang.

Ketika ditanya sama ada benar beliau tidak melangsaikan caruman KWSP, Syed Sobri berkata, ia dibayar balik dari semasa ke semasa secara ansuran.

“Saya sudah bayar secara ansuran, ini kes lama... tiada masalah,” kata beliau lagi.

Pada awal November 2008, beliau dikatakan hampir muflis kerana hutang bank.

Bagaimanapun menurut Syed Sobri ketika itu, beliau sudah pun menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Oleh itu katanya, peguam beliau juga telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan 3 November 2008, mengisytiharkan dirinya muflis.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805.

Selain itu, Syed Sobri juga menjadi perhatian kerana pernah dikaitkan dengan spekulasi akan mengosongkan kerusi atau melompat parti awal tahun ini.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Syed Sobri sendiri, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap.

Malah, ia bukan kali pertama Adun Kuala Nerang ini dikaitkan dengan isu letak jawatan.

Pada awal 2009, beliau pernah berada dalam situasi yang sama sehingga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan mengumumkan Syed Sobri tidak akan melepaskan jawatan setelah mereka berbincang hati ke hati pada 28 April 2009.

Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim meminta Syed Sobri supaya sedar diri bahawa beliau mewakili BN dan tidak seharusnya berlagak seperti wakil rakyat Bebas.

TMI

Sembelih 'musang berbulu ayam'!

- Dato' Mustafa menjangka ada pimpinan Umno Terengganu yang akan keluar parti.

KUALA TERENGGANU - Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali menyifatkan perbalahan yang berlaku di kalangan pemimpin Umno Terengganu adalah terlalu 'dalam' dan beliau tidak fikir Konvensyen yang diadakan baru-baru ini dapat menyelesaikan masalah.

"Saya tidak fikir akan selesai, permasalahan itu terlalu 'dalam', bukan (antara) kumpulan tetapi (perbalahan) peribadi, payah nak selesai, memang sebahagian (pemimpin Umno) sudah tawar hati,

"saya menjangkakan ada yang akan keluar daripada Umno, yang akan meninggalkan Umno akibat daripada (perbalahan),"jelas beliau kepada wartawan dalam satu sidang media disini, Isnin, 18 Oktober.

Sebelum itu, beliau berkata secara 'berseloroh' tetapi serius, mencadangkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri Terengganu, supaya ahli Umno yang dianggap sebagai 'Musang Berbulu Ayam' disembelih.

"yang dah gemuk dan dah tak ada tugas (ahli yang dianggap Musang Berbulu Ayam) sembelih, buat apa simpan, gemuk saja-saja, berat bawa sahaja,"ujarnya, sebagai respon kepada kenayataan Dato' Seri Hishamuddin Hussein yang dianggap 'pelik' pada Konvensyen Umno baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan PAS 'menangguk di air keruh' dan mengambil kesempatan atas kelemahan Umno disebabkan perbalahan diantara kumpulan-kumpulan bertentangan.

"Tidak, kita bekerja macam (seperti) biasa dan kita bergantung kepada kekuatan kita, sebab kekuatan PAS dan Umno Terengganu hampir sama,

"kalau dibahagikan (kekuatan antara PAS dan Umno) adalah 45 :45 begitu, 10 peratus yang lain ada lah pengundi atas pagar,"tegas beliau yang menerajui PAS Terengganu sebahagi Pengerusi Perhubungan Negeri sebelum dilantik menjadi Setiausaha Agung PAS.

Menurutnya, waktu puncak PAS dan menang dalam pilihanraya pada tahun 1999, sokongan terhadap Umno tidak berkrangan daripada 45% dan begitu juga sebaliknya, sekiranya Umno menang, sokongan kepada PAS tidak turun melebihi paras itu.

"terlalu dekat (persaingan antara PAS dan Umno) ada perubahan sedikit akan bertukarlah kerajaan,"ujarnya.

Oleh itu, katanya, para petugas PAS mestilah bekerja kuat dan tidak mengharapkan kelemahan Umno untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang.

BO

Bank milik KWSP beri pinjaman RM880 juta kepada adik Ketua Menteri Sarawak

KUALA LUMPUR 19 Okt - Tidak sampai seminggu rakyat dikejutkan dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan membenarkan pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ditingkatkan daripada 7 peratus kepada 20 peratus membabitkan dana awam hampir RM75 bilion, kini RHB Bank yang dimiliki KWSP dilaporkan telah memberi pinjaman USD285 juta atau RM880 juta kepada adik Ketua Menteri Sarawak, Raziah Mahmud dan suami ketiga beliau, Robert Geneid.

Menurut laman web sarawakreport yang terkenal dengan pendedahan kekayaan dan aset serata dunia yang dimiliki Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta keluarganya, daripada maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pinjaman besar tersebut diperolehi pada Jun sebuah syarikat persendirian yang dipunyai oleh pasangan tersebut, Kumpulan Construction Sdn Bhd.

Maklumat SMM menunjukkan Kumpulan Construction didaftar dengan modal berbayar saham RM1 juta di mana 5 peratus sahamnya dipegang oleh Zaleha Mahmud, kakak kepada Raziah dan selebihnya dimiliki oleh Mastim Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki oleh Raziah dan Robert, yang merupakan warganegara Australia.

Tanpa laman sesawang rasmi, tidak banyak informasi mengenai syarikat yang diketahui umum namun menurut sarawakreport lagi sumber terhad yang diperoleh daripada akaun syarikat tersebut melalui SSM menunjukkan Kumpulan Consruction memcatat perolehan sebanyak RM43 juta pada 2009, dengan untung bersih kira-kira RM4 juta setelah ditolak cukai.

Di samping modal saham berjumlah RM1 juta, modal simpanannya hanya lebih kurang RM4 juta sementara liabiliti serta aset keseluruhan syarikat bernilai RM42 juta.

Persoalan yang timbul bagaimana KWSP yang diamanahkan untuk mengawal serta menjaga kepentingan "Simpanan Hari Tua" kaum pekerja di negara ini dengan senang sekali meluluskan pinjaman RM880 juta kepada sebuah syarikat yang dikategorikan sebagai sederhana.

Lebih mengejutkan walaupun nama Kumpulan Construction membawa maksud syarikat itu terbabit dalam aktiviti pembinaan namun ia dikatakan tidak pernah langsung melaksanakan sebarang projek kecuali hanya mengsubkontrakkan projek yang diperolehi kepada pihak ketiga.

Memetik sumber dalaman RHB, sarawakreport berkata, "syarikat itu tidak pernah melaksanakan sebarang kontrak yang diperolehi dan kesemuanya disubkontrakkan kepada pihak lain terutamnanya Hock Seng Lee Bhd(HSL)".

Sebelum ini sarawakreport juga mendedahkan Kumpulan Construction adalah antara tiga pada 2008 bagi projek pembentungan bandaraya Kuching 2008.

Selang sebulan konsortium tiga syarikat itu - Kumpulan Construction, Nishimatsu Construction dan Hock Seng HSL - memperolehi kontrak tersebut, projek itu disubkontrakkan kepada HSL dengan nilai sebanyak RM452 juta.

Ini bermakna dengan mudah Kumpulan Construction dan Nishimatsu mendapat keuntungan atas angin sebanyak RM78 juta dalam tempoh sebulan.

Laporan tahunan RHB Capital Bhd bagi 2009 menunjukkan KWSP memegang 56.14 peratus kepentingan dalam RHB Capital yang memiliki 70 peratus saham dalam RHB Bank Bhd

RHB Bank pada masa ini adalah kumpulan perbankan keempat terbesar di Malaysia dengan saiz aset sebanyak RM103 bilion dan mempunyai 200 cawangan di seluruh negara dan beberapa cawangan di luar negara yang majoritinya di Singapura.

Oleh Dzulkarnain Taib SK

PAS umum calon DUN Galas esok

GUA MUSANG, 20 Okt — PAS akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas esok, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata nama calon itu akan diumumkan di sini dan calon itu merupakan seorang tokoh yang disukai oleh penduduk Galas.

“Kita ada ramai calon dalam senarai pemilihan,” katanya kepada pemberita di sini.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Bernama difahamkan antara pemimpin tempatan yang disebut bakal menjadi calon PAS ialah Ketua Perhubungan Orang Asli kawasan Galas, Pandak Panjang Ey dan Timbalan yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Selain itu, nama Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein, Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong dan Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad turut disebut-sebutkan dalam senarai itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi. — Bernama