Tuesday, February 8, 2011

Akidah Islam : Pemuda PAS gesa segerakan muzakarah Nik Aziz, Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa agar muzakarah antara Majlis Fatwa Kebangsaan dan Mursyidul Am parti itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat segera diadakan bagi menjernihan kekusutan dan menyelesaikan perselisihan semasa.

Ketuanya Nasrudin Hasan at-Tantawi berkata dewan itu yakin segala pertelingkahan, pertikaian, perselisihan faham mesti diselesaikan secara muzakarah dengan menjadikan al-Quran dan As-Sunah sebagai asas penyelesaian.

“Ini sangat penting supaya kebenaran dapat ditegakkan dan memastikan sebarang kekeliruan, tohmahan serta fitnah dapat dipadamkan.

“Malah DPPP ingin menegaskan bahawa bukan sahaja satu atau dua isu yang berkait dengan Mursyidul Am PAS tetapi masih banyak perkara-perkara lain yang menyentuh akidah ummah perlu dimuzakarahkan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Selain itu katanya dewan tersebut turut mengalu-alukan penyertaan ulama-ulama Umno memandangkan mereka adalah pendokong kerajaan yang dipimpin oleh parti itu bagi menyelesaikan isu-isu agama.

“Dewan Pemuda PAS melihat, sekian lama Umno dan Barisan Nasional menguasai ejen penyebaran massa utama seperti televisyen, radio dan akhbar arus perdana dalam negara sudah terlalu banyak fitnah dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Mursyidul Am PAS khususnya dan PAS amnya.

“Inilah peluang dan platform terbaik bagi rakyat menilai apa yang ditohmah oleh media arus perdana ini benar ataupun salah,” katanya lagi.

Justeru kata Nasrudin (gambar), muzakarah antara kedua-dua pihak terbabit adalah satu peluang dan platform yang sangat baik sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan atau mufti-mufti bersama ulama-ulama Umno menganggap apa yang pernah disebut atau dipraktikkan oleh Nik Aziz dan “kami PAS bercanggah dengan Islam.”

Kelmarin, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengulangi pendiriannya bahawa beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah.

Sehubungan itu, Nik Aziz lantas mempersoalkan kedudukan dan kredibiliti Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof. Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau.

Isu berkenaan berbangkit apabila Nik Aziz didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah.

Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

TMI