Tuesday, January 26, 2010

Kalimah Allah : Al-Qaradhawi persoal inisiatif Malaysia?

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?”

"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,”


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Jan : Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.

“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”

“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Qaradhawi, http:///.

Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.

"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.

"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.

Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.

Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.

Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia.

Harakahdaily

Penulis blog hina Almarhum Sultan Johor direman 4 hari

Jan 26, 10 1:30pm

TERKINI Mahkamah Majistret Kota Baharu memerintahkan penulis blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, ditahan reman selama empat hari.

Penulis blog itu yang dikenali sebagai Aduka Taruna (berbaju perang), menyerah diri kira-kira pada jam 4.40 petang semalam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.

Selepas kemangkatan Sultan Johor Jumaat lalu, Aduka didakwa menyiarkan artikel di blognya www.adukataruna.blogspot.com yang didakwa menghina Almarhum.

Tulisan berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai. Sekurang-kurangan 25 laporan polis dibuat terhadap penulis blog itu.


[Berita lanjut menyusul]

Kelantan lebih ‘pandai’ daripada Pusat urus harta rakyat

“Kalau minyak keluar dari pantai Terengganu, tak payah undang-undang untuk menyekat daripada minyak mari (datang) ke Kelantan, tetapi bila minyak keluar daripada perut Kelantan, kenapa pula perlu membuat undang-undang?

“Jawabnya tiada lain hanya untuk menyekat kuasa politik kerajaan Kelantan bagi mendapatkan hak royaltinya, namun apabila hasil minyak keluar dari negeri ini, nak buat undang-undang, tidakkah itu membuktikan kerajaan Pusat telah bermain politik?”


Rizal Tahir

KETEREH, 26 Jan : Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pimpinan kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat termasuk hasil royalti berbanding Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan kerajaan Kelantan yang sentiasa bersikap telus.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed, yang mendakwa Kerajaan Pusat enggan menyerahkan royalti kerana dibimbangi kerajaan negeri tidak pandai mengurus.

Pada masa yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu juga bimbang, Kelantan akan menggunakan royalti untuk kegunaan politik.

Menurut Nik Abdul Aziz, beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu dan Perak didapati runtuh, sama ada jambatan, masjid dan sebagainya akibat tidak pandai mengurus di samping berlakunya amalan rasuah.

“Alhamdulillah, setakat ini pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk jambatan tidak pernah runtuh, malah jambatan berdekatan rumah Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar jauh lebih rendah berbanding harga asal yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan rasmi ke Kolej Yayasan Islam Kelantan, Kok Lanas, dekat sini, semalam.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengarah Yik, Ahmad Robert Abdul Rahim, pegawai-pegawai Yik.

Sambungnya, sebaliknya jambatan yang terletak di Kampung Beris Jambu yang dilaksanakan oleh kerajaan BN hanya panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya.

Tambah Tuan Guru lagi, pemimpin kerajaan Pusat jangan ‘perasan’ mendakwa hanya mereka pandai mengurus wang rakyat sehingga berasa bimbang hasil royalti digunakan untuk tujuan politik.

Menurutnya, Kelantan sebagaimana juga negeri lain mempunyai Raja, Dewan Undangan Negeri, rakyat malah mempunyai kerajaannya sendiri, namun kenapa ianya harus disalurkan sesuka hati.

“Apakah kerajaan Kelantan tidak mempunyai Raja, atau kerajaan Kelantan tidak sah serta tiada undang-undang, apa ni… insya Allah, rakyat yang tak puas hati akan mengambil keputusan yang di luar jangkaan terhadap mereka,”ujarnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan tidak pernah mempolitikkan soal royalti, sebaliknya pemimpin kerajaan Pusat yang bertindak sedemikian hingga menafikan hak kerajaan negeri.

“Kalau minyak keluar dari pantai Terengganu, tak payah undang-undang untuk menyekat daripada minyak mari (datang) ke Kelantan, tetapi bila minyak keluar daripada perut Kelantan, kenapa pula perlu membuat undang-undang?

“Jawabnya tiada lain hanya untuk menyekat kuasa politik kerajaan Kelantan bagi mendapatkan hak royaltinya, namun apabila hasil minyak keluar dari negeri ini, nak buat undang-undang, tidakkah itu membuktikan kerajaan Pusat telah bermain politik?”soalnya lagi.

Katanya, kerajaan Pusat terlebih dahulu berpolitik berbanding dengan PAS di Kelantan.

Tuan Guru sekali lagi menegaskan, kerajaan negeri tidak sekali-kali akan menerima wang ehsan apa lagi sekiranya disalurkan pada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Harakahdaily

Royalti : Pendirian tegas Nik Aziz disokong

M Faqih

KOTA BHARU, 25 Jan : Pelbagai pihak di sini mahu kerajaan negeri mempertahankan tuntutan royalti minyak dan bukan wang ihsan seperti dicanang pemimpin Umno.

Malah mereka menganggap ketegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan melantik wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Wang Ihsan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai tepat.

Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan hak ke atas royalti sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

Katanya, kerajaan pusat sebenarnya tidak ada hak ke atas royalti tersebut kerana perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas dan bukan kerajaan pusat.

“Sekarang kita pun hairan dari mana pula kuasa kerajaan pusat untuk menentukan royalti menjadi wang ihsan.

“Ini langsung telah melanggarkan lunas-lunas federalisme yang dilaungkan kerajaan sejak merdeka,” katanya di sini.


Semalam, Menteri Besar Kelantan menolak pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan yang akan diletak di bawah JPP.

Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu kerajaan pusat akan menubuh jawatankuasa terbabit bagi menentukan kaedah penyaluran wang ihsan hasil petroleum yang dicari gali di perairan Kelantan.

Dr Abdul Halim bimbang wang ihsan hanya akan menjadi alat politik kepada pemerintah dan bukan bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tidak mustahil ia akan menjadi alat kepada kempen Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku di Terengganu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyokong pendirian Menteri Besar menolak menghantar sebarang wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tidak berbangkit sama sekalik kewujudan Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang mencadangkan pelantikan wakil kerajaan pusat dalam jawatankuasa royalti minyak kerana ia menjadi hak mutlak kerajaan negeri.

“Dan JPP pula suatu entiti yang tidak sepatutnya wujud kerana jabatan itu hanya ada di negeri-negeri yang BN kalah. Peranan JPP bercanggah dengan konsep federalisme.

“Oleh itu Dewan Pemuda mencadangkan JPP dibubarkan sekiranya benar Perdana Menteri mahu mengamalkan konsep 1Malaysia,” ujarnya.

Harakahdaily