Friday, June 3, 2011

PAS yakin dakwaan blog Umno ke atas Husam tidak benar

GOMBAK, 3 Jun — PAS yakin tuduhan blog-blog Umno bahawa Datuk Paduka Husam Musa ada bertemu dengan pemblog Syed Azidi Syed Abdul Aziz di China dan membayarnya RM300,000 untuk membantu berkempen adalah tidak benar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, sebelum ini beliau pernah menyiasat dakwaan terhadap Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, ekoran aduan daripada pihak yang sama dan mendapatinya tidak benar.

Husam menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai strategi jahat Umno-BN menjelang pemilihan PAS kali ini.

“Saya yang siasat sebelum ini dan didapati dakwaan itu tidak benar ... saya yakin kali ini juga tidak benar,” kata Mustafa pada sidang media bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Terdahulu Hadi menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi tadi.

Mustafa yang mencelah soalan wartawan kepada Hadi yang ditanya mengenai dakwaan blog-blog Umno bahawa Syed Azidi yang turut dikenali sebagai “Kickdefella” menerima RM300,000 dari Husam.

Menerusi laporan The Malaysian Insider awal pagi semalam, Husam menafikan dakwaan-dakwaan itu.

Syed Azidi juga menafikan ada bertemu dengan Husam di China kerana kali terakhir berada di republik itu ialah pada Disember 2009 selepas berhenti kerja dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun Syed Azidi berkata, beliau ada menerima RM350,000 termasuk RM50,000 bayaran tertunggak kerja-kerja yang dijalankan daripada wakil Husam yang menemuinya akhir 2009.

Husam dalam kenyataan balas malam tadi turut menafikan ada membayarnya RM350,000 kepada Syed Azidi.


TMI

No comments:

Post a Comment