Thursday, June 4, 2009

Ahli Majlis PKR Bantah Pelantikan Presiden MPSP Baru

Lapan ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dari PKR, memboikot majlis angkat sumpah presiden MPSP yang barunya, Mokhtar Mohd Jait pagi ini.

Mereka bertindak demikain sebagai membantah pelantikan kakitangan awam memegang jawatan tersebut.

Wartawan Malaysiakini yang membuat liputan majlis tersebut melihat hanya tiga ahli majlis PKR yang masuk ke dewan. Mereka ialah Amir Ghazali, Mahamad Hashim dan Farid Arshad.

Bagaimanapun, Amir dan Mahamad memberitahu kemudiannya bahawa beliau tidak menghadiri majlis tersebut.

Selain mereka berdua, turut tidak hadir ialah ketua wip PKR di MPSP, Johari Kassim, Che Mat Hashim, Rynu Shanmugam, Goh Choon Aik, Mohd Kamil Abu Bakar dan Zaini Awang.

MPSJ mempunyai 24 ahli majlis yang terdiri PKR (9), DAP (10), PAS (2) dan NGO (3).

Mereka mendakwa, sebelum ini, Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mencapai kata sepakat untuk melantik seorang ahli politk sebagai presiden MPSP sehingga pilihanraya tempatan menjadi kenyataan.

Bantahan tersebut dilihat sebagai cabaran pertama terhadap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, yang mengangkat jawatan tersebut kelmarin.

Mansor yang juga timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang mengumumkan pelantikan Mokhtar semalam.

Beliau juga turut mengumumkan pelantikan presiden baru Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tan Cheng Chui.

Sementara itu, Johari memberi amaran bahawa beliau dan lapan orang ahli majlis tersebut dari PKR, mungkin akan letak jawatan serentak sebagai membantah pelantikan Mokhtar.

Difahamkan, di kalangan PKR negeri, Johari dillihat sebagai 'orang kuat' pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrin Hashim.

Sementara itu, Mansor telah meminta badan perhubungan PKR Pulau Pinang menyiasat ketidakhadiran ahli majlis PKR di majlis angkat sumpah presiden MPSJ pagi ini.

Selepas majlis angkat sumpah tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menghalau wartawan Utusan Malaysia, keluar dari menghadiri sidang akhbarnya.

Wartawan itu yang merupakan penolong ketua biro Utusan Malaysia di Pulau Pinang, Hafzrul Mohamed mendakwa dia rasa terhina dengan tindakan Lim itu.

Dewan Ulama PAS Pusat Terima Usul Jawatan Presiden Dan Timbalan Dijawat Oleh Kepimpinan Ulama

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-48 menerima sebulat suara usul untuk mengekalkan konsep kepimpinan ulama dalam menerajui jawatan parti dengan jawatan Presiden, Timbalan dan salah seorang Naib Presiden terdiri daripada kalangan ulama.

Usul tersebut dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Terengganu selain dua usul yang diterima tanpa perbahasan dari Dewan Ulama PAS Kelantan.

"Memandangkan para ulama banyak memegang peranan sebagai pemimpin dan mengembangkan PAS ke seluruh tanah air sehingga PAS bukan sahaja diterima oleh orang Islam dan bukan Islam tetapi juga di persada antarabangsa," katanya.

Ulama juga ujarnya sentiasa memimpin perubahan berlandaskan siyasah syar'iyyah.

"Ia adalah bertunjangkan kepada usul kepimpinan ulama yang diterima dalam muktamar PAS kali ke-23 yang berlangsung pada 29 April 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur," ujarnya.

Usul tersebut yang sebelum ini pernah dibincangkan itu, turut disokong oleh Dewan Ulama PAS Selangor.

Sementara itu, usul daripada Dewan Ulama PAS Kelantan yang diterima tanpa perbahasan ialah mengesyorkan supaya diperuntukkan cuti bergaji penuh kepada isteri-isteri yang bekerja dengan kerajaan Pakatan Rakyat dan kerajaan persekutuan walaupun selepas bersalin anak kelima.

"Selain itu Dewan Ulama PAS Kelantan juga mencadangkan agar Dewan Ulama PAS dan negeri supaya mengadakan buletin khas versi kefahaman Islam untuk diedarkan ke seluruh negara kepada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat khususnya untuk non muslim supaya mereka tidak disesatkan oleh BN dalam memahami Islam," demikian ujarnya.

HarakahDaily

"Apa yang berlaku di Kuala Terengganu itu sebagai menandakan kerajaan BN akan runtuh tidak lama lagi," Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kata Menteri Kerjaraya, Dato' Shaziman Abu Mansor bumbung stadium runtuh memalukan negara.

Bagi Menteri Besar Kelantan pula runtuhnya bumbung stadium petanda kerajaan Barisan Nasional (BN) akan jatuh.

"Apa yang berlaku di Kuala Terengganu itu sebagai menandakan kerajaan BN akan runtuh tidak lama lagi," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini semalam.

Pagi kelmarin bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang bernilai RM292 juta runtuh menghempap bumi. Sedangkan stadium itu baru dirasmikan hampir setahun lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, amat tidak lojik stadium berkenaan yang hanya baru dibina setahun lalu boleh runtuh kalau ditengok dengan kos pembinaannya sehingga RM292 juta.

Menurut beliau tentunya ada sesuatu yang tidak betul dilakukan semasa pembinaannya sehingga menyebabkan strukturnya kurang kukuh.

"Tentu ada sesuatu yang berlaku di sebalik keruntuhan itu, orang lain buat stadium berpuluh tahun tahan, kita buat tak sampai setahun boleh runtuh, piramid di Mesir dah beribu tahun tak runtuh sampai sekarang.

"Ini tentunya buat stadium lebih pasir daripada simen ni, kalau tak, tentu perkara strukturnya tidak mudah runtuh," ujarnya.

Mengenai calon PAS di pilihan raya kecil Dun Manek Urai, beliau berkata, ia sudah ditentukan Perhubungan PAS Kelantan dan akan diumumkan menjelang pilihan raya kecil berkenaan diadakan.

HarakahDaily

Keputusan Pemilihan AJK Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat

Ustaz Riduan Mohamad Noor mendapat sokongan tertinggi daripada 229 perwakilan yang mengundi bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS bagi sesi 2009-2011. Beliau memperolehi 197 undi.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS bagi sesi 2009-2011 yang telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dewan Pemuda, Ustaz Hassan Sukri pada jam 3.45 petang tadi.

Keputusan ini menunjukkan gabungan antara profesional dan ulama muda berganding bahu dalam jawatankuasa ini.

Ustaz Riduan Mohamad Noor-197 undi
Ustaz Nik Mohamd Abduh Nik Abdul aziz - 194 undi
Ustaz Mohd Firdaus Jaafar - 176 undi
Ustaz Mohd Nazri Chik Zain - 165 undi
Suhaizan Kaiyat - 165 undi
Ustaz Nasir Zakaria - 152
Ustaz Kamal Ashari - 145
Kamaruzzaman Mohamad - 139 undi
Khairul Faizi Ahmad Kamil - 139 undi
Mohamad Adram Musa - 135 undi
Abdullah Abdul Karim - 127 undi
Dr Raja Ahmad Iskandar 126 - undi

Ahmad Ramzi Dihadapkan Di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Atas 4 Tuduhan, Sebutan Semula Kes 19 Julai

Bekas pegawai kanan menteri besar Terengganu, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat tuduhan berhubung kes ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga ADUN BN, April lalu.

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, tidak mengaku bersalah dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu 19 Julai depan.

Dr Ahmad dibenarkan ikat jamin RM8,000 manakala pasport kepada mahkamah.

SMS ugutan itu dijadikan alasan oleh tiga ADUN tersebut, bersama tujuh yang lain termasuk Idris, untuk tidak menghadiri sidang DUN Terengganu pada 14 April lalu.

Pemulauan itu, dengan alasan nyawa tiga ADUN tersebut tidak selamat, memulakan krisis politik di negeri tersebut apabila majoriti wakil rakyat BN mempertikaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Krisis ini dianggap babak baru warisan pertembungan kuasa antara kumpulan pro-Idris dengan Ahmad, yang menggantikannya dalam suasana penuh kontroversi Mac tahun lalu.

PAS JANJI KEJUTAN DALAM PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

PAS akan membuat beberapa kejutan dengan mengemukakan "pendekatan baru" dalam kempen pilihanraya kecil negeri Sarawak bagi mencapai kemenangan, kata Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

"Ia merupakan satu lontaran kepada masyarakat Malaysia bagaimana PAS sebagai sebuah organisasi politik yang dilihat beredar mengikut zaman dan masa," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di Shah Alam.

Nasharuddin berkata, sekurang-kurangnya, terdapat "dua perkara besar" yang akan diumumkan sempena pilihanraya negeri negeri di Sarawak sebagai tapak untuk parti itu maju ke hadapan.

Bagaimanapun, dalam ucapannya itu, Nasharuddin tidak menyatakan kejutan yang dimaksudkan.

"Kejutan apa... tunggu sikit masa lagi, " kata beliau yang juga ahli Parlimen Bachok.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Nasharudin berkata kejutan tersebut merupakan pendekatan yang akan digunakan dalam kempen pilihanraya negeri di Sarawak.

Bertanding di Sarawak

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan lebih lanjut perdekatan tersebut walaupun berkali-kali didesak oleh wartawan.

Katanya, masih terlalu awal untuk diumumkan kerana pilihanraya negeri Sarawak belum ditentukan tarikhnya.

Pilihanraya negeri itu diramal diadakan pada tahun hadapan.

Menurut Nasharuddin lagi, pernyertaan PAS di pilihanraya di Sarawak bukan perkara baru kepada parti itu.

Ini kerana, dalam pilihanraya sebelum ini, PAS pernah bertanding di beberapa DUN Sarawak, termasuk di Batang Saadong.

Ditanya sama ada ia mendapat persetujuan rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, Nasharudin berkata, perkara itu telah dibincang di peringkat jawatankuasa PAS Pusat.

Institusi Kekeluargaan Islam

"Seperti biasa, dalam mana-mana dalam pilihanraya yang melibatkan rakan dalam Pakatan, kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan dasarnya, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menyokong sepenuhnya setiap keputusan Majlis Syura Ulama dalam menangani cabaran politik tanahair seperti konsep Tahaluf Siyasi (kerjasama politik).

Dalam ucapan yang bertemakan "Menyemarak Kemenangan, Menyatu Rakyat", Nuridah turut menyentuh peranan Muslimat untuk mengatasi masalah keruntuhan rumah tangga.

"Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap masalah yang menimpa institusi keluarga khususnya umat Islam.

"Kadar penceraian yang tinggi dan sangat mencemaskan, menunjukkan penyakit kronik sedang menimpa institusi keluarga," katanya.

Sehubungan, Nuridah menegaskan institusi keluarga mestilah dikembalikan peranan asalnya iaitu "melahirkan dan membina ummat yang memperjuangkan kehidupan yang diredai Allah".

'Tahanan Tanpa Bicara'

Kata Nuridah lagi, Dewan Muslimat juga sedang berusaha untuk menubuhkan pusat khidmat bersepadu di semua peringkat parti bagi membolehkan masyarakat berbilang kaum mendapat pelbagai khidmat mengikut kemampuan parti tersebut.

Menyentuh mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pihaknya mengulangi ketegasan bahawa akta tersebut mesti dimansuhkan segera.

Ini kerana, kata Nuridah, akta tersebut tidak memberi peluang kepada tahanan untuk membela diri, termasuk penderitaan yang ditanggung oleh isteri mangsa.

"Sesungguhnya, tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri," kata.

Mengenai pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai ini, Nuridah mengingatkan perwakilan supaya mempertingkatkan usaha mengekalkan kawasan tersebut yang merupakan kubu kuat PAS.

"Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mestilah bersiap siaga bagi mempertahankannya," katanya.

Beliau juga menyarankan agar Kelab Penyokong PAS diberikan peranan yang lebih besar bagi meraih dan mengekalkan sokongan mereka terhadap PAS.

malaysiakini

Sesi Pengundian Pemilihan Jawatan Dewan Muslimat PAS Pusat Akan Bermula

Proses pembuangan undi bagi pemilihan jawatan Dewan Muslimat PAS Pusat dijangka akan dimulakan bila-bila masa sahaja.

Pemilihan kali ini menyaksikan jawatan Ketua Muslimat dan Timbalan dipertandingkan sementara Naib Ketua dimenangi tanpa bertanding oleh Senator Mumtaz Md Nawi.

Bagi jawatan Ketua, penyandang, Ustazah Nuridah Salleh akan ditentang Dr Asiah Ali, sementara timbalan, penyandang, Wan Hasrina akan berhadapan dengan Siti Zailah Yusof.

Sementara bagi jawatan AJK Dewan Muslimat sesi 2009/2011 pula akan menyaksikan 12 bakal dipilih dari 22 yang bertanding.

Keputusan pemilihan difahamkan dijangka diketahui pada penghujung sesi Muktamar Muslimat sekitar jam 10.00 malam.

Petang ini perwakilan akan membahaskan ucaptama Ketua Muslimat selain membentangkan usul-usul untuk dibahaskan. Seramai 218 perwakilan sudah berada di dewan sekarang bagi meneruskan agenda sesi petang.

Sesi Pengundian Pemilihan AJK Dewan Pemuda PAS Pusat Bermula

Sesi pengundian bagi memilih Ahli jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda PAS Pusat untuk sesi 2009/2010 bermula jam 10.40 pagi tadi.

Pengerusi Tetap Mesyuarat Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki mengumumkan pengundian dimulakan dengan negeri Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Sabah, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Sarawak, Melaka, Kedah, Johor dan Exco Dewan Pemuda Pusat.

Pengundian tersebut yang diwakili seramai 278 wakil memilih dua belas daripada dua puluh tiga calon untuk menduduki barisan exco baru.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dewan Pemuda Pusat, Ustaz Hassan Shukri mengumuman Ketua Pemuda, Timbalan dan Naib Pemuda baru yang menang tanpa bertanding untuk sesi 2009-2010.

Mereka ialah, Ketua Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan, Timbalan, Ustaz Azman Shafawi dan Naib Ketua, Ustaz Sabki Yusof.

Keputusan pengundian dijangka diketahui lewat petang ini.

Sementara itu, semasa sesi pengundian dilakukan sajian makan pagi turut diedar kepada perwakilan yang berada dalam dewan oleh para petugas.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan tersasul gamatkan dewan

Dewan Dato' Haji Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar gamat seketika apabila Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dewan Pemuda, Ustaz Hassan Sukri tersilap menyebut nama Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertanding sebaliknya nama yang disebutkan ialah nama yang bertanding bagi Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama.

Hassan yang pada mulanya menyebut nama Ustaz Abdullah Razak agar bangun bagi memperkenalkan diri menyebabkan para perwakilan tercari-cari nama yang disebutkan. Apabila mendapati nama yang disebutkan tidak memperkenalkan diri, Hassan seterusnya berkata, "calon yang tidak hadir boleh bertanding".

Hassan meneruskan dengan menyebut nama calon seterusnya menyebabkan perwakilan sekali lagi tercari-cari nama calon yang disebut.

Menyedari berlaku sedikit kesilapan, Pengerusi Tetap, Ustaz Misbahul Munir Masduki segera menegur beliau bahawa nama yang disebutkan adalah-calon bagi Jawatankuasa Ulama.

Hassan bersegera membetulkan kesilapannya dengan menyelak helaian berikutnya.

"Maklumlah sudah tua," katanya yang mengundang ketawa di kalangan perwakilan.

Hassan seterusnya menyebut calon pertama Abdullah Karim.

"Patutlah dia tidak bangun, saya sebut nama dia Ustaz," jelas Hassan yang sekali lagi mengundang ketawa di kalangan perwakilan.

Terdahulu Hassan mengumumkan pencalonan telah ditutup pada 25 Mei lalu pada jam 12.00 tengah malam.

Beliau juga mengingatkan, pertukaran perwakilan hendaklah mendapat kebenaran serta wakil-wakil yang tidak mempunyai nombor keahlian tidak dibenarkan mengundi.


HarakahDaily

3 warna utama iaitu biru, hijau dan merah yang membentuk tiga helai daun melambangkan 3 parti utama iaitu PAS, KeAdilan dan DAP

Logo Tiga Helai Daun Tanda Penghargaan Wanita


Logo tiga helai daun berwarna hijau, biru dan merah membawa seribu erti kepada perjuangan Dewan Muslimat PAS terutama dalam era kemenangan Pakatan Rakyat di lima buah negeri.

Dalam logo tersebut mengandungi jalur-jalur kuning yang melambangkan keceriaan dan tiga helai daun menunjukkan penghargaan kepada wanita.


Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapan berharap wanita perlu mengubah minda kerana selama ini dibelenggu dengan pelbagai kepercayaan dan prinsip negatif.

Menurut beliau perubahan minda itu penting bagi memastikan wanita seluruh negara mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat serta boleh membawa kemunduran daripada segala aspek.

Beliau menegaskan, kekurangan ilmu perundangan, hak-hak wanita, pendidikan dan ekonomi menjadikan masih ramai wanita hanya mampu mengikut arus dan tidak mampu berfikiran kritis, proaktif dan inovatif.

"Kita perlu lakukan usaha perubahan minda bagi membawa wanita kepada kecemerlangan serta mampu memilih yang benar dan yang salah," tegasnya.

Beliau berkata, pemikiran negatif yang berpada dalam ?zon selesa?, takut untuk mencuba perkara baru, takut gagal, takut mengambil risiko dan tidak mampu menempuh ujian dan dugaan dengan penuh ketabahan menjadikan ramai kaum wanita khususnya Melayu hanya menjadi pengguna, tetapi tidak mampu mencipta produk baru dan pendekatan baru.

Masalah itu ditambah dengan sikap malas, suka mencari jalan pintas, suka bergantung kepada orang lain dan tidak mahu berusaha dan akhirnya ramai tertipu dengan pelbagai tipudaya skim cepat kaya dan sebagainya.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat perlu memberikan komitmen yang tinggi melalui pelbagai program penerangan dan mesasarkan wanita bandar, luar bandar dan warga emas khususnya wanita Melayu.

"Usaha-usaha ini bagi mengubah minda mereka daripada berfikiran negatif dan statik kepada pemikiran positif dan dinamik yang akan menggerakkan perubahan dalam masyarakat," tegasnya.

HarakahDaily

Mansuhkan ISA Bergema Dalam Ucapan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Dewan Muslimat mengulangi ketegasan bahawa akta rimba ISA mesti dimansuhkan segera kerana ia merupakan tindakan zalim kerajaan yang memenjarakan tahanan tanpa bicara dan peluang membela diri.

Penegasan itu diucapkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang bersimpati dengan penderitaan para isteri dan ahli keluarga tahanan ISA.

Beliau berkata, sesungguhnya tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri.

Dalam ucapan itu beliau turut menyentuh tentang keresahan dan kebimbangan pimpinan BN yang terlalu `phobia' untuk menghadapi pilihan raya kecil terutama kawasan tersebut kuat dengan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Berbagai helah akan dicari dengan memperalatkan SPR dan menggunakan mahkamah untuk mengelak berlakunya pilihanraya kecil," katanya.

Sehingga kini tambah beliau di setiap pilihan raya kecil (PRK) BN terpaksa menghadapi kekalahan demi kekalahan dan mereka terpaksa mencari helah supaya tidak berlaku pilihanraya kecil di seluruh negeri Perak.

Beliau menegaskan, DMPP tetap mengulangi desakan rakyat agar mereka diberikan hak memilih kerajaan Perak kerana tiada pilihan lain bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

"Kini kita diuji pula dengan kekosongan di DUN Manek Urai, Kelantan. Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mesti bersiap sedia bagi mempertahankan DUN tersebut," tegasnya.

Selain itu beliau bangga dengan agenda 'PAS FOR ALL' telah banyak menarik minat pelbagai golongan bukan Islam untuk mendekati PAS.

Walaupun katanya selama ini PAS sentiasa bersikap terbuka, namun dengan penekanan itu PAS telah mampu dilihat sebagai wadah pilihan untuk pelbagai golongan dan kaum bagi memperjuangkan hak masing-masing.

Menurut beliau, sifat keterbukaan, kerendahan hati dan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS telah mampu meningkatkan kepercayaan pelbagai golongan untuk menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan pilihan mereka.

HarakahDaily

Dewan Muslimat PAS Komited Usaha Bentuk Kepimpinan, Amilin Yang Profesional - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Dewan Muslimat PAS akan terus memberikan komitmen kepada usaha pembentukan kepimpinan dan amilin yang profesional melalui penubuhan Akademi Naqibah, demikian menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan DMPP Kali Ke-49 di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini sebentar tadi.

Melalui penubuhan Akademi Naqibah, beliau melahirkan harapan agar ianya akan dapat mendidik dan melahirkan saf kepimpinan yang mampu memimpin wanita di semua peringkat, serta mampu menjadi amilin yang mampu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk perjuangan suci ini.

"Usaha-usaha ke arah melahirkan muslimat yang bertakwa, bertistiqamah serta berperanan sebagai da'i pada masyarakat mestilah dipertingkatkan," tegasnya terhadap usaha memastikan kesatuan yang kukuh di kalangan jentera muslimat pada ucap tema "Menyemarak Kemenangan, Menyatukan Rakyat" itu.

DMPP juga mendesak pemansuhan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) yang disifatkan telah mematikan sifat kritis dan kreativiti mahasiswa yang akhirnya melahirkan ramai mahasiswa yang jumud, beku dan tidak prihatin terhadap segala permasalahan masyarakatnya.

"DMPP sentiasa memberi komitmen untuk membawa mahasiswa kepada hala tuju yang sebenar iaitu sebagai pemimpin masa depan yang akan menggunakan seluruh kekuatan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t bagi merancang masa depan negara. Seterusnya memainkan peranan membawa negara ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat," ujarnya.

Tegas beliau, DMPP juga menyedari akan fungsi cendikiawan muda terutamanya dari kalangan mahasiswa yang seharusnya memainkan peranan penting di dalam membawa para remaja kepada Islam.

Katanya, keupayaan minda dan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t harus digunakan untuk memikirkan pelbagai pendekatan dan teknik bagi menarik kembali mereka yang telah terpesong ke jalan lurus.

HarakahDaily

PELANCARAN ALBUM 'PESAN TOK GURU' ARTIS RENGGO






klip video ehsan : jiwokelate2009

Adun Bukit Bunga, Adham Kechik dan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah akui kesilapan fitnah Datuk Husam Musa

Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah hari bersemuka dan bersalaman dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa selepas kes saman menyaman mereka berdua berjaya di selesaikan di luar mahkamah.

Turut serta dalam pertemuan hari ini adalah Adham Kechik, Adun Bukit Bunga yang turut membacakan kenyataan memohon maaf kepada Husam di depan media ekoran kenyataan media dan laporan mereka kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kini SPRM yang mereka buat 27 Novewmber 2007 lalu.

Kedua-dua mereka bertemu Husam di Kota Darul Naim hari ini dan bersalam penuh dengan kegembiraan.

baca selanjutnya

Realisasikan Usaha PAS Sebagai 'Government-In-Waiting' - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub merumuskan dua pencapaian besar Pemuda PAS sepanjang enam tahun di bawah teraju beliau.

"Pertama, kita telah berjaya menganjakkan pendekatan politik bangkangan konfrontasi kepada politik bangkangan konstruktif. Kita telah mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan negara.

"Kita juga telah mengambil langkah untuk menyalurkan kritikan yang lebih membina dan mengusulkan cadangan yang konstruktif dalam menangani masalah-masalah pentadbiran negara," ujarnya menyampaikan ucaptama pada Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, di Taman melewar sebentar tadi.

Katanya, agenda 'engagement' yang diterokai semenjak enam tahun lalu telah membentuk satu persepsi baru terhadap politik PAS iaitu sebagai pembangkang yang membina.

"Kedua, dengan pendekatan-pendekatan baru itu, serta pendidikan politik yang lebih bersungguh-sungguh dan gerakan penerangan yang lebih meluas, Pemuda PAS telah berjaya melakarkan imej baru bagi PAS sebagai parti kepercayaan rakyat untuk menggantikan Umno/BN," ujarnya menerangkan pencapaian berikutnya.

Katanya, dahulu PAS lebih dilihat sebagai pembangkang selama-lamanya, tetapi kini di mana-mana rakyat memberi harapan kepada PAS sebagai 'government-in-waiting'.

Salahuddin mula menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai Ketua Pemuda pada tahun 2003 dan tahun ini merupakan muktamar terakhir beliau sebagai Ketua Pemuda. Selepas ini, beliau akan digantikan oleh Ustaz Nasharudin Hassan @ Tantawi.

HarakahDaily


klip video ehsan : tvpas09

PAS tidak akan bersama UMNO - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menegaskan kepimpinan PAS menolak dakwaan bahawa PAS akan bersama Umno.

Sebaliknya beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu spekulasi pihak tertentu sahaja.

Demikian kata Nasharudin ketika menjawab soalan bertalu wartawan ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-50 di Markas Tarbiyyah PAS Taman Melewar malam tadi.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Timbalannya, Ustaz Nasharudin Hassan@Tantawi dan Setiausaha Pemuda, Ahmad Sabky Yusof.

Nasharudin juga menangkis dakwaan apabila diajukan soalan bahawa apa yang disebut dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda PAS mengenai penafian PAS akan bekerjasama dengan Umno sebagai satu strategi 'self defence' tatkala kerusinya dicabar beberapa calon Timbalan Presiden.

Sebaliknya beliau menyatakan ia adalah keputusan setakat ini bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno, sebaliknya memainkan peranan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyentuh apa yang disebut dalam ucapan perasmian mengenai persoalan melihat Umno/BN bukan pada kelemahan tetapi kelebihan.

Katanya kenyataan itu sebenarnya menjurus ke arah agar ahli dan seluruh kepimpinan PAS sedar akan perlunya usaha meningkatkan prestasi bagi mengatasi kelebihan yang ada pada parti lawan.

Sementara bercakap mengenai isu cadangan mengangkat Kelab penyokong PAS kepada Dewan, beliau menyatakan perkara itu masih dalam kajian lagi.

Ujar Nasharudin, PAS kini mula menerima sokongan yang cukup hebat dari kalangan pengundi bukan Islam hingga ada cadangan mahu menjadikan KPP sebagai sayap parti.

Namun, pelbagai langkah perlu diambil dan diteliti sebaiknya antaranya berhubung perlembagaan parti yang pastinya perlu disemak semula seandainya cadangan ini mahu dilaksanakan, katanya.

Setakat ini cadangan itu masih diperingkat pengkajian teknikal yang belum dibentang lagi hasil kajiannya untuk diperhalusi pula oleh Jawatankuasa PAS Pusat, katanya lagi.

Bercakap isu yang sama, Ketua Pemuda PAS pula melihat perkembangan sokongan bukan Islam kepada PAS sangat tinggi.

Ujar Salahuddin, ia membuatkan Umno/BN hari ini bimbang dan hal ini pastinya salah satu 'formula' yang akan menguburkan Umno/BN nanti.

Salahuddin turut menyatakan sekali lagi bahawa beliau tidak lagi akan menerajui Pemuda PAS, namun tetap berharap generasi pewaris akan memperkukuhkan sayap penting parti ini bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

HarakahDaily

klip video ehsan : tvpas09

Istana Kelantan Anggap Krisis Peribadi Antara Suami Dan Isteri

Istana Kelantan hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu yang membabitkan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra dan isterinya, Manohara Odelia Pinot.

Dalam kenyatan tersebut, Istana Kelantan menjelaskan bahawa apa yang berlaku antara Tengku Mohamad Fakhry dan Manohara adalah perkara peribadi.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad hari ini.

Pihak istana juga, tambahnya, sedang memantau perkembangan isu tersebut, termasuk dakwaan Manohara yang dia didera oleh suaminya.

Manohara membuat dakwaan tersebut selepas pulang ke Indonesia kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, Istana Kelantan menganggap perkara itu sebagai krisis peribadi antara suami dan isteri yang harus diselesaikan melalui undang-undang.

Abdul Halim berkata, beliau telah diarahkan supaya membuat penjelasan bahawa kenyataan yang dibuat Mohd Soberi Shafii - teman karib Tengku Mohamad Fakhry - adalah pandangan peribadinya dan bukan pendirian rasmi Istana Kelantan.

Sebelum ini, pihak media tempatan dan di Indonesia telah memetik Mohd Soberi menafikan dakwaan Manohara didera oleh suaminya.

Beliau juga meminta Manohara mengemukakan laporan perubatan di negeri-negeri berkecuali seperti Singapura, Australia atau London untuk menyokong dakwaannya.

Polis Indonesia : Ibu Manohara Tidak Beri Kerjasama

Ibu Manohara Odelia Pinot - Daisy Fajarina - gagal memberikan kerjasama berhubung laporannya terhadap Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, kata polis Indonesia.

Ketua bahagian siasatan jenayah, Abubakar Nataprawira memberitahu sebuah stesen televisyen republik itu, RCTI bahawa Daisy gagal memberikan keterangan terhadap aduannya bahawa Tengku Muhammad Fakhry telah "menghina, menipu dan melakukan perbuatan tidak menyenangkan" terhadap Manohara.

Abubakar berkata, Daisya telah dua kali dipanggil - pada 29 Mei dan semalam - tetapi gagal hadir kedua-duanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkuasa republik itu bersedia membantu Daisy sekiranya Manohara benar-benar didera oleh suaminya selama sembilan bulan berkahwin dengan putera Sultan Kelantan itu.

Manohara juga boleh memfailkan laporan melalui kementerian luar republik itu supaya mereka boleh bekerjasama dengan polis Malaysia bagi mennyelesaikan kes membabitkan dua negara itu, tambahnya.

Abubakar berkata, polis Indonesia perlu merakamkan kenyataan Daisy memandangkan ibu bekas model itu tidak menyatakan dengan jelas jenis penderaan yang dialamai anaknya itu.

Ahad lalu, Manohara dilaporkan "melarikan" diri daripada suaminya melalui Singapura atas pertolongan Kedutaan Indonesia di Kota Singa itu.

Dia sebelum itu mengikuti suaminya melawat Sultan Kelantan yang sedang gering dan mendapatkan rawatan di sana.

Bercakap kepada media Indonesia selepas tiba di Jakarta, Manohawa mendakwa dia didera secara fizikal, seksual dan emosi oleh suaminya.

Bagaimanapun, istana Kelantan hari ini dilaporkan menganggap perkara itu sebagai krisis peribadi antara suami dan isteri yang harus diselesaikan melalui undang-undang.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad hari ini.

PENANTI, UMNO DAN MANOHARA

Selesai sudah lagi satu episod pilihanraya…selepas Bukit Gantang, Bukit Selambau dan sebelum Manek Urai. Kalau ikut perancangan…selepas Manek Urai akan ada lagi satu pilihanraya kecil…kerana itu sudah dirancang lebih awal. Satu PRK setiap dua bulan.

Mungkin ada yang merasakan bahawa pilihanraya kecil hanya menyusahkan rakyat..tetapi hanya itulah saja yang dapat menyedarkan rakyat tentang kebobrokan Umno dan Barisan Nasional.

Setiap kali pilihanraya..kita boleh tengok perangai UBN. Makin ramai rakyat yang nampak…makin cepat UBN dapat ditalkinkan. UBN tak kan mampu menyembunyikan perangai jahat mereka…sebaliknya…apa saja yang dilakukan akan menaikkan api kemarahan rakyat.

DiPenanti..UBN cabut lari sampai putih tapak kaki. Tetapi disebaliknya..UBN menggunakan pihak lain untuk meneruskan tabiat jahat mereka.

Mereka menggunakan polis untuk menghalang perjalanan pilihanraya. Bermacam-macam peraturan dikenakan untuk mengekang pengaruh Pakatan Rakyat. Peraturan-peraturan baru diperkenalkan oleh polis…tak boleh cakap pasal Altantuya…tak boleh cakap pasal sidang DUN Perak…tak boleh gunakan video..sehinggalah dalam satu ceramah, apabila diberitahu kepada Chegu Bard tentang peraturan-peraturan ini..Chegu Bard jawab..”habih…nak cakap apa?”

Ledakan maklumat menyebabkan UBN kelamkabut. Rakyat dah tak percaya apa yang ditulis oleh Utusan atau yang disiarkan oleh TV3. Rakyat lebih percaya kepada penceramah, blog dan laman web untuk mendapatkan maklumat. Bukan kerana apa yang dicakapkan oleh penceramah itu semua betul, bukan kerana apa yang ditulis diblog-blog itu semua betul. Tapi kerana rakyat sudah tak percaya kepada TV3 dan Utusan.

Umno menggunakan Amina Dola sebagai proksi didalam pilihanraya Penanti. Amina Dola pula membenarkan dirinya ditunggang oleh Umno..macam Ezam and the gang. Mungkin Amina Dola bertanding untuk membalas dendam kepada PKR, tetapi apabila dia mendapat liputan sensasi dari Utusan dan TV3 yang dimiliki oleh Umno…rakyat menolak Amina Dola kerana mereka merasakan Amina ditaja oleh Umno. Rakyat menolak Amina kerana mereka marah kepada Umno.

Lokman Adam berceramah dalam ceramah Umno…walaupun apa yang dicakapkannya itu ada yang benar…tapi orang dah tak percaya kerana mereka tak percaya kepada Umno. Kalau Lokman Adam bercakap dipentas PKR, kemungkinan orang akan percaya. Tetapi kerana dia bercakap dipentas Umno…orang tak percaya. Kerana UBN sudah sinonim dengan penipuan.

Amina hanya menang undi pos. Memperolehi sebanyak 12 undi berbanding PKR yang hanya mendapat 2 undi. Undi pos ni undi sapa?

Rakyat dah tahu bahawa undi pos adalah undi yang dimanipulasi oleh UBN. Dan apabila undi pos diPenanti diberikan kepada Amina Dola…UBN sebenarnya menimbulkan kebencian rakyat kepada pemberi undi…disini diketahui merupakan undi polis. Dan anggota polis yang mengundi Amina Dola ini juga perlu dikutuk kerana membiarkan mereka dipergunakan oleh UBN untuk kerja-kerja manipulasi undi.

Kehadiran polis yang siap bersenjata dan dalam kumpulan yang ramai juga sebenarnya cuba menakut-nakutkan pengundi. Disetiap tempat mengundi..SB-SB siap dengan kamera video merakam kehadiran pengundi.

Kalau jumlah peratus yang keluar mengundi berkurangan..polis sepatutnya dipersalahkan kerana menjadi barua UBN. Kakitangan kerajaan dan mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan sudah semestinya merasa takut untuk mengundi kerana Umno telah mengarahkan supaya PRK Penanti ini diboikot. Dan siapa yang berani mengundi?…kerana kehadiran mereka akan dirakamkan oleh polis. UBN tahu siapa yang pergi mengundi…dan tindakan sudah semestinya diambil kepada mereka yang keluar mengundi.

SPR lagi satu…macam lembu dicucuk hidung. Membuat arahan-arahan yang mengekang kebebasan pilihanraya. Mengangkut pengundi pakai kereta yang mempunyai lambang parti tidak dibenarkan. Cuma boleh pakai sticker SPR. Tapi pada hari terakhir, SPR gagal mengeluarkan sticker.

Tunggu di Manek Urai..semua arahan-arahan yang dikeluarkan di Penanti akan ditukar lagi..untuk memastikan kemenangan Umno.

Umno semakin tidak relevan dihati rakyat. UBN tidak akan berjaya dalam pilihanraya kerana mereka sudah ditolak oleh rakyat. Itu sebabnya UBN hanya mampu bertahan dengan pertolongan mahkamah.

Zambry Kadir boleh menjadi Menteri Besar…dengan bantuan mahkamah. Tetapi dihati rakyat..taraf Zambry sama seperti penjenayah yang lain…perampas kuasa rakyat. Kemana saja Zambry pergi..dia bukan dilayan seperti Menteri Besar tetapi dilayan seperti penjenayah.

Ketika dia melawat pasar Batu Gajah baru-baru ini, dia dimaki hamun oleh rakyat Batu Gajah. Ketika melawat Pasir Panjang di Manjung…dia dihalau oleh tuan rumah kerana meletak kenderaan dikawasan rumahnya.

Tiada siapa lagi yang hormat kepada Menteri Besar Umno yang naik dengan merampas kuasa.

UBN tidak lagi boleh berlindung disebalik Utusan dan TV3. Tiada siapa yang mampu menidakkan kebenaran, mengabui pandangan, dan mengalih pemikiran rakyat untuk mempercayaai propaganda mereka.

Kebenaran akan tiba juga akhirnya.




PerakExpress

SPRM Cepat Bertindak Bila Dakwaan Rasuah Membabitkan Pakatan Rakyat

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas fail dan dokumen daripada pejabat exco Kedah berhubung dakwaan seorang Exco negeri itu telah membuat tuntutan berlebihan sejak beliau dilantik Mac tahun lalu menimbulkan persoalan sama ada SPRM benar-benar bebas dan telus dalam mengambil tindakan terhadap sesuatu tuduhan rasuah.


Pegawai SPRM cawangan Kedah juga mengambil dokumen daripada pejabat Menteri Besar berkaitan tuntutan sebanyak RM150,000 oleh exco terbabit.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar arus perdana bahasa Inggeris minggu lalu mengenai isu tersebut SPRM dilihat begitu pantas melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk membanteras gejala rasuah dalam negara.

Namun tindakan cepat bagaikan kilat membabitkan seorang exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak pula dilihat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bakal menelan kos RM12.8 bilion sudahpun didedahkan minggu lalu malah Pengerusi PKRZ pun sudah menyerahkan laporan audit kepada SPRM.

Sehingga kini SPRM masih membisu dan tidak memanggil pemimpin-pemimpin BN yang nama mereka disebut dalam laporan audit tersebut.

Semalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM300 juta runtuh walaupun ia baru berusia setahun jagung.

Rakyat akan melihat apakah SPRM akan menyiasat kontraktor yang membina stadium tersebut dan merampas fail dan dokumen daripada Jabatan Kerja Raya yang memantau projek tersebut.

Bagaimana pula dengan tuduhan rasuah terhadap dua bekas ecxo Pakatan Rakyat Perak yang menyeberang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas, Mohd Jamaluddin Mat Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar?

Perbicaraan kes mereka sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen Ipoh 10 Feb lalu tetapi sehingga kini SPRM terus membisu seribu bahasa.

Dakwaan kedua-dua ADUN tersebut melompat daripada Pakatan Rakyat kerana menerima habuan wang ringgit tidak disiasat oleh SPRM tetapi badan yang sama juga begitu cepat menuding jari menuduh ada elemen salahguna kuasa apabila Speaker DUN Perak V. Sivakumar menggantung Dr Zambry Abd Kadir dan enam exconya.

SPRM bagaimanapun petah bercakap mengenai dakwaan rasuah Menteri Besar berhubung lembu korban dan kereta rasmi walaupun pejabat Peguam Negara belum lagi memberi apa-apa komen mengenai kertas siasatan kes tersebut.

Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didapati terbabit dalam rasuah politik semasa kempen pemilihan Umno baru-baru ini juga terpelas daripada siasatan SPRM malah badan itu mengambil sikap menyepi.

Dasar pendakwaan terpilih ini dilihat rakyat sebagai sikap dwi standard tegar yang diamalkan oleh SPRM dalam memilih-milih tuduhan rasuah mana yang patut disegera siasat dan kes mana yang patut ditunda sehingga luput daripada ingatan.

Memori rakyat terhadap kes-kes rasuah pemimpin Umno dan BN yang dilupakan SPRM bagaimana pun tidaklah sependek SPRM.

TVA

TUNGGANG-LANGGANG SISTEM DEMOKRASI KITA

TIGA tiang utama dalam pembentukan peraturan hidup rakyat Malaysia menyebabkan negara kita dihormati apabila legislatif, eksekutif dan judiciary tertegak dengan peranan mereka masing-masing dan mempunyai kuasa tersendiri.

Pembuat undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, manakala eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan badan kehakiman yang tertegak megah dengan autoriti dan autonominya tersendiri.

Kini kewibawaan tiga tonggak yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu mula menuju kehancuran di bawah kerajaan Barisan Nasional. Tempat membuat undang-undang tidak dihormati lagi. Pihak eksekutif dengan sewenang-wenangnya menceroboh tempat legislatif tanpa mengikut peraturan-peraturan yang selama ini dihormati dan diterima pakai dengan baik.

Ditangkap di Parlimen

Dato' Mustafa Ali diserbu dan ditangkap di dalam kawasan Parlimen kira-kira setahun setengah yang lalu. Sedangkan untuk menangkap beliau, boleh sahaja dilakukan di luar kawasan Parlimen, seperti di pejabatnya di Jalan Pahang Barat atau di rumahnya di Kuala Terengganu.


Tetapi kenapa pihak polis sengaja masuk dan menangkap Mustafa di dalam kawasan Parlimen? Bukanlah terlalu "urgent" untuk menangkap beliau sehingga tempat untuk membuat undang-undang pun tidak dihormati.

Kawasan Parlimen terus dicemar lagi apabila sekumpulan Pemuda Umno cuba mengancam Ahli Parlimen Karpal Sigh juga di lokasi sama. Saya boleh faham perasaan Pemuda Umno terhadap Karpal Sigh, tetapi memilih kawasan Parlimen untuk bertindak terhadap beliau amatlah tidak kena.

Karpal boleh "dikepung" di mana saja di luar kawasan Parlimen untuk melepaskan geram Pemuda Umno terhadapnya.


Kalaulah Pemuda PAS atau Angkatan Muda KeADILan melakukan tindakan yang serupa, "mengepung" mana-mana ahli Parlimen BN di dalam kawasan Parlimen, saya akan bangun menentang dan menyatakan rasa tidak bersetuju. Tempat lagislatif itu perlu dihormati, dan jangan dijadikan kawasan Parlimen seperti pasar malam.

Bentara Dun bertukar tugas dengan polis

Lebih dahsyat lagi apa yang berlaku di Perak amat memalukan rakyat Malaysia kepada mata dunia. Bentara Dewan dengan pasukan polis telah bertukar tugas. Bentara Dewan yang menjaga hal ehwal Dun di bawah Speaker dan Setiausaha Dewan, tetapi tugas itu diambil alih oleh pihak berkuasa polis.

Speaker, Menteri Besar dan Adun Perak dihalang oleh "Bentara Dewan Baru" iaitu polis untuk memasuki Dewan. Perbuatan pihak polis itu menyebabkan Sidang Dewan Undangan Negeri yang sah terpaksa dibuat di bawah pokok apabila kuasa legislatif yang terbuka dihina, dan mereka dihalau dan merempat.

Lebih dahsyat daripada segala yang dahsyat telah berlaku di Malaysia apabila Speaker yang mempunyai segala kuasa dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen kini menjadi seperti sampah hanyut.

Speaker yang selalunya memberi amaran, menggantung tugas seseorang ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, menghalau keluar mana-mana ahli Yang Berhormat dari Dewan setelah Speaker mengangap mereka melanggar peraturan atau arahan Dewan, kini di Malaysia, Speaker pula diambil tindakan.

Tak pernah saman Speaker

Beberapa kali Karpal Singh dihalau keluar, digantung dan juga diberi amaran, sama ada di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atau di Parlimen. Setahu saya Karpal tidak pernah menyaman Speaker di atas tindakan yang dilakukan terhadap beliau. Karpal yang bergelar "The Lawyer's Lawyer" amat tahu kuasa yang ada pada Speaker.

Apa yang berlaku dalam Dun Perak apabila Speaker Sivakumar menghalau beberapa Adun keluar dari sidang Dun? Ahli-ahli tersebut tidak mahu keluar sebaliknya Speaker pula diusir keluar dari Dewan!


Dengan segera pasukan "Bentara Polis" masuk ke dalam Dewan dan mengusung Speaker keluar secara kejam dan paksa. Malah mereka mengurung pula Speaker itu, menjadikannya satu peristiwa pahit dalam sejarah demokrasi di Malaysia. Nama Malaysia tercemar dengan cukup teruk sekali ekoran peristiwa itu.

Semua pihak harus mencari jalan bagaimana hendak memulihkan imej Malaysia yang begitu tercemar dengan peristiwa yang berlaku di Perak itu.

Keadaan ekonomi kini pada tahap -6.5%, suasana perundangan dan sistem demokrasi juga menjadi rosak teruk. Imej Najib Razak sebagai Perdana Menteri cuba dilibatkan dengan hal Altantuya. Semuanya membawa kesan amat negatif kepada negara.

Marilah kita berfikir dan bertindak secara waras untuk memulihkan imej Malaysia. Serahkan kembali mandat kepada rakyat Perak untuk menentukan masa depan mereka, bukan rakyat Perak diserahkan kepada "Bentara Polis" bagi menggantikan Bentara Dewan.

HarakahDaily

AHMAD SAID ARAH PERIKSA 3 PROJEK MEGA IDRIS JUSOH, SUDAH TAHU MASALAH BUMBUNG TAHUN LALU

Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega di sini iaitu bangunan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kompleks Renang dan Stadium Tertutup di Gong Badak.

“Hari ini kita juga telah membuat keputusan untuk meminta JKR menyiasat bangunan-bangunan lain, termasuk stadium tertutup, lapangan terbang, dan kolam renang,

“benda-benda yang baru belaka, nampak ada benda-benda yang tak kena, kasar satu, benda yang tak betul, kita bimbang,”katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, beliau telah mengarahkan Exco Infrastruktur (JKR) supaya menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya supaya membuat siasatan berkenaan.

Ketiga-tiga projek tersebut adalah antara projek mega yang pernah disebut oleh Ahmad sebagai projek mega yang akan dikaji semula.

Ketiga-tiga projek terbabit juga adalah 'flagship' Impian Menjadi Realiti yang dilaksanakan pada zaman bekas Menteri Besar Idris Jusoh.

Dalam sidang media yang sama, Ahmad turut mendedahkan, keadaan tidak selamat pada bumbung yang runtuh semalam telah dikesan semasa perasmian Sukma tahun lalu.

Katanya, acara majlis pembukaan melibatkan ‘gimik’ komando polis turun dengan tali dari bumbung, terpaksa diubah kepada turun dengan tali dari helikopter.

Ia adalah kerana, katanya, ketika pasukan tersebut cuba memasang tali untuk turun dari bumbung itu, ia bergegar dan bergoyang.

“Semasa hendak perasmian Sukma, peringkat awal, hendak diadakan acara turun dengan tali dari bumbung ke bawah,

"tapi saya dimaklumkan, semasa membuat tinjauan, dia (polis) kata dia tak yakin, tak selamat bila dia pasang dia nak turun, benda (bumbung) itu bergegar, bergoyang,

“sebab itu kita tukar (kepada) turun dari helikopter,”jelasnya.

Beliau berkata sebelum acara pembukaan Sukma juga, beliau melihat bumbung stadium itu tidak sama rata seolah-olah ada yang tidak betul.