Friday, April 10, 2009

'Tidak ada sebab ambil nyawa mangsa dengan kejam' - Cif Inspektor Azilah Hadri

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya."

Demikian kata Cif Inspektor Azilah Hadri pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis. Beliau yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.
Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.
Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.
Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).
Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.

Read more : http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20269&Itemid=1

Kerajaan Bebas Tahanan ISA Bagai Melepas Batuk di Tangga

Perlantikan Yang Bakal Menjatuhkan Najib

Najib mengumumkan 28 menteri dan 40 timbalan menteri. Sebenarnya ia tidak sekecil yang digembar-gemburkan. Malah lebih besar daripada kabinet Mahathir sendiri yang diumumkan selepas pilihanraya 1999 yang mengandungi 27 menteri, 27 timbalan menteri bersama dengan 15 setiausaha parlimen.
Najib melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan juga yang memperlihatkan sesuatu yang tidak beretika apabila beliau sendiri mempunyai banyak kepentingan dan yang paling jelas isu beliau telah meluluskan 10 lesen perjudian sewaktu mula-mula memegang jawatan menteri kewangan yang dilepaskan oleh Abdullah pada Oktober 2008 lalu belum terjawab. Ini bererti penyelewengan dan salahlaku terhadap dana kewangan negara akan terus berlaku tanpa sebarang akauntabiliti.
Yang digugurkan hanyalah 8 orang termasuklah Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Ong Ka Chuan, Datuk Azalina Othman, Tan Sri Amirsham A Aziz, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan Datuk Shahrir Samad.
Perlantikan Datuk Seri Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan ternyata satu kesilapan. Beliau yang dikenali sebagai menteri yang suka mentafsir undang-undang mengikut pendapat sendiri dan sentiasa mengubah-ubah pendirian mengikut rentak pemimpin atasan untuk kepentingan diri diletakkan di kementerian penerangan merupakan satu bencana.
Rais baru sahaja dikritik hebat apabila memberikan pandangan dan nasihat yang salah kepada Tun Abdullah mengenai perjanjian yang menyentuh tuntutan Limbang oleh Brunei dimana beliau telah menyatakan Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Brunei walhal ia tidak berlaku.
Pengekalan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Perundangan dan Parlimen juga dilihat membuatkan keadaan lebih teruk. Umum mengetahui keceluparannya malah jika meninjau sikap beliau mengkritik Mahathir dengan cara yang tidak pernah dilakukan walau oleh ahli pembangkang sekalipun satu waktu dulu sudah cukup untuk menjelaskan tahap mentaliti beliau yang rendah.
Berkemungkinan Najib terhutang budi kepadanya kerana melakukan pembelaan terhadapnya dengan mengusulkan penggantungan Gobind Singh Deo yang menuduh Najib sebagai penjenayah di Dewan Rakyat.

Read more : http://www.malayadaily.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=265:perlantikan-yang-bakal-menjatuhkan-najib-&catid=1:nasional&Itemid=2

Banyak kesangsian dalam kabinet Najib

ADA beberapa pemerhatian dan kesimpulan yang sepintas lalu dapat dibuat tatkala meneliti barisan Kabinet baru Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, petang tadi.
Pertama, semacam ada rasa sangsi atau kepercayaan yang tidak bulat oleh Najib terhadap orang nombor duanya. Meskipun menepati ramalan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai menyangka orang nombor dua itu akan diberikan tugas di Kementerian Pelajaran. Sudah lama kementerian itu tidak dipegang Timbalan Perdana Menteri.
Orang nombor dua selalunya diberikan peranan paling mencabar. Kementerian yang lebih dianggap kanan, strategik dan berkuasa ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.
Bukankah di situ duduknya Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini? Bukankah di beberapa kementerian itu juga Abdullah selaku orang nombor dua diletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad?
Najib memilih sepupunya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengepalai Kementerian Pertahanan. Apakah dua pemimpin ini sebenarnya yang lebih dipercayai Najib berbanding Muhyiddin?
Kedua, Najib tidak dapat mengelak daripada melantik pemimpin yang sudah ditolak rakyat. Ia bagaikan mengulangi tabiat Abdullah yang sebelum ini dikritik dan dikecam pelbagai pihak.
Dalam ucapannya sebelum mengisytiharkan Kabinet baru itu, Najib mengungkapkan slogan "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Kesangsian segera muncul tatkala orang disenaraikannya termasuk mereka yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya. Justeru, 'rakyat' manakah yang didahulukan Najib?
Antara pemimpin tersebut ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Dr Awang Adek Hussein (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Apakah ini menggambarkan pengakuan bahawa dari lebih 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih ada, tidak ada yang mempunyai wibawa dan keupayaan untuk mengisi jawatan Kabinet, sehingga memaksa dilantik mereka yang bukan Ahli Parlimen?
Najib turut melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti, sekaligus membelakangkan mereka yang dipersetujui ahli-ahli akar umbi parti mereka sendiri. Mereka ialah Dato' Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan) dan Dato' Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Ketiga, tindakan nekad Najib melantik Mukhriz ke dalam Kabinetnya mengundang tafsiran betapa beliau berhasrat membalas jasa Mahathir. Ataukah beliau sebenarnya tunduk kepada saranan dan nasihat bekas Perdana Menteri itu dalam mencaturkan Kabinetnya?
Kita tahu betapa besar peranan dimainkan Mahathir dalam mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib dalam parti dan kerajaan. Mahathir lah orang utama yang bertanggungjawab 'memanaskan punggung' Abdullah, sehingga terpaksa melepaskan jawatan lebih awal dari yang dirancangnya.
Keempat, ketiadaan nama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mengundang pelbagai andaian. Selain sama taraf dengan naib presiden dalam parti, Khairy juga ada tiket selaku Ahli Parlimen Rembau.
Ketiadaan namanya dalam senarai Kabinet dikaitkan dengan penyiasatan semula Lembaga Disiplin Umno berkaitan amalan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini. Desas-desus bertiup kencang kononnya Khairy bakal berhadapan tindakan tegas partinya, termasuk kehilangan jawatan yang baru dimenanginya itu.
Andaian itu bagai disahkan apabila Najib tidak menyenaraikan Khairy. Najib dikatakan tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan orang yang sedang disiasat. Mana tahu silap haribulan akan berulang peristiwa seorang menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana bersalah atas dakwaan politik wang. Maka bagi mengelakkan Kabinetnya tercemar, Najib dikatakan siang-siang lagi enggan menyenaraikan Khairy.
Namun ada juga yang menilainya sebagai bertepatan dengan hasrat Najib membersihkan Kabinetnya dari bayangan Abdullah. Jika nilaian itu benar, bermakna Khairy adalah mangsa keadaan hanya semata-mata dia adalah menantu bekas Perdana Menteri itu.

HarakahDaily

Majlis Angkat Sumpah Anggota Kabinet di Istana Negara

Prime Minister Najib Tun Razak's new Cabinet was sworn in before the Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin at Istana Negara here Friday.