Sunday, June 14, 2009

Bukan Wajar Islam Sandar Harap Pada PAS

Oleh Abu Firdaus-TranungKite
bypass308.blogspot.com

Ada semacam kesilapan atau salah faham sesetengah pihak terutama bukan Islam terhadap PAS. Antara mereka dalam mengalu-alukan PAS sebagai sebuah parti yang menjadi besar dan berpengaruh serta mampu mengalahkan UMNO, tetapi pada waktu sama mengharapkan ia menjadi parti yang sentiasa memenuhi aspirasi mereka.

Maknanya, mereka memandang PAS bukan sebagai sebuah parti yang mempunyai fahaman sendiri tetapi adalah sebuah wadah yang berkesan untuk memenuhi kehendak mereka. Mereka memandangkan bahawa oleh kerana PAS bergantung undi mereka, maka wajar parti itu memenuhi kehendak mereka.

Di sinilah berlaku harapan salah. Sedangkan apa yang patut berlaku adalah keseimbangan dan suasana menang-menang bagi kedua belah pihak. Itulah sepatutnya keadaan yang patut berlaku apabila PAS menyertai Pakatan Rakyat.

Kesediaan PAS menyertai Pakatan Rakyat bukan saja strategikal tetapi ideologikal. PAS adalah parti inklusif yang berjuang untuk Islam, dan selanjutnya untuk kesejahteraan untuk semua. Itulah yang terkandung dalam konsep PAS Untuk Semua.


Tetapi penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat bukanlah berbentuk stretagikal semata-mata untuk mendapatkan undi bukan Islam bagi mencapai cita-cita secara terhad. Tetapi cita-cita menyeluruh PAS adalah bersifat universal dan inklusif, bukan untuk orang Islam semata-mata.

Pertamanya, kefahaman mengenai Islam adalah penting bagi semua rakyat Malaysia . Barulah mereka dapat faham mengenai PAS. Begitu juga kesedaran bahawa kefahaman tidaklah bererti penerimaan. PAS tidak memaksa mereka menerima Islam dan fahaman PAS.

Apa yang diperlukan ialah kerjasama dalam perkara-perkara yang dapat dipersetuju. Itulah asas Pakatan Rakyat, dan itu juga adalah kehendak Islam.

Adalah suatu perkara yang silap apabila terdapat pihak bukan Islam yang mengharapkan PAS akan memenuhi tuntutan mereka di mana apa yang dituntut itu telah tidak diperoleh daripada Barisan Nasional.

Ia seolah-olah mahu menjadikan PAS pengganti kepada UMNO bagi mencapai agenda yang tidak wajar. Namun begitu, terdapat juga agenda mereka yang adil dan serupa dengan PAS, maka perkara itu tidak ada masalah.

Dalam keadaan ini, kerjasama yang berkesan ini baru, maka sudah tentu terdapat usaha untuk saling faham-memahami. Dalam keadaan ini, wajar ada toleransi dan kompromi sehinggalah keadaan lebih kukuh dan lancar.

Usaha persefahaman antara bukan Islam dan PAS sudah berlangsung lama tetapi baru 8 Mac tahun lalu dapat dilihat keberkesanannya ekoran kemenangan dalam pilihan raya.

Untuk memahami keadaan ini, cuba lihat entity yang sedang ditangani oleh PAS. Di satu pihak ialah PAS. Sementara di pihak satu lagi ialah orang Islam bukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini terdiri daripada anggota Keadilan secara umumnya.

Di satu pihak lain pula ialah bukan Islam, yang terdiri daripada anggota DAP dan Keadilan.

Dari segi aspirasi keagamaan, pihak DAP dan bukan islam dalam keadilan walaupun terdapat perbezaan tetapi asasnya adalah serupa. Mereka mahukan negara liberal, demokratik dan sosialistik.

Sementara PAS dan orang Islam Keadilan walaupun mempunyai perbezaan dari segi kefahaman politik tetapi pada satu-satu peringkat mempunyai asas yang sama iaitu dari segi agama.

Sebagai contoh, orang bukan Islam di negara ini secara umumnya mahukan keadilan dari layanan daripada kerajaan. Kalau boleh mereka mahu supaya tidak ada kuota atau diskriminasi kaum.

Dari segi Islam dan fahaman keadilan yang dipegang oleh PAS dan Keadilan, asas ini dipersetujui oleh PAS.

Peluang pendidikan dan perniagaan harus terbuka dan saksama tanpa mengira kaum. Tetapi satu hakikat yang tidak dapat ditolak olegh sesiapa di negara ini, apa yang disebut sebagai meritokrasi dan diperjuangkan oleh DAP dan orang bukan Islam dalam Keadilan adakan akhirnya memberi kelebihan kepada bukan Islam mengatasi orang Islam.

Tidak perlu berkira-kira, sudah tentu universiti-universiti yang tempatnya terhad akan dikuasai oleh orang bukan Islam. Apatah lagi dalam bidang pendidikan. Ini adalah meritokrasi yang sudah tentu memihak kepada bukan Islam.

Sebagai orang Melayu, pendokong PAS dan Keadilan tentu faham perkara ini, dan mereka tentunya mahukan sistem yang turut memberi peluang setara kepada orang Islam.

Buat masa ini, mereka mungkin lihat apa yang dilakukan oleh UMNO sebagai korupsi dan penyelewengan hinggakan berlaku ketirisan dan orang Islam yang layak dibela ketinggalan.

Sememangnya orang Melayu secara umumnya sedar program bagi membela orang Islam dari segi pendidikan dan perniagaan masih perlu. Tetapi cara UMNO pula dilihat sebagai telah gagal kerana ketirisan.

Maka apa yang diperlukan ialah kerajaan yang bersih. Inilah platform PAS yang disokong bukan saja oleh orang islam tetapi bukan Islam. Tetapi masalah meritokrasi masih menjadi isu yang tentunya belum dapat penyelesaian.

Akhirnya perlu ada kompromin dalam Pakatan Rakyat di mana pada waktu sama meritokrasi diamalkan, tetapi pada waktu lain umat Islam tidak terpinggir akibat lemah dalam pelajaran dan perniagaan. Apa yang pasti ketuanan Melayu tiada tempat dalam Pakatan Rakyat.

KEDAHLANIE

Haiyo…. Tee Kiat, sulah lali ka??

Ong Tee Kiat bapak No 1 MCA, udah ngelabah dan angkat kaki??? Ke mana pulak dia nak pegi?? Arrr… bawak diri keluor negeri……??? Wey…. apa sudah jadi????

Dengor ceriter nyer, macam-macam hal apek ni….

Baru-baru ini, dia ada buat survey dalam blog nyer….. “Should MCA leave BN” untuk dapatkan feedback samada ahli dan para penyokong MCA mahu kekal dalam BN atau nak blah…. Rupa itu ler bunyi ceriter yer. Apa jadah nyer dia berbuat demikian tak tau ler….. Pada teman, itu mencari nahas nama nyer!!!

Cer komer teka, apa outcome atau keputusan survey online yang dia buat tu…..??? Well…. well… nampak nyer 78.1% responded mahu MCA blah dan angkat bungkus meninggalkan BN. Arrrr…. terkejut badak sumbu dia!!! Itu sebab teman kata….. dia sengaja menempah bala. Padan muka!!! Bertalu-talu orang minta respond daripada dia tentang hal tu… Kelu lidah tak dapat nak berkata apa-apa…… dok arrr…. arrrr…. arrrrrr jer ler!!! Lepas tu terus lenyapkan survey tu daripada blog nyer. Hai… nak tutup ceriter ke??? Atau diarahkan berbuat begitu, oleh…. you know who ler!!! Maap ler ya…. udah terlambat. Hi hi hi hi hi…… Satu Malaysia udah tahu!!!


Si Karpal Singh….. apa lagi, tak kasi chance langsung. Komer ingat dia nak lepas peluang cepu mas??? Adey…. Tee Kiat, sekarang apa macam??? Apa lu mau buat??? 78.1% mahu cabut…..!!! Majority respondents sudah cakap…. YES!!! So, apa you tunggu lagi??? Blah lah!!!

MCA….. tak tau ler, nak blah atau pun tidak… tapi, for sure…. Tee Kiat yang udah blah!!! Cabut lari dia ke luar negara. Woi….. menyorok ke??? Itu mungkin satu sebab mengapa dia lari. Takut kena soal tapi tak terjawab!!! Ermmmm…. kesian nyer!!

Satu sebab lagi, ialah pasal skandal PKFZ yang melibatkan RM12 billion. Woi… apa ke hal nyer kos nyer asyik, naik…. naik… naik…. dan terus naik!!! Duit sapa yang komer pakai…. duit rakyat jugak. Weh….. lingkup…. lingkup wang rakyat!!! Ini ler kesan nyer kalau berlaku, salah urus tadbir…. penyelewengan…. rasuah…. tamak…. sifat tak jujur…. di kalangan para pemimpin!!! Yang kenyang dan boncit perut ialah pemimpin UBN dan yang jadi mangsa dan terpaksa menanggung beban ialah rakyat. Nak tahu lebih lanjut, klik sini dan sini.

Yo…. Satu Malaysia, lihat lah bertapa ‘credible’…. ‘ accountable’…… ‘reliable’….. ‘responsible’ nyer pemimpin-pemimpin UBN, khusus nyer dari MCA…. !!! Incredible…. incredible….. cara putar alam mereka!!! Yes!!!! Malaysia Boleh!!!

Hapa boleh nyer???? Melingkup boleh ler!! Ini semua kerja giler. Aha…. jawab, jangan tak jawap!!! Dey… apek, mana lu mau lali??? Sidang Parlimen sudah mau mali….. tak mau lali arr…… mali…. mali… lai lai…!!!

Haiya…. lulu itu Kong Choy lali…….. Sikalang, ini Tee Kiat pun lali sama ka??? Jadi , sikalang, sapa mau jawap????

PerakExpress


Perosak Jemaah Islam Sedang Menjalankan Jarum-jarumnya

Oleh PolisPencen

Perbalahan dalam istilah khilaf atau pendapat antara Sayidina Ali dengan Muawiyah menjadi satu contoh teladan yang cukup baik untuk didalami oleh setiap pejuang Islam. Jika diteliti kejadian ini berlaku kerana wujud jarum-jarum adu domba oleh orang Islam sendiri yang berada di sekeliling pemimpin agung ini.

Perbalahan ini akhirnya mencetuskan perang siffin yang menjadi titik hitam dalam sejarah Islam. Sampaikan sekarang ada yang menuduh Muawiyah salah dengan pelbagai tuduhan sedangkan nabi bersabda bahawa orang yang mengetuai angkatan tentera laut dijamin masuk syurga di mana Muawiyahlah yang mengetuai angkatan itu.

Khilaf dalam membawa strategi/pendekatan dalam jemaah PAS juga merupakan satu perkara yang lumrah, tetapi menjadi dalang pengadu domba adalah perbuatan khianat adalah musuh dalam selimut kepada perjuangan. Memang musuh dalam selimut tidak mudah dikenali. Orang munafik yang diceritakan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al Baqarah memang cukup jelas tetapi untuk mengenalinya amat sukar.

Sifatullah jemaah Islam akan dikhianati, diadu domba oleh manusia yang dengki, iri hati dan tamak bagi mencari sesuatu kepentingan.


Saya terbaca satu petikan tulisan Tulang Besi, yang telah didedahkan namanya sebagai Abdul Rahman Talib seperti dipetik di bawah:-

Saya tak nampak jalan keluar. Dua tahun adalah masa yang sangat panjang. Apa-apa sahaja boleh berlaku.

Saya mencadangkan supaya Husam Musa dan keseluruhan pimpinan PAS yang tidak redha untuk duduk dalam kelambu UMNO supaya menarik diri dari kepimpinan yang ada sekarang ini.

Mereka musti ramai-ramai meletak jawatan serta membiarkan Fraksi UMNO melakukan apa yang mereka mahu. Biarkan sahaja apa sahaja kehendak Fraksi UMNO ini.
(http://www.malaysiawaves.com/)

Ini adalah satu perbuatan jahat dan khianat dalam Jemaah Islam. Setiap pemilihan PAS mesti ada yang menang dan kalah. Jika sekiranya yang kalah akan membuat perkara yang sama tidak mahu bersama dengan jemaah Islam, boikot dan menjatuhkan yang menang. Begitu yang menang meninggalkan yang kalah, cuba untuk menyingkirkannya. Gerakan Islam tidak akan ke mana-mana.

Apa yang berlaku dalam PAS sekarang, yang kalah adalah golongan yang cerdik dan menunjukkan komitmen yang baik tetapi mungkin berbeza atau khilaf dalam strategi menghadapi musuh. Golongan ini tidak diketepikan malah dilantik untuk bersama-sama membentuk barisan kepimpinan yang mantap bagi menghadapi musuh Islam sebenar. Saya melihat ini adalah satu keputusan yang terpuji.

Tapi malang musuh dalam selimut bertopeng keahlian PAS akan cuba menjadi pengadu domba yang akan merosakkan PAS demi untuk kepuasan nafsu. Benarlah kertas kerja Prof. Dr Harun Din dalam Seminar Ulama bahawa wujud musuh dalam selimut yang perlu diambil perhatian serius oleh ahli PAS.

Musuh munafik dan pengadu domba akan wujud sepanjang zaman selagi syaitan dan iblis ada. Benarlah kata-kata cerdik pandai manusia yang rosak hatinya nampak sahaja di luar baik tetapi berulat di dalam.

DetikDaily


Dakwaan Rasuah Pembinaan Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2, Senator Antara Tiga Disiasat SPRM

Seorang senator antara tiga ahli politik Umno yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Ketiga-tiga mereka memegang jawatan penting dalam parti di peringkat negeri disoal-siasat pasukan petugas khas SPRM.

Dua daripada mereka dikatakan sebagai pemimpin bahagian manakala seorang lagi menjawat jawatan bendahari bahagian.

Mereka ialah antara beberapa individu yang disiasat berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan pengambilalihan projek berkenaan oleh satu syarikat daripada syarikat lain.


Sumber mengatakan penyiasatan terhadap tiga ahli politik berkenaan adalah berkaitan penerimaan wang lebih daripada RM3 juta daripada syarikat yang mengambil alih projek yang hampir siap.

Keputusan sama ada untuk mendakwa mereka atau sebaliknya akan dibuat dalam masa 48 jam.

Jelas sumber berkenaan, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah SPRM untuk menentukan keputusannya.

MRR2 merupakan projek Kerajaan Persekutuan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

TVA

Henti Jadikan Chin Peng Modal Politik Perkauman - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Barisan Nasional dan media arus perdana kawalannya supaya berhenti menjadikan Chin Peng sebagai isu untuk membakar sentimen perkauman di negara ini.

Media rasmi seperti RTM telah mewar-warkan bahawa bekas ketua parti komunis Malaya itu adalah satu risiko kepada kedudukan orang Melayu dan kerajaan BN bertindak betul melarangnya kembali ke negara ini.

Anwar berkata beliau menolak gerakan militan Parti Komunis Malaya “tetapi itu tidak bermakna kita mempertahankan gerombolan orang yang menjadi agen kepada penjajah Inggeris."

Kerajaan BN seharusnya konsisten dalam melayan permintaan Chin Peng yang sudah berumur dan mahu kembali ke kampong halamannya, kata Anwar.


Anwar berkata kerajaan sebelum ini membenarkan bekas pemimpin kanan Parti Komunis Malaya seperti Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad, untuk kembali menetap di Malaysia tanpa masalah.

“Kita telah adakan perjanjian damai…Saya tak mahu melihat seolah-olah komunis Melayu tidak apa, tetapi komunis Cina tak boleh (dibenarkan pulang). Ini saya tidak boleh terima,’ kata Anwar.

Anwar berkata hakikat ialah pemimpin Barisan Nasional dan UMNO tidak mempunyai masalah berurus dengan kerajaan Cina pada bila-bila masa.

“Kita bukan sahaja sudah memaafkan mereka, malah kita berbaik-baik bukan sahaja dengan kerajaan Cina tetapi juga Parti Komunis Cina sendiri, “ kata Anwar.

“Pemimpin-pemimpin BN-UMNO dan ketika itu, saya sendiri, bila berkunjung ke Cina, menemui pemimpin-pemimpin negara itu yang terang-terang menyokong Parti Komunis Malaya,” tambah Anwar.

“Jadi bagi saya, kita harus konsisten dengan dasar kita (dan) kita maafkan” Chin Peng, kata Anwar.

Anwar berkata beliau menyedari kenyataannya akan diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan media arus perdana lain sebagai kononya beliau mempertahankan pengganas dan tidak simpati dengan derita rakyat ketika itu mahupun perjuangan pasukan keselamatan.

Namun Anwar menegaskan sekali lagi bahawa beliau hanya ingin melihat kerajaan konsisten dengan dasarnya dan biarlah “kita berperikemanusiaan.”

Beliau mengingatkan bahawa Islam sendiri mengajar umatnya untuk memaafkan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammmad S.A.W terhadap musuh Kafir Quraisy yang membunuh dan melakukan keganasan terhadap orang Islam.

TVA

Benarkan Chin Peng Pulang - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Atas dasar perikemanusiaan, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, patut dibenarkan pulang ke Malaysia, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia (Chin Peng) umur pun dah tua. Dia nak balik ke kampung halaman dia. Kita dah benarkan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap dalam Kongres Khas PKR di Bangi hari ini.

"Sejarah kita kena dilihat secara objektif dan (kita) ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja," kata Anwar, sambil menyifatkan isu komunis dimainkan media pro-pemerintah.

Menurut Anwar, ketika berada dalam kerajaan dahulu, beberapa pemimpin Umno, termasuk beliau pernah berkunjung ke China dan bertemu dengan pemimpin Parti Komunis China.


"Kita ada perjanjian damai. Kita bawa balik perbagai tokoh termasuk, Shamsiah Fakeh dan beberapa (pemimpin) yang lain. Bagi saya, atas dasar kemanusiaan dan konsisten dengan dasar, kita kita harus maafkan (Chin Peng).

"Dari segi Islam, ketika pembukaan Mekah, Rasulullah memaafkan semua kafir Quraish yang menyerang, membunuh dan melakukan keganasan terhadap Islam dan penyokong Rasulullah. Maknanya ada masa kita berdamai," katanya.

Chin Peng, 85, tinggal dalam buangan di Bangkok dan telah memohon kebenaran kerajaan dan juga melalui mahkamah untuk pulang ke Malaysia.

Dilahirkan di Perak sebagai Ong Boon Hua pada 1923, Chin Peng dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.

Perjanjian damai

Dia kemudiannya mengetuai Parti Komunis Malaya (PKM), yang disokong oleh China, melancarkan perang gerila terhadap penjajahan British dan kerajaan Malaysia, antara 1948 dan 1960.

Ahli-ahli sejarah menganggar kira-kira 2,000 tentera British dan pasukan keselamatan Malaysia terkorban serta 7,000 anggota komunis.

PKM kemudiannya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989 yang membenarkan beberapa pemimpin tinggi PKM pulang ke Malaysia.

Menurut Anwar lagi, Chin Peng harus dibenarkan pulang tetapi "ia tidak bermakna kita bersetuju dengan kesemua kesilpan yang telah dilakukannya".

Sebaliknya, kata beliau, pendiriannya mengenai Chin Peng itu adalah atas "alasan kemanusian" dan bukannya kerana beliau menyokong PKM kerana sewaktu masa mudanya, beliau menentang keras fahaman komunisme.

Banyak pihak, termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, menentang keras Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata sebarang saranan untuk membenarkan Chin Peng tidak akan dilayan dan menegaskan perkara itu hendaklah "ditutup".

Anwar berkata beliau menjangka Utusan Malaysia - akhbar milik Umno - akan "memutarbelit" kenyataannya mengenai Chin Peng hari ini.

Ada kemungkinan, katanya, mereka akan menulis tajuk "Anwar sokong Chin Peng" atau "PKR suara baru komunis".

malaysiakini

Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi'

Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".

PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.

Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.

Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.

'Kemungkinan p'raya mengejut'

"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.

Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.

Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

malaysiakini

UMNO/BN TAK BOLEH HARAP

Rakyat telah menolak Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata ia adalah bukti yang jelas bahawa rakyat sudah tidak lagi mengharapkan parti Umno/BN memimpin negara ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Skuan Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di hadapan Pasar Chukai, Kemaman, baru-baru ini.

“Program ini sangat baik dan besar pahala. PAS ‘cakna’ dan peduli nasib rakyat miskin tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

“Rakyat pula sudah sedar yang Umno dan kerajaan Barisan Nasional tidak boleh diharapkan lagi sejak berlaku PRU ke-12 tahun lalu,” ujarnya.


Katanya, pendekatan serta slogan ‘PAS For All’ memang masa kini sesuai untuk semua rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS negeri yakin dan percaya dengan sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat membawa perubahan.

Katanya, dalam pilihan raya akan datang bukan sekadar Terengganu berjaya dikembalikan kepada PAS tetapi Malaysia amnya kepada Pakatan Rakyat.

“Saya yakin dan percaya dengan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat akan kekal hingga PRU ke-13, bukan sekadar Terengganu tetapi Malaysia akan tumbang kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Pada majlis tersebut sebanyak 21 cawangan PAS di Dun Chukai masing-masing menerima watikah perlantikan Skuad Khidmat Masyarakat dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat MTD Chukai.

Hadir sama pada majlis tersebut bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Dagang, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Ramli, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing serta Pengerusi Kelab Penyokong PAS Chukai.
BuletinOnline

PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama

Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.

Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.


Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya.
BuletinOnline