"Saya ingin ingatkan sekali lagi, setiap perbuatan dan percakapan kita akan di 'audit' oleh Allah SWT. Mereka yang melompat parti mengkhianati amanah rakyat, hari ini boleh sahaja menjawab, tetapi esok di padang mahsyar, sediakanlah jawapan jika kamu mampu! Jika ingatan saya ini masih belum cukup, sekurang-kurangnya beringatlah dengan firman Allah SWT yang bermaksud : Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)',"
Friday, 05 March 2010 2:20 PM
Oleh Roziyah Mahamad
KUALA LUMPUR : Politik negara ketika ini bergoncang dengan tindakan beberapa orang ahli perlimen dan individu daripada Parti Pakatan Rakyat (PKR) keluar parti.
"Dari katil hospital, saya membaca gelagat ini yang dipersembahkan satu demi satu. Ada yang mengisytiharkan bebas bahkan ada yang terus memasuki Umno.
"Barangkali drama ini sudah di penghujung atau akan ada lagi watak-watak lain, wallahua’lam. Hati manusia memang sukar untuk diduga," kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipetik dari laman sesawang setiausaha akhbar Menteri itu.
Beliau sebenarnya pelik memikirkan tindakan mereka yang keluar parti ini. Daripada mula beliau membaca alasan-alasan yang dikemukakan, agak terasa janggal sebenarnya.
"Gendang yang dipalu langsung tidak sama dengan tarian. Mungkin tanah yang tinggi rendah atau pertimbangan yang telah dikuasai kepentingan, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
"Jika punca sebenarnya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan, adakah sepatutnya langkah keluar parti menjadi pilihan? Tidak wujudkah jalan lain yang lebih dilihat jujur dan harmoni? Saya yakin, jika mahu bersikap jujur, boleh saja didesak supaya adakan mesyuarat tergempar, usulkan cadangan supaya keadaan dibaiki.
"Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati. Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti? Sedihnya, ribut tidak, hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya." kata beliau lagi.
Beliau yang kini berada di Wad 2 Timur, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berkata mereka yang keluar parti perlu berfikir, jujur membuat penilaian.
"Bukankah kita dipilih oleh rakyat dengan mandat yang sah? Rakyat memilih wakil mereka melalui parti yang mereka tandingi. Tidak bimbangkah mereka yang melompat, pengundi mereka yang merasa tertipu akan menyumpah seranah?
"Bukan sahaja pengundi mereka, kalau saya sendiripun ditipu oleh wakil yang dipilih seperti ini, saya akan marah. Di dunia ini kamu berdepan dengan kemarahan pengundi, di akhirat nanti terpaksa pula menjawab di hadapan Tuhan," kata Datuk Nik Aziz.
Beliau juga berpesan, lakukanlah tindakan yang kita yakin dapat menjawabnya jawapan di depan Tuhan supaya ada setitik kesedaran menitis di atas kegersangan hati untuk kembali sedar bahawa perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan disoal satu hari nanti.
"Secara logiknya, pemimpin sebegini perlu meletakkan jawatan dan kembalikan saja mandat kepada rakyat.
"Bertanding di atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri," jelas beliau.
Dalam kenyataannya, beliau turut mengulas hujah sesetengah pihak wakil rakyat melompat yang menyatakan, jika mereka meletak jawatan, bagaimana mahu bertanding semula.
Berhubung hal ini, Nik Abdul Aziz berkata, "Jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin tersebut hanya memikirkan kepentingan diri, bukan lagi kepentingan rakyat. Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding, jelas dan terang menjaga kepentingan diri.
"Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta. Barangkali, alasan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara hanyalah ratib palsu sahaja bagi menghalalkan tindakan.
"Tidak logik, demi menjaga kepentingan agama dan bangsa, menyerahkan diri kepada UMNO, parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa."
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar rakan-rakan PKR tidak mudah berputus asa.
Begi beliau, PKR masih lagi muda dalam gelanggang politik negara dan Pas sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam oleh amalan lompat parti.
"Di Terengganu, pernah Pas tersungkur kerana ada yang melompat parti. Pada zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti.
"Hari ini, Pas sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu. Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat.
"Akhir sekali saya ingin ingatkan sekali lagi, setiap perbuatan dan percakapan kita akan di'audit' oleh Allah SWT. Mereka yang melompat parti mengkhianati amanah rakyat, hari ini boleh sahaja menjawab, tetapi esok di padang mahsyar, sediakanlah jawapan jika kamu mampu!
"Jika ingatan saya ini masih belum cukup, sekurang-kurangnya beringatlah dengan firman Allah SWT yang bermaksud : Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)'," tegas beliau lagi mengakhiri tulisannya.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).