Thursday, October 21, 2010

Calon diumum malam ini : PAS tampil calon terbaik untuk masyarakat Galas

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Ahli Parlimen PAS Kelantan yakin, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas yang akan diumum parti itu malam ini adalah terbaik untuk rakyat di Dun itu.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli, beliau yakin segala pertimbangan sudah dibuat kepimpinan parti bagi memastikan calon yang akan mewakili PAS pada PRK itu bukan sahaja mampu menjadi wakil rakyat, malah juga mampu meneruskan legasi khidmat cemerlang Adun sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, kaedah pemilihan calon yang bermula dengan PAS negeri membuat saringan di peringkat PAS kawasan, kemudian dibawa ke PAS pusat dan seterusnya kepada Majlis Syura PAS, sudah cukup untuk memastikan calon yang bakal diketengahkan adalah calon terbaik dari segala aspek.

"Saya yakin, siapa juga calon yang akan diumum malam ini adalah yang terbaik kerana telah melalui saringan di peringkat akar umbi.

"Tentunya calon tersebut seorang yang dikenali rakyat Galas dan sumbangannya juga diketahui umum masyarakat di situ," katanya yang juga bendahari PAS Pusat.

Seorang lagi Ahli Parlimen PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar juga mempunyai pandangan serupa.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, calon yang akan diumum malam ini tentunya sesuai dengan kondisi masyarakat Galas yang rencam.

"Galas ini kawasannya luas, ada penduduk bandar dan ada luar bandar. Tentunya calon yang dipilih adalah calon yang menguasai keadaan di Galas ini," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

Selain itu jelasnya, calon yang akan dipilih PAS juga sudah tentu calon yang memahami kepelbagaian kaum di Galas yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.

"Saya yakin calon itu nanti akan mempermudah kempen kita bagi mengekalkan Dun Galas," katanya.

Dalam pada itu, PAS akan mengumumkan calon mereka malam ini bertempat di perkarangan Markas Besar PAS di Bandar Lama bersebahan pejabat pos Gua Musang.

Ketiga-tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mengesahkan kehadiran malam ini.

Pengumuman malam ini juga adalah bersempena ceramah perdana sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nazri Abdullah Harakahdaily

Batu Sapi : 20 borang pencalonan diambil

SANDAKAN, 21 Okt — Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah setakat ini mengeluarkan 20 borang pencalonan untuk pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi.

“Saya tidak pasti sama ada semua borang itu akan diserahkan kembali. Kami hanya menjual, siapa-siapa pun boleh beli.

“Tetapi kalau ada yang memutuskan untuk bertanding nanti, saya berharap borang pencalonan akan diserahkan dengan deposit RM10,000 untuk bertanding sebagai calon Parlimen,” kata Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah.

Borang berharga RM20 bagi satu set.

Hari penamaan calon adalah Selasa ini sementara hari mengundi pada 4 November.

Kerusi kawasan Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas. — Bernama

TMI

Sayap baru UMNO; 'Briged Musang Berbulu Ayam' dan 'Briged Sesumpah' - apa khabar ganu kita

Kadangkala bila membaca berita dan cerita tentang parti 'usang' Umno macam membaca sebuah hikayat, maklumlah sebuah parti purba..

Pemimpin Umno tidak mahu menerima kejelekan yang berlaku adalah dek kerana perangai mereka yang suka hidup bermewah-mewah sesuai dengan pengakuan mereka bahawa mereka lah 'Tuan-Tuan Melayu'.

Sebab itu, sekiranya parti Umno ada lagi pada tempoh 50 tahun akan datang, pemimpinnya akan terus melaungkan dan berbahas dengan begitu bersemangat tentang perjuangan Melayu.

Nak buat macamana, parti tu dah ggitu, tak ada modal nak buat bercakap, tak ada modal nak buat berniaga, ‘wa emma’ 100 atau 200 tahun lagi pun, Perhimpunan Agung Umno akan wat modal niaganya, Melayu…Melayu…. Melayu….

Dengan buat modal Melayu lah selama ini Umno boleh hidup, sebab itu Tun Mahathir walaupun sudah acap sakit-sakit dan ‘keluar –masuk’ Umno macam naik turun lif, tapi tetap menjadi penyokong tegar Ibrahim Ali

Kalau zaman penjajah British, orang-orang di Malaya baik Melayu, India atau Cina akan memanggil 'Tuan' kepada pegawai-pegawai Inggeris

Sekarang, British sudah menurunkan 'tarikat' itu kepada Umno, maka Umno akan terus memperjuangkan 'ketuananan Melayu'.

Jadi, kalau rakyat buat salah, tersalah ‘berkasih’ dengan anak-anak mereka, mereka bukan berikan keizinan dan mengahwinkan dengan segera, supaya mengelak maksiat kerana mereka juga mengaku Islam.

Tapi rakyatlah yang akan dipersalahkan; tersalah tegur, tersalah panggil, tersalah ‘gelar’, tersalah memilih anak pemimpin Umno sebagai orang yang dicinta, Mamat Melayu kampung yang 'bangsat' akan menerima nasib seperti filem P.Ramlee, rakyat semua tahu filem ‘Antara Dua Darjat’.

Rata-rata pemimpin Umno yang ada pada hari ini bukannya pejuang rakyat, jauh sekali diantara mereka yang masih berbaki sebagai pejuang kemerdekaan.

Kebanyakkan yang memimpin Umno sekarang ini mewarisi 'takhta dan kuasa' dari ayahanda mereka, kerana ayahanda mereka telah menjadi pemimpin Umno sebelum ini, maka dengan mudah mereka masuk dan diangkat, kemudian mendapat pangkat.

Mereka tidak pernah merasa kesusahan rakyat, mereka bersekolah disekolah yang terpilih, masuk universiti luar negara, kerana bapa mereka orang ternama, walaupun mereka bukan pelajar kelas pertama dan tak layak terima biasiswa, tapi boleh semacam.

Ada di merata-rata, pemimpin Umno yang SPM pun tak ada, tapi boleh hidup mewah kaya raya, ada duit berjuta-juta, rumah gedung dan kereta besar.

Lalu mereka berbangga, inilah nikmat kemerdekaan selama 53 tahun, apakah kamu tidak bersyukur?

Inilah kekayaan negara, yang diagih sama rata, kata mereka, sedang rakyat dikampung-kampung yang berjaya, lulus cemerlang dalam periksa, payah nak dapat biasiswa.

Bahkan ramai rakyat yang berjaya, lulus cemerlang, tetapi tdak akan dianggap sebagai gemilang dan terbilang, kerana mereka menyokong pembangkang!

Pemimpin Umno meletakkan diri mereka seolah-olah setaraf dengan dewa-dewa dikayangan (kalau ada), tinggal diistana-istana, tidak berjalan melainkan menaiki kenderaan yang bergerak laju umpama ‘terbang’, kalau pun tidak pergi-mari dengan manaiki kapal terbang.

Sebab itu mereka mesti berjuang, bukan untuk membela rakyat, tetapi mengekalkan diri mereka sebagai ‘Tuan-tuan’ Melayu. Lalu mereka namakan perjuangan mereka adalah untuk ‘Ketuanan Melayu’.

Oleh kerana itu tidak hairan kalau mereka sudah berkuasa, mereka boleh kata macam-macam kepada orang yang dikuasainya, macam kisah raja-raja, kisah ‘Musang Berjanggut…..

Tapi yang di Terengganu dia tidak panggil begitu, Cuma dia ‘gelor’ ahli-ahlinya sendiri sebagai ‘Musang Berbulu Ayam’…… maknanya Dato’ Sri Hishamuddin Hussein tak percaya kepada ahli-ahli Umno Terengganu.

Sebab itu dia panggil ‘Musanggg…… yang makan dan gemuk dalam Umno’…. ??11

Mungkin dia sendiri tak jumpa si Musang itu, kalau dia jumpa mengapa dia tak temmbak atau perangkap Musang itu?

Kalau dia jumpa si Musang yang berbulu ayam dalam Umno, yang makan dan gemuk dalam Umno, tetapi Hishamuddin tak buat apa-apa…. itulah sebabnya beliau gagal memimpin Umno Terengganu…….

Itu kurang sikit, kira O.K jugalah, sebab binatang ‘Musang’ni sebenarnya ada juga faedahnya dalam rantaian hidup pemangsa dan menjadi mangsa.

Di tepi jalan menuju ke rumah ambe, ada sebatang pokok ciku, yang berbuah sokmo sepanjang tahun, ada sokmo buah.

Nak tahu apa rahsianya, si Musang lah......

Tapi ini musang buah, nak menunjukkan kebesaran Allah SWT.

Setiap malam pasti musang itu ada dibawah pokok ciku, mengambil rezeki dari Allah, mungkin ada bini dan ada anak yang makan buah dari pokok yang sama

Musang jenis ini Hishamuddin tidak akan tembak atau perangkap, kerana dia setia dan tepat waktu 'jemba' ke pokok ciku, mahu mengisi perutnya yang lapar.

Perut-perut yang lapar jugalah yang menjadi ikatan Umno Terengganu, sebab itu ada bemacam-macam dana ditabur keliling-kelalang.

Yang tua, fesyen dengan tua, dana bantuan itu dan ini.

Yang muda cara orang muda, dengan dana bakti remaja.

Jadi tidak selesaian, sehingga baru-baru ini, Ketua Umno Setiu, Dato' Mat Jidin kata, jumlah orang miskin di kawasan Setiu 'kohor' ramai, bukan semakin berkurang!.

Walau bagaimana pun, mantan ketua pemuda Umno, si Hishamuddin tidak sehebat Ketua Pemuda si Khairy Jamaluddin yang belajar di Oxford

Hebatnya dia sampai dia gelor Pakatan Rakyat sebagai seeekor haiwan 'Cerberus' yang orang Melayu tak pernah tengok dengan mata kepala.

Punyalah hebatnya Khairy punya imiginasi, sampai cerita dongeng 'Heraclus' (Herculis) pun masuk dalam perhimpunan agung Umno.

Mungkin pengalaman lalu, samada dia atau anak-anaknya ketakutan tengok cerita tentang haiwan itu sehingga lekat di 'kepala'nya.

Lalu kerana ketakutan itu, dia mengumpamakan Pakatan Rakyat sebagai 'Cerberus' yang berkepala tiga.

Tapi adakah patut, dia menggelar pemimpin umno dengan seekor haiwan kecik 'peh' yang dipanggil sesumpah.

Mungkin dia kurang mengenali haiwan sesumpah kerana belajar dinegeri orang putih.

Jadi, kalau si Khairy nak mengkaji lebih lanjut tentang haiwan yang bernama 'sesumpah', dia perlu tubuhkan satu lagi makmal yang dikendalikan oleh pemuda Umno di Putrajaya.

Tak susah untuk cari pakar tentang sesumpah ni, panggil saja si Ezam atau Zahit Mat Arip, mereka dengan beberapa kawan-kawan sewaktu dengannya, memang cukup 'arif' tentang sesumpah.

Oleh itu, Tuan Pengerusi Tetap....... ambe cadangkan, dua sayap baru untuk Umno dalam usaha umno untuk mendekati pengundi muda; Briged 'Musang Berbulu Ayam' dan 'Briged Sesumpah'!

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 dikenakan kepada TV3,” - Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Santa 'Pak Haji' : TV3 didenda RM50,000

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) telah dikenakan denda maksimum RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan iklan kontroversinya berhubung sambutan Aidilfitri yang lalu.

Iklan yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta pertama itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari, siasatan SKMM mendapati iklan berkenaan “menghina dan mengapi-apikan”.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen bebas yang mewakili Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan ke atas TV3 kerana menyiarkan iklan “Sinari Lebaran”.

Zulkifli dalam soalannya mendakwa iklan tersebut “menghina dan menjatuhkan martabat Islam”.

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada TV3,” kata Salang.

TV3 semasa bulan Ramadan lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Sementara itu, berhubung soalan Zulkifli mengenai usaha pemantauan dan penguatkuasaan berhubung penularan “fitnah perkauman dan agama” menerusi media siber dan elektronik, Salang berkata mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta SKMM ia tidak terhad kepada artikel yang dimuatnaik dalam laman berkenaan tetapi juga membabitkan interaksi serta komen yang dianggap memfitnah mana-mana agama ataupun kaum.

“Bagi kesilapan yang lebih serius, sebagai contoh menghina Islam dan agama lain yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keselamatan negara, kita boleh rujuk kepada Akta Hasutan 1948 dan akta Keselamaatn Dalam Negara,” katanya.

Mkini

Keuntungan berganda Pas

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kejayaan mendapatkan bekas bangunan UMNO Kota Bharu di sini, memberi kemenangan dua dalam satu kepada Pas.

Menurutnya, selain mendapat memiliki bangunan yang sangat bernilai itu, imej parti lawan secara tidak langsung terjejas, sekali gus memberi kelebihan kepada Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha untuk menawan Putrajaya.

“Saya mengibaratkan seperti sebiji batu dapat kepada dua burung, dapat bangunan dan jatuhkan imej lawan, kita mendapat keuntungan berganda dari satu perkara,” katanya berucap pada majlis penyerahan kunci bangunan itu kepada Pemuda Pas di sini, semalam.

Bangunan yang dinamakan sebagai ‘Al-Syabab Point’ itu dibeli dengan harga RM4.5 juta bakal menjadi pejabat Pemuda Pas negeri dan pusat komersial setempat.

Perjanjian jual beli bangunan itu dilakukan di sebuah hotel di Gua Musang, kelmarin, yang ditandatangani antara bekas Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim dengan Setiausaha Pas Kelantan, Zaki Ibrahim.

Difahamkan bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh lama berjaya disiapkan Zaid yang kini bertindak sebagai penyelaras Pakatan Rakyat (PR).

April lalu, UMNO Kota Bharu yang diketuai, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Terdahulu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menaikkan bendera Pas di hadapan bangunan itu sebagai simbol pemilikan bangunan yang dianggap bersejarah kepada Pas kepada Pas Kelantan.

Dalam ucapan itu, Nik Aziz turut menegaskan, jika Pas dapat memiliki bangunan UMNO itu serta menguasai Kota Bharu, maka tidak mustahil parti itu dapat mengusai Putrajaya kelak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Abd Latif Abd Rahman berkata, pemilikan bangunan itu sekali gus dapat meningkat semangat pemuda untuk terus bekerja bagi meningkat sokongan kepada Pas.

SH

“Tengku Razaleigh tidak sesuai bersama UMNO”

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dinasihatkan supaya keluar dari perjuangan sempit perkauman yang telah ’membulinya’ selama ini dan menghabiskan sisa usianya bersama-sama perjuangan Islam.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, individu yang mempunyai integriti seperti Tengku Razaleigh tidak sesuai duduk di dalam UMNO kerana ia tidak memberi sebarang nilai kepada parti itu.

“Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera mendapat bunga. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara.

“Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah DUN Galas terletak di Kota Baharu, sudah tentu nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada: Sinar Harian:, semalam.

Beliau berkata, suatu ketika dulu, nama Tengku Razaleigh tidak dihiraukan oleh UMNO ketika Pilihan Raya Kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai bersebelahan Gua Musang.

“UMNO jelas tersepit di Galas. Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah PRK DUN Galas dan sekali gus menjadi calon.

“Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit. Jika UMNO dapat menawan Galas, maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus,” katanya.

Suhaizan berkata, integriti yang ada pada Tengku Razaleighakan dihargai dalam Pas dan Pakatan Rakyat (PR) serta mengalu-alukan penyertaan veteran politik itu bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat dan agama Islam.

“Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam, rakan karib kelab malam semasa zaman mudanya, mengapa tidak boleh bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rakan-rakan lain dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan?:

“Sudah tiba masanya Ku Li keluar daripada kepompong sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas ketika usia mudanya dulu,” katanya.

SH

Pemuda PAS berhimpun bantah Rosmah

FB Photos - Wall Photos

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan himpunan aman sebagai membantah tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w. pada penganjuran Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Himpunan tersebut akan diadakan di masjid negeri seluruh Malaysia selepas solat Jumaat, 22 Oktober ini.

"DPPP mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Kita desak Rosmah bertaubat dan minta maaf kepada umat Islam secara terbuka," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Pada festival tersebut, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Tambahnya, pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian Islam tetapi pakaian wanita jalang dan jahiliah.

"Sungguh memalukan dan jelas menunjukkan Rosmah jahil dan berniat jahat terhadap Islam," tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, DPPP menggesa seluruh ummat Islam bangkit membantah tindakan Rosmah dan mendesak isteri Perdana Menteri itu bertaubat dan mohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Rosmah merupakan Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival.

Harakahdaily

Nik Aziz : Tokoh 20 tahun membangun bersama Islam

KOTA BHARU, 21 Okt : Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Salmah Mat Husain & Foto: Mohd Nor Harakahdaily