Hadi berkata tindakan yang dijangka akan dikenakan Anwar akan “memalukan” pihak berkuasa. — gambar fail |
KUALA LUMPUR, 16 Dis — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan keputusan parlimen yang dijadual akan menggantung Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan adalah satu “tragedi” dan “kesilapan besar” yang memalukan.
Hadi berkata jika benar hukuman itu dikenakan ke atas Anwar pagi ini, ia akan memberikan gambaran buruk di kalangan rakyat.
“PAS membantah cadangan pihak tertentu untuk mengambil tindakan penggantungan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan daripada Parlimen.
“Jika benar penggantungan ini akhirnya dilaksanakan, ia adalah merupakan satu tragedi demokrasi di negara kita.
“Keadaan ini terjadi dalam keadaan pemimpin negara melaungkan hasrat untuk mengangkat kedudukan Parlimen ke taraf antarabangsa tetapi pihak yang sama juga terlibat dalam meruntuhkan institusi yang mewakili rakyat dalam negara kita ini.” katanya.
Dalam laporan yang dibentangkan di Parlimen kelmarin, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengesyorkan agar Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran dakwaannya mengaitkan konsep 1 Malaysia dengan One Israel.
Usul menggantung Anwar akan dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat hari ini, yang akan memutuskan sama ada syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu diterima atau sebaliknya.
Anwar terdahulu mengaitkan konsep 1 Malaysia dengan One Israel. — Foto Reuters |
Datuk Seri Nazri Aziz pada 22 April lepas telah mengemukakan usul untuk merujuk Anwar pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran kenyataan yang dibuatnya itu yang mengaitkan firma perhubungan awam APCO Worldwide yang dilantik oleh kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa bersetuju bahawa dakwaan Anwar itu adalah tidak benar.
Menurut Hadi, penafian hak ke atas Anwar yang juga Penasihat PKR untuk membela diri dalam isu itu merupakan satu kesilapan besar.
“Ia merupakan satu kesilapan besar dan menyerlahkan kepada umum kejahilan yang memalukan pihak yang terlibat dalam proses menjatuhkan hukuman.
“Apa yang berlaku hingga kini ialah bukan sahaja pihak kerajaan yang ingin menghukum itu gagal dalam memberikan hujah balas kepada isu yang diperkatakan, tetapi juga gagal mengemukakan apa-apa jawapan yang meyakinkan.
“Sikap hanya bergantung kepada sekeping surat daripada pihak yang berkepentingan tentunya bukan satu tindakan yang adil,” katanya.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang meminta agar kesilapan yang berlaku dalam kes itu diperbetulkan segera supaya terus dihormati rakyat di negara ini.
“PAS ingin mempertegaskan bahawa kami bersama Pakatan Rakyat adalah secara konsisten menyertai sistem demokrasi dalam usaha membangunkan negara.
“Namun jika komitmen kami ini gagal dihormati, malah pihak pimpinan Barisan Nasional sengaja menutup pintu demokrasi ini, kita tidak mampu memberi jaminan bahawa rakyat akan terus bersama dapat menghormati sistem ini,” katanya.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggotai oleh Pandikar Amin, Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar terhadap APCO itu.
Karpal dan Sivarasa bagaimanapun menarik diri daripada keanggotaan jawatankuasa itu setelah kalah dalam undi belah bahagi dalam jawatankuasa itu untuk meneruskan pertimbangan kes tersebut berdasarkan surat penjelasan daripada APCO dan Hansard Dewan Rakyat.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra TMI