Wednesday, May 20, 2009

Kerajaan Negeri Kelantan Iktiraf Dan Beri Ganjaran Kepada Pelajar Cemerlang



klip video ehsan : tvpas09

Alasan Tak Bertanding Hanya Dalih Umno, Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat



klip video ehsan : tvpas09

Zambry Hanya Layak Diumpamakan Dengan 'Mugabe'

Menteri Besar 'haram' Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kader tidak layak disebut sebagai tokoh India, Mahatma Gandhi atau Afrika Selatan, Nelson Mandella tetapi lebih mirip kepada tokoh zalim pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Haji Ahmad.

Jelas beliau, kenyataan Dr Zambry baru-baru ini bahawa beliau umpama Gandhi atau Mandella yang sanggup berjuang demi rakyat amat memalukan kerana perjalanan politiknya berlainan dengan apa yang dilalui oleh kedua-dua tokoh tersebut.

"Malu sungguh bila Dr Zambry mengakui dirinya bagaikan Gandhi atau Mandella kononnya perjuangannya mendapatkan hak sebagai Menteri Besar Perak untuk memperjuangkan nasib rakyat, " tambah beliau.

selanjutnya : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020781&Itemid=100

PAS Permatang Pauh Alu-alukan Kedatangan Petugas

PAS Permatang Pauh mengalu-alukan kedatangan petugas daripada luar Pulau Pinang untuk membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman walaupun Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding di situ.

Yang Dipertuanya, Omar Hasan ketika dihubungi menjelaskan, keputusan mesyuarat semalam juga memutuskan untuk mengerakkan semua jentera di peringkat Unit Peti Undi (UPU) dan sedia bekerjasama dengan jentera Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang menjadi nakhoda dalam pilihan raya kecil N12 Penanti pada 31 Mei nanti.

"PAS Permatang Pauh mengalu-alukan petugas daripada luar untuk membantu Pakatan Rakyat bagi memastikan kemenangan yang mutlak walaupun BN tidak berani meletakan calon di sini," ujarnya.

Jentera pilihan raya katanya, akan dilatih sebaik-baiknya untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

Bila ditanya adakah lagi pertembungan PAS Kawasan dan KeADILan di Penanti katanya, tiada malahan sanggup bekerjasama dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan untuk semua kaum.

Semua petugas yang ingin menabur bakti di Penanti Omar menambah, datanglah dengan sikap yang matang jangan sekali-kali mencetuskan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif pada Dun ini sebaliknya memberi buah fikiran dan tenaga paling maksimum.

"Datanglah bantu calon Pakatan Rakyat dan bila datang carilah markaz besar KeADILan atau PAS untuk membantu jentera masing-masing," terangnya yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Pulau Pinang.

artikel asal : HarakahDaily

Pergolakan UMNO Perlis, Ada Usaha Burukkan Imej Isa Sabu

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat desas-desus penyertaan 1,000 orang ahli Umno Bahagian Kangar ke dalam KeADILan sebagai satu mainan politik kotor dalaman Umno sendiri.

Menurut beliau, perkara ini ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu yang baru dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri baru-baru ini.

"Saya menyifatkan ini adalah satu usaha untuk mencalar imej Md Isa yang baru dilantik menerajui Umno Perlis serta jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagaian Kangar.

"Ini adalah satu permainan politik dalaman Umno oleh pihak tertentu yang bertujuan menjatuhkan sesama mereka. Berita ini ditimbulkan sebagai satu usaha membantah pelantikan Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Umno negeri yang baru.

"Dengan berbuat demikian ianya akan dilihat seolah-olah Md Isa gagal mengawal parti dengan baik," katanya.

Apapun, Ustaz Hashim tidak menolak adanya kemasukan ahli-ahli Umno ke dalam KeADILan.

"Saya difahamkan memang ada yang masuk parti KeADILan. Kami mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam parti sahabat kita. Apapun yang berlaku saya melihatnya sebagai masalah dalaman Umno itu sendiri," ujarnya lagi.

artikel asal : HarakahDaily

Sebutan Semula Kes Hina Sultan Perak 19 Jun

Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes seorang ahli perniagaan dan isterinya yang didakwa mengedar komen lucah mengenai Sultan Perak Sultan Azlan Shah menerusi http://books.dreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan ke laman web pejabat baginda.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan peguam Jagdeep Singh Deo mengemukakan bantahan awal dalam pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Chan Hon Keong, 26, dan isterinya Khoo Hui Shuang, 27, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Permatang Pauh, dekat sini kira-kira 12.05 pagi, 13 Feb lepas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 292 yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain pertuduhan itu, mereka juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen lucah itu menggunakan aplikasi internet dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum setahun.

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Kemuka Asas Pembubaran DUN Perak Kepada Raja Nazrin

Harapan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak nampak semakin cerah apabila Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan asas dan hujah kukuh bagi cadangan pembubaran DUN kepada Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah semalam.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diterima mengadap Raja Muda tengahari semalam di Istana Iskandariah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang.

Semasa taklimat ringkas beliau pada Mesyuarat Perhubungan PAS Perak Datuk Seri Nizar berkata beliau mengambil kesempatan singkat itu memohon maaf bagi pihak Pakatan Rakyat dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati baginda.

Beliau juga bagi pihak Pakatan Rakyat mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Datuk Seri Nizar juga secara berterus terang memberi pandangan beliau terhadap senario dan kemelut politik di Perak disamping merayu supaya agar baginda memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak bagi mengakhiri episod kemelut politik yang berpanjangan sehingga kini.

Tambah beliau Pakatan Rakyat akan menghormati apa sahaja pendirian dan keputusan rakyat sama ada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional.

Datuk Seri Nizar juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir.

Beliau bimbang insiden kekecohan semasa sidang DUN 7 Mei akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga dan akan hanya memalukan imej baginda dan negeri Perak.

Datuk Seri Nizar juga sebelum itu memberi pandangan kepada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Hassan mengenai kemelut politik di Perak serta merayu supaya beliau turut memainkan peranan menyelesaikan krisis itu melalui pembubaran DUN.

Walaupun pertemuan antara Datuk Seri Nizar dengan Raja Dr Nazrin singkat namun mesej yang beliau sampaikan amat berharga bagi baginda membuat pertimbangan terbaik rakyat Perak yang mahukan mandat mereka dikembalikan semula.

artikel asal : TVAntara

Dipinggir, Disisih.. DiLayan Seperti Pariah?

Hashim Suboh tak tolak kemungkinan sertai pembangkang

Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, beliau sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang.

"Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya.

"Tak kan saya hendak tunggu saya naik ke atas. Apa yang berlaku ini sedang menjadi perhatian saya.

"Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Hashim, pemimpin pembangkang sudah banyak kali menghubunginya supaya menyertai parti mereka.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini beliau sedang melihat perkembangan terbaru dalam Umno sebelum membuat keputusan muktamad.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu perkara yang telah dibina iaitu hubungan saya dengan menteri dan majlis tertinggi (MT) Umno rosak.

'Tiada usaha rapat semula'

"Tetapi saya tidak tolak sebarang kemungkinan (menyertai pembangkang)," katanya lagi.

Hashim berkata, pemimpin Umno yang kalah dalam pemilihan parti tahun lalu telah dilayan seperti pariah.

"Saya juga jadi pariah walaupun rasanya saya tidak bersalah kepada Umno," katanya.

Beliau berkata, pemimpin yangi menang dalam pemilihan parti tidak berusaha untuk merapatkan semula kepimpinan parti selepas berlakunya pertandingan jawatan utama peringkat bahagian di Perlis.

Hashim berkata, sebaliknya mereka bersikap "orang menang dapat semua dan orang kalah hilang semua".

"Penyokong bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dipinggir dan disisihkan.

"Menteri Besar Datuk Md Isa Sabu tidak memberi ruang kepada kumpulan Datuk Seri Shahidan.

"Isu Perlis ialah bukan sahaja melibatkan dua pemimpin utama itu tetapi juga membabitkan penyokong Datuk Seri Shahidan dan Datuk Md Isa," katanya.

artikel asal : malaysiakini

Hashim Jasin Tarik Diri Tanding Ketua Dewan Ulama

Penyandang jawatan timbalan ketua Dewan Ulama PAS, Hashim Jasin menarik diri daripada mempertahan jawatan tersebut dan sekaligus memberi laluan kepada timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Apabila pencalonan ditutup pada 17 Mei lalu, jawatan ketua dewan tersebut dimenangi tanpa bertanding oleh timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib apabila penyandangnya, Datuk Mohammad Daud tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua Dewan Ulama.

Ini bermakna ketiga-tiga jawatan utama kepimpinan Dewan Ulama PAS dimenangi tanpa bertanding.

Manakala 41 orang dicalonkan untuk bertanding mengisi 16 kerusi ahli jawatankuasa dewan tersebut.

Hashim yang juga pesuruhjaya PAS Perlis dan ADUN Sanglang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Katanya, beliau menarik diri kerana mahu memberi peluang kepada Ahmad yang menurutnya memang layak memegang jawatan tersebut.

"Saya harap dia juga jangan tarik diri. Dia muda lagi dan lebih banyak tenaga. Kita dalam PAS bukan hendak merebut jawatan.

"Tak payah pakai politik wang untuk membuat saya undur diri," katanya berseloroh.

artikel asal : malaysiakini

Dato' Seri Azizan Abdul Razak Tarik Diri Tanding Timbalan Presiden

Dato' Seri Azizan Abdul Razak mengambil keputusan menarik diri dari merebut jawatan Timbalan Presiden pada muktamar Pas awal Jun ini.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataannya itu memberitahu keputusannya disebabkan mahu menumpukan kepada kerja pembangunan negeri dan parti di peringkat negeri.

Menurut laman web Muktamar55.pas.org.my beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah menyatakan kesediaannya untuk bertanding mempertahankan jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (AJK) yang disandangnya sejak lebih 10 tahun.

Azizan antara lima orang yang dicalonkan bertanding, melepaskan peluang jawatan tersebut kepada mereka yang lebih layak dan lebih muda untuk memimpin PAS di peringkat nasional.

Manakala dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Dua lagi yang dicalonkan ialah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa.

artikel asal : HarakahDaily

DATO' SERI MUHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN BERPELUANG MENGADAP TUANKU

YAB Dato' Seri Hj Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin tengahari tadi di Istana Iskandariyyah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang. Demikian dinyatakan oleh Hj Nizar dalam taklimat ringkasnya di Mesyuarat Perhubungan PAS Perak tadi.

Dalam kesempatan yang singkat itu, digunakan oleh Hj Nizar bagi memohon maaf bagi pihak PR dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati Tuanku.

Beliau juga bagi pihak PR mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Tuanku Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Kesempatan itu juga digunakan oleh Dato' Seri secara berterus terang dengan penuh berhimah memberi pandangan-pandangan terhadap senario dan kemelut politik di Perak. Dato' Seri merayu supaya Tuanku memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak, kerana melalui pembubaran DUN sahajalah kemelut ini akan berakhir.

Pakatan Rakyat akan menghormati pendirian dan keputusan rakyat yang samada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional. Dato' Seri juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir, beliau memberi gambaran insiden sidang DUN 7 Mei yang lalu dibimbangi akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga, dan ianya akan hanya memalukan imej Tuanku dan negeri Perak.

Sebelum ini beliau juga memberi pandangan kepada Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Perak tentang kemelut politik di Perak, beliau merayu supaya Dato' Mufti turut memainkan peranan dengan membantu agar penyelesaian kemelut politik melalui pembubaran DUN.

Pertemuan singkat antara YAB Dato' Seri Hj Nizar dengan DYTM Raja Nazrin merupakan pertemuan yang cukup berharga walaupun pertemuan tidak rasmi. Mesej rakyat yang mahukan DUN dibubarkan telah disampaikan oleh Hj Nizar. Kini, semuanya terserah kepada Tuanku, mesej rakyat telahpun disampaikan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Diharap rakyat terus solat Hajat dan bermunajat mudah-mudahan dilembutkan hati Tuanku bagi memperkenan DUN Perak dibubarkan.

artikel asal : http://misabah.blogspot.com/

Krisis Perak, PAS Tidak Akan Goyah Walau Demokrasi Lumpuh!

Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengulangi dakwaan bahawa Barisan Nasional lah punca kepada krisis politik di Perak berlanjutan.

Semasa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa pembangkang punca kepada krisis itu, Presiden PAS menyifatkan "Bak kata pepatah Arab dia memukul saya, dia yang menangis,"

"Dia yang zalimi saya dia yang mengadu" sambung Presiden PAS meneruskan ulasannya ketika ditemui Harakah pada 18 Mei lalu di pejabatnya dekat sini.

Beliau juga mempersoalkan pihak mana yang terlebih dahulu menimbulkan kekecohan sehingga rampasan kuasa berlaku di Perak.

"Siapa yang menimbulkan kekecohan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak? Semua tahu BN melakukan rasuah politik dan rasuah," katanya.

BN juga kata Tuan Guru Abdul Hadi mengambil langkah melantik Menteri Besarnya dan memecat MB yang sah (Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin) tanpa tanpa mengikut prosedur termasuk melalui sidang dewan atau mengikut perlembagaan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menyatakan tindakan BN itu membelakangi proses demokrasi yang baik.

Beliau juga berpendirian seandainya tidak berlaku pembubaran Dun, negara menuju ke arah melumpuhkan demokrasi.

"Kita beri amaran, perjuangan PAS tidak akan luntur walaupun demokrasi dilumpuhkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat mahu Dun Perak dibubarkan dan hak memilih kerajaan yang sah perlu diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Pakatan Rakyat menghormati Istana tetapi yang membuat keputusan bukan Istana, bukan hakim tetapi rakyat.

"Di Perak kita yakin akan menang lebih besar kerana (rakyat) mahukan perubahan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman menegaskan sudah tiba masanya rakyat Perak diberi peluang menggunakan hak mereka bagi menentukan kerajaan pilihan mereka.

Ujar Abu Talib, perkara itu adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan hanya kerajaan yang stabil akan dapat memastikan hak kepada keamanan dan pembangunan.

Insiden yang berlaku semasa sidang Dun Perak 7 Mei lalu, dimana polis dan kakitangan awam bertindak bersama kerajaan yang memperoleh kuasa dengan keadaan yang kontroversi membelakangi prinsip hak asasi, katanya.

Mereka yang bertugas dalam polis dan pentadbiran mesti tetap setia kepada kepentingan awam dan menghormati hak asasi manusia, katanya.

"Usul memecat Speaker Dewan yang sah dan pengusiran beliau dari dewan serta tindakan polis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat keseluruhannya.

"Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mei kepada media.

Menurutnya, Malaysia adalah negara demokratik yang berpegang kepada hak asasi manusia dan sistem perundangan adil.

Namun, kecelaruan yang berlaku pasti meninggalkan titik hitam dalam usaha kita mempromosi prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, katanya kerajaan diharap akan dapat bertolak ansur dan menghargai demonstrasi awam secara aman berbanding polisi dan tindakan yang dianggap kurang popular.

artikel asal : HarakahDaily

Datuk Seri Anwar Ibrahim Cabar Kesahihah Pemecatan TPM di Mahkamah Rayuan Esok

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan rayuan bagi didengar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya esok bagi mencabar keputusan berkaitan kesahihan pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar atas fakta yang diberikan beliau mempunyai kuasa mutlak kerana Perdana Menteri yang membuat lantikan, justeru beliau juga berhak memecat.

Bagaimanapun Anwar memfailkan saman terhadap Tun Mahathir berdasarkan pemecatan itu berlawanan dengan prosedur.

Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk mendengar rayuan Anwar berhubung pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Anwar mencabar kesahihan pemecatan tersebut kerana ianya tidak menuruti lunas Perlembagaan.

Sebelum itu saman beliau diketepikan, justeru beliau mengemukakan rayuan, dan akan didengar hari Khamis (esok, 21 Mei 2009) mulai jam 9.00 pagi.

artikel asal : HarakahDaily

PRK DUN PENANTI - AWAS! CALON `HALIMUNAN' MUNCUL

Gelanggang pertarungan hampir dibuka di Dun Penanti. Sehingga kini kelihatan calon PKR yang mewakili PR sedang melakukan warm-up bagi mengharungi pertarungan yang pastinya hebat nanti. Bukan calang-calang pertaruhan di Dun penanti, tetapi pertaruhan di sana adalah maruah parti. Pihak lawan yang ditunggu-tunggu dan dijangkakan akan memberi tentangan hebat kepada PR adalah Umno, malangnya belum pun gendang pertarungan dibunyikan, pendekar Umno menarik diri. Walhal sebelum ini, guru kepada segala pendekar Umno ini begitu lantang bersuara seolah-olah mereka lah yang paling kuat dan gagah.

Gelanggang sudah disediakan dan pertarungan wajib diadakan juga. Pedulikan samada Umno berani atau tidak, pedulikan juga ribuan alasan yang diberikan oleh Umno untuk tidak menunjukkan `jantan' mereka di Dun Penanti. Apa yang penting, jika tiada calon sekalipun yang sanggup berdepan dengan PR di Dun Penanti, pendekar kita mesti juga mempersembahkan `lenggok tari pendekar'nya. Itulah pahlawan sebenarnya, tiada musuh kita ubah rentak kepada `tarian dan lenggok silat pulut' sahaja. Namun saya yakin, MUSTAHIL mereka ingin melihat pendekar kita bersilat pulut. Mereka pasti ingin melihat pendekar kita ditentang, jika tidak dapat ditewaskan pun mereka berasa puas sekiranya pendekar kita dapat dicederakan.

Siapakah calon yang bakal mendapat tajaan bertuah nanti? tidak mustahil ada calon yang ditaja dan mungkin juga yang beroleh pendapatan lumayan dengan hanya sanggup menarik diri agar tidak terlalu ramai berada di dalam gelanggang itu nanti. Strategi mereka di Dun bukit Selambau terbukti memakan diri apabila terlalu ramai pendekar berada di dalam gelanggang untuk berdepan dengan pendekar dari PR. Mereka telah belajar dari peristiwa di Bukit selambau dan amat bodoh sekiranya mereka masih berharap strategi yang serupa.

Pakatan Rakyat dipercayai tidak akan leka dan alpa dengan situasi sekarang. Biarpun Umno tidak meletakkan calon mereka, PR mestilah sentiasa menganggap dan mengandaikan sesiapa jua yang berdepan dengan mereka di Dun Penanti nanti adalah `jelmaan Umno'. Anggaplah Umno seperti `halimunan' atau makhluk yang boleh merupa-rupa dan kadangkala ghaib serta menyerap ke dalam jasad orang lain. Apa yang penting, kuatkan iltizam dan perpaduan di kalangan PR agar rakyat akan terus dapat dibela meskipun Umno tidak lagi sanggup menjadi pembela atau wakil mereka di Dun Penanti.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan Nafi Kandungan Blog, Keluar Kenyataan Melarang Ahli PAS Mengundi Calon PKR

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), Omar Hasan menafikan telah mengeluarkan kenyataan melarang ahli PAS mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman pada pilihan raya kecil N12 Penanti pada 31 Mei ini.

Ujarnya, dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Permatang Pauh baru-baru ini tiada agenda perbincangan berkaitan isu tersebut dan beliau hairan bagaimana tiba-tiba kenyataanya ada dalam blog yang sengaja dicipta untuk memperkecilkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Mohamad Fairus Khairudin.

"Saya tidak tahu menahu tentang isu itu melainkan setelah diberitahu oleh rakan tengahari tadi.

Saya terus menghubungi rakan AJK adakah saya tercakap isu berkenaan mereka kata kita tidak pun bincang perkara jentera pilihanraya kecil Penanti, " tegasnya.

Menurut sumber blog berkenaan Omar berkata, bukan sahaja melarang ahli PAS tidak mengundi calon KeADILan malahan turut mengarahkan ahli PAS tidak keluar mengundi atau jika keluar mereka diminta tidak mengundi calon Pakatan Rakyat atau merosakan undi.

Sementara itu ketika berceramah bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiga hari lalu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS berkampung di Penanti bermula 23 Me ini iaitu selepas hari penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.

Sebelum itu juga Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Mustaffa Ali dan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man sepakat dalam kenyataan akhbar bahawa kerusi Penanti adalah milik KeADILan berikutan perjanjian yang termaktub dalam Majlis Presiden kesemua parti gabungan Pakatan Rakyat.

artikel asal : HarakahDaily

Gerakan Mansuhkan PPSMI Lancar Kempen "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran"

Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

Hasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.

artikel asal : malaysiakini

Acara Nyalaan Lilin "Berkabung Demokrasi Mati", Dua Wakil Rakyat DAP Ditahan

Dua wakil rakyat DAP dan sembilan pekerja parti itu ditahan polis ketika menyertai acara nyalaan lilin sebagai "tanda berkabung matinya demokrasi".

Dua wakil rakyat DAP itu ialah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Chin dan ADUN Teratai Jenice Lee.

Mereka ditahan ketika mengadakan nyalaan lilin di Seputeh pada jam 8.20 malam ini.

Nyalaan lilin itu - yang diadakan di luar pejabat ahli Parlimen DAP Teresa Kok - disertai berpuluh-puluh mereka yang memakai baju-T hitam.

Menurut pihak penganjur, nyalaan lilin itu diadakan sebagai menandakan "pembunuhan demokrasi oleh kerajaan haram Perak".

Mereka sebelum itu berkumpul di luar satu kawasan kosong yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabat DAP serta membawa poster mendesak supaya DUN Perak dibubarkan.

Ketika mereka hendak melancarkan kempen mengumpul tandatangan, mereka dikepung oleh ramai anggota polis.

Seorang pegawai polis kemudiannya mengarahkan mereka supaya bersurai kerana mengikutnya ia adalah satu perhimpunan haram.

Selain dua wakil rakyat berkenaan, mereka yang turut ditahan dikenali sebagai Lam Kah Hon, Alex LC Ling, Koh Weng Ken, Chua Yew Choong, Lim Jen Yow, Tan Hak Lian dan Fong Kok Leong.

artikel asal : malaysiakini

Khir Toyo Dan 4 Adun Dicadang Gantung Sidang dan Elaun

Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo digantung dari sidang Dewan Undangan Negeri selama 12 bulan dan elaunnya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri juga turut dibekukan kerana enggan hadir pada perbicaraan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Mac lalu.

Dr Khir juga menghadapi 3 lagi pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 70, Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang menghina Dewan dan juga melalui laman blognya. Bagi setiap satu pertuduhan, Khir akan berdepan dengan hukuman digantung dari sidang selama 6 bulan dan elaunnya juga akan turut dibekukan selama tempoh itu.

Sehubungan itu, 4 ADUN BN yang juga turut didakwa menghina Dewan di bawah enakmen penghinaan DUN Selangor 2008, akan menerima hukuman sama tetapi untuk tempoh enam bulan serta pembekuan elaun dan kemudahan sebagai ADUN sepanjang tempoh tersebut.

Mereka yang didapati bersalah ialah ADUN Sabak Bernam, Warno Dogol, ADUN Hulu Bernam, Mohamed Idris Abu Bakar, ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan ADUN Dengkil, Marsum Paing.

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim yang mempengerusikan Jawatnkuasa Hak dan Kebebasan Dewan itu menyatakan hukuman yang diusul untuk bekas Menteri Besar itu bukan direkayasa tetapi berasaskan kepada buku rujukan parlimen berjudul "Erskine May Parlimentary Practice" jilid ke 23.

Beliau berkata keputusan yang dipersetujui secara bersama oleh ahli jawatankuasa itu juga merujuk kepada kes- kes di parlimen yang terdahulu.

artikel asal : TVAntara




klip video ehsan : greenboc

Soi Lek Mahu Selesai Krisis Perak Melalui Lunas Demokrasi

Pertemuan pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional harus diadakan sekerap mungkin bagi membuka ruang yang lebih luas kepada penyelesaian sebarang kemelut politik negara.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ruang dialog merentasi garis politik harus digalakkan supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil pendekatan kurang waras bagi menangani mana-mana masalah yang timbul.

“Kedua-dua parti parti, seperti yang disarankan Perdana Menteri, harus mencari penyelesaian kepada masalah ini. Terlalu banyak permainan politik, dengan kes dihadapkan ke mahkamah rayuan, dan akhirnya rakyat kerugian,” kata beliau.

Demikian kata Dr Chua pada sidang akhbar yang diadakan hari ini di Petaling Jaya.

Beliau yang ditemani anaknya Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis juga menyentuh mengenai pertemuan peribadi beliau dengan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa baru-baru ini.

MCA walau bagaimanapun tidak merestui pertemuan dua mata antara Dr Chua dan Husam.

Dalam pertemuan itu, dua ahli politik daripada berlainan kem itu bersependapat bahawa jalan penyelesaian terbaik merungkai krisis politik di Perak ialah dengan menghormati lunas-lunas demokrasi.

“Dalam kes Perak, apabila mahkamah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, maka beliau seharunya memanggil sidang DUN tergempar,” kata Dr Chua.

"Kalau dapat sokongan majoriti, kita ucapkan tahniah kepadanya, namun sekiranya tidak, maka beliau harus membuka jalan kepada mereka yang mendapat majoriti atau menghadap Tuanku Sultan dan memaklumkan bahawa beliau telah kehilangan majoriti,” kata Dr Chua

Beliau juga bersetuju sekiranya rundingan antara dua blok politik utama negara itu gagal membuahkan hasil, maka pilihan raya adalah jalan terbaik.

“Sekiranya semua pertemuan tidak menghasilkan sebarang keputusan bermakna, maka barulah kita membuka jalan kepada Dun dibubarkan,” kata Chua.

artikel asal : TVAntara

Jawatan Ketua Penyelaras BN 'rampas negeri PR' : Chua bincang tiga kali dengan PM

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata jawatan penyelaras BN diwujudkan hasil perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak tiga kali.

"Jawatan tersebut adalah hasil perbincangan saya dengan perdana menteri bahawa sudah sampai masanya mewujudkan jawatan ini," kata Chua dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Chua, beliau berjumpa dengan Najib yang juga pengerusi BN sebanyak tiga kali, termasuk dua pertemuan empat mata, antara keduanya.

"Pertemuan ketiga pula turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga menteri dalam negeri.

"Itu pun kita berbincang isu berlainan. Apa yang PM dan presiden saya bincang, saya tak tahu," tambahnya.

Dewan Tertinggi BN semalam melantik Chua sebagai ketua penyelaras BN dalam usaha merampas semula negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Najib dilaporkan berkata, ia merupakan jawatan baru yang diperkenalkan 'untuk memfokus terhadap negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN'.

Kukuh imej BN

Dalam sidang media yang sama Chua, menjelaskan tugasnya sebagai ketua penyelaras adalah untuk memastikan BN dapat membantu menggerakkan jentera parti komponen di peringkat akar umbi, khasnya di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak.

"Saya juga diberi nasihat agar memberi perhatian kepada Negeri Sembilan dan Johor.

"Selain memastikan BN bergerak, saya juga harus memastikan hubungan parti komponen BN dalam keadaan baik, erat dan sentiasa bergerak dalam satu pasukan," katanya.

Ditanya sebab BN turut memberi perhatian kepada Negeri Sembilan dan Johor sedangkan ia diperintah oleh parti tersebut, beliau berkata ia bertujuan untuk memperkukuhkan lagi BN di negeri-negeri tersebut.

Sehubungan itu, beliau juga akan mencadangkan penubuhan pusat khidmat BN di kawasan yang dikuasai pembangkang selepas pilihanraya umum lalu, bagi menyelaraskan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mempercepatkan penubuhan pusat khidmat tersebut.

"Lagi cepat lagi baik... secepat mungkin," katanya

Ditanya sama ada jawatan tersebut diberikan kerana beliau tidak diberikan menganggotai kabinet, Chua berkata:

"Saya tidak pernah meminta jawatan daripada perdana menteri, saya rasa malu (nak minta)," katanya sambil menambah, tawaran jawatan itu juga tidak ada kaitan dengan dakwaan kononnya beliau akan melompat parti.

artikel asal : malaysiakini

RTM Senaraikan 7 Dosa Besar Bagi Penyampai Radio

Langkah Kementerian Penerangan mengekang Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menyentuh perkara-perkara yang dianggap "sensitif" menyerlahkan sikap hipokrit kerajaan Barisan Nasional yang kononnya mahu "melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan minda kelas pertama."

Dalam blog Susan Loone, penulis blog tersebut telah menyiarkan apa yang dipercayai senarai 7 "dosa besar" penyampai radio di bawah kelolaan RTM tidak dibenarkan menyentuh.

Tujuh perkara tersebut termasuk larangan membincangkan dalam siaran radio mengenai politik (parti pembangkang), seks, isu perkauman, isu bahasa, isu agama, kesultanan (Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong) serta isu moral (politik semasa).

Melihat kepada senarai isu yang dilarang oleh RTM kepada penyampai radionya, rakyat boleh bayangkan apakah topik yang mampu merangsang minda dan pemikiran mereka sekiranya isu-isu terpenting dalam kehidupan mereka tidak boleh disentuh langsung.

Apakah slogan Perdana Menteri Najib Razak mendahulukan rakyat benar-benar ikhlas atau sekadar taktik menipu rakyat dengan kata-kata manis yang kosong.

Menteri Penerangan dalam peruutsan beliau dalam laman web kementerian berkata, "saya berharap Kementerian bersama agensi-agensi di bawahnya telah menyediakan maklumat-maklumat yang diperlukan rakyat. Dengan ini, kita akan melahirkan masyarakat yang bermaklumat, inovatif, kreatif dan berteraskan pengetahuan tinggi."

Mampukah negara melahirkan rakyat yang bermaklumat sekiranya maklumat penting dinafikan daripada mereka.

Mampukah negara mewujudkan masyarakat kreatif apabila kreativiti rakyat dimatikan dalam sanubari mereka.

Mampukah negara mencernakan golongan berpengetahuan tinggi apabila minda mereka dibekukan dengan sekatan demi sekatan.

Yang jelas apa yang dilakukan RTM hanya akan menjauhkan lagi rakyat daripada menjadikan ia sebagai saluran informasi. Dengan kecanggihan teknologi pencapaian maklumat menerusi internet dan pelbagai jaringan sosial RTM tidak lagi menjadi relevan dalam masa mendatang.

Begitu juga dengan media arus perdana yang asyik mengampu BN dan menjustifikasikan segala kebobrokannya dan menghalang rakyat daripada mendapat akses kepada maklumat yang betul, cepat dan seimbang.

artikel asal : TVAntara

"Sebenarnya Kamu Mencekik Diri Kamu Sendiri, Mencabul Demokrasi", V. Sivakumar

“Polis mungkin lebih seratus orang, dalam Dewan (DUN), dan semua besar-besar belaka, terus masuk, dia buang (ADUN) satu demi satu,

“akhirnya dia tangkap saya, (pegang) tangan saya, dan mereka cekik saya, bawa saya keluar daripada Dewan,” kata Speaker yang Sah Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar ketika menceritakan saat-saat beliau diangkut dan diheret keluar dari Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei, lalu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannyadihadapan lebih 3,000 orang yang hadir pada majlis ‘1Malaysia Gelap Gelita’, yang dianjurkan oleh MTD Chukai, disini Sabtu lalu.


Katanya, ketika beliau ditangkap dan dicekik oleh pihak polis, hanya satu sahaja dalam ingatannya, sebenarnya kerajaan UMNO/BN sedang mencekik dirinya sendiri.

“Sekarang kamu tangkap saya, kamu cekik saya, sebenarnya kamu bukan cekik saya, kamu cekik (diri) sendiri ,

“rakyat akan ajar dia (kerajaan UMNO/BN) dalam pilihanraya akan datang, seluruh Malaysia sudah lihat (peristiwa tersebut),”katanya

Beliau yang juga sorang pengamal undang-undang menegaskan, tindakan polis menyerbu masuk dan melakukan kekacauan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah mencabul prinsip demokrasi.

Katanya Dewan Undangan Negeri adalah Dewan yang mulia, walaupun polis berkuasa untuk mengambil apa-apa tindakan diluar, namun apabila melangkah masuk, polis tidak berbuat apa-apa.

“Bentara adalah polis dalam Dewan, dia ada kuasa dalam Dewan, yang polis diluar itu, dia hanya polis di luar, bila dia melangkah masuk ke dalam Dewan, dia tak ada kuasa,”tegas Sivakumar.

Menurutnya, setelah diheret keluar dari DUN, beliau telah dikurung didalam sebuah bilik pengawal dengan diawasi oleh tiga orang polis.

Katanya beliau berada dalam bilik tersebut selama lebih sejam dan hanya dibawa keluar setelah semua acara pada hari tersebut selesai.

Beliau menegaskan sidang DUN tidak dimulakan pada hari tersebut dan merasa malu kerana sepatutnya perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Kerajaan UMNO/BN Perak mencatat satu lagi sejarah pada 7 Mei lalu apabila melantik seorang Speaker DUN ‘haram’ setelah melantik Menteri Besar yang tidak sah, Dato’ Seri Dr. Zambry A.Kadir.

Zambry dilantik pada Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dalam penghakiman bertulis setebal 78 muka surat menyatakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak boleh menyingkirkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan Menteri Besar.

Ia adalah kerana, menurut Hakim Datuk Abdul Aziz, Nizar memegang jawatan tersebut bukan atas perkenan baginda sebaliknya Menteri Besar yang dilantik bersama barisan Exco kerajaan negeri adalah bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, perkara tersebut terkandung dengan jelas dalam Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang menyatakan bahawa sekiranya Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota DUN, beliau harus meletakkan jawatan barisan Exco tersebut atau Menteri Besar boleh meminta baginda membubarkan DUN.

''Berdasarkan Perkara 16 subseksyen (2),(5),(6) dan (7) UTKP, adalah jelas bahawa sebaik sahaja Menteri Besar dilantik, beliau bertanggungjawab kepada DUN dan bukan kepada yang lain termasuk kepada Sultan Perak.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Dengan itu, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.

artikel asal : BuletinOnline