Saturday, October 30, 2010

“Saya harap agar berlaku peningkatan undi dalam kalangan semua kaum di Galas ini supaya menjadi isyarat kita untuk ke Putrajaya,” - DSAI

Kemenangan Galas isyarat ke Putrajaya

GUA MUSANG - Pakatan Rakyat (PR) mahu memastikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi isyarat penting untuk menawan Putrajaya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka semakin hampir diumumkan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bekerja bagi memastikan kemenangan dicapai pada PRU-12 lalu dipertahankan dan ia perlu dimulakan di DUN Galas.

Beliau juga turut mengharapkan agar berlaku peningkatan undi dalam semua saluran mengundi pada PRK kali ini.

“UMNO-BN kini semakin terdesak apabila mengalami kemerosotan sokongan rakyat sehingga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman yang mencetuskan masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya harap agar berlaku peningkatan undi dalam kalangan semua kaum di Galas ini supaya menjadi isyarat kita untuk ke Putrajaya,” katanya dalam satu ceramah perdana di Kampung Sungai Terah, semalam.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud serta Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Anwar turut menegaskan kemenangan dalam PRK DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sangat penting kepada masa depan negara.

“Ia merupakan satu tanggungjawab yang penting bagi memastikan kemenangan ini dipertahankan, kerana ia bukan sekadar sebuah pilihan raya kecil biasa.

“Pemikiran rakyat telah dijajah hingga mereka tidak boleh berfikir dan terkongkong walaupun negara mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu pembentangan Bajet yang didakwa tidak membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesengsaraan rakyat.

“Bajet 2011 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak relevan apabila kerajaan persekutuan sanggup berterusan membiarkan negeri yang paling miskin di Malaysia, iaitu negeri Sabah, terus berada dalam kesempitan dan kemiskinan.

“Berdasarkan satu maklumat yang saya terima daripada kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sekarang, ada kampung yang hanya seorang penduduknya pergi ke sekolah,” katanya.

SH

Nazri : Malaysia tiada halangan Clinton jumpa Anwar

LENGGONG, 30 Okt — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Malaysia tidak menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke negara ini bermula Selasa ini.

Nazri memberitahu, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Malaysia tidak mempunyai masalah jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu berhasrat menemui Anwar.

Seperti pemimpin dunia yang lain, Clinton yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan boleh menemui Anwar atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang.

“Permintaan itu pun bukan nak jumpa Anwar, tapi nak jumpa ketua pembangkang... ini biasa macam kita pun kalau pergi ke Amerika Syarikat pun di antara orang yang kita berjumpa selain Presiden, kita juga berjumpa dengan ‘Majority Leader’... Senat, ‘Minority Leader’... itu biasa.

“Jadi, kita tak ada apa-apa halangan untuk dia nak berjumpa dengan Anwar tapi jumpa Anwar bukan kerana peribadi tapi kerana sebagai ketua pembangkang, kerana ketua pembangkang merupakan jawatan yang diiktiraf dan dibayar gaji dalam ‘Standing Order’ kita,” kata beliau selepas menyampaikan hadiah dan sijil sempena Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz di sini hari ini.

Nazri (gambar) berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin yang mahu mengadakan lawatan rasmi ke negara ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan negara berdaulat Malaysia tidak perlu takut dengan sesiapa.

Lagipun kata beliau, Malaysia tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan mana-mana pemimpin dunia termasuk Clinton.

Justeru kata Nazri, sebarang kenyataan yang menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu mahu berjumpa Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bukannya datang dari Malaysia.

Nazri diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari California Chuck DeVore yang menasihati Clinton supaya tidak menemui Anwar dalam lawatan rasminya itu.

DeVore dalam portalnya mendakwa Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu tidak perlu menemui Anwar yang mendakwa dirinya

sering menerima tekanan daripada kerajaan.

Menurut DeVore yang mewakili Parti Republikan, Malaysia tidak seburuk Myanmar dan Anwar tidak mengalami nasib sama seperti Aung San Suu Kyi.

Ia merupakan lawatan sulung Clinton ke Malaysia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.

Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan niaga Malaysia ketiga paling utama, dengan jumlah eksport negara melebihi AS$25 bilion (RM77.5 bilion) setahun. — Bernama

TMI

Bekas calon BN maki hamun rombongan MB

GUA MUSANG, 30 Okt : Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Nor Idris memaki hamun Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Mohamad, sebentar tadi.

(GAMBAR: Mohd Nor Idris memaki rombongan MB Kelantan di rumah bekas Adun Galas)

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarah bekas wakil rakyat Dun Galas dari Semangat 46 di Kampung RPT Sungai Terah selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Gua Musang.

Rombongan Menteri Besar yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sebaik sahaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz tiba, Haji Omar yang berada di dalam rumah keluar menyambut mesra kehadiran Menteri Besar dan rombongannya.

Kemudian tuan rumah mempersilakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masuk dan diikuti anggota rombongan. Bagaimanapun ketika tiba di ruang tamu Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya enggan bersalam dengan Menteri Besar.

Sebaliknya beliau terus menengking dengan mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.
“Ana tidak mahu bersalam dengan anta selagi PAS berkawan dengan DAP,” kata Nor dengan suara nyaring.

Dengan suara yang keras dengan dilaungkan sekuat hati beliau mengajak Mursyidul Am PAS berdebat.

Ekoran itu Mohd Amar cuba menenangkan keadaan dan meminta Ustaz Nor bertenang, namun pada awalnya beliau enggan dan terus menegangkan urat lehernya.

(Gambar: Bekas Adun Galas, Haji Omar (baju batek biru) menyambut Nik Aziz dan rombongan dengan mesra tetapi Mohd Nor yang ada di situ memaki orang)

Beliau yang memakai baju kameja biru tertera gambar 1Malaysia enggan mendengar nasihat anggota Exco terbabit sehingga menyebabkan anggota rombongan lain cuba menangkan keadaan.

Sebagai tetamu kita hendaklah menghormat tuan rumah. Kita sama-sama tetamu. Saya datang bukan hendak berbahas dengan sesiapa cuma hendak menziarahi tuan rumah,” kata Menteri Besar.

Ustaz Nor terus menengking dengan mengatakan semuanya hendak berpolitik.
Ketika tuan rumah mengangkat air, Menteri Besar meminta Ustaz Nor minum air dahulu bagi menyejukkan emosinya.

Haji Omar hanya memerhati telatah Ustaz Nor yang dianggap boleh mencemarkan imejnya sebagai tuan rumah kerana menengking Menteri Besar yang datang ke rumahnya.

Beliau merupakan bekas Adun Semangat 46 Dun Galas dua penggal pada 1990 dan 1995. Bagaimanapun kerusi itu dirampas semula BN pada pilihan raya 1999 dan 2004 melalui Mohd Saufi Deraman.

Ustaz Nor pernah bertanding di kerusi parlimen Pengkalan Chepa menentang Mohd Amar.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui kemudian melahirkan rasa di atas sikap pemimpin Umno terbabit yang langsung tidak menghormati tetamu yang berkunjung.

“Beliau bukannya tuan rumah untuk menengking tetamu yang datang. Tuan rumah tidak ada masalah cuma Ustaz Nor yang tidak ada kaitan dengan tuan rumah tiba-tiba tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Seorang pegawai Yik menyifatkan orang yang waras tidak mungkin menengking orang lain tak tentu pasal.

Aksiden yang berlaku itu menambah lagi koleksi ketempangan kempen Umno. Ia secara langsung mencemarkan moral Umno yang masih terkial-kial mencari arah.


M Fakih Harakahdaily

Penyokong UMNO caci Tok Guru Nik Aziz



ceramahterkini