Friday, June 5, 2009

Kemelesetan Ekonomi, BN Masih Dengan Sindrom Penafian - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Dunia hadapi krisis kapitalis liberal - Ustaz Hadi

Krisis kewangan yang dihadapi di seluruh dunia hari ini akibat kegagalan sistem kapitalis liberal menandakan satu bentuk kehancuran idealogi ciptaan manusia.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau sebentar tadi.

Beliau juga mengingatkan perwakilan dan hadirin muktamar bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah.

"Dunia pada hari ini berdepan dengan krisis kewangan, sekali gus kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem kapitalis liberal.

"Kegagalan itu juga menandakan sistem kewangan yang berteraskan riba, ihtikar dan gharar yang menjadi pegangan dan amalan Barisan Nasional.

"Bank Dunia mengakui bahawa krisis kali ini melibatkan kerugian bukan berbillion bahkan beberapa trillion dollar Amerika," tegas beliau.

Kerajaan BN pula tegas beliau, berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan.

Hadi menyifatkan tindakan BN itu sebagai tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan 'sindrom penafian' yang menjadi amalan mereka selama ini.

"Lebih parah lagi BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama," tegas Hadi.

Beliau menjelaskan akibat pentadbiran BN yang korup itu, rakyat terus menanggung kerugian besar sementara segelintir pihak kroni terus mengecapi keuntungan semasa ekonomi mewah sedikit masa dulu.

Justeru, beliau menegaskan PAS suka mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah S.W.T. yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini.

HarakahDaily

Presiden PAS Memuji Perdana Menteri Turki, Rejab Tayyeb Erdogan dan Presiden Iran, Mahmood Ahmadinejad

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memuji sikap dan tindakan protes yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki, Rejab Tayyeb Erdogan dan Presiden Iran, Mahmood Ahmadinejad terhadap tindakan kuasa-kuasa besar yang menindas umat Islam.

"Umat Islam seharusnya merasa malu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh negara-negara di Amerika Latin yang bersimpati terhadap umat Isla," tegas beliau dalam ucapannya tadi.

Antara peranan yang telah diambil oleh PAS dan Pakatan Rakyat ialah mendesak sidang khas parlimen bagi membela Palestin. Bukan itu sahaja, malah keputusan Pas yang disepakati dengan komponen pimpinan Pakatan Rakyat yang lain mendesak supaya Zionis diheret ke mahkamah antarabangsa.

"Orang ramai semakin sedar akan isu ini, bahkan sumbangan semakin banyak diterima, desakan bertubi-tubi Pas dan Pakatan Rakyat ternyata mampu mencetuskan kesedaran kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, PAS turut yang telah lama dan konsisten melahirkan sokongan padu kepada Hamas menjamin isu Palestin akan kekal menjadi isu dan agenda terpenting di peringkat antarabangsa.

Dato' Husam Musa : Lupakan sahaja rundingan PAS-UMNO

Naib Presiden PAS, Husam Musa sekali lagi menegaskan bahawa PAS tidak harus sekali-kali berunding dengan Umno 'yang kini dalam keadaan lemah'.

"Saya harap mesej ini diterima bahawa parti ini tidak harus sekali-kali berunding dengan Umno yang merupakan musuh politiknya," katanya kepada pemberita di muktamar parti itu di Shah Alam hari ini.

Katanya, selagi ia menguntungkan Umno, PAS tidak sepatutnya bekerjasama dengan parti tersebut.

Jika tidak, tegasnya, PAS akan dilihat seperti membantu Umno yang kini dalam keadaan yang lemah.

klik untuk baca selanjutnya

Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat yang pertama membuang undi

Agenda yang ditunggu-tunggu oleh semua iaitu pemilihan jawatan dalam parti dimulakan dengan pembuangan undi dari Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.

Ketua Jawatankuasa Pemilih bagi Muktamar ke-55, Dato Mustafa Ali sebentar tadi memberi taklimat berkenaan proses dan tatacara mengundi yang betul.

Meraka yang layak mengundi hari ini ialah seramai 1044 orang, kesemua ahli jawatankuasa pemilih dimaklum akan membuat pengiraan sejurus sahaja proses pembuangan undi berakhir.

Dato' Mustafa memaklumkan keputusan pemilihan akan diumumkan pada esok pagi. Jawatan yang akan dipertandingkan ialah jawatan pengerusi tetap, timbalan presiden, naib presiden dan 15 ahli jawatankuasa dewan.

Bagaimanapun beliau mengumumkan jawatan bagi pengerusi tetap kekal pada penyandangnya Ustaz Abu Kassim Abdullah yang menang tanpa pencabar lain.

Jawatan Presiden telah sedia maklum kekal disandang Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan jawatan pemeriksa kira-kira tidak dipertandingkan kerana calon menang tanpa bertanding.

Bersih Nama PM Dalam Isu Altantuya - Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi gesaan kepada kerajaan agar mengambil tindakan terhadap beberapa media asing yang mencemarkan imej perdana menteri dengan skandal kontrak pertahanan dan kes bunuh Altantuya Shaariibuu.

Tanpa menyebut nama Datuk Seri Mohd Najib Razak atau kes khusus yang dihadapi pemimpin negara itu, presiden PAS dalam ucapan dasarnya di muktamar pagi ini berkata :

"PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan (undang-undang) bagi membersihkan pemimpin utama negara yang dipaparkan oleh media asing sebagai mempunyai bebanan kes rasuah dan jenayah.

"Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan."

Abdul Hadi bersama dua lagi tokoh utama Pakatan Rakyat - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang masing-masing bagi pihak PKR dan DAP - membuat gesaan yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Najib dilantik perdana menteri keenam, 3 April lalu.

"Sekiranya tindakan pembetulan ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia," kata Abdul Hadi di depan kira-kira 3,000 perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan.

PAS melangsungkan muktamar tahunan ke-55 selama tiga hari sehingga Ahad di Stadium Malawati, Shah Alam.

Mengulas kemelesetan ekonomi dunia, Abdul Hadi menyifatkan BN masih mengalami "sindrom sangkalan" terhadap amalan urus tadbir yang rakus, boros dan sarat dengan penyelewengan.

PAS turut mencadangkan penggunaan dinar emas menangani ketidaktentuan ekonomi dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.

Sementara itu, presiden PAS turut menegaskan perlu kefahaman Islam yang sebenarkan digunakan untuk menafsirkan maksud agama dalam Perlembagaan Persekutuan supaya keadilan Islam dapat ditegakkan.

Katanya, walaupun Umno meminda perlembagaan beberapa kali, tetapi tindakan itu "seperti tikus membaiki labu" demi mengekalkan kuasa politiknya semata-mata.

Mengulas soal penyertaan bukan Islam dalam parti itu, Abdul Hadi berkata, anggota-anggota Kelab Penyokong PAS (KPP) perlu menjalani program orientasi bagi memahamkan mereka perjuangan PAS.

Beliau mencadangkan pindaan perlembagaan bagi menaiktarafkan kelab itu sebagai sebuah dewan di samping Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Mengulas peranan tiga sayap parti, Abdul Hadi meminta penglibatan veteran PAS yang tidak lagi memegang jawatan dalam parti digembleng dan diinstitusikan.

Katanya, ia bertujuan supaya mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak dapat terus menyumbang kepada parti. Dewan Ulama diminta melaksanakan tanggungjawab ini.

Sementara Dewan Muslimat pula diminta tidak mengesampingkan program ilmiah dan hiburan bagi mendekati generasi muda.

Katanya, kecenderungan sesetengah generasi muda kepada program-program yang berbentuk hiburan harus terarah dan dipimpin. Hiburan yang mendidik dan membina kekentalan jiwa taat kepada Allah SWT harus dipupuk.

Abdul Hadi juga menggesa Dewan Pemudanya "mengakhlakkan" program-program hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dianggap berada di luar ruang lingkup kegiatan parti.

"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," katanya dalam ucapan bertemakan 'Islam Memimpin Perubahan.'

"Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam."

Selain tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat dan pemimpin politik, tokoh-tokoh sastera yang terlibat dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menggerakkan demonstrasi besar awal Mac lalu, turut hadir.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said malah dikurniakan "Anugerah Pejuang Bahasa" dalam satu majlis ringkas selepas ucapan dasar tersebut.

Buka Keahlian Bukan Islam Antara Enam Strategi Perkukuh PAS - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

PAS memulakan Muktamar Tahunan Ke-55 pagi ini dengan menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan. Selain itu, Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. "Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam.

"Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh," kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan Islam Memimpin Perubahan.

Tiga strategi lain yang diketengahkan Hadi ialah:

- Melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan bersedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

- Terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global.

Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

- Mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam pilihan rata umum ke-13.

TVA

Dewan Pemuda PAS Perlu Merangka Pelan Kekalkan Sokongan Golongan Muda - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Menyedari golongan pengundi muda memberi sokongan besar kepada PAS, pemuda perlu menjadi generasi yang akan mendominasi geo-politik masa depan negara, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Pemuda PAS merangka pelan untuk mengekalkan sokongan golongan itu.

Kesan sokongan besar pengundi muda dapat dilihat dalam pilihan raya umum lalu yang menumbangkan Umno/BN di semenanjung Malaysia, katanya.

Justeru kata Ustaz Hadi, program-program bersesuaian, termasuk 'mengakhlakkan' aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS perlulah dirancang.

"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," ujarnya menyampaikan Ucapan Dasar pada Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-55 di Stadium malawati, di sini sebentar tadi.

Beliau turut mahu Dewan Pemuda menggiatkan program tarbiah kepada anak muda untuk melahirkan generasi pemimpin dan penggerak yang menghayati perjuangan menegakkan Islam.

Ustaz Hadi mengakui, pemuda telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa selain berharap Unit Amal terus meningkatkan prestasi.

"Pemuda juga perlu terus pro aktif menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan.

"Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat," ujar Ustaz Hadi menegaskan peranan Pemuda PAS masa kini.

HarakahDaily

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa Tuntut Akhbar Utusan Malaysia Mohon Maaf

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menuntut akhbar Utusan Malaysia memohon maaf kerana menyiarkan artikel bertajuk 'Menilai Hujah Husam' yang didakwa mengandungi serangan peribadi terhadap exco kerajaan Kelantan itu.

Husam berkata, akhbar tersebut yang berkait rapat dengan lawan politik PAS - Umno - telah menyiarkan artikel tersebut pada 31 Mei di mana beliau telah dilabelkan sebagai 'musuh PAS" yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan parti Islam itu.

Surat tuntutan tersebut dihantar oleh peguam Husam - Balan Nair Thamodaran pada 2 Jun - menyatakan bahawa artikel tersebut membawa maksud bahawa, Husam tidak setia pada PAS, seorang yang tidak boleh dipercayai, berniat hendak dan/atau prejudis terhadap kepentingan PAS dan musuh PAS.

Peguam Husam berkata artikel tersebut dengan jelas merujuk kepada presiden PAS itu yang digambarkan sebagai dari kumpulan profesional dan kumpulan Erdogan.

Balan berkata, artikel tersebut berniat untuk menjejaskan peluang pelanggannya yang bertanding - jawatan timbalan presiden - dalam pemilihan parti itu, dengan menggambarnya, sebagai musuh PAS.

Menurutnya lagi, artikel itu juga merupakan serangan peribadi terhadap Husam yang terkeluar dari skop kewartawanan profesional.

Dewan Muslimat PAS Pusat Disaran Dekati Golongan Muda - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi meminta Dewan Muslimat PAS Pusat membina hubungan dengan generasi muda bagi mengukuhkan lagi sokongan golongan tersebut kepada PAS.

Katanya, melalui acara-acara kebersamaan dengan golongan muda, Muslimat harus memahami jiwa segar di kalangan mereka dalam usaha mendekati golongan tersebut, yang dilihat cenderung kepada program berbentuk hiburan.

"Sehubungan itu, pendekatan pengisian berbentuk ilmiah dan hiburan tidak boleh dikesampingkan dari naluri generasi muda yang memerlukan program-program yang terarah dan terpimpin," kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar, di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55, di Stadium Shah Alam, Selangor.

Tambah beliau, hiburan yang mendidik dan membina kekentalan agar jiwa taat kepada Allah S.W.T. harus dipupuk yang dilihat mampu menghasilkan generasi yang faham dan memihak kepada Islam dan menyokong perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi menegaskan muslimat harus menjadi ikon kebanggaan masyarakat dengan menjalin hubungan dengan kelompok yang kurang bernasib baik dan kurang kemampuan.

Justeru, katanya muslimat mesti meletakkan diri sebagai pelaksana perkhidmatan dalam hal kebajikan, termasuklah menjalankan program- program kemasyarakatan yang berbentuk memberi kaunseling, klinik guaman dan sebagainya.

Tambah beliau, program khidmat kebajikan tidak seharusnya dijadikan program tempelan, tetapi hendaklah ia menjadi kerja asas yang dilaksanakan di setiap masa dengan mewujudkan pasukan-pasukan sukarelawan di satu-satu lokasi bagi mencurahkan bakti.

HarakahDaily

Dialog Islam-Barat Perlu Keikhlasan - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim berkata tempoh sejarah dialog antara Islam dan dunia Barat banyak diselaputi oleh beban sejarah yang menyukarkan proses perbincangan yang benar-benar telus dan menghasilkan natijah ynag konkrit bagi kebaikan bersama umat manusia.

Malah era pasca pentadbiran bekas Presiden George Bush tidak banyak mengubah persepsi Barat terhadap Islam dan wacana Islam-Barat terus menerus dilanda konflik interpretasi berhubung isu tersebut.

Berucap pada Persidangan dan Debat L’Institut français des relations internationals mengenai "Islam dan Barat Selepas George Bush" yang dipengerusikan oleh Michel Camdessus, Anwar memuji ketokohan Presiden Obama yang dianggap pemimpin moderat yang mementingkan kestabilan dan keamanan dunia dan usaha beliau merapatkan jurang antara Islam dan Barat.

Berikut ucapan penuh Anwar pada persidangan tersebut :

Opening address by Anwar Ibrahim at the L’Institut français des relations internationals Conference-Debate on “Islam and the West after George Bush”, in Paris, Chaired by Michel Camdessus.

Stadium Runtuh, Konsultan Atau BN 'cap ayam'?

INSIDEN keruntuhan bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, Selasa (2 Jun) lalu masih diperkatakan masyarakat, terutama di Terengganu. Selain ulasan dan pandangan pelbagai pihak masih diberi liputan lewat media cetak dan elektronik, isu itu juga masih memanaskan forum-forum informal dalam masyarakat.

Di mana saja wujud medan bual bicara, sama ada di anjung masjid dan surau, di atas wakaf dan hentian pengangkutan, di warung dan kafe, mahu pun di bengkel dan pejabat, cerita bumbung stadium runtuh meniti bibir rakyat. Pendek kata, hampir tidak ada warga negeri Terengganu yang mumayyiz dan akil baligh, yang tidak buta, pekak dan bisu, yang tidak ikut serta membicarakan isu tersebut.

Ia diakui pelbagai pihak sebagai isu besar dan menggemparkan. Sebab-musababnya sangat banyak. Pertama kerana kehadiran stadium itu terlalu hebat digemariuhkan, terutama oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), sebermula tercetusnya idea pembinaannya sejak tahun 2004 lagi.

Penuh papan tanda besar

Bayangkan, hampir tiada lokasi strategik sepanjang beberapa jalan utama sekitar Kuala Terengganu yang tidak dipacakkan dengan papan tanda besar memaparkan gambar stadium yang bakal dibina itu. "Nak stadium? Impian Kini Menjadi Realiti!" begitulah lebih kurang bait tertulis di atasnya.

Kata-kata itu disertakan dengan empat gambar projek besar BN yang kononnya sangat-sangat diimpikan seluruh rakyat, sedangkan ia hanyalah pemuas nafsu serakah dan ego para pemimpin BN sendiri. "Nak universiti? Nak lebuh raya? Nak lapangan terbang?" papan-papan tanda itu memasyhurkan projek mega BN itu.

Sebab itu boleh dikatakan hampir tidak ada rakyat Terengganu yang tidak tahu kehadiran stadium baru di negeri mereka. Setahun sebelum bermulanya kerja pembinaannya, cerita mengenainya sudah bertebaran serata negeri. Hinggakan nyaris nak termuntah rakyat mengulangbacanya bertahun-tahun.

Kedua, liputan media mengenai pembinaannya agak menonjol. Kos pembinaan stadium itu dikatakan RM292 juta. Ia memuatkan kapasiti penonton sejumlah 50,000 orang. Selain menempatkan padang bolasepak, ia juga menyediakan gelanggang tertutup untuk prasarana boling dan skuasy.

Banyaknya TER ...

Uniknya, ada beberapa "TER ..." yang dimiliki stadium itu. Antaranya penggunaan spesifikasi TERmoden, TERkini dan berteknologi tinggi dalam pembinaanya.

Ia merupakan stadium pertama di Pantai Timur menggunakan rumput TERmoden dikenali sebagai 'cow grass'.

Sejarah lebih membanggakan bagi Terengganu ialah apabila SSMZA dikatakan stadium pertama di Asia menggunakan sistem bumbung tanpa kolum (space frame structure), yang mana kesemua 134 meter bumbungnya dibina tanpa tiang sokongan. Hebat! Hebat! Kalah semua stadium di Jepun, Korea mahu pun China. Tak usah disebut Thailand, Singapura atau pun Laos!

Ketiga, sebaik siap, stadium itu menjadi gelanggang utama temasya sukan tahunan yang paling berprestij dalam negara. Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berpusat aktiviti utamanya di SSMZA. Maka cerita dan gambar pelbagai sudut stadium yang baru siap dibina itu memenuhi tidak sedikit ruang media dan turut menerobos ruang minda rakyat.

Keempat, lokasi kompleks sukan itu yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menyebabkan ia menjadi tumpuan untuk tujuan lain. Bermula musim haji lalu stadium tertutup bersebelahan SSMZA dijadikan tempat para hujjaj berhimpun sebelum bertolak ke tanah suci dari LTSM.

Terlopong dengan hebatnya stadium

Maka budaya rakyat yang gemar mengerah seluruh anggota keluarga menghantar sanak-saudara yang nak berangkat ke Makkah membantu memasyhurkan lagi stadium yang serba canggih itu. Setiap yang hadir, walau pun bukan atas hasrat menyaksikan acara sukan, ternganga dan terlopong dengan keperkasaan binaan SSMZA dan keunikan struktur bumbungnya. Cerita ketakjuban mereka terhadap stadium itu dibawa balik ke segenap pelusuk negeri.

Sebab itu apabila pada Selasa lalu ia runtuh, berita mengenainya sukar lekang dari bualan masyarakat. Macam-macam luahan dan soalan timbul. Bagaimana mungkin stadium yang baru siap sudah runtuh? Macam mana boleh stadium yang sangat canggih runtuh juga? Belum pernah berlaku dalam negara kita kse seperti itu.

Ada yang pernah tengok stadium itu, belum puas menengoknya dan berniat menengoknya sekali lagi. Ada yang baru dengar cerita mengenai kehebatannya dan sudah pasang niat nak ke Gong Badak menengok sendiri struktur unik itu. Tahu-tahu ia sudah runtuh.

Setakat ini semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembinaan SSMZA dipertanggungjawab dan dituntut memberikan penjelasan. Namun, masing-masing kelihatannya lebih berminat saling menuding jari.

Apa yang dapat difahami dari kenyataan pelbagai pihak itu, projek ini adalah di bawah kerajaan negeri Terengganu, bukan kerajaan Pusat. Bagaimana pun keaiban atas keruntuhannya turut ditanggung negara.

Sudah banyak aduan

Selaku ketua kerajaan negeri, Dato' Ahmad Said menjadi orang paling "panas telinga". Beliau mendedahkan telahpun beberapa kali memberi amaran kepada pihak bertanggungjawab mengenai kebimbangannya atas tahap keselamatan bumbung stadium itu. Malah, katanya, kerosakan itu telah pun beliau sedari sejak hari perasmiannya pada 10 Mei 2008 lalu.

Ahmad juga mempersoalkan ketelusan cadangan dan kelulusan daripada juruperunding yang memeriksa struktur stadium berkenaan kerana mereka dilantik pihak kontraktor. Sedangkan pada pandangannya pemilihan itu sewajarnya diputuskan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Konsultan yang buat pemeriksaan ini dilantik oleh kontraktor sendiri. Macam mana konsultan itu nak buat pemeriksaan terperinci (termasuk menolak apa yang dibuat kontraktor) sebab dia pun dibayar oleh kontraktor? Sebab itu struktur bangunan seperti ini perlu diperiksa oleh juruperunding bebas," Ahmad meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Ungkapan itu bagaikan tidak cukup memuaskan baginya menerangkan perasaan bengangnya atas insiden memalukan itu, menyebabkan beliau tidak segan melabelkan pihak terbabit sebagai 'cap ayam'.

"Sebab itu sekarang ini banyak kita tengok projek yang tak berjalan dengan sempurna kerana konsultannya 'cap ayam'," Ahmad menzahirkan keperibadiannya yang sebenar.

Istilah 'cap ayam' adalah antara label yang laris digunakan di Terengganu. Ia bermaksud koman, tidak berkualiti atau tidak professional, malah tidak boleh digunapakai.

Dalam keadaan yang ada, memang mudah bagi Ahmad melonggokkan kesalahan pada pihak lain. Apatah lagi beliau tidak terlibat dengan idea pembinaan SSMZA dan kerja awalnya, termasuk pemilihan kontraktor dan konsultannya.

Bagaimana pun, sepertimana diakuinya sendiri bahawa kelemahan dan kerosakan pada binaan stadium itu telah pun disedarinya sejak tahun lalu, mengapa beliau sendiri mengambil masa terlalu lama memastikan ia diperbetulkan?

Apakah label 'cap ayam' itu tidak wajar turut diberikan kepada kerajaan BN yang seolah-olah tidak berupaya mengarahkan tindakan segera jabatan, agensi dan semua pihak terlibat dengan projek itu memperbaikinya?

Jika konsultannya dikatakan 'cap ayam', kontraktor yang melantiknya juga 'cap ayam'. Maka bukankah kerajaan yang memilih kontraktor itu juga 'cap ayam'?

UMNO Sanggup Cabul Perlembagaan Untuk Terus Berkuasa

PAS menjadi parti yang selamat daripada banjir politik wang yang dicipta oleh Umno untuk mengekalkan kuasa yang berhadapan dengan gelombang penolakan rakyat.

Demikian penegasan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Muktamar Agung Tahunan PAS kali ke-55, di Stadium Melawati, Shah Alam.

Beliau berkata, walaupun Umno/BN tahu rakyat menolak kepimpinan mereka tetapi Umno tetap mahu meneruskan kuasa selama-lamanya walaupun banyak melakukan pelanggaran yang merosakkan negara dan rakyat.

Katanya, Umno/BN sanggup mencabul Perlembagaan negara serta mengancam perpaduan seterusnya mewujudkan politik yang tidak stabil.

"Sekarang ini penyakit itu memakan diri Umno sendiri dan rakan- rakannya dalam BN dan kini mereka sedang menjadi barah dalam dirinya tanpa segan dan malu," tegas beliau di hadapan lebih 10,000 orang perwakilan, pemerhati, tetamu serta wakil-wakil media.

Beliau menegaskan bagi PAS hanya Islam yang menjadi rahsia ketahanan ahli dan pimpinan dengan pengisian tarbiyah dan bai'ah kepada setiap pemimpin dan calon pilihan raya yang dipilih.

"Kita diajar dosa pahala manakala dalam amalan politik kita diajar bahawa dosa pahala bukannya terhad dalam amalan ibadat serta makan minum saja," tegasnya.

Sekarang tambah beliau, PAS menjadi parti yang kukuh dan istiqamah sehingga dapat bertahan selama lima penggal di Kelantan walaupun dalam penggal lalu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

Walaupun diusahakan oleh pihak tertentu untuk merampas kerajaan Kelantan ketika itu dengan tekanan dan habuan politik wang namum katanya tindakan Umno tidak berjaya.

"Hari ini kita berjaya lagi walaupun pemerintahan bersama kita di Perak dirampas tetapi wakil rakyat kita tidak tenggelam dengan politik wang dan ugutan," katanya dengan nada tegas.

Selain itu beliau turut bangga dengan prestasi ahli Parlimen PAS yang dapat menyuarakan pandangan parti dengan penuh keberanian dan hikmah serta memberikan gagasan-gagasan baru dalam Parlimen sehingga disegani kawan dan lawan.

Dato' Presiden berharap ahli Parlimen dapat melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin dengan landasan Islam supaya mesej yang PAS bawa dapat diikuti dan difahami oleh rakyat yang sangat dahagakan perubahan.

PAS menyertai pilihan raya sejak kali pertama diadakan di zaman penjajah walaupun dengan kejayaan satu kerusi dengan serba kekurangan tetapi PAS terus menyertainya.

Pemerintahan PAS pada ketika tambah beliau juga berhadapan dengan pelbagai diskriminasi daripada kerajaan Pusat selain diserang dengan pelbagai cara termasuk rasuah membeli wakil-wakil rakyat.

Menurut beliau, PAS tumbang di Terengganu dan dapat bertahan di Kelantan sehingga tahun 1978 di mana akhirnya PAS dijatuhkan dengan perisytiharan darurat secara lakonan apabila Umno gagal memperolehi wakil rakyat yang cukup untuk dibeli.

HarakahDaily

Bukan Hanya Khairy Tetapi Najib Mesti Ditumbangkan Oleh Pemuda PAS

Khairy kecil berbanding perjuangan yang perlu dihadapi

"Tanpa memandang rendah keupayaan musuh, perjuangan yang kita hadapi itu jauh lebih besar dan jauh lebih hebat daripada khairy" tegas Ketua Pemuda PAS yang baru Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi ketika berucap menangguhkan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab segala persoalan yang tidak meyakini kepimpinan baru pemuda bagi menghadapi Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin. Malah kata beliau, bukan hanya Khairy tetapi Najib mesti untuk ditumbangkan oleh Pemuda PAS.

"Kita mampu berdepan dengan mereka dengan kekuatan Islam yang ada pada kita" kata beliau dengan penuh yakin.

Beliau juga menyifatkan kepimpinan dibawah Salahuddin Ayub merupakan kepimpinan yang sangat berdedikasi dan sangat hebat sehingga mampu melonjakkan Pemuda PAS berada pada kedudukannya hari ini.

Sambil menghayati kata-kata Saidina Umar Al-Khattab dan menyambut nasihat daripada Salahuddin Ayub, beliau mengharapkan teguran dan kritikan bagi membantu beliau memimpin pemuda PAS. Beliau juga meyakini sokongan yang tidak berbelah bagi daripada para Pemuda.

Sebagai permulaan, beliau juga menyeru pemuda supaya lebih responsif terhadap segala isu, optimis dengan perjuangan yang dibawa dan sensitif kepada suasana dan keadaan politik semasa.

PAS Perlukan Pimpinan Yang Diyakini Rakyat - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan perlunya PAS mempunyai barisan kepimpinan yang diyakini bagi memenuhi perubahan yang diinginkan rakyat.

PAS juga tegas beliau tidak seharusnya terikut-ikut permainan media pro Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba untuk memecahkan parti.

Kamaruddin mengingatkan, memilih untuk berpecah bermakna pemimpin dan perwakilan menyanggah pemberian penuh bermakna yang dianugerahkan oleh Allah.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, jelas rakyat mahukan perubahan dalam pentadbiran negara kerana mereka telah muak dengan pentadbiran kerajaan perkauman BN.

"Untuk memenuhi tuntutan perubahan yang diinginkan rakyat itu, PAS perlu tampil dengan barisan kepimpinan yang diyakini dan tidak terikut dengan mainan media pro Umno/BN yang mahukan perpecahan berlaku dalam parti.

"Memilih untuk pecah bermakna kita menyanggah anugerah penuh bermakna yang dikurniakan oleh Allah," tegas beliau dalam ucapan aluan muktamar ke-55 sebentar tadi.

Beliau juga menegaskan kedayusan Umno/BN untuk menghadapi perubahan yang diinginkan rakyat terbukti bila mereka enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membolehkan rakyat negeri itu menentukan sendiri kerajaan yang mereka mahukan.

Muktamar PAS ke-55 diadakan di Stadium Malawati dekat sini bermula hari ini. Sehari sebelumnya muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah diadakan.

'Islam Memimpin Perubahan' dipilih sebagai tema muktamar kali ini bersesuaian dengan prinsip perjuangan PAS yang mahu menegakkan Islam di bumi tercinta ini.

HarakahDaily

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin Hadir Iringi OKT ke IPD Semalam

Jaminan 69 Tahanan Sidang 7 Mei Tidak Dilanjutkan

Seramai 69 tahanan berhubung sidang Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei lalu hampa apabila diberitahu siasatan pertuduhan terhadap mereka belum selesai oleh pejabat Peguam Negara.

Mereka yang datang ke ibupejabat daerah polis (IPD) Ipoh sejak awal pagi diarahkan bersurai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ipoh, DSP Glenn Anthony.

Sebahagian daripada mereka berkumpul di Wisma DAP sementara menunggu arahan untuk pergi ke IPD Ipoh.

Mereka diarahkan melapor diri kepada IPD seperti mana yang dinyatakan dalam Surat Perjanjian dan Jaminan kepada pihak polis.

DSP Glenn juga berkata semua jaminan tahanan tidak akan dilanjutkan kerana mereka mudah dihubungi.

Kesemua 69 Orang Kena Tahan (OKT) pada hari persidangan DUN Perak 7 Mei lepas diarahkan melapor di IPD Ipoh pada jam 10.00 pagi tadi.

Mereka mereka termasuk Ahli Parlimen, ADUN dan penyokong Pakatan Rakyat yang berada di luar dewan pada hari persidangan.

Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang mengiringi OKT ke IPD Ipoh pagi tadi.

KOLAM RENANG BATU BUROK BOCOR, PENIAGA GERAI DI KOMPLEKS AKUATIK BIMBANG

Kompleks Akuatik Terengganu yang terletak di Batu Burok, dekat sini, menempatkan kolam renang yang dikenal pasti sebagai projek ‘merbahaya’ serta boleh mengancam keselamatan orang awam.

Ia adalah antara tiga projek mega yang akan disiasat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atas arahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said selepas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, pada 2 Jun 2009 lalu.

Tiga belas buah gerai makanan dan minuman yang dibina di sisi Kompleks Akuatik terletak dibawah kolam renang, merupakan kawasan paling berisiko.

Tinjauan Buletinonline, ke kawasan tersebut mendapati bahagian belakang gerai terbabit digenangi air.

Para peniaga yang mengusahakan gerai-gerai berkenaan mendakwa, air yang bertakung itu adalah air dari kolam renang yang meresap turun melalui dinding.

Encik Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata gerai-gerai berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak bulan April lalu.

Menurutnya, pada awal perniagaan tidak terdapat tanda-tanda ‘kecacatan’ (rosak) tetapi ia berlaku sejak sebulan lalu.

“Saya bimbang juga sejak sebulan ini terdapat limpahan air yang meresap masuk memenuhi ruang kaki lima di belakang gerai kami.

“Saya yakin dan percaya itu air limpahan dari kolam renang yang berada di atas gerai kami yang sedang menjalankan perniagaan ini,” ujarnya kepada Buletinonline, semalam.

Beliau menggesa kerajaan negeri segera menyiasat serta memaklumkan status keselamatan bangunan kepada para peniaga di sini.

Katanya, kebimbangan jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, pada 2 Jun lalu.

Seorang peniaga lain, Cik Siti Hajar Nadia, 23, berkata mula-mula menjalankan perniagaan tidak berlaku limpahan air tersebut.

Katanya, sekarang semakin ketara dan membimbangkan para peniaga di gerai terbabit.

“Saya minta pihak kerajaan atau yang bertanggungjawab segera melihat masalah ini sebelum terjadi sesuatu,” ujarnya.

Beliau yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan ‘seafood’ (makanan laut) turut menggesa supaya kerajaan membuat perisytiharan segera berkaitan status keselamatan kawasan berkenaan.

BuletinOnline

Jagalah adab-adab berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh samada kita sedar atau sebaliknya

Budaya kempen Umno menular kedalam Pas

"Yang itu adalah kumpulan Husam. Sebelah sana pula adalah kumpulan yang menyokong Muhamad Sabu.” Demikian kata-kata seorang pimpinan Pemuda PAS kawasan sebaik sahaja kami hadir di majlis perasmian muktamar Dewan Pemuda Pas di Taman Melewar malam tadi.

Dia menunjuk ke arah beberapa kumpulan yang sedang bersantai di salah sebuah restoren yang berhampiran dengan markas PAS Taman Melewar. Ketika itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa sedang berucap untuk merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS yang dihadiri oleh perwakilan pemuda seluruh negara.


“Mereka satu jamaah. Tidak boleh duduk sekali ke,” soal kami melihat situasi ini yang disifatkan agak serius dan mengejutkan.

Pimpinan Dewan Pemuda PAS ini hanya menggeleng-gelengkan kepala — seolah-olah tidak berpuashati dengan situasi kempen PAS masakini. Bagaimanapun dia masih tidak jelas dan mengetahui samada kumpulan terbabit adalah dari kalangan penyokong semata-mata ataupun turut dihadiri sekali oleh para perwakilan.

Budaya makan menjelang hari berkempen di dalam Umno sudah lama berlaku walaupun terdapat beberapa peraturan yang menghalang ahli dan perwakilan berbuat demikian. Di dalam Umno, budaya politik wang agak sukar dikesan kerana kekurangan bukti di samping kecekapan broker menjalankan tugas.

Bagaimanapun ada juga sesetengah pemimpin Umno yang tersilap strategi apabila ada di kalangan juru kempen memberikan wang kepada bukan perwakilan sebaliknya pemantau dari ibu pejabat Umno.

Bagaimanapun budaya PAS menggunakan wang sebagai sogokan tidak mungkin berlaku semasa hari berkempen. Cuma persamaan antara Umno dan PAS adalah “belanja makan-makan” jika melihat daripada peristiwa yang berlaku semasa majlis perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS ini.

Selain itu, beberapa rakan pimpinan PAS yang ditemui mengakui hakikat kempen yang berbaur fitnah dan kata-kata kesat telah berlaku di kalangan ahli PAS. Mereka telah menunjukan beberapa SMS yang mengandungi kata-kata kesat dan fitnah terhadap calon-calon yang bertanding terutamanya untuk jawatan timbalan presiden parti.

Kerana itu juga dalam ucapan perasmian ini, Nasharuddin turut menyebut mengenai budaya dusta di kalangan ahli PAS. Antara lain beliau menyebut, "jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membongkar rahsia tanzim kita. Jagalah adab-adab berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh samada kita sedar atau sebaliknya."

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bachok ini tidak menjelaskan secara terperinci “musuh yang disedari atau sebaliknya”. Apa yang pasti, musuh dalam selimut adalah lebih bahaya jika di bandingkan dengan musuh yang nyata.

Daripada SMS yang ditunjukkan kepada kami, ia disifatkan agak keterlaluan dan di luar batas-batas adab samada dari sudut agama Islam mahupun budaya Melayu. Ia seolah-olah lanjutan dari Muktamar Pemilihan PAS yang lalu dan tidak dapat dikurangkan apatah lagi dihentikan.

Apakah ini sememangnya budaya orang Melayu yang suka menabur fitnah, dengki dan khianat tanpa mengira parti samada PAS mahupun Umno? Hanya pemimpin dan ahli yang berjiwa besar tidak akan berbuat demikian.

PerakExpress

Rentetan Perjalanan Muktamar Penuh PAS Pusat

Muktamar PAS kali ke-55 membuka tirai dengan kini para perwakilan mula memenuhi Stadium Malawati sementara menanti saf pimpinan tiba.

Kelihatan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang bersedia memulakan pemeriksaan perbarisan Unit Amal sebagai pembuka tirai perasmian Muktamar PAS Pusat.

Kira-kira 2000 tetamu mula membanjiri stadium, sementara di luar perkarangan stadium kenderaan mula berpusu masuk. Perasmian dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat oleh Tuan Guru Nik Aziz sementara Ucapan Dasar Presiden akan menyusul selepas itu.

Jam 9.20 pagi, seluruh saf kepimpinan mengambil tempat, Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Timbalan, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Husam Musa, Ustaz Ahmad Awang dan Mohamad Sabu berada di atas pentas bersama AJK PAS Pusat yang lain dan ketua-ketua Dewan sambil mendengar alunan ayat suci Al-Quran yang diperderdendangkan Qari, Ustaz Mustafa.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; wakil-wakil parti komponan Pakatan Rakyat dari DAP, Lim Kit Siang; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Azmin Ali; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim, pemerhati, wakil NGO dan wakil dalam dan luar negara, wakil gerakan Islam, serta petugas media.

Jam 9.40 pagi, pengacara majlis menyerahkan sidang kepada Pengerusi Tetap, Ustaz Abu Kassim Abdullah bagi memulakan Muktamar yang bertemakan 'Islam Memimpin Perubahan'.Abu Kassim memulakan sidang dengan pantun yang membuatkan perwakilan dan tetamu tertawa.

Sejurus selepas itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar mengambil tempat bagi membuka muktamar dengan kata-kata aluan.

Dalam ucapannya, Kamarudin mengucapkan selamat bermuktamar kepada sidang perwakilan dan pimpinan selain mengalungkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pengelola dan tuan rumah, Selangor yang menyediakan tempat dan kemudahan untuk bermuktamar.

HarakahDaily

Orang Dalam Istana Kelantan Didakwa Bantu Larikan Manohara

Manohara Odelia Pinot sudah kembali ke Jakarta hujung minggu lalu tetapi tanda tanya baru muncul di istana Kelantan, selain dakwaan penderaan yang dilakukan oleh suaminya, putera Sultan Kelantan.

Usaha menyelamatkan bekas model muda Indonesia itu bermula dengan maklumat yang datang dari istana sendiri, lapor akhbar Singapura hari ini, yang meminta ibunya segera ke republik tersebut.

Dewi Sari Asih, kakak Cik Puan Temenggong Kelantan, memberitahu The New Paper bahawa usaha melarikan Manohara Odelia "mustahil" tanpa bantuan tiga pihak utama, termasuk "seorang pemberi maklumat dari dalam istana".

Sumber istana itu, yang tidak didedahkan namanya, pertama kali menghubungi ibu wanita muda itu Daisy Fajarina pada 27 Mei lalu dengan memaklumkan Manohara Odelia akan berada di Singapura tidak lama lagi.

Pada hari kejadian, Sabtu lepas, pemberi maklumat yang sama menghubungi lagi Daisy agar bergegas ke Singapura kerana anaknya akan meninggalkan republik itu pada malam hari berkenaan.

Daisy dengan ditemani Dewi Asih segera mengambil penerbangan dari lapangan terbang Soekarno-Hatta dan tiba di Changi pada jam 8 malam, lapor akhbar itu lagi.

Setengah jam kemudian, mereka berdua tiba di sebuah hotel tempat Manohara Odelia dan suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra menginap dalam rangka kunjungan mereka untuk menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan.

Dalam perjalanan ke hotel tersebut, mereka menghubungi polis dan pihak berkuasa tersebut mendapatkan bantuan kedutaan-kedutaan Indonesia dan Amerika Syarikat.

Laporan media ini tidak tidak langsung menafikan kenyataan Mohd Soberi Shafii, kenalan dekat Tengku Muhammad Fakhry, yang menyebut putera Kelantan itu merelakan isterinya pergi bersama Daisy.

Sebaik tiba di hotela tersebut, menurut akhbar itu lagi, beberapa pengawal peribadi kerabat tersebut terperanjat dengan kehadiran Daisy dan Dewi Asih.

Pengawal-pengawal itu segera berhubung melalui telefon masing-masing, anak sulung Daisy dipetik berkata.

Anggota keluarga Manohara Odelia itu menunggu dekat lif hotel itu kerana mereka tidak mempunyai kad akses untuk naik ke bilik wanita 17 tahun itu.

Kira-kira 8.40 malam, polis tiba di hotel tersebut.

Menurut Dewi Asih lagi, kemudian seorang wanita warga Indonesia yang menginap di situ menghampiri mereka berdua dan memberitahu bahawa beliau ternampak Manohara Odelia di tingkat tiga tetapi tidak dibenarkan turun.

Tiba-tiba mereka mendengar loceng kecemasan hotel dibunyikan dan seorang wanita bersama seorang lelaki berlari ke lif dengan membawa sesuatu seperti beg doktor, lapor The New Paper.

"Kami ingin ikut mereka (lelaki dan wanita itu), tetapi mereka (pengawal keselamatan hotel) menghalang kami," Dewi Asih dipetik berkata.

Tidak lama kemudian emaknya dengan anggota polis naik ke tingkat tiga dan terserempak dengan Manohara Odelia di dalam sebuah lif sambil menangis dan menekan-nekan butang kecemasan.

Isteri putera Kelantan itu dilaporkan enggan keluar sehingga ternampak ibunya dan menjerit "ibu, jangan biarkan saya dibawa pergi lagi."

Bersama Dewi Asih, mereka tiga beranak kemudian tinggal di tingkat tiga, di bilik wanita Indonesia yang menegur Daisy dekat lif sebelum saat-saat getir tersebut.

Dari situ, Manohara Odelia menghubungi pegawai-pegawai kedutaan Amerika Syarikat yang kemudian tiba dengan pegawai-pegawai kedutaan Indonesia.

Daisy, sewaktu mendedah saat-saat tersebut kepada tabloid Singapura itu, berkata mereka bertiga berada di bilik tersebut antara jam 9 malam Sabtu hingga 4 pagi keesokannya sementara berunding dengan Tengku Muhammad Fakhry yang enggan melepaskan isterinya pergi.

Kedutaan Indonesia di Indonesia mengambil masa empat jam sehingga 4 pagi untuk menyediakan dokumen lengkap bagi membolehkan Manohara Odelia berlepas ke Jakarta pada pagi Ahad lalu.

APA JAWAB NAJIB DI CHINA? "Kalaulah dia teman wanita saya sudah tentu beliau akan rasa terhina sekiranya saya tempatkannya di hotel seperti itu,"

Najib Diasak Media Antarabangsa Mengenai Altantuya Di China


Perdana Menteri Najib Razak menafikan beliau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu apabila diasak oleh media antarabangsa semasa lawatan rasmi beliau ke China yang bermula Selasa lalu.

Menurut laporan Associated Press (AP) Najib hanya "ketawakan" sahaja apabila ditanya oleh media asing mengenai kemungkinan beliau dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya tiga tahun lalu.

Najib berkata kepada AP "beliau tidak ada kena mengena" dengan Altantuya, bekas model dan penterjemah yang didakwa mempunyai hubungan asmara dengan penasihat politik Najib, Razak Baginda.

Menurut laporan itu hubungan rapat Najib dengan Razak menimbulkan kemungkinan beliau terkait dengan kes pembunuhan tersebut.

"Tidak ada bukti. Mereka tidak mengemukakan apa-apa bukti pun...Saya telah bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak kena mengena dengan dia dan saya tidak boleh komen lebih daripada itu," kata Najib.

Sebagai bukti, Najib merujuk kepada laporan Altantuya menginap di "hotel dua bintang" sahaja sebelum kematian tragisnya.

"Kalaulah dia teman wanita saya sudah tentu beliau akan rasa terhina sekiranya saya tempatkannya di hotel seperti itu," kata Najib sambil ketawa.

Razak Baginda telah mengaku menjalin hubungan intim dengan Altantuya dan dibebaskan Oktober lalu berhubung tuduhan bersubahat dengan pembunuhan wanita itu.

Dua anggota polis dihukum mati walaupun motif pembunuhan gagal dibuktikan. Kedua mereka kini dalam telah membuat rayuan.

TVA

ULAMA PAS TIDAK SEPERTI ULAMA UMNO - Ustaz Dato' Harun Taib

"Ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT...tidak seperti ulama Umno yang mengikut telunjuk pemimpin mereka."

Demikian antara ungkapan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang baru, Dato' Harun Taib di akhir Muktamar DUPP semalam.

Sebelum itu, beliau tidak menyangka bahawa akan dipilih sekali lagi bagi menerajui dewan berkenaan setelah membuat keputusan pada 2007 untuk tidak mempertahan jawatan bagi memberi laluan kepada orang lain.

Beliau berkata demikian sebagai ucapan sulung setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut di Muktamar Tahunan dewan berkenaan kali ke-48 yang berlangsung di Auditorium Muzium Shah Alam semalam.

Kenyataan beliau telah menggamit para perwakilan apabila menyatakan bahawa dewan berkenaan bermuktamar kali ini di muzium, seolah-olah ulama mahu dimuziumkan, walau bagaimanapun tegasnya, muzium adalah tempat menyimpan bahan-bahan bersejarah dan bernilai tinggi yang sering dikunjungi oleh orang ramai, maka ulama pun sering dikunjungi bagi mendapatkan buah fikiran dan pandangan berharga mereka.

Beliau membuka cerita mengenai penglibatan pertamanya selaku Ketua DUPP, ia bermula pada 1997, apabila AJK dewan berkenaan menerima hasrat ketuanya pada ketika itu, iaitu Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berundur bagi menumpukan tugas sepenuh masa sebagai Menteri Besar Kelantan, hasratnya diterima dan ketika beliau (Harun) kebetulan lalu di hadapan pejabat DUPP, beliau dicekup oleh seorang AJK dewan itu untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat dan terus dicadangkan untuk menerima jawatan tersebut.

"Selepas 1982, ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT, sehingga pengaruh PAS masuk ke dalam Institut Pengajian Tinggi dalam dan luar negara hingga melahirkan golongan ulama yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat, perkara ini tidak berlaku dalam Umno di mana ulama-ulamanya hanya mengikut telunjuk pemimpin mereka,"ujar beliau dengan penuh bersemangat.

Dalam ucapannya juga beliau berterima kasih kepada semua perwakilan termasuk ulama daripada kalangan muslimat yang telah memainkan peranan penting bagi memajukan PAS di persada politik tanah air, di mana ulama dari kalangan muslimat yang terpilih juga merupakan individu yang berkebolehan dari sudut ilmu pengetahuan yang tidak ada tempat bagi menyalurkan pandangan mereka, justeru mereka diambil untuk menganggotai DUPP agar dapat menyampaikan pandangan ulama kepada muslimat.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan berjanji untuk melihat secara mendalam segala pandangan yang diutarakan oleh para perwakilan dalam muktamar kali ini.

HarakahDaily

Keputusan Pemilihan Dewan Ulamak PAS Pusat 2009-2011, Ustaz Harun Taib Ketua

SENARAI KEPUTUSAN PIMPINAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT BAGI SESI 2009-2011

KETUA
Ustaz Harun Taib(MTB)


TIMBALAN
Ustaz Tuan Ahmad Yaakob (MTB)



NAIB KETUA
Dr Mahfodz Mohamad (MTB)


AHLI JAWATANKUASA

1. Ustaz Husin Awang (193)
2. Ustaz Abdul Ghani Shamsudin (186)
3. Ustaz Nik Zawawi Salleh (186)
4. Ustaz Saleh Sani Harun (156)
5. Ustaz Abu Bakar Abdullah (153)
6. Dato' Ustaz Mohd Daud Iraqi (152)
7. Ustaz Abdullah Abd Razak (152)
8. Ustaz Hasan Mohamad (143)
9. Ustaz Ismail Noh (138)
10. Ustaz Mohd Zain Abd Rahman (138)
11. Ustaz Mohamad Mustafa (131)
12. Ustaz Abdullah Husin (129)


PEMERIKSA KIRA-KIRA

Hj Ibrahim Omar (188)


Diumumkan oleh wakil suruhanjaya Pilihan raya PAS, Ustaz Daeng Sanusi Daeng Mariok

Laungan Takbir Iringi Ucapan Pemimpin Palestin

Dewan Dato' Hj Fadzil Mohd Noor bergema dengan laungan takbir yang mengiringi ucapan tetamu kehormat Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahli Parlimen Palestin, Dr Marwan Abu Ghash.

Ucapan perwakilan ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada ucapan Dr Marwan yang diterjemahkan oleh Ustaz Khairil Anuar Wafa.

Dr Marwan dalam ucapannya melahirkan sukacita serta berbangga kerana dapat bersama-sama dengan perwakilan dalam Muktamar Pemuda ini.

"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, sebuah kerajaan yg disokong rakyat dan terima kasih kepada parti Islam dalam negara ini yang merupakan rakan kami yang paling rapat. Saya berhadapan dengan peperangan di Gaza dan selepas peperangan saya mampu keluar daripada Palestin.

"Saya sungguh gembira kerana dua orang rakyat Malaysia dapat memasuki Gaza dengan selamat untuk memberi bantuan kepada kami. Anda boleh bayangkan serta dapat menyaksikan saudara di Malaysia dapat melihat dengan sendiri penderitaan di Gaza,"katanya.

Beliau dengan penuh bersemangat menyatakan Palestin merupakan sebahagian daripada agama dan keimanan serta akidah.

Jelasnya, rakyat Malaysia mempunyai hak di Palestin dan mengharapkan agar rakyat Malaysia tidak mengenepikan perjuangan Palestin.

"Baitul maqdis, Allah memberkatinya serta sekelilingnya yang tidak dibataskan. Rakyat Malaysia telah menyampaikan sumbangan kepada saudara mereka. Sesiapa yang memberi wang kepada rakyat Palestin, sesungguhnya kami gembira dengan kasih sayang yang anda curahkan dan kami gembiara dengan keberanian anda.

"Peperangan telah menyatukan kami dengan Malaysia. Zionis musuh kepada kemanusiaan. Gaza, telah sembuh daripada kecederaan tetapi air mata terus mengalir di sebalik runtuhan dan kepungan yang menzalimi rakyat. Kami yakin agama kita yang bersih ini akan membebaskan Palestin,"katanya.

Sebagai penutup ucapannya, Dr Marwan mengharapkan kepada semua rakyat Malaysia agar terus berjuang dengan kebaikan serta merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah menderma.

Beliau turut mengharapkan program seperti muktamar ini akan dapat memperjuangkan hak rakyat.

HarakahDaily

Keputusan Pemilihan Dewan Muslimat PAS Pusat 2009-2011, Ustazah Nuridah Mohd Salleh Kekal Ketua

SENARAI KEPUTUSAN PIMPINAN
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT BAGI SESI 2009-2011

PENGERUSI TETAP (154)
Nor Hashimah Deraman

TIMBALAN PENGERUSI TETAP (162)
Wan Hamidani Wan Ahmad

KETUA (136)
Nuridah Mohd Salleh, Ustazah


TIMBALAN KETUA (142)
Siti Zailah Mohd Yusoff, YB.


NAIB KETUA (MTB)
Mumtaz Md Nawi, YB.

AHLI JAWATANKUASA KERJA (23)

1. Wan Ubaidah Omar, YB.(196)
2. Halimah Ali, YB. Dr. (173)
3. Mastura Hj Mohamad (173)
4. Aiman Athirah Al Jundi (162)
5. Najihatussalehah Ahmad, Dr.(158)
6. Siti Mariah Mahmud, YB. Dr. (156)
7. Rosni Adam, Dr. (155)
8. Azizah Khatib Mat, Ustazah (147)
9. Salbiah Abd Wahab (147)
10. Nurul Huda Yusof Rawa (135)
11. Wardatul Jannah As Sofea (125)
12. Fatimah @ Zainab Ibrahim, To' Puan (122)

Usul Bersihkan Nama Najib, Rosmah Diterima Untuk Dibahas

Sebanyak empat usul diterima untuk dibahas oleh para perwakilan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-50 yang akan dibahaskan pada malam ini.

Antara usul yang akan dibahas ialah membersih nama baik Perdana Menteri Malaysia yang dibawa Pemuda PAS Pusat.

Usul tersebut yang mendapat sokongan daripada Pemuda PAS Johor menyebut mereka menyedari Dato' Seri Naji Tun Razak dan isterinya Datin Sri Rosmah Mansur dikaitkan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharribuu.

"Negara sedang terancam dengan imej buruk yang digambarkan media-media luar negara terhadap perdana menteri," jelas usul tersebut yang diedarkan kepada media sebentar tadi.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyedari negara-negara luar memberi respons yang baik terhadap pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Bagaimanapun katanya, negara ini perlu ditadbir pemimpin yang bersih.

Sehubungan itu mereka akan mengambil ketetapan untuk mendesak Najib dan Rosmah membersihkan nama mereka dengan menyaman mereka yang terbabit.

"Kami juga memohon Yang di-Pertuan Agong melantik badan penyiasat bebas terhadap kes pembunuhan Altantuya itu," sebut usul tersebut.

Sementara itu dua usul turut diterima tanpa bahas, iaitu usul kesan negatif ketiadaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada usahawan Bumiputera Islam dan usul mempertahan dan perkukuh kepimpinan ulama.

HarakahDaily