Thursday, May 20, 2010

Himpunan Besar Bantah Lesen Judi

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Mei : Bagi menjayakan himpunan membantah lesen judi 21 Mei ini, Dewan Pemuda PAS negeri disaran mendapatkan penyertaan daripada Pemuda Pakatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua DPP Pusat, Nasruddin Hassan memberitahu demikian dalam satu arahan melalui sistem pesanan ringkasnya hari ini.

"Pemuda setiap negeri dikehendaki mengadakan himpunan aman pada Jumaat, 21 Mei ini selepas solat Jumaat.

"Bagi menjayakan himpunan itu, DPP negeri disarankan mendapatkan penyertaan daripada Pemuda Pakatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau juga menyeru seluruh pemuda PAS agar mewujudkan gelombang untuk menentang kemungkaran.

Pada 3 Julai depan pula, DPP Pusat akan mengadakan himpunan besar-besaran di ibu negara bagi menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong di istana negara.

Kerajaan awal bulan ini meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan.

Ekoran itu, ianya mendapat bantahan daripada pelbagai pihak khususnya Pakatan Rakyat.

Harakahdaily