Friday, June 3, 2011

Pemilihan diteruskan, PAS tak bimbang meskipun PRU dekat

KUALA LUMPUR, 3 Jun — PAS tidak menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti kali ini kerana yakin dengan kematangan anggota parti untuk memilih pemimpin yang mantap dan mampu membawa kejayaan terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata walaupun banyak parti politik lain menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti mereka sehingga selepas PRU-13, namun PAS yakin pemilihan kali ini tidak akan memecahbelahkan parti sebaliknya akan memantapkan perpaduan pemimpin serta anggota parti.

“Sejak proses pemilihan bermula ... kami yakin tidak akan timbul sebarang unsur negatif daripada pertandingan yang berlaku dan proses pemilihan akan dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sehingga iaa selesai,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mustafa berkata demikian dalam ucapan aluan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewar dekat sini hari ini.

Pemilihan kali ini menyaksikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding manakala bagi jawatan nombor dua parti menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang Salahuddin Ayub dan Idris Ahmad yang akan dicabar empat calon lain iaitu Datuk Mohd Amar Abdullah, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Datuk Paduka Husam Musa.

Pada pemilihan Dewan Muslimat PAS semalam, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dipilih sebagai ketua baru menewaskan penyandang Nuridah Mohd Salleh.

Dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS Pusat pula Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menang jawatan timbalan ketua menewaskan tiga calon lain manakala Ketua Dewan Pemuda Nasrudin Hassan telah menang tanpa bertanding bagi penggal kedua.


TMI

No comments:

Post a Comment