Saturday, April 23, 2011

Mat Sabu lawan Nasha, Husam pertahan Hadi

Ketika Mohamad Sabu menggerakkan jentera dan penyokong untuk mencabar Nasharudin Mat Isa untuk kerusi Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa menunjukkan sikap berbeza apabila mempertahankan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Husam yang bersaing dengan Mohamad dalam merebut jawatan timbalan presiden pada maktamar 2009 kini menunjukkan sikap berhati-hati dan kelihatan menegaskan perpaduan parti serta mempertahankan presiden.

Husam dilapor berkata apa yang perlu dilakukan PAS ialah memperbaiki parti dan bukan menjatuhkan Abdul Hadi.

Kedudukan Abdul Hadi mula diperkatakan lagi ekoran kenyataan pakar undang-undang yang rapat dengan PAS dan PKR, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang Abdul Hadi perlu diganti kerana menjadi liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Husam kini menjadi antara tokoh parti yang muncul mempertahankan Abdul Hadi, yang masih dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak dalam parti kerana dikaitkan dengan pakatan bersama Umno.

Kenyataan Husam itu merupakan kali kedua beliau mempertahankan Abdul Hadi sebagai presiden parti. Sebelum ini Husam menolak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang.

Husam dikatakan tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden pada tahun ini dan akan menumpukan pada Jawatankuasa Pusat.

Husam ialah tokoh yang disebut dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi timbalan perdana menteri sekiranya projek 16 September, 2008 untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat melalui lompat parti berjaya.

Pada masa ini, Mohamad merupakan tokoh yang pertama dan paling jelas menunjukkan kesungguhan untuk bertanding dalam pemilihan muktamar tahun ini yang dijadual awal Jun.

PAS perlu bersedia untuk menggantikan tempat Anwar


"MUKTAMAR PAS dijadualkan pada bulan Jun nanti dan saya merasakan tiada kehangatan di dalam pemilihan pimpinan kali ini sebagaimana Muktamar yang lalu. Mudah dijangka, Tuan Guru Hj Hadi Awang akan terus dikekalkan sebagai Presiden PAS kerana terbukti bahawa beliau sahaja setakat ini yang berwibawa memimpin PAS.

Mungkin tumpuan hangat hanya kepada jawatan Timbalan Presiden PAS yang besar kemungkinan Mat Sabu akan mencabar Us Nasha.

Saya tidak bimbang dengan pemilihan pimpinan PAS kerana PAS telah membuktikan bahawa sehangat mana pun pertandingan di dalam jawatan tinggi parti tersebut, kesatuan di dalam PAS tetap utuh dan tiada seorang pun yang tewas terpinggir jauh sekali dari melompat parti. Inilah yang amat saya kagumi di dalam PAS yang tiada diperolehi dari mana-mana parti sekalipun di negara ini. Itulah hikmahnya berjuang kerana Allah bukan kerana jawatan dan kedudukan.

Walaupun Muktamar PAS kali ini tidak hangat, tetapi Muktamar kali ini adalah penentu kepada yang lebih besar iaitu menyediakan pemimpin yang benar-benar bersedia untuk berdepan dengan Umno terutamanya. Kita telah dibayangkan bahawa DS Anwar mungkin akan dianiayai lagi dengan begitu hebat tekanan yang dihadapinya sekarang. Kes fitnah liwat II masih belum selesai, timbul pula kes video seks yang kini hangat diperkatakan. Masakan di antara dua kes tersebut, mereka gagal kenakan DS Anwar walaupun satu kes?

Justeru itu, PAS harus bersedia mulai sekarang untuk menerajui PR dan meneruskan perjuangan yang dibawa oleh DS Anwar sekiranya beliau terperosok ke penjara sekali lagi. Kita berdoa agar beliau selamat dari dizalimi, namun kita harus juga mengenali puak-puak mereka yang tidak akan berhenti selagi DS Anwar masih memimpin kita. Sehubungan itu, Muktamar PAS kali ini harus menyediakan pimpinan yang benar-benar mampu memimpin PR sehingga ke Putrajaya.

Memimpin PAS mungkin tiada masalah, tetapi memimpin PR bukan satu tugas yang ringan. Memimpin PR yang ada di bawahnya PKR dan DAP, memerlukan pemimpin yang bijak, diplomasi dan tegas. Saya yakin Tuan Guru Hj Hadi Awang mampu memikul amanah tersebut kerana beliau pastinya akan dibantu oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz yang begitu disukai oleh kaum-kaum bukan Melayu di dalam PR. Tetapi, siapakah pimpinan lain yang boleh bekerjasama dengan baik dan efisyen berganding dengan Tuan Guru Hj Hadi?

Pimpinan inilah yang diharapkan agar ahli-ahli PAS fikirkan supaya nanti PAS mampu menjadi ketua di dalam PR lebih baik dan berkesan setelah ketiadaan DS Anwar. Sudah tentu pemimpin ini mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan pimpinan PKR dan DAP. Maka, jawatan Timbalan Presiden PAS serta Naib-Naib Presiden PAS haruslah terdiri dari pemimpin seperti ini.

Kali ini Muktamar PAS diharapkan sebagai Muktamar terakhir PAS sebagai Pembangkang di negara ini sebelum kita ke Putrajaya, InsyaAllah. /wfauzdin.blogspot.com

Kepimpinan adalah amanah, bukan kebanggaan

ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF

Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi thiqah lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

Maksudnya : Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Semoga muktamar PAS tahun ini , yang akan berlansung di Taman Melewar Gombak dan Shah Alam Selangor [Dewan - Dewan] akan menjanjikan satu muktamar yang bukan sahaja meriah pada sambutannya tetapi juga dilihat hebat dan perkasa menggarap perjalanan parti .

salam perjuangan dari saya

Nasrudin bin Hj Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nasrudin Hassan Hrkhdaily






Program Ikon Muslimat Muda bersama IDHAMCARE dan Albanjari Online


17 Jamadilawal 1432H. [MOD] - Program separa realiti IKON MUSLIMAT MUDA bersama IDHAMCARE dan Albanjari Online merupakan satu program yang cuba menonjolkan kebolehan dan kemahiran yang ada pada gadis-gadis muslimat sebagai seorang pendakwah.

Program ini telah mendapat persetujuan dan kata sepakat dari ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah selaku pengerusi IDHAMCARE. Menurut beliau, di usia 15- 16 tahun, mereka sudah menjejak kaki di Al-Azhar. Lidah mereka fasih dengan hafazan al-Quran 30 juzuk.

Dana juga disumbangkan dari orang awam yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.

"Ini merupakan satu program baru untuk muslimat yang dikenali sebagai ikon muslimat. Tujuan program ini adalah untuk mencari bakat anak-anak gadis yang berkebolehan sebagai pendakwah.

"10 IKON muslimat MUDA yang disaring ke peringkat akhir akan ditempatkan selama sebulan di Sarawak berdasarkan kepada tugasan yang akan dimaklumkan nanti. Mereka akan tinggal dan berdakwah di kawasan yang akan dipilih oleh jawatankuasa Program,"kata Khalil Idham Lim kepada Cina Islam.
.
Turut sama dalam pertemuan itu adalah Pengasas ABO, En. Sharifuddin yang juga Pengarah Program dalam pogram separa realiti ini berkata bahawa program ini untuk menarik minat gologan muda mendekati Islam.

"CIL@TV bersama ABO Broadcast sedang menjejaki gadis-gadis muda yang pintar, berketrampilan, hafaz al-Quran untuk menjadi IKON muslimat muda di Malaysia.

"Sasaran untuk mencari 50 calon peserta seluruh Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak akan mula bersiaran di CIL@TV mulai Mei ini," ujar beliau yang dihubungi pada pagi tadi.

Sharifuddin berkata, setiap minggu akan ditampilkan seorang IKON untuk dinilai oleh pembaca blog dan fesbuk. Nilaian yang lengkap termasuk klip video disertakan nanti.

"Pencarian itu telah dimulakan dari negeri Pulau Pinang, dan akan menjelajah ke Kedah, Perak dan Perlis. Sokongan dari pembaca sangat dihargai dalam pencarian IKON MUSLIMAT ini.

"Program separa realiti ini akan bersiaran selama 4 bulan bermula dari bulan Mei hingga Ogos dan kemuncak IKON peringkat akhir akan diumumkan pada bulan Ramadhan 1432H untuk ditabal menjadi IKON Muslimat MUDA Malaysia," ujarnya lagi.

Rakaman untuk dokumentari ini akan disiarkan pada 26 April 2011

(*) Semua penajaan dan sumbangan ke program separa realiti ini boleh disalurkan terus ke akaun IDHAM CARE dibawah :

MAYBANK 558417102650 atas nama IDHAMCARE
[email atau smskan sumbangan itu dengan option rujukan IKON untuk pengauditan tajaan. Terima kasih. Email : ikon_muslimat@yahoo.com atau SMS ke 012-5118485]

Oleh YB. Drs. Khalil Idham LimTranungkiteOnline

1,000 hadir dengar Azmin dedah muslihat ’1Melayu, 1Bumiputera’

Ucapan Azmin bukan sahaja membakar semangat hadirin, bahkan mendedahkan tembelang muslihat politik Umno BN
PULAU PINANG : Lebih 1,000 orang membanjiri ceramah perdana ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’ bertempat di Dewan Sungai Tiram, Batu Maung malam ini.

Mereka, kebanyakannnya keturunan Melayu mengikuti pelbagai isu semasa yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara isu yang disentuh ialah pembaziran emel 1Malaysia yang menelan kos RM50 juta, muslihat slogan 1Melayu, 1Bumi’ yang dibangkitkan Utusan Malaysia – sebuah akhbar kawalan Umno Barisan Nasional (BN) dan banyak lagi.

Dalam ucapannya, Azmin menyelar sikap sikap hipokrit Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Melayu, 1 Bumiputera yang dicanangkan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan, konon untuk menyatukan semua Melayu sedangkan akhbar itu sebenarnya memecah belah perpaduan Melayu.

Hadirin khusyuk mengikuti ucapan pimpinan Pakatan Rakyat. (Gambar lebih jelas akan dimuat naik kemudian)
Ahli Parlimen Gombak itu kesal kerana Najib secara tiba-tiba menafikan hubung kait antara akhbar Utusan Malaysia dan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN).

“Inilah hipokrit Barisan Nasional pimpinan Najib. Najib kata: 1Melayu, 1Bumiputera pandangan Editor Utusan Malaysia.

“Wahai Najib dan Rosmah, kita tahu Utusan Malaysia disokong Umno. Kita tahu Utusan Malaysia surat khabar milik Umno. Kita juga tahu Utusan Malaysia hidup kerana Umno yang memainkan politik perkauman,” kata Azmin.

Selain Azmin dan Guan Eng turut berucap ialah Exco Pulau Pinang, Abdul Malek Abul Kassim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Azmin menggantikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat hadir pada saat-saat akhir berikutan masalah kesihatan yang tidak serius.

Terdahulu, Azmin hadir ke majlis makan malam KEADILAN Cabang Bukit Gelugor di Tapak Pesta Sungai Nibong pada jam 8 malam sempena ulang tahun ketiga penubuhan cabang berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 30 orang menyertai KEADILAN (Untuk berita itu, klik ini)

Muktamar PAS fokus PRU 13 (VIDEO INSIDE)

Mustaffa menafikan wujud perbincangan mengenai isu PAS dalam Pakatan Rakyat, memandangkan kekuatan mereka sebagai tiga parti yang bergabung sentiasa diperteguhkan.
KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Muktamar kali ke-57 yang diadakan pada 3 hingga 5 Jun depan dijangka menyentuh persediaan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 kelak.

Beliau menafikan wujud perbincangan mengenai isu PAS dalam Pakatan Rakyat, memandangkan kekuatan mereka sebagai tiga parti yang bergabung iaitu bersama PKR dan DAP sentiasa diperteguhkan dari semasa ke semasa.

Menurut Mustafa, isu mengenai kerajaan perpaduan yang pernah dicetuskan dalam muktamar dua tahun lalu juga dianggap selesai dan tidak akan dibangkitkan lagi pada muktamar kali ini.

“Isu PAS dalam Pakatan tidak akan dibangkitkan disebabkan kami sentiasa memperteguhkan Pakatan dari semasa ke semasa. Manakala bagi isu kerajaan perpaduan dengan Umno juga sudah tutup.

“Salah satu isu yang akan diketengahkan dalam ucapan dasar adalah tentang PRU ke-13,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS disini hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai tindakan PAS mengadakan pemilihan walaupun kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan dalam masa terdekat, Mustafa berkata PAS mempunyai masa yang cukup untuk bersatu kembali dengan kepimpinan baru.

“Kita cukup masa untuk bersatu…..tidak akan berlaku perpecahan. Pemilihan adalah satu episod dalam perjalanan PAS, habis muktamar kita akan bekerja untuk pilihan raya.

“Walau ada pemilihan sekalipun tidak akan rosakkan perpaduan dalam parti melainkan pilihan raya mahu diadakan pada Jun,” katanya.

Isu Hadi, Mustaffa membisu


Menyentuh mengenai kepimpinan Presiden Datuk Abdul Hadi Awang yang pada waktu ini dikritik hebat dalam akhbar, Mustafa mengambil pendekatan berbeza dengan bersikap berkecuali untuk memberi komen ke atas pemimpin nombor satu PAS itu.

Beliau sebaliknya berkata kegagalan pilihan raya negeri di Sarawak dan beberapa pilihan raya kecil tidak akan memberi kesan dalam pemilihan bagi muktamar pada kali ini.

“Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat) dah bagi komen sebelum ini bahawa kepimpinan seseorang tidak boleh diukur daripada kegagalan dan kejayaan daripada pilihan raya. Sedangkan PAS saya lihat lebih banyak berjaya daripada gagal.

Tidak seharusnya kita bebankan kepada seseorang, tidak boleh kata pengarah pilihan raya gagal atau sebaliknya sebab kita bekerja secara kolektif.

“Saya ikuti komen di akhbar-akhbar dan ia cukup positif kepada Hadi hari ini…Jadi saya berkecuali, tidak perlu komen,” katanya.

Siapa berkempen berlebihan tidak akan menang

Menurut Mustafa terdapat 179 kawasan menjalankan mesyuarat bermula April hingga Mei untuk mencalonkan pemimpin dan tarikh tutup bagi mereka menghantar borang pencalonan adalah pada 15 Mei depan.

Sementara itu menyentuh mengenai kempen pemilihan melalui laman sosial seperti facebook beliau berkata berdasarkan pengalaman lalu jika perkara tersebut berlaku, calon tersebut tidak akan menang.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut etika PAS, ahli tidak boleh meminta sebarang jawatan.

“Dalam budaya PAS masing-masing sudah tahu etika kempen. Perwakilan kenal pemimpin dari segi potensi. Dari pengalaman lepas sesiapa yang kempen secara berlebihan tidak akan menang.

“Etika PAS tidak boleh minta jawatan kerana ia akan disalah-ertikan. Jika ada yang guna laman web untuk berkempen…..itu pengikut-pengikut yang lakukan kerana pemimpin sendiri saya tahu mereka tidak akan berkempen,” katanya.

Media melaporkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PAS kini giat berkempen melalui facebook dengan menggunakan nama ‘Kelab Mohamad Sabu Dot Com’.

Muktamar PAS Nasional akan diadakan bermula dari 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar, Gombak.

Bagi muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 1-2 Jun masing-masing di Dewan Banquet MBSA dan di Dewan SUK, Shah Alam.

Fazy Sahir FMT