Wednesday, January 4, 2012

Taib tarik balik saman fitnah ke atas M'kini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menarik balik saman fitnah yang difailkannya ke atas Malaysiakini lima tahun lalu selepas mencapai penyelesaian luar mahkamah hari ini.

Penyelesaian itu membabitkan pengakuan Malaysiakini bahawa Biro Percukaian Serantau Tokyo telah menarik balik dakwaan bahawa sogokan dibuat oleh syarikat-syarikat perkapalan Jepun kepada syarikat pesisir Hong Kong, Regent Star, yang dikatakan ada kaitan dengan keluarga Taib.

"Malaysiakini menerbitkan artikel berkenaan semata-mata berdasarkan laporan berita beberapa media Jepun yang telah diterbitkan pada ketika itu," kata peguam Fahri Azzat yang mewakili portal berita itu dan membacakannya di mahkamah hari ini.

"Kami akui bahawa artikel-artikel itu menyebabkan rasa malu dan kesusahan kepada plaintif dan menjejaskan reputasi beliau. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan kepadanya akibat perkara itu.

"Sejajar dengan permohonan maaf ini, kami akan menyiarkan berita bahawa Biro Percukaian Serantau Tokyo telah memutuskan bahawa wang yang dibayar oleh syarikat-syarikat perkapalan Jepun itu adalah pembayaran yang sah."

Taib menarik balik samannya tanpa sebarang tuntutan ganti rugi atau kos daripada Malaysiakini selepas kenyataan itu dibacakan secara terbuka di mahkamah.

Hakim Datuk Rozilah Yop, yang mendengar kes itu, merekodkan penyelesaian berkenaan dengan tidak membuat sebarang perintah untuk kos. Beliau juga membatalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Selain, Fahri, Malaysiakini juga diwakili peguam K Shanmuga manakala Robert Lazar bertindak bagi pihak Taib.

Penasihat undang-undang Sarawak JC Foong, yang juga hadir di mahkamah, berkata beliau bertindak sebagai peguam pemerhati kerajaan negeri Sarawak.