Friday, May 1, 2009

Nizar: ADUN Pakatan tetap hadir sidang DUN Perak 7 Mei

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar (tengah) bersama Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (kiri) dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (kanan) pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat hari ini. Mesyuarat itu mengambil keputusan untuk tidak memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang dijadualkan pada 7 Mei depan. --fotoBERNAMA

Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan bahawa semua wakil rakyat mereka akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei ini, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammadd Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan itu adalah muktamad walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat akan memboikot sidang DUN tersebut. "Soal memboikot kini tidak timbul dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya semasa persidangan berkenaan.

"Saya berharap persidangan itu mengikut segala peraturan sebagaimana yang diagendakan dan kita akan mengikut apaapa ketetapan yang akan dibuat oleh Speaker," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli DUN (ADUN) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berharap semua pegawai yang ditugaskan pada sidang DUN itu akan mengikut perintah daripada Speaker dan menegaskan semua ADUN Pakatan Rakyat juga akan patuh dan akur apa saja arahan Speaker.

Sementara itu Speaker, V. Sivakumar ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatan beliau mengakui memang ada usul yang telah diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Beliau berkata, sebelum persidangan pada 7 Mei ini berlangsung, banyak isu akan dibangkitkan beliau melalui perbincangan dengan pihak polis, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut.

artikel asal : mStarOnline




klip video ehsan : greenboc