Friday, June 3, 2011

Naib Presiden : Saingan tak sengit didakwa, kata calon tunggal bukan ‘YB’

Idris Ahmad menegaskan jawatantimbalan presiden dan naib presiden tidak menyaksikan persaingan sengit sebagaimana didakwa ramai. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 3 Jun — Meskipun ramai berpandangan bahawa pemilihan kepimpinan pusat PAS kali ini terlalu sengit, tidak pernah disaksikan dalam enam dekad sejarahnya,

Ketua Penerangan Idris Ahmad menegaskan, andaian sedemikian sebenarnya tidak berasas.

Calon kerusi naib presiden itu berkata berbanding masa-masa lalu, kali ini mereka yang bertanding sama ada timbalan presiden ataupun naib presiden kelihatan seimbang dan mempunyai kelebihan sama rata.

“Saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang sengit, biasa sahaja,” kata beliau yang pertama kali bertanding kerusi naib presiden.

Pada pemilihan 2009, Idris menduduki tangga kedua paling tinggi undi dalam persaingan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat. Ketika itu bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin menduduki tangga teratas.

PAS mengadakan pemilihan dua tahun sekali lagi sempena Muktamar Tahunan Ke-57 yang bermula hari ini.

Naib presiden yang memperuntukkan tiga kerusi disaingi oleh Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Paduka Husam Musa, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Nizar sendiri.

Di kalangan calon yang bertanding itu, hanya Idris seorang merupakan pemimpin yang tidak memegang jawatan wakil rakyat.

Mahfuz dan Salahuddin yang bertanding mempertahankan jawatan naib presiden merupakan ahli Parlimen.

Nizar pula Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Husam dan Mohd Amar, kedua-duanya Adun dari Kelantan.

“Ya, saya sedar saya bukan wakil rakyat, lain semua wakil rakyat, ada jawatan,” kata Idris yang melihat ia bukan satu halangan dan kebimbangannya mencuba nasib.

Idris pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2008.

“Bagi saya biasa sahaja (bertanding) dan menyerahkan kepada perwakilan, sebagaimana saya amalkan sejak saya di Pemuda dulu,” kata bekas pensyarah ini.

Idris buat pertama kali bertanding kerusi exco Dewan Pemuda PAS pusat pada 1991 dan kemudian jawatan-jawatan tinggi sayap itu dan kali pertama bertanding kerusi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dua tahun lalu.

“Saya tidak berkempen pun, tetapi saya pergi berceramah, orang kenal saya dengan saya pergi ceramah, itu sahaja. Sejak saya mula berkempen 20 tahun lalu, sampai sekarang saya sudah pergi ke semua kawasan Parlimen ... saya kerja saja untuk parti,” katanya.

“Saya tidak telefon mana-mana kawasan meminta sokongan, saya serahkan kepada perwakilan. Tetapi yang ada pun perwakilan menelefon saya, itu sahaja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai tanggapan bahawa persaingan kali ini sangat sengit, Idris berkata, ia tanggapan tidak benar kerana beliau melihat kesemua calon yang bertanding khususnya peringkat naib presiden tanpa sebarang masalah.

“Semasa hadir ceramah di Perak baru-baru ini, saya dan Mahfuz tidur di bilik rehat yang sama. Begitu juga di Kerdau, kami tiga, Salahuddin, saya dan Mahfuz berceramah di pentas yang sama.

“Kami bertiga berada dalam Pemuda PAS pada era yang sama, jadi saya tidak melihat persaingan ini sesuatu yang sengit seperti disangka,” katanya.

“Cuma media yang mengatakan persaingan terlalu sengit,” katanya.

Selain naib presiden, turut mendapat perhatian ialah jawatan timbalan presiden yang ditandingi Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Nasharudin bertanding mempertahankan jawatannya buat penggal keempat.


Oleh G Manimaran TMI

No comments:

Post a Comment