Monday, June 8, 2009

PKR minta PAS timbang semula usul terhadap SIS

PKR menggesa PAS supaya menimbang semula usul yang diluluskan oleh muktamar parti itu semalam mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS).

Usul yang dibawa PAS Shah Alam dan diterima tanpa bahas itu, mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata parti itu - anggota Pakatan Rakyat - tidak bersetuju dengan usul yang diluluskan oleh muktamar PAS tersebut.

Malah, katanya, PKR juga tidak senang dengan usul tersebut yang juga menggesa supaya ahli-ahl PAS menjalani proses pemulihan.

Sehubungan itu, Mustaffa mengingatkan PAS tentang kebebasan bersuara dan berpersatuan yang menjadi amalan negara moden dan demokratik.

Katanya, perbezaan pendapat bukan sahaja dibolehkan tetapi dilindungi kerana ia merupakan asas penting dalam sebuah masyarakat yang adil dan demokratik.

Sebaliknya, kata Mustaffa cara yang betul ialah menyelesaikannya dengan berdebat secara matang dan bertamadun, dan bukannya menggesa pengharaman atau mengukum ahli-ahli persatuan terbabit.

Usul tersebut juga mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya," usul tersebut dipetik.

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Gesaan menyiasat dan mengharamkan SIS antara 12 usul yang diterima tanpa bahas di muktamar tersebut - merangkumi hal-hal politik, organisasi dan kepimpinan, agama, sosial dan hubungan serantau.

malaysiakini

Beberapa Nama Bakal Calon BN Tidak Disenangi Ahli UMNO

Beberapa nama pemimpin Umno bahagian Kuala Krai yang disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan, tidak disenangi ahli dan penyokong Umno, dakwa bekas ADUN BN, Zulkepli Omar.

Beliau mendakwa, mereka termasuklah ketua bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman; naib ketua bahagian, Che Jalal Muda dan ketua Wanita, Rohani Abdul Majid.

Zulkepli adalah calon BN dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008. Beliau memenangi kerusi tersebut pada 2004 dengan majoriti 53 undi sahaja.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 2008 beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi oleh calon PAS, Ismail Yaacob dengan majoriti 1,352 undi.

Kerusi tersebut kosong berikutan kematian Ismail bulan lalu kerana sakit jantung. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai.

Zulkifli mendakwa, ketiga-tiga mereka tidak digemari oleh ahli dan pengundi Manek Urai sendiri.

"Datuk Ramzi, walaupun menang tanpa bertanding jawatan ketua Umno bahagian dalam pemilihan lalu, tetapi banyak cawangan Umno tidak senang dengannya," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini

Sebaliknya, beliau mendakwa, Ramzi yang menyebabkan cawangan-cawangan Umno tidak dapat mencalonkan pemimpin lain untuk mencabarnya.

'Calon wanita tak sesuai'

Manakala Che Jalal pula, dakwa Zulkifli, dilabelkan sebagai pemimpin yang tidak turun ke bawah menemui penduduk setempat.

Katanya, kalau tidak menemui pengundi bagaimana hendak mendapatkan sokongan mereka.

Manakala Rohani pula, kata Zulkifli, tidak mempunyai penyokong dan umurnya pula sudah menjangkau 68 tahun.

Katanya, jika Rohani dipilih sebagai calon BN, ia umpama memberi kemenangan percuma kepada pembangkang.

"Tetapi kalau dia kata hendak bertanding di Manek Urai, tak apalah itu hak dia.

"Apapun wanita tidak sesuai bertanding di Manek Urai. Ini kubu PAS dan kawasan kampung dan banyak ladang pula," katanya.

Rohani sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut 14 April depan.

Memorial Perkuburan Bukan Islam Dibantah Penduduk

Lebih 100 penduduk di Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak mengadakan demonstrasi bantahan secara aman bagi membantah pembinaan sebuah memorial tanah perkuburan bukan Islam seluas 30.8 hektar di kawasan kampung itu, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Parti KeADILan Rakyat Bahagian Jasin, Shamsul Iskandar Mohd Akin, pihak jawatankuasa sudah pun berbincang dan dalam masa terdekat akan memfailkan kes itu di mahkamah bagi mencabar keputusan Exco Negeri.

"Kita akan memfailkan kes ini di mahkamah dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan Exco Negeri tentang pembinaan memorial ini," katanya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Muhamad Keling, 53, pada awal tahun lalu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pondok Kempas serta Lembaga Masjid Selandar sudah pun membuat bantahan mengenai projek itu.

"Bagaimanapun sehingga kini kami tidak tahu kesudahannya, sebaliknya projek tersebut diluluskan kerajaan negeri dan kerja pembinaan sedang berjalan sejak sebulan lalu," katanya.

Tambah Muhamad, bantahan dilakukan kerana bimbang akan berlaku pencemaran alam sekitar melalui pembakaran mayat secara terbuka.

"Malah kami penduduk di kampung ini sebelum ini juga mempunyai masalah lain iaitu lalat serta kesan sampingan serangan unggas, kesan daripada kewujudan sembilan ladang ternakan ayam di sekitar kampung ini.

"Kami mempersoalkan kenapa cadangan pembinaan memorial untuk masyarakat Tionghua itu dibuat di kampung Melayu, sedangkan terdapat kawasan majoriti penduduk Tionghua seperti di Machap atau Asahan," katanya.

Di samping itu katanya, penduduk bimbang nilai hartanah di kampung mereka jatuh kesan pembinaan memorial itu.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Osman, 40, berkata, projek pembinaan itu yang sudah 10 peratus siap wajar dihentikan atau tanah perkuburan itu dipindahkan ke tempat lain.

"Penduduk mendesak kerajaan negeri supaya dapat mengkaji semula projek tersebut dan diharapkan menghentikan pembinaan ini segera.

"Atas kesedaran kami akan membuat laporan teknikal penuh untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Mufti Negeri bagi mengadu masalah ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Ramona Md Isa, 62, mendakwa projek yang sudah bermula sebulan lalu menjejaskan penternak kambing keluarganya, memandangkan ia terletak berhampiran kawasan berkenaan.

"Kami terpaksa jual semua kambing kerana ia mengalami masalah. Kami sekeluarga tiada pilihan lain.

"Kami pernah didatangi beberapa wakil untuk membeli tanah dengan menawarkan sejumlah wang besar, tetapi kami tolak. Ini kerana memikirkan jika kami menjual tanah, apa nasib yang bakal menimpa penduduk di kampung ini," katanya.

HarakahDaily

Awas! Sindiket Cari KP Rumah Ke Rumah Di Manek Urai

Awas jaga kad pengenalan anda. Itu pesanan disampaikan PAS kawasan ini kepada pengundi di Dun Manek Urai berikutan ada pihak cuba mendapatkan kad pengenalan penduduk.

Menurut penduduk pihak tertentu yang didalangi parti politik dengan kerjasama agensi kerajaan persekutuan datang ke rumah mereka bagi mendapatkan nombor kad pengenalan.

Kejadian itu disedari berlaku di beberapa kampung termasuk Chuchuh Puteri, Sungai Sok, Sungai Peria dan Lata Rek.

Anggota jawatankuasa PAS Kuala Krai, Ustaz Zamzuri Mat Lazim berkata, penduduk mengadu kepadanya rumah mereka didatangi orang tertentu bagi mendapatkan nombor kad pengenalan.

"Penduduk menjadi serba salah kerana orang terbabit memberitahu mereka datang dari agensi tertentu di bawah kerajaan persekutuan," katanya di sini.

Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai berkata, PAS kawasan terbabit menasihatkan penduduk tidak menyerah kad pengenalan mereka kepada orang yang tidak dikenali biar pun mengaku dari agensi kerajaan.

Kata beliau sindiket seperti itu biasa berlaku pada pilihan raya kecil seperti di Pengkalan Pasir sebelum ini.

Beliau juga mendakwa penduduk sudah memberitahu pihak polis mengenai perkara tersebut.

"Saya berharap pihak keselamatan mengambil tindakan sewajarnya. Kita bimbang sekiranya ada penduduk menyerah kad pengenalan mereka tidak dapat keluar mengundi pada 14 Julai depan," katanya.

Beliau juga percaya pelbagai usaha dilakukan pihak lawan bagi merampas Dun Manek Urai biar pun kaedah yang digunakan bertentangan dengan peraturan.

HarakahDaily

Premis tidak jaga kebersihan ditutup - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak teragak-agak menutup 10 premis di Pusat Akuatik, Batu Burok, di sini, jika peniaga masih tidak mematuhi peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

Akibat sikap peniaga di premis itu yang tidak mengikut peraturan dan disiplin, kawasan premis tercemar.

Ahmad ketika membuat tinjauan di premis yang terdapat di Pusat Akuatik Batu Burok, berkata, jika peniaga masih mengekalkan sikap sedemikian, beliau akan mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya menutup premis terbabit.

“Kami telah sediakan kepada mereka tempat selesa untuk berniaga tetapi mereka langsung tidak memberi kerjasama dengan membiarkan makanan yang hendak dijual tidak tertutup.

“Kawasan premis berkenaan juga tercemar disebabkan air yang digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dibiarkan bertakung,” katanya.

Menurut Ahmad, sebelum premis itu dibuka, peniaga terbabit hanya menggunakan van untuk berniaga di tepi jalan sepanjang pantai berkenaan.

“Bagaimanapun, bagi memudahkan mereka, pihak kerajaan mendirikan premis ini dan berharap mereka dapat menikmati keselesaan, seterusnya bertanggungjawab ke atas premis masing-masing.

“Sepanjang pemerhatian saya, peniaga di premis ini tidak menjaga kebersihan dengan membiarkan pinggan dan gelas yang digunakan di atas meja walaupun perniagaan sudah ditutup.

“Saya melihat ada juga peniaga yang tidak mengangkat peralatan digunakan dengan membiarkannya berselerak di atas meja, begitu juga dengan sampah-sarap dan sisa makanan. Jika keadaan ini berterusan, saya rasa premis ini perlu ditutup,” katanya.

SinarHarian

Nasharuddin Mat Isa Tolak Ulama Konservertif

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hari ini menolak tanggapan ulamak PAS adalah ulamak konservertif yang cuba dipopularkan oleh pihak media arus perdana.

Menurutnya, istilah yang digunakan oleh orang luar itu boleh menimbulkan kecelaruan dalam PAS.

“Istilah itu seolah-olah cuba menggambarkan PAS ini adalah parti yang jumud. Jika ia benar, PAS mungkin susah untuk duduk semeja dengan bukan Islam,” katanya.

Berucap menggulung perbahasan pada Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam semalam, Nasharuddin berkata, jika pemimpin PAS atau Dewan Ulama adalah golongan konservitif, PAS tidak akan sampai ke tahap ini.

Menurutnya, istilah yang digunakan itu tidak tepat sama sekali kerana PAS kini cukup dinamik dan boleh memimpin ahlinya berjuang di atas landasan Islam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang agenda untuk membawa PAS menyertai Umno atau bergabung dengan Barisan Nasional.

“Mereka telah menjadi musuh politik PAS sejak sekian lama.

“Kami berbeza dengan Umno. Apa yang hendak dirancang akan dibuat bersama kerana parti ini bukan parti individu tapi perlu dibincang dengan pemimpin untuk dibawa ke tahap yang lebih baik,” katanya.

TVA

Umno Spesis Sangat Bahaya - Pemuda PAS Pusat

Dewan Pemuda PAS Pusat menganggap Umno sebagai spesis makhluk yang sangat berbahaya dan tidak harus diberi ruang untuk memecah belahkan perjuangan PAS yang suci, sejak 50 tahun lalu.

Ketuanya, Nasharuddin Hassan berkata, Umno yang didokongi oleh Najib pada hari ini bukan seperti virus H1N1 yang membunuh manusia, tetapi virus Najib boleh menghilang manusia di muka bumi ini.

“Umno dan BN adalah sejenis makhluk dan spesis yang sangat berbahaya lagi merosakkan. Tidak diberi ruang memecah belah dan menghancurkan perjuangan kita yang suci ini.

“Seperti kata Gobalakrishnan semalam, dia kata negara telah diserang virus H1N1. Virus ini hanya mematikan orang, tapi virus Najib membuatkan orang itu hilang terus daripada muka bumi ini,” ujarnya.

Berucap menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-55 di Stadium Melawati, Shah Alam hari ini, beliau mengingatkan ahli agar kebencian dan kemarahan terhadap Umno tidak menjejaskan perjuangan PAS.

Dalam usaha menawan kerajaan Najib, beliau menegaskan PAS akan terus bergerak agresif berlandaskan tiga orentasi penting iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah.

Ketua Dewan Ulama, Dato' Harun Taib pula menjelaskan bahawa PAS mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk Umno-Barisan Nasional.

Menurutnya, jika tiada perbincangan, hasrat PAS untuk berdakwah atau bertarbiyah menarik mereka menyertai perjuangan PAS, tidak akan tercapai.

“Kalau kita usaha, kita itu, muqabalah apa pun, saya bimbang satu aje, kalau ada 45 orang masuk PAS, nak buat guano kita,” soal beliau kepada perwakilan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak memberitahu, Umno- Barisan Nasional Kedah yang diwar-warkan untuk mengambil alih Kedah seperti yang dilakukan di Perak, akhirnya jatuh dengan sendirinya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, apa yang berlaku sekarang ialah tiada lagi pemimpin Umno Kedah yang berwibawa, tetapi kini dipimpin oleh orang yang dianggap lebih sempurna dan afdal.

“Kita tak jatuh, depa yang jatuh, orang Kedah takde yang layak jadi ketua, yang layak orang Sabah yang sempurna Shafie Apdal dari Semporna, nama pun Apdal, Kedah takde yang Afdal, yang ada Apdal dengan harapan dia nak menang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga telah menyatakan bahawa semua pusat hiburan dan karaoke di kampong-kampung telah diarah supaya ditutup dan tidak akan dibenarkan lagi dibuka.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din, pula menegaskan bahawa ketaatan menjadi kekuatan kepada perjuangan Islam.

Menurutnya, pengikut wajib percaya dengan keputusan atau tindakan yang dibuat oleh majlis ulama kerana ulama merupakan pewaris kepada Nabi dan Rasul.

“Jika mereka tidak yakin, mereka boleh dianggap berdosa kerana tidak melakukan yang wajib,” katanya.

Bagaimanapun, jika syura ulama dianggap bercanggah, ia boleh dibawa berbincang dalam muktamar secara yang lebih baik.

Mengulas kenyataan Datuk Husam Musa yang mempersoalkan dakwaan Datuk Haron oleh pihak media bahawa ada musuh dalam selimut, Datuk Harun berkata, musuh memang ada di mana-mana.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS harus melalui satu proses awet muda kerana perubahan masyarakat masa kini tidak sama ketika ditubuhkan.

Menurutnya, ia tidak boleh bergantung kepada program tradisional yang telah diamalkan sejak 50 tahun lalu.

Katanya, PAS mesti menyusun strategi yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran 50 tahun akan datang.

Beliau berkata, pemegang jawatan di semua peringkat, meliputi cawangan, kawasan dewan dan pusat perlu diberi latihan yang lebih terancang untuk melihat satu kelainan pada masa akan datang.

“Kita perlu ada satu report card untuk melihat prestasi setiap lujnah dan dibentangkan dalam muktamar seperti ini,” jelasnya.

TVA

PAS Kelantan sedia kemudahan pilihan raya Manek Urai

Tak perlu logistik, hanya bawa badan. Itulah seruan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mustapa Ali berhubung pilihan raya kecil Dun Manek Urai, 14 Julai depan.

Menurutnya, PAS Kelantan akan menyediakan semua kemudahan untuk petugas dan penyokong bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau berkata, PAS Pusat telah memutuskan supaya jentera di semua negeri menumpukan penuh perhatian terhadap pilihan raya yang akan ditandingi oleh musuh tradisi PAS iaitu Umno.

Menurutnya, pada 13 Jun ini, pasukan peninjau terdiri daripada wakil negeri-negeri akan mengadakan lawatan ke semua tempat petugas di kawasan DUN berkenaan.

“Lain sikit di Terengganu dan Bukit Gantang, mereka datang dengan logistik mereka sendiri. Tapi Kelantan hanya bawa body sahaja, makan minum disediakan,” katanya pada penggulungan perbahasan muktamar PAS ke 55 di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, Umno yang tak bertanding di Penanti, akan meletakkan calon di Manek Urai kerana menyatakan pengundi Melayu masih kuat menyokong mereka.

Umno Kelantan, katanya akan diketuai oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Justeru Mustapa menggesa semua sayap dan jentera parti tidak memandang ringan pertandingan kali ini, sebaliknya harus bersungguh-sungguh dengan menetapkan setiap exco di Kelantan menjaga satu peti undi.

TVA

"Najib cuba tiru gaya kepimpinan ayahnya, tapi dia lupa sikapnya tidak terbuka dan banyak skandal libatkan namanya tidak dibersih", Dato' Mustafa Ali

Najib bukan Tun Razak!

Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dato' Mustafa Ali berkata, sikap Tun Abdul Razak jauh berbeza dengan anaknya, Dato' Seri Najib walaupun beliau cuba meniru gaya pemerintahan ayahnya apabila memilih China sebagai lokasi luar negara pertama setelah diamanahkan menerajui negara.

Kepimpinan Tun Abdul Razak nampak, ujarnya santai kerana beliau gemar mendekati rakyat dengan memperkenalkan program seperti 'Buku Hijau', pembukaan kawasan Felda untuk rakyat yang miskin dan pertambahan pelaburan mengikut jadual.

"Tetapi Najib bersikap keras pada rakyat kerana sanggup menangkap rakyat yang berpuasa sunat, mogok lapar kerana sayangkan demokrasi, berpiket aman dan sebagainya.

"Najib cuba nak tiru gaya kepimpinan ayahnya, Tun Abdul Razak tapi dia lupa sikapnya tidak terbuka dan banyak skandal melibatkan namanya tidak dibersihkan," ujar beliau.

Lawatan pertama Najib ke China baru-baru ini bermatlamat membuka ruang pelaburan dan perniagaan di samping membina hubungan dua hala dalam bidang pelancongan.

Menurut Mustafa, Najib terpaksa ke China untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina negara ini terhadap kepimpinan BN yang semakin terhakis.

"Najib berharap lawatan ke China akan membolehkan sokongan diperolehi semula sebelum pilihan raya umum akan datang. Jika tidak BN pastinya berputih mata melihat perubahan yang berlaku," kata beliau.

HarakahDaily

MAHKAMAH BUKAN PLATFORM PENYELESAIAN OLITIK

Mahkamah bukanlah tempat sesuai untuk mencari keadilan dalam isu politik di Malaysia, rumus tiga ahli panel forum anjuran Badan Perhubungan PAS negeri yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Forum yang membincang isu semasa khususnya krisis politik di Perak itu membariskan Mohamed Hanipa Maidin dari PAS, Harith Abdullah (KeADILan) dan M Kulasegaran (DAP).

Ia dipengerusikan Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohd Fadly Ramli yang juga seorang peguam.

Harith dalam hujahnya berkata, krisis politik di Perak berpunca daripada 'kebodohan' Umno-BN yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, Umno-BN dalam usaha untuk berkuasa turut memperalatkan kakitangan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada suatu ketika, SPR katanya bertindak seperti polis dan hakim yang menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman.

Beliau merujuk tindakan badan itu yang menolak notis kekosongan tiga kawasan Dun di Perak oleh Speaker atas alasan surat perletakan jawatan tiga Adun itu sebagai tidak sah.

Ahli Parlimen DAP, M Kulasegaran tidak sependapat dengan para pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang membawa krisis politik di negeri itu ke mahkamah kerana institusi tersebut tidak mampu memberi keadilan.

Katanya, setelah 25 tahun menjadi pengamal undang-undang beliau mengetahui latar belakang sebahagian besar para hakim.

"Saya sudah 25 tahun menjadi peguam, saya kenal sebahagiannya dan tahu ada diantara mereka mempunyai hubungan dengan para pemimpin Umno-BN untuk mendapat kedudukan di dalam kerjaya mereka.

"Itulah sebabnya saya tak bersetuju isu politik dibawa ke mahkamah kerana negara memerlukan hakim?hakim yang jujur, amanah, telus dan bebas.

"Kita juga perlukan Mahkamah Perlembagaan sebagaimana di Thailand, India dan negera-negara lain khusus untuk membicarakan kes-kes seperti ini," katanya.

Isu ini katanya memerlukan penyelesaikan politik iaitu melalui pilihan raya bagi membolehkan rakyat membuat keputusan.

Hanipa berkata, pihaknya telah membuat yang terbaik di mahkamah untuk memastikan prinsip keadilan terlaksana walaupun ramai yang meragui ketelusan mahkamah dalam membicarakan isu-isu politik membabit Umno-BN.

Kata beliau, pihaknya berhujah untuk mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman.

"Kami mempunyai hujah yang amat kuat dan telah melakukan yang terbaik, saya berharap mahkamah membuat pertimbangan berdasarkan hujah," katanya.

Menurut Hanipa, pihaknya telah dimaklumkan oleh banyak sumber termasuk dari bekas-bekas Hakim mengenai peluang untuk menang adalah tipis justeru keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nizar lwn Zambry tidak langsung mengejutkan.

Menurut Hanipa, walaupun Umno-BN menang dalam kes berkenaan tetapi mereka sebenarnya telah hilang keabsahan dan apa sahaja yang dilakukan tidak akan dipercayai oleh massa menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap Umno, BN, kerajaan dan agensinya semakin luntur.

HarakahDaily

Keputusan Kementerian Pelajaran Langkah Mundur, Gopoh Dan Tidak Menjiwai Hasrat Pendidikan

Keputusan kerajaan untuk mengehadkan pengambilan subjek calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 mata pelajaran mulai tahun hadapan disifatkan Dewan Pemuda PAS negeri sebagai langkah mundur, gopoh dan tidak menjiwai hasrat pendidikan.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata sewajarnya Kementerian Pelajaran membawa pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan berdasarkan persaingan sihat masa kini.

"Kita mempersoalkan bagaimana cadangan yang baru dikemukakan pada 21 Mei lalu tiba-tiba dijadikan satu ketetapan," soal beliau.

Menurut Ahmad, bilangan subjek yang banyak bagi SPM biasanya diambil pelajar aliran agama dan berikutan pencapaian cemerlang sekolah-sekolah agama, wujud kecenderungan ibu bapa menghantar anak ke sekolah aliran agama.

Oleh itu katanya, Pemuda PAS negeri yakin keputusan itu dibuat dengan motif tersirat untuk menutup kejayaan cemerlang yang diraih sekolah-sekolah agama.

Ahmad menambah, keputusan Kementerian Pelajaran itu juga adalah satu langkah mundur dan diilhamkan oleh Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Langkah ini bertentangan dengan falsafah pendidikan iaitu untuk membangunkan potensi manusia. Apa salahnya jika pelajar benar-benar mampu dan berusaha untuk membuktikan kemampuan mereka?

"Wujud juga keraguan terhadap keputusan tersebut kerana sebelum ini yang dinyatakan adalah mengenai biasiswa. Hari ini disebut pula mengenai tumpuan guru, kewangan ibu bapa untuk kos tuisyen serta jurang luar bandar dengan bandar.

"Kami melihat hujah mengehadkan pengambilan subjek SPM itu sebagai tidak konsisten dan hanyalah alasan yang diada-adakan," ujar beliau kepada Harakah, 28 Mei lalu.

Sehubungan itu, Pemuda PAS negeri mahu keputusan tersebut ditangguhkan dan kajian terperinci diadakan agar pendidikan di negara ini tidak terus menjadi bahan eksperimen serta alat politik pihak-pihak tertentu.

HarakahDaily

Anwar Ibrahim Interview On France 24

While in Paris Anwar Ibrahim appeared on the internationally broadcast France 24 network to talk about Malaysia and also the relationship between the Muslim world and the West. [Click to watch]


anwaribrahimblog.com

DAP Pandang Serius Desak Haramkan SIS

DAP memandang serius terhadap usul yang diluluskan oleh muktamar PAS semalam untuk mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS).

Usul yang dibawa PAS Shah Alam dan diterima tanpa bahas itu, mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

"Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama," kata Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Dalam satu kenyataan, Teresa berkata sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat Umno dan BN yang patut ditolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

"SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka.

"Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita," katanya

Oleh itu, Teresa berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah Pakatan Rakyat untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin dan dilindungi.

Semua pihak, tambahnya, menghormati Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.

"Pada masa yang sama, Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

"Selama ini, kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan Umno dan BN.

"Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat," tambahnya.

malaysiakini

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Buktikan Kemampuan

Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya membuka mata rakyat di negara ini di mana dalam tempoh setahun menerajui lima buah negeri, pelbagai program untuk rakyat berjaya dilaksanakan.

Penasihat Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian dengan memberikan contoh kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor disertai oleh KeADILan, DAP dan PAS mampu mengadakan pelbagai program untuk rakyat yang tidak boleh dibuat oleh kerajaaan pimpinan Umno dulu.

"Sebagai contoh, kita mampu memberikan air percuma untuk rakyat, kalau di negeri yang Umno perintah mereka hanya boleh bagi air hujan percuma.

"Mengapa sekarang kita boleh buat? Dulu, sebab pemimpin tidak mempunyai keprihatinan kepada rakyat, sekarang dah ada. Apa istimewanya Pakatan Rakyat dengan kerjasama tiga parti, ini adalah jawapannya," katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penyerahan borang keahlian KeADILan yang diadakan di rumah Omar Murad dekat sini baru-baru ini. Dalam majlis itu, seramai 630 yang terdiri dari bekas ahli Umno serta kaum bukan Melayu telah menyertai KeADILan di Perlis.

Mengulas tentang kemasukan beramai-ramai itu, Anwar menyifatkannya sebagai satu titik permulaan perubahan rakyat ke arah menumbangkan Umno/BN di Perlis.

"Hari ini adalah satu sejarah penting di Kuala Perlis dan di negeri Perlis ini. Ini akan menjadi satu permulaan gerakan rakyat ke arah perubahan seperti mana yang telah berlaku di negeri-negeri lain," ujarnya.

HarakahDaily

Usaha Lantik Mohamad Sabu Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

Beberapa kawasan PAS di Wilayah Persekutuan (WP) sedang berusaha untuk memujuk pucuk pimpinan PAS supaya melantik bekas naib presiden, Mohamad Sabu sebagai pesuruhjaya PAS WP.

Penyokong Mohamad di wilayah berkata, pelantikan beliau akan memperkuatkan lagi kedudukan PAS WP dalam membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Ia juga akan menjadi kedudukan PAS wilayah lebih dominan, selaras dengan slogannya untuk menguasai ibukota," kata seorang penyokong Mohamad hari ini.

Beliau yang tidak mahunya disebut berkata, usaha untuk memujuk kepimpinan PAS untuk melantik Mohamad menerajui WP dibuat berasaskan kepada sokongan bukan Islam dan NGO kepada bekas naib presiden PAS itu.

Mohamad dan seorang lagi naib presiden, Husam Musa, tewas dalam percubaannya untuk merebut jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu hujung minggu lalu.

Dalam pertandingan tersebut, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan tersebut. Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding.

"Sebagai seorang yang diketahui tegasnya, maka kami berharap tuntutan kami untuk mendapat kerusi tambahan di WP dalam pilihanraya umum akan datang, akan berhasil," tambahnya.

"Kalau ada Mohamad, mereka (PKR) akan lebih segan...," katanya.

Ketika berbahas dalam muktamar PAS Sabtu lalu, timbalan pesuruhjaya PAS WP, Nazir Zakaria mendesak kepimpinan PAS supaya berbincang dengan PKR bagi mendapatkan dua lagi kerusi tambahan - menjadi empat kerusi Parlimen di negeri itu - dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS bertanding di dua kawasan Parlimen - Titiwangsa dan Putrajaya. Di Titiwangsa, Calon PAS Dr Lo' Lo' Ghazali menang dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, calonnya Mohammad Nor Mohamad tewas di kerusi Putrajaya dengan majoriti 2,734.

Kali ini PAS WP menuntut kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai kerana mendakwa mereka mempunyai kekuatan sokongan di kawasan tersebut dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen, termasuk Labuan. Dalam pilihanraya lalu, DAP bertanding di lima kerusi - Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras - dan menang kesemuanya.

Manakala PKR pula bertanding di lima kerusi - Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak - dan hanya kalah dikerusi Setiawangsa.

malaysiakini

Petugas PAS Manek Urai Bersiap Hadapi Pilihan Raya

Biar pun lebih sebulan lagi tarikh pilihan raya kecil Dun Manek Urai, namun ahli dan penyokong PAS di peringkat akar umbi sudah memulakan persiapan kempen.

Bendera-bendera parti mulai kelihatan di kawasan pilihan raya.

Kerancakan gerak kerja itu dapat dilihat di Kampung Peria, Manek Urai Baru, Lata Rek, Chuchuh Puteri dan Laloh.

Bendera bulan purnama dipasang di kiri kanan jalan Kuala Krai ? Gua Musang. Malah pos-pos sudah dibina atas inisiatif penduduk.

Manakala bendera dacing hanya kelihatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru tempat berlangsung program pemimpin bersama rakyat yang dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamad baru-baru ini.

Di Kampung Peria penduduk memasang bendera di waktu siang hari Jumaat lalu tanpa menghiraukan panas terik matahari.

Di Kampung Chatel, peti undi Lata Rek ahli-ahli dan penyokong PAS sudah sibuk mendirikan markas dan pos pilihan raya.

Ketika tinjauan Sabtu lalu penduduk kampung terbabit keluar beramai-ramai mendirikan sebuah pos berhampiran jambatan.

Veteran PAS di kampung terbabit, Mohamad Bedul, 59 berkata, penduduk tidak sabar lagi untuk menghadapi pilihan raya pada 14 Julai depan.

"Sebab itulah hari ini mereka sanggup keluar beramai-ramai membina pos di kepala jambatan Chatel.

"Kebetulan pula malam tadi hujan lebat, ini menyebabkan penduduk tidak dapat keluar menoreh getah. Jadi mereka datang bergotong royong membina pos biar pun tarikh pilihan raya lambat lagi," katanya di sini.

Seorang peniaga, Che Din Mustapa, 44 berkata semangat penduduk di kampung tersebut bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berada di tahap yang tinggi.

Katanya, mereka akan bekerja keras untuk memastikan Manek Urai tidak terlepas ke tangan BN.

"Tidak hairanlah sebaik sahaja diumumkan pilihan raya kecil diadakan mereka sudah menyusun gerak kerja," katanya.

Ketua Cawangan PAS Chatel Luar, Abdullah Zaidi Omar, 33 berkata, peti undi Lata Rek mencatat jumlah majoriti yang paling tinggi di Dun Manek Urai pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, Lata Rek menyumbang hampir 70 peratus jumlah undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya faktor pengaruh agama yang masih kuat berakar umbi di kalangan penduduk menyebabkan Umno sukar menembusi kampung tersebut sehingga sekarang.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, penduduk tidak sabar lagi memulakan gerak kerja kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, hampir setiap hari ada penduduk menemuinya bagi mendapatkan bendera untuk dipasang di kampung mereka.

"Hasil desakan penduduk menyebabkan beberapa markas dan pos dibina lebih awal oleh mereka. Bilik gerakan juga sudah dibuka di beberapa tempat termasuk di Kampung Chuchuh Puteri.

"Sebenarnya gerak kerja sepenuhnya akan dilakukan selepas muktamar ini," katanya.

Umno pula sudah turun naik rumah penduduk di beberapa kampung termasuk Manek Urai Lama, Chuchuh Puteri dan Lela Jasa.

HarakahDaily

"Menjadi misi saya setelah dipilih sebagai Naib Presiden untuk memastikan PAS dapat melebarluaskan pengaruh di Sabah dan Sarawak", Dato' Mahfuz Omar

Misi Tawan Sabah dan Sarawak

Saya berazam untuk memastikan PAS berjaya menawan Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Untuk mencapai tujuan tersebut, usaha untuk memperkukuhkan PAS di dua buah negeri itu perlu dipertingkatkan. Melebarkan pengaruh di dua buah negeri itu penting kerana Umno dan Barisan Nasional kini hanya mengharapkan Sabah dan Sarawak untuk menyelamatkan mereka dari tewas setiap kali pilihan raya umum.

"Menjadi misi saya setelah dipilih sebagai Naib Presiden untuk memastikan PAS dapat melebarluaskan pengaruh di Sabah dan Sarawak.

"Amat penting bagi kita mengukuhkan kedudukan di dua buah negeri tersebut kerana Umno/BN menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa,"

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan yang memberikan kepercayaan kepada saya.

Amat malang jika usaha pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini untuk meyakinkan masyarakat berbilang bangsa disia-siakan dengan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.


Datuk Seri Anwar Ibrahim Alukan Dialog Obama - Negara Islam

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengalu-alukan usaha Presiden Amerika Syarikat Barack Hussein Obama merapatkan jurang dunia Islam dan Barat.

Dalam temubual secara langsung oleh British Broadcasting Corporation (BBC), Anwar berkata walaupun penyelesaian kepada kemelut Islam-Barat belum lagi kelihatan, namun rangka lawatan Obama adalah langkah permulaan merungkai konflik itu.

Anwar berkata ucapan Obama di univerisiti Kaherah baru-baru ini mampu menganjak hubungan antara Amerika Syarikat dan Islam di rantau Timur Tengah. Apa yang perlu, katanya, adalah dialog berterusan dengan gerakan-gerakan Islam.

"Ucapan Barack Obama amat berani dan bermakna. Saya tidak percaya ia boleh memuaskan semua pihak, bagaimanapun penting untuk kita lihat bahawa beliau dalam ucapannya merujuk kepada Hamas dan peranan gerakan itu, komitmen beliau untuk menarik keluar tentera Amerika Syarikat dari Iraq, serta penyelesaian kepada krisis Israel-Palestin," kata Anwar.

"Namun apa yang kritikal adalah bagaimana dunia Islam akan respon kepada seruan beliau: Hamas harus digalakkan untuk respon, Iran perlu digalakkan untuk menyertai siri-siri rundingan walau bagaimana sukar sekalipun, kerana ini peluang terbaik untuk dunia Islam melihat seorang Presiden Amerika Syarikat yang komited dan berani," kata Anwar.

Presiden pada 4 Jun lalu mengadakan rangka lawatan ke Timur Tengah bagi menganjurkan dialog persefahaman bersama gerakan-gerakan Islam serta kerajaan-kerajaan rantau itu.

Presiden kulit hitam pertama Amerika itu berkata perubahan mendadak yang dibawa oleh kemodenan dan kesejagatan menyebabkan ramai orang Islam memandang Barat sebagai musuh kepada tradisi Islam.

Bagi membuktikan keikhlasan lawatannya, Obama memetik al-Quran dan hadis sepanjang ucapan beliau. Obama juga mengelak dari menggunakan perkataan ekstremis Islam, menggantikannya dengan ekstremis ganas dan merujuk Palestin sebagai sebuah negara.

Anwar mengingatkan bahawa gerakan-gerakan ganas yang bercambah hari ini bertitik-tolak dari ketiadaan proses demokrasi yang jitu serta ruang reformasi yang ditutup oleh pemerintah-pemerintah kuku besi yang diantaranya diangkat sendiri oleh Amerika Syarikat.

"Isu Arab-Israel adalah penting. Tidak ramai yang berpuas hati dengan cara Presiden menangani kes Afghanistan, tetapi apa yang melegakan adalah komitmen beliau kepada agenda demokrasi - bahawa kerajaan yang memerintah haruslah kerajaan yang dibentuk secara sah, dan menghormati sentimen rakyat," katanya.

"Kita bagaimanapun perlu melihat kesan dari kenyataan Barack Obama ini, kerana kritikan terhadap pentadbiran beliau dan pentadbiran sebelumnya adalah tingkah-laku yang bercanggah - antara seruan mereka kepada demokrasi dan reformasi, dan dalam masa yang sama sokongan terhadap diktator dan rejim-rejim penindas di serata dunia," tegas Anwar.

Anwar berharap Obama meminta maaf diatas tindakan Amerika Syarikat mempertahan keganasan ke atas masyarakat Islam di Palestin, Iraq, dan Afghanistan, namun apa yang lebih utama sekarang ini adalah merealisasikan ucapannya kepada kenyataan.

"Barack Obama adalah Presiden Amerika Syarikat, beliau bukanlah jurucakap dunia Islam, tetapi untuk beliau tiba di persimpangan ini dengan kenyataan yang kuat, merayu kepada dialog bersama dunia Islam sebagai rakan yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bukan sahaja unik, tetapi juga tidak terjangka," kata Anwar.

"Tetapi saya lebih prihatin dengan bagaimana dunia Islam akan menyahut seruan Obama itu. Osama bin Laden tidak mewakili sentimen Muslimin. Majoriti mahukan keamanan, keselamatan dan penghormatan. Saya percaya Hamas boleh diyakinkan untuk menyahut seruan Obama itu, tetapi Hamas tidak yakin kerana terdapatnya sikap berat-sebelah Amerika Syarikat dan perlindungan dan pengiktirafan kepada pengganas rejim Israel," kata Anwar.

"Namun sekiranya Obama boleh menyakinkan Hamas untuk sekurang-kurangnya duduk berunding, maka tentunya itu salah progres yang besar. Walaupun penyelesaian masih jauh, sekurang-kurangnya ia telah bermula," tegas Anwar.

UMNO MACAM KUCING - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno umpama kucing, "baik di depan tetapi awas di belakang kita dia akan curi ikan kita."

Azizan berkata demikian ketika membuat ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 dekat sini hari ini.

"Menjadi perangai kucing juga dia akan berak di mana-mana sahaja hatta atas sejadah sekalipun," kata Azizan yang disambut gelak ketawa perwakilan dan pemerhati muktamar.

Namun, Azizan berkata, "kita tetap masih boleh runding dengan Umno ni."

Azizan berkata, sehingga hari ini, Umno masih berusaha untuk mencuri Adun PAS dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

"Mereka tidak berhenti dari membuat kerja ini," kata Azizan.

SiasahDaily

Ucapan Penggulungan, Dato' Dr Ustaz Haji Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS

"Tidak ada musuh dalam selimut dalam PAS, " jelasnya bagi menafikan kenyataannya dalam akhbar tertentu yang mengatakan wujudnya musuh dalam PAS semasa membentang kertas kerjanya dalam majlis Sambutan Jubli Perak Dewan Ulamak baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan para perwakilan dan ahli PAS seluruhnya supaya berhati-hati dengan musuh yang sentiasa ada dalam liku-liku perjuangan Islam.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan akan kewajipan mentaati arahan dan keputusan ketua dan wakil-wakil yang telah dilantik oleh para perwakilan.

"PAS perlu mempunyai mekanisme untuk menapis calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya," sarannnya lagi.







klip video ehsan : jiwokelate2009

PAS mahu 'Sisters in Islam' diharamkan jika langgar syariat Islam

Muktamar Tahunan PAS Ke-55 menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Gesaan itu terkandung dalam salah satu yang diterima tanpa bahas hari ini.

Sesi perbahasan sedang berlangsung.

Usul itu dikemukakan oleh PAS Kawasan Shah Alam.

Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Muktamar PAS telah membahaskan tiga usul dan ada usul yang diterima tanpa perbahasan.

Kebanyakan usul yang diterima tanpa bahas merupakan usul yang diluluskan oleh Muktamar Ulama, Pemuda dan Muslimat pada Khamis lalu.

Sebahagian besar usul mereka telah diterima oleh Jawatankuasa Usul. Dua usul mereka telah ditolak.

Antara usul yang diterima oleh Muktamar Tahunan PAS Pusat hari ini ialah :

- Pakatan Rakyat perlu mewujudkan sistem saringan bersama untuk memilih calon-calon pilihan raya berkelayakan

- Menentukan formula baru menentukan kuota calon pilihan raya yang sesuai dengan keperluan semasa

- Majlis Syura dan Dewan Ulama mengambil inisiatif untuk melahirkan ulama-ulama pelapis serta memfokus pembinaan keupayaan dalam penguasaan pelbagai disiplin ilmu termasuklah ilmu siasah dan pengurusan

- Jawatankuasa Disiplin parti membuat siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap ahli-ahli PAS yang terlibat dalam menyebarkan berita-berita fitnah dan mencabar kredibiliti pimpinan tertinggi PAS

- Kepimpinan PAS Pusat, negeri, kawasan dan ahli keseluruhannya memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan parti bukannya merosakkan parti dan memecahbelahkan parti dengan label-label seperti kumpulan promuzakarah, pro-Pakatan Rakyat dan kumpulan erdogan

- Menggesa ahli-ahli PAS menanam sikap taat dan tiqah serta berhati-hati terutamanya dalam memberikan pendapat individu dalam penulisan mereka

- Memperbaiki dan memperkemas komposisi ahli Majlis Syura Ulama agar ia dihormati, berwibawa dan telus untuk mencapai tahap perkasa

- Memandang serius dan memahami dengan teliti kuasa dan fungsinya agar tindak bertindih dan bercanggah dengan kuasa dan fungsi Jawatankuasa PAS Pusat yang boleh menyebabkan badan ini tidak berwibawa, senang dipengaruhi dan boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli PAS

- Melantik ahli-ahli Majlis Syura Ulama yang benar-benar bebas, telus, berani dan tegas dalam membuat keputusan tanpa mengira kedudukan seseorang

- Konsisten dengan pendirian untuk terus kekal bekerjasama dengan parti-parti politik dengan berusaha dan menyusun kaedah yang lebih berkesan bagi memperbaiki hubungan dan kesatuan antara parti dan ahli akan terbina, seterusnya mengekalkan dan melebarkan kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 demi menegakkan syiar Islam

- Berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan negara

- Mendesak PAS Pusat agar merangka strategi yang berkesan bagi merampas sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar dan kawasan FELDA di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu

- Mendesak PAS Pusat menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi merangka strategi dan menumpukan perancangan dan segala gerak kerja di kawasan yang disasarkan

- Menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun bagi melaksanakan segala perancangan dan gerak kerja di kawasan sasaran

- Mendesak kerajaan agar mengkaji semula mereka yang diberhentikan kerja dan mendakwa majikan yang memberhentikan pekerja tempatan sewenang-wenangnya tanpa mengikut peraturan dan notis singkat.

Kerajaan Wajar Bertindak Keatas 'Sisters In Islam' ?

Apabila Muktamar PAS Ke 55 yang berakhir semalam membuat ketetapan menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya, kumpulan tersebut melenting dan membalas dengan kenyataan yang amat keras.

Pengurus Program kumpulan itu, Norhayati Karpawi, menghamburkan tuduhan keras dengan mengatakan PAS merupakan sebuah parti politik yang autokratik dan hipokrit dalam perjuagannya.

"PAS bersifat autokratik dan tidak mendokong prinsip demokrasi yang dilaung-laungkannya selama ini

"Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara yang diamalkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya yang dirakam mStar.

‘Sister In Islam’ sebagaimana namanya tidak pernah berdaftar dengan kerajaan Malaysia sebagai sebuah persatuan. Oleh yang demikian ia hanya layak dipanggil sebuah kumpulan sahaja, bukannya pertubuhan.

Menurut maklumat yang dipaparkan dalam laman web kumpulan tersebut, kumpulan itu mula ditubuhkan pada tahun 1988, namun hanya didaftarkan pada tahun 1993.

Setelah lima tahun bergerak secara ‘haram’ kumpulan itu telah secara terang melanggar undang-undang kerana mendaftar satu ‘pertubuhan’ sebagai sebuah syarikat dengan nama SIS Forum (Malaysia) Berhad.

Siapa Di belakang Kumpulan Itu?

Kumpulan tersebut tidak pernah mendedahkan organisasi mereka sebenarnya, meskipun melalui laman rasminya, tidak dinyatakan apakah bentuk organisasi kumpulan itu.

Namun menurut sumber, dalam Sisters In Islam, ahlinya adalah terdiri dari Marina anak mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Begitu juga Nori isteri Khairy, anak Tun Abdullah Badawi dan dikhabarkan ia turut dianggotai oleh para isteri serta keluarga menteri.

Namun yang paling dikenali adalah Zainah Anwar yang dikatakan pernah menjadi Pengarah Eksekutif bagi kumpulan ini.

Zainah dilaporkan tidak pernah mendapat pendidikan Islam secara formal. Beliau pernah menuntut di Fletcher School of Law and Diplomacy, Tufts University, Boston University dan Institut Teknologi MARA .

Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di New Straits Times dan seangkatan dengan bekas Ahli Parlimen Ruhanie Ahmad semasa bertugas menjadi kumpulan wartawan khusus membuat liputan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.

Yang paling memeranjatkan, beliau adalah anak perempuan kepada Tan Sri Anwar Malik, orang yang telah memberikan nama kepada United Malays National Organisation atau UMNO, dulunya disebut sebagai United Malays Organisation.

Namun, sekiranya fakta yang disampaikan tdak silap, Kumpulan yang dinamakan ‘Sister In Islam’ ini telah diasaskan bersama oleh Aminah Wadud bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang kontroversi kerana menjadi perempuan pertama yang menjadi imam untuk solat Jumaat.

Kontroversi

Selain PAS yang membuat ketetapan meminta kerajaan menyiasat kedudukan kumpualan ini, ahli-ahli UMNO dalam perhimpunan Agongnya pada 2006 pernah mengungkit tentang kumpulan ini yang dikatakan mencabar dan menghina undang-undang Syariah.

Individu yang sama, Norhayati Karpawi menghentam pemimpin UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang dituduh beliau sengaja mengapi-apikan sentimen dengan niat buruk terhadap kumpulan itu.

Selain UMNO, Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) pernah menyelar sekeras-kerasnya program 'Musawah' iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran kumpulan ini.

PUMPP menyifatkan kumpulan ‘sisters in Islam’ sebagai pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia dan program pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan sebagaimana yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Mufti Perak, Harussani Zakaria dalam satu ceramahnya pernah menyifatkan mereka ini (sisters in islam) telah terkeluar Islam kerana mempertahankan Islam liberal yang mengatakan A-Quran sudah ketinggalan zaman.

Kumpulan ini adalah dalam jaringan Islam Liberal bersama tokoh-tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar termasuk Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia).

Antara kontroversi lain kumpulan ini adalah;

1. Menolak poligami yang dibenarkan oleh Islam dengan menjustifikasikan ianya mendatangkan pelbagai masalah kepada keluarga muslim

2. Mengatakan Murtad bukan Jenayah dan menolak hukuman bunuh keatas Murtad sebagaimana ketetapan syariah.

3. Mengatakan Undang-undang Islam di Malaysia mengamalkan diskriminasi dan gagal melindungi wanita

4. Menolak hukum mewajibkan pemakaian tudung kepala kepada wanita Islam

5. Mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Justeru, ramai yang berpendapat kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan ini yang terus-terusan mentafsirkan Islam dengan logik akal, sehingga ada yang memberikan pandangan pendokongnya mesti di hukum dibawah Kanun Kesiksaan kerana menfitnah Islam secara jenayah (criminal defamation).

BuletinOnline

BUMBUNG STADIUM RUNTUH KERANA BN TIDAK PEDULI TEGURAN PAS

PAS Terengganu menyifatkan tragedi runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2hb Jun lalu adalah disebabkan sikap angkuh dan tidak peduli pemimpin kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang enggan mengambil perhatian pandangan dan idea pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Tunggal, Dr Alias Razak merasa kesal dengan tragedi itu kerana katanya beliau sendiri pernah membangkitkan isu tahap keselamatan stadium berkenaan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei tahun lalu.

Beliau berkata PAS mempersoalkan perkara itu apabila melihat masih ada pekerja yang melaksanakan kerja-kerja di atas bumbung stadium itu pada saat-saat akhir, sehari sebelum majlis perasmian dilakukan.

Bagaimanapun katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad menjawab pertanyaan yang beliau kemukakan secara sambil lewa dan memberikan jaminan bahawa ia selamat digunakan.

“Selain melihat pekerja masih lagi bekerja pada saat-saat akhir, keadaan bumbung juga nampak ‘lendut’ (kurang kukuh) menyebabkan saya bertanyakan keadaan stadium ini kepada kerajaan pada sidang DUN tahun lalu,

“Stadium ini terletak di dalam kawasan (DUN) saya, jadi saya memang tahu keadaannya, namun kerajaan langsung tidak (ambil) peduli teguran saya,” katanya ketika diminta memberi respon atas kejadian yang dianggap memalukan Negara oleh Menteri Kerjaraya Dato’ Shaziman Abu Mansor.

(Gambar - Dr Alias, berbaju hitam, dalam Sidang DUN April lepas)

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu berkata kerajaan selalu mengambil mudah apa yang disuarakan pihak pembangkang di dalam sidang DUN, padahal ia adalah demi kepentingan bersama terutama untuk rakyat Terengganu.

“Bagaimana sekiranya ketika kejadian berlaku, ada aktiviti (sukan) dijalankan di dalam stadium itu,” soalnya.

Beliau turut memberi peringatan, tragedi malang itu juga akan menjadi pengajaran terbaik kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional, agar pada masa akan datang tidak sekali-kali membuat kerja sambil lewa dalam mengejar nama dan kemasyhuran hingga memperjudikan nasib dan nyawa rakyat sendiri.

“Jika tidak sempat siap, kita kena terima hakikat, jangan paksa siapkan dengan ala kadar, tanpa sijil siap kerja dan tidak ada Sijil Layak Menduduki (CF), sebab risikonya tinggi, banyak nyawa akan terkorban nanti dan sekarang ia (satu contoh) sudah berlaku,” tegasnya

Selasa lalu, 2hb Jun, kira-kira jam 9.30 pagi, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak telah runtuh menyebabkan 60 peratus strukturnya musnah.

Stadium yang menjadi lokasi utama acara Sukan Malaysia (Sukma) telah dirasmikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei, 2008, dalam keadaan yang masih tidak sempurna.

Lebih mengejutkan, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mendedahkan bahawa beliau sedar masalah bumbung itu sebelum majlis perasmian tersebut.

Tindakan Ahmad seolah-olah sengaja meletakkan Sultan Mizan terdedah dalam bahaya dengan meneruskan majlis perasmiannya.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin mempunyai kapisiti 50,000 orang dan dianggap sebagai stadium yang terbesar dan tercanggih di Pantai Timur.

BuletinOnline