"Pemerintahan mestilah bertunjangkan persetujuan dan kehendak rakyat, dalam kata-kata Abraham Lincoln yang masyhur itu: 'sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat'. Juga pemerintahan ini mestilah berdasarkan undang-undang, dan bukan berdasarkan kehendak seorang autokrat atau sekumpulan elit agama atau politik."- Kassim Ahmad
Malangnya "demokrasi telah mati" (Paul Kingsnorth). Rakyat Perak samasekali tidak boleh melupakan saat-saat tumbangnya kerajaan yang telah dipilih secara sah pada PRU 12 tahun 2008. BN menguasai semula Perak pada 5 Februari 2009 melalui kudeta atas sebab-sebab tertentu seterusnya menenggelamkan kerajaan yang dipilih rakyat.
Tarikh 5 Februari 2009 merupakan sebuah tarikh bersejarah untuk Malaysia yang membuktikan "segalanya adalah mungkin". Tarikh yang memperlihatkan gagalnya institusi kehakiman negara dan perlembagaan negeri dalam memberi keadilan sewajarnya. Justeru, tarikh ini memperlihatkan bagaimana institusi istana dipergunakan sedemikian rupa oleh ahli politik berkepentingan. Langsung, tarikh ini adalah titik hitam yang terukir di hati dan jiwa majoriti rakyat.
Jelas dan terang bahawa ini merupakan pencabulan terhadap demokrasi. Zambry Abdul Kadir dari BN, telah dilantik sebagai MB yang baru menggantikan Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS mewakili Pakatan Rakyat: menerajui sebuah kerajaan yang keabsahannya diragui samasekali.
Dunia: Sekitar "rampasan kuasa"
Apatah lagi dunia! Rampasan kuasa bukanlah sebuah subjek janggal dan anda boleh mengganggapnya normal! "Rampasan kuasa" boleh dilakukan oleh siapapun dengan pelbagai cara: menggunakan tentera, undang-undang, jalan raya dan sebagainya. "Rampasan kuasa" berlaku atas kehendak dan keperluan-keperluan tertentu adapun wujud perbezaan dari idea dan pelaksanaannya.
Mari kita imbas kembali beberapa siri rampasan kuasa yang pernah berlaku.
Suka saya mengambil contoh bagaimana Kerajaan Bani Ummaiyyah telah dijatuhkan oleh kelompok yang ditaja oleh Ali bin Abdullah dikenali kemudiannya sebagai Kerajaan Bani Abbasiyyah. Kerajaan Bani Umaiyyah digantikan dengan Kerajaan Bani Abbasiyyah. Maka, berlangsunglah kekuasaan Kerajaan Bani Abbasiyyah sehingga beberapa abad kemudian sehinggalah tentera pimpinan Hulagu Khan dari Mongolia menumbangkan kerajaan ini pada tahun 1258.
Di sekitar nusantara. Banyak peristiwa rampasan kuasa dan penaklukan yang telah berlaku. Dari Majapahit sehinggalah Kesultanan Melayu Melaka. Satu contoh; peristiwa sekitar abad ke-15 bagaimana Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang apabila Portugis berjaya menawan Kota Melaka. Daripada peristiwa ini; Sultan Mahmud telah mendirikan Kesultanan Johor manakala anakandanya pula telah mengasaskan Kesultanan Perak.
Atas kesedaran idea kebebasan, nasionalisma dan sosialisma. Kita disaksikan pula bagaimana Revolusi Perancis sekitar tahun 1848 telah mencetuskan Revolusi Eropah yang menunjukkan kesepakatan rakyat dari kelas pekerja dan menengah bangkit melawan penguasa dengan tuntutan-tuntutan pembaharuan. Rakyat dengan segala kekuatan dan semangat yang ada turun ke jalan raya- sepertimana yang pernah berlaku seperti Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang menyaksikan tumbangnya Dinasti Pahlavi yang sekian lama memerintah.
Begitu juga "rampasan kuasa" yang telah berlaku di Tunisia dan Mesir pada tahun ini dan bagaimana ia mempengaruhi negara-negara timur tengah yang lain. Berbeza pula di Thailand pada tahun 2006 di mana rampasan kuasa telah dilakukan pihak tentera ke atas kekuasaan Thaksin iaitu Perdana Menteri Thailand ketika itu merangkap "jutawan telekomunikasi" yang popular ia lantas memperlihatkan bagaimana peri pentingnya kuasa tentera dalam mengawal suasana politik dan keselamatan negara.
Di Malaysia; rampasan kuasa di Perak bukan perkara yang baru. Ia telah berlaku di era pimpinan Mohd Asri Muda sebagai Presiden PAS pada tahun 1977. Suka ataupun tidak, rampasan kuasa di Perak ini merupakan realiti pahit yang perlu dihadapi bersama. Rasanya mungkin sukar bagi UMNO-BN untuk mengambil alih pentadbiran Perak sekiranya Pakatan Rakyat mempunyai majoriti yang lebih besar lebih-lebih lagi jika PAS berada dalam jumlah kerusi yang selesa seperti DAP. Untuk menebus kembali maruah dan memperoleh keadilan sewajarnya, Pakatan Rakyat perlu memenangi lebih banyak kerusi seterusnya memerintah Perak. Apatah lagi, soal "rampasan kuasa" ini melibatkan isu "ketuanan", "Islam" dan "survival Melayu" justeru, PAS dilihat sebagai parti yang mewakili majoriti Melayu dalam Pakatan Rakyat.
Soalnya sekarang; mampukah PAS meraih lebih banyak kerusi untuk PRU ke 13 nanti? Apakah ada jalan untuk PAS meraih undi Melayu dalam "mengimbangi" kuasa politik dalam Pakatan Rakyat di Perak?
Rampasan Kuasa dan Retorik PAS ganti UMNO?
Semestinya, kita ternantikan keputusan PRU ke-13 walaupun ia belumpun bermula. Apakah ia seperti yang dijangkakan. Namun, saya pasti persoalan ini sentiasa menghantui BN: akankah berulangnya kemenangan Pakatan Rakyat di Perak? Persoalan yang menggerunkan bukan?
Dalam kawasan majoriti Cina, kita boleh letakkan DAP dalam keadaan yang paling selamat. Lalu, perkara yang akan berlegar difikiran kita adalah bagaimana pula penerimaan masyarakat Melayu Perak terhadap perjuangan Pakatan Rakyat yang digambarkan sebagai "mimpi ngeri" dalam ucapan bajet 2011 oleh Zambry yang lalu.
Persoalan yang timbul ialah berkisar kepada kemampuan PAS dan PKR mempertahankan kerusi sedia ada dan yang paling mustahak ialah untuk menambah kerusi di peringkat DUN dalam masa pilihanraya umum akan datang. PAS pula mendakwa mereka sebagai parti paling sesuai menggantikan UMNO. Persoalannya, mampukah PAS mengalihkan sokongan masyarakat Melayu kepada mereka? Apakah rasional PAS mengatakan mereka layak menggantikan UMNO sedangkan PAS adalah sebuah parti berteraskan Islam manakala UMNO bertunjangkan kebangsaan Melayu? Selain itu, ia merungkai persoalan apakah masyarakat Melayu itu sendiri bersedia untuk berubah?
Mungkin, jumlah kehadiran audien yang ramai di majlis-majlis penerangan Pakatan Rakyat terutamanya PAS yang kerap dianjurkan seluruh negeri dewasa ini antara fenomena yang menggusarkan UMNO-BN dan sedikit sebanyak memberi kekuatan moral kepada PAS. Mungkinkah ini merupakan petunjuk peningkatan sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat umumnya?
Cabaran kuat untuk PAS adalah bagaimana meyakinkan pengundi seperti di Pasir Salak dan Manjoi bahawa memilih PAS sebagai wadah perjuangan bangsa adalah lebih baik dari memilih BN. Saya juga amat tertarik perenggan akhir tulisan Ahmad Lutfi Othman dalam artikelnya berjudul
"PAS parti paling kritikal dalam Pakatan Rakyat?" antara lain menyarankan agar PAS tidak meletakkan kehodohan wajah UMNO-BN semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. Benar sekali!
Bajet Zambry 2011: Tutup Salah?
(Baca-sekiranya PRU ke 13 berlangsung pada 2011)
Mungkin: selain tanggungjawab kerajaan negeri - Dalam soal pendidikan (Baca: masyarakat bukan Melayu) pentadbiran Zambry telah memperuntukan sebanyak RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh manakala sebanyak RM4.5 juta pula diperuntukkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, tokong, gereja, gudawara dan wat Siam.
Kerajaan Perak juga dilihat prihatin apabila telah meluluskan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan krematorium yang mesra alam manakala sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Perak untuk pembangunan pusat tahfiz, pejabat agama dan penyelenggaraan masjid-masjid seluruh negeri. Untuk Perkhidmatan Masyarakat dan Luar Bandar pula, kerajaan negeri telah memperuntukan bajet pembangunan sejumlah RM58 juta.
Bajet Negeri Perak 2011 antara lain cuba mendekatkan kerajaan dan rakyat. Apakah penambahan peruntukan pada bajet 2011 ini mampu untuk menjernihkan hubungan kedua-dua pihak (kerajaan dan rakyat). Mungkin sebahagian kita bersikap skeptik; Adakah bajet mesra rakyat pentadbiran BN di Perak ini sama dengan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mengambil sikap merakyatkan ekonomi negeri dengan pelaksanaannya yang berhemah, telus dan berintegriti? Persoalan lain; Apakah peruntukan pembangunan yang diluluskan sebanyak RM273 juta (berbanding RM179 juta pada 2010) ini akan menjadikan rakyat bersikap lebih apresiasif? Perlukah rakyat bersikap apresiasif, dalam maksud lain
(politically) akan melonjakkan lagi sokongan mereka kepada BN?
Kita tidak pasti apa respon rakyat Perak terhadap bajet yang diperuntukkan ini dan sejauh mana ia mampu mengubah pendirian sebahagian mereka terhadap isu pemerkosaan demokrasi yang telah berlaku selain menguji kemahiran "berkempen" 817 Pengerusi JKKK yang telah mendapat pertambahan elaun sebanyak RM50 menjadikan jumlah elaun mereka RM800 sebulan.
Dan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan kembali DUN Perak; apakah akan berulangnya pembelotan terhadap pilihan rakyat ini? Banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Kita tetap tidak boleh membuat andaian bahawa BN akan terus berkuasa di Perak, begitu juga sebaliknya. Kedua-dua pihak; samada BN dan PR, punya strategi dan percaturan tersendiri.
Perak: Lahirnya ramai tokoh pejuang
Insiden rampasan kuasa dan peralihan kerajaan secara tidak wajar ini membuktikan bagaimana sistem perundangan negara jelas ditunggangi ahli politik. Pada masa yang sama, UMNO-BN harus bersyukur kerana majoriti rakyat masih sabar dan tidak melakukan sebarang tindakan subversif terhadap kerajaan negeri. Kaitan rampasan kuasa dan PRU? Ya. Persoalan yang baik. Kemenangan Pakatan Rakyat sekali lagi di Perak sangat penting dalam memastikan keadilan boleh ditegakkan sewajarnya.
Dalam konteks negeri Perak, menghitung detik PRU ke 13, pelbagai persoalan timbul. Apakah rakyat masih lagi terinspirasi dengan perjuangan Pakatan Rakyat? Adakah kemelut pencabulan demokrasi ini masih memberi kesan kepada hati rakyat? Dan bagi PAS; berjayakah mereka mengubah persepsi Melayu? Manakala bagi BN, apakah kepimpinan Zambry mampu untuk menarik semula sokongan majoriti rakyat terhadap BN? Apa pula trend pengundi pada kali ini? Semua persoalan ini masih menjadi persoalan.
Di sebalik apa yang telah berlaku. Rakyat negeri ini harus tahu bahawa Perak merupakan negeri bertuah. Negeri yang tersemat dengan semangat dan perjuangan. Ia menyaksikan lahirnya ramai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air antaranya Abu Bakar al Baqir, Rashid Maidin, Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Chin Peng dan ramai lagi tidak disebutkan di sini. Mungkin-Suatu masa nanti, kebenaran akan menang. Maka jangan hairan, jika semangat dan perjuangan pejuang-pejuang ini terus membara di segenap hati rakyatnya. Jangan sampai rakyat menjadi seperti Si Puntum yang menikam Birch ketika mandi di Sungai Perak lalu puaslah hati Dato' Maharajalela lantaran dendamnya tertunai!
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis
MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia