KOTA BARU : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz mencadangkan supaya takbir hari raya dibuat di merata tempat kerana menurutnya banyak permasalahan yang berlaku dalam negara dapat diselesaikan.
"Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah iaitu bertakbir di merata-rata tempat.
"Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan," katanya dalam perutusan hari raya aidilfiri hari ini.
Mursyidul am PAS berkata, rakyat sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan.
Melayu, katanya, misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim.
Beliau berkata, ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.
"Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir.
"Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu.
"Bahkan masyarakat bukan muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan.
"InsyaAllah jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai," katanya.
Posted by RAKYAT MARHAEN