SPR didakwa pilih kasih
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas diadakan ketika sidang DUN negeri ini yang bermula 1 November depan.
Menurutnya, tindakan SPR menetapkan 4 Oktober sebagai tarikh pengundian dianggap tidak menghormati sidang DUN dan seolah-olah dirancang untuk memberi kelebihan kepada UMNO.
”SPR ini memang tak fikir langsung cerita orang lain, cerita UMNO dia saja. Terus terang saya sebut bahawa kita sudah tetapkan (sidang) Dewan Negeri yang perlu dihormati.
”Mereka tidak fikir langsung bertembung dengan pilihan raya dengan sidang Dewan Negeri. Ini perkara yang menimbulkan kebencian masyarakat Kelantan kepada pihak sebelah sana (SPR),” katanya selepas Ekspo Pelancongan 2010 Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini, semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan tidak adil itu hanya menambah lagi kebencian masyarakat negeri ini kepada SPR yang dikatakan gagal bertindak sebagai sebuah badan yang bebas.
Menurutnya, SPR tidak langsung bertanya kepada pihak Kerajaan Negeri berkenaan dengan apa- apa acara rasmi yang diadakan seperti mana yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah badan bebas sebelum menetapkan sebarang keputusan.
Dalam pada itu, ketika ditanya penetapan tarikh mengundi yang jatuh pada hari bekerja, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, perkara itu akan menyusahkan rakyat yang mahu membuang undi pada hari berkenaan.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, walaupun berat, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cuti umum pada hari berkenaan seperti mana yang dibuat di Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai.
”Boleh jadi kita fikirlah pula, kerajaan tanggung bebanan (jika ia membabitkan keputusan memberi cuti)... soal cuti ini bukan kerja senang, henti kerja pejabat, satu perkara yang tidak menyenangkan hati,” katanya.