Saturday, June 13, 2009

'Mouth Foaming Minister' nak tukar nama OKU

Kenali OKU sebagai ‘orang kelainan upaya’

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar penggunaan istilah ‘orang kelainan upaya’ (OKU) diperluaskan bagi menggantikan ‘orang kurang upaya’.

Menurut beliau istilah orang kelainan upaya lebih menggambarkan keistimewaan dan kelebihan golongan itu berbanding istilah lama yang memberi maksud lebih negatif dan seolah-olah merendahkan keupayaan golongan itu.

“Kita mungkin terlalu terikut dengan perkataan bahasa Inggeris ‘disable’ yang menggambarkan ketidakupayaan serta kelemahan golongan ini sedangkan sebenarnya mereka mempunyai kelainan dan kelebihan luar biasa yang kadang kala tidak terdapat pada orang normal.

“Contohnya, atlet paralimpik yang mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi, serta kebolehan yang kadang kala manusia sempurna sendiri tidak mempunyai keupayaan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program ‘Higher Institution National Expedition and Camping (HINEX) 2009’ di sini semalam.

Katanya, golongan OKU juga tidak ketinggalan menyumbang jasa dalam pembangunan negara termasuk menjadi pembuat kraftangan, doktor, guru, pensyarah, serta ahli perniagaan.


Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Exco Majlis Pengakap Malaysia Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Rektor Kolej Universiti TATI, Dr Mohd Rozilan Mamat.
-- BERNAMA
SinarHarian

Layanan buruk pekerja Indonesia, tegangkan isu Manohara - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kegagalan kerajaan menangani isu penderaan berterusan terhadap pekerja Indonesia di negara ini menyebabkan kes "penderaan" bekas model Indonesia, Manohara Odelia Pinot menjadi tegang, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masalah hubungan Indonesia dan Malaysia terjejas kerana isu ini (Manohara), sama dengan isu penderaan pekerja dan pembantu rumah Indonesia.

"Tambah pula dengan isu Ambalat. Jadi, saya minta kerajaan Malaysia tanganinya dengan bijak," katanya dalam sidang akhbar di Bangi hari ini.

"Isu penderaan berlaku secara berterusan. Terlalu ramai pekerja Indonesia, pembantu rumah yang teraniaya.

"Ini tidak boleh dilihat sebagai sikap angkuh kita yang relatif lebih kaya untuk mendera pekerja dan pembantu rumah (Indonesia) yang dianggap lebih miskin," kata Anwar.

Beliau mengulas isu Manohara yang mendakwa didera suaminya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Kes itu kini dilaorkan kepada polis di negara masing-masing oleh pasangan diraja itu.

Siasat secara adil

Anwar berkata, ketegangan kedua negara perlu diselesaikan segera kerana Indonesia merupakan jiran yang penting kepada Malaysia.

"Saya minta kerajaan jangan tangguh (selesaikannya). Jangan hanya berharap boleh selesai (sendiri). Tetapi harus ditangani dengan bijak kerana Indonesia, seperti juga Singapura, jiran yang penting kita jalinkan hubungan paling baik," katanya.


Mengulas lanjut kes Manohara, Anwar menggesa setiap laporan yang dibuat disiasat secara adil, bebas dan mengikut lunas undang-undang.

"Kita tidak boleh menghukum (seseorang) jika kita tidak mendapat maklumat yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menyambut baik kunjungan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang bertemu dengan pemimpin politik di negara ini.

Menurutnya, pertemuan Lee dengan pemimpin kerajaan dan pembangkang, mampu mengukuhkan kefahaman dan memperkuatkan hubungan antara kedua-dua negara.

malaysiakini

Keiklasan Tok Guru Dan Allahyarham Pak SU WE Bakal Benamkan BN

Oleh Sofi Wahab

PRK Manek Urai akan menjadi ujian pertama buat Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Stopa Mamat. Kalau sebelum ini Stopa dikatakan hebat apabila hampir menumbangkan PAS pada PRU 2004, kini tugas berat Stopa untuk mengalahkan PAS di Manek Urai.

Stopa sudah pasti ngeri untuk berdepan dengan PAS di Manek Urai kerana DUN ini merupakan antara kubu kuat tradisi PAS. Sewaktu PAS tewas teruk pada PRU 1978 di mana PAS hanya tinggal 2 kerusi, rakyat Manek Urai tetap mengundi PAS bersama-sama dengan pengundi di DUN Sering dalam Parlimen Pengkalan Chepa.

Bayangkan betapa setianya rakyat Manek Urai kepada PAS berbanding rakyat di kawasan lain.

Kekalahan PAS di Manek Urai pada PRU 2004 bukan kerana kebencian rakyat kepada PAS sebaliknya mereka terpesona dengan ‘aura’ Imam Hadhari. Itupun PAS hanya tewas dengan majority 53 undi sahaja. Malah ramai yang menjangkakan jika Allahyarham Pak Su Wei bertanding pada PRU 2004 di DUN tersebut PAS akan tetap menang.


Kini rakyat di Manek Urai akan diuji lagi samada mereka tetap setia kepada perjuangan Islam yang menjadi tonggak kerajaan PAS Kelantan atau terpedaya dengan slogan retorik 1Malaysia yang entah dari mana asalnya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan siang-siang lagi sudah berlakon di hadapan rakyat Manek Urai apabila melakonkan watak Penoreh Getah bersama-sama menoreh di Manek Urai malah tidur di rumah rakyat.
Selain itu jentera kerajaan sudah dikerah ‘menghabiskan’ duit rakyat untuk memenangkan BN. Guru-guru Kemas, pegawai-pegawai dan kakitangan Kemas sudah keluar masuk kampong ‘mencula’ kecenderungan pengundi di samping menjanjikan habuan segera untuk rakyat. Syaratnya mereka mesti mengundi BN barulah habuan itu akan diberi.

Selepas ini ‘Santa Klaus’ akan beramai-ramai turun ke Manek Urai seperti juga yang mereka lakukan di kawasan-kawasan lain yang terjadinya Pilihanraya Kecil. ‘Santa Klaus’ akan membawa apa juga hadiah yang mereka fikirkan mampu mencairkan hati pengundi untuk memangkah BN. Tidak cukup dengan hadiah-hadiah segera mereka juga akan menjanjikan projek-projek hebat dan segera kononnya untuk kesejahteraan rakyat. Mengapa sebelum ini mereka tidak melakukan perkara yang sama? Bila YB meninggal baru mereka terhegeh-hegeh bertemu rakyat.

Saya yakin rakyat di Manek Urai tidak akan lupa jasa dan budi Allahyarham Pak Su Wei yang sudah lama menjadi penyejuk hati dan pembela mereka di kala duka. Selain itu Program Syiar Islam, projek pembangunan, program kebajikan kerajaan negeri Kelantan seperti Ladang Rakyat, Takaful Kifaalah, Bantuan Armaalah dan sebagainya sudah sebati dengan mereka dan tidak akan disia-siakan mereka.

Keikhlasan Tuan Guru Nik Aziz dan Allahyarham Pak Su Wei tetap akan dikenang mereka berbanding dengan lakonan manja Stopa Mamat dan Ahmad Maslan yang hanya dilakukan pada musim pilihanraya.

DetikDaily

DATUK ZAID IBRAHIM MENYERTAI PARTI KEADILAN RAKYAT

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

Jangan bimbang dengan pindaan perlembagaan, kata Presiden PKR

Cadangan pindaan perlembagaan PKR telah menimbulkan kegusaran di kalangan penyokong parti itu yang bimbang ia "dirampas kumpulan lawan dan pihak oportunis", kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

"Perubahan ini memang besar dan nampak mendadak. Justeru, saya tidak salahkan tuan-tuan yang mungkin berasa gusar dan bimbang.

"Banyak yang telah diperkatakan, mungkin parti akan dirampas kumpulan lawan dan kumpulan oportunis. Mungkin parti akan hilang agenda perjuangan asal dan banyak lagi," kata Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam kongres khas parti itu - bagi meminda perlembagaannya - di Bangi pagi ini.

Azizah meminta anggota PKR menerima cadangan itu kerana anggota parti itu membuat pindaan yang lebih besar sebelum ini apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Menurutnya, penggabungan itu melibatkan pelbagai perubahan termasuklah nama, simbol dan bendera parti.

"Kegusaran memuncak takut parti kita hilang semangat perjuangan asal, hilang identiti dan lebih dahsyat lagi, takut-takut kalau saya diketepikan oleh Presiden Parti Rakyat ketika itu Dr Syed Husin Ali.

Bincang tujuh pindaan

"Biar saya nyatakan ini secara berterus terang hari ini. Ramai yang gusar ketika itu kerana kita tidak mengenali Dr Syed dan kita membuat andaian berdasarkan situasi ketika itu, dan apa yang digambarkan pemerintah terhadap mereka.

"Yang penting semuanya sayangkan parti," katanya.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

Pindaan tersebut ialah menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Mengulas perkara itu, Wan Azizah berharap pindaan perlembagaan yang dibentangkan naib presidennya, Sivarasa Rasiah mampu "menghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik" di dalam parti itu.

malaysiakini

Pindaan Perlembagaan Untuk Mengisi Agenda Perubahan - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pindaan perlembagaan Parti Keadilan Rakyat yang akan diluluskan hari ini adalah untuk membolehkan parti itu bergerak dengan lebih rancak ke arah mengisi Agenda Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata segenap lapisan anggota PKR mahukan “ perlembagaan yang menzahirkan semangat dan Agenda Perubahan”

Kita mahu Parti Keadilan Rakyat menjadi wadah perubahan sebenar,” kata Anwar kepada hampir seribu perwakilan yang berhimpun di Selangor untuk meluluskan pindaan- pindaan itu pada Kongres Nasional Khas PKT di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Antara lain pindaan perlembagaan membabitkan usul menghadkan tempoh presiden kepada tiga penggal, memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa, memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Turut dibentangkan usul mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun.

Anwar berkata pindaan perlembagaan akan memantapkan jentera parti daripada tahap sekarang.

“Kita perlukan anjakan besar kerana Parti Keadilan Rakyat diasaskan dengan semangat reformasi dan perubahan” dan harus berupaya untuk menzahirkan harapan rakyat untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan.

Datuk Seri Anwar mengingatkan pemimpin dah anggota parti supaya tidak angkuh dengan kemenangan besar PKR pada pilihanraya umum lalu.

“PKR menang kerana ….. rakyat mahukan perubahan dan kerana rakyat bencikan kerakusan kuasa dan rasuah. Kerana itu rakyat memilih kita,’ kata Anwar.

Beliau berkata pemimpin dan anggota parti tidak harus leka berfikir “kita hebat” dan kemenangan PKR berpunca daripada kekuatan individu.

“Kita harus menjalankan penilaian diri tentang kelemahan dalaman …..kita tak boleh andaikan kita cukup hebat,” kata Anwar.

Penilaian itu akan membolehkan jentera perjuangan parti dimantapkan lagi bagi memboleh PKR membina kekuatan yang berupaya mengisi segala harapan rakyat.

Datuk Seri Anwar juga menegaskan bahawa PKR tidak akan bertolak ansur dengan mana- mana pihak yang cuba menerapkan politik perkauman ke dalam parti itu.

Beliau merujuk kepada pilihanraya kecil Bukit Selambau, di mana beberapa pihak, termasuk kalangan bekas anggota parti cuba mengugut PKR untuk memilih mereka sebagai calon.

Anwar berkata PKR memilih untuk menolak mereka walaupun mereka mengugut untuk memastikan kaum tertentu memulau parti itu.

Anwar menegaskan setiap calon PKR harus mewakili kepentingan semua kaum dan tidak terikat dengan memperjuangkan nasib kaum tertentu sahaja.

“Biarlah pengajaran daripada Bukit Selambau ini sampai ke seluruh negara…kita mahukan calon-calon kita..mampu menjana perubahan” dan mewakili kaum kaum, kata Anwar.

Merujuk kepada Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi mengingatkan bahawa media arus perdana kawalan Barisan Nasional sentiasa berusaha mencerminkan gagasan sebagai rapuh dan tidak mantap.

“Insiden kecil akan diperbesarkan oleh media arus perdana. Ini kita harus sedari. Oleh kerana itu penting untuk kita memastikan sebarang perbedaan pendapat disalurkan menerusi ruang, wahana dan forum ditetapkan untuk mengelakkan tafsiran yang merugikan,” kata Anwar.

Anwar berkata ketiga-tiga pucuk pimpinan tertinggi PKR, PAS dan DAP telah menzahirkan iltizam untuk menjadikan Pakatan Rakyat lebih mantap dan jitu.

TVA

Sedia bincang dengan Najib, tapi bukan 'Kerajaan Perpaduan' - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi tidak timbul langsung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Tidak timbul isu kerajaan perpaduan. Isu kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali," tegas beliau dalam ucapannya di Kongres Nasional Khas PKR di Nilai hari ini.

"PAS telah menjelaskan pandangan degan sebaiknya. Kita sedia berbincang dengan syarat hentikan kezaliman, bebaskan badan kehakiman dan pastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

"Kalau ini semangat yang ada, tidak ada masalah untuk kita berbincang. Tidak timbul isu yang diwarkan-warkan, (iaitu) kerajaan perpaduan," tegas Anwar.

Beliau mengulas isu kerajaan perpaduan yang diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan andaiaan bahawa parti Islam itu berniat bergabung dengan Umno.

"Selepas Muktamar PAS, saya hubungi Ustaz Abdul Hadi dan berbincang panjang. Kita akan jelaskan melalui kenyataan media yang bakal keluarkan," tambahnya.

Tragedi Bumbung Stadium Runtuh : SPRM akan memanggil bekas Exco kerajaan negeri

Sekurang-kurang tiga orang bekas Exco kerajaan negeri dan beberapa pegawai senior dari Jabatan Kerja Raya negeri akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan tragedi bumbung runtuh Stadium Sultan Mizan Zainal.

Satu sumber menyatakan bekas Exco kerajaan negeri mempunyai maklumat penting dalam membantu merungkai kejadian yang memalukan 2 Jun lalu.

Sumber tersebut turut menyebut dokumen melibatkan pemilihan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pemasangan atap Stadium bernilai RM300 juta itu akan diperolehi dari pihak berkenaan.

“Kami telah mengenalpasti nama beberapa individu penting bagi membantu penyiasatan,”kata sumber tersebut yang tidak mahu menyebut nama bekas Exco terbabit dan individu yang akan dipanggil.

Tiga orang yang bertanggungjawab memastikan Stadium tersebut siap menjelang SUKMA 2008 adalah Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Kemudahana Awam dan Infrastruktur), Dato’ Din Adam (Belia dan Sukan) dan Dato’ Rosol Wahid (Islam Hadhari dan Kebajikan)

Din dan Rosol masih berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, sebelumnya menjadi Exco kerajaan dibawah bekas Meneteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

BuletinOnline

SPRM Minta Derma Dari UMNO?

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Muhammad Hassan memberi sogokan RM20,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Negeri Sembilan untuk membiayai aktiviti kelab sukan badan itu, seorang pemimpin kanan PKR mendedahkan hari ini.
Kesanggupan Pengarah SPRM Negeri Rozaini Idris memohon dan menerima wang itu daripada pejabat Menteri Besar menjejaskan lagi kredibiliti SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau berkata “urusniaga” antara SPRM dan pejabat Menteri Besar itu hanya menguatkan pesepsi selama ini bahawa SPRM bersikap pilih kasih dengan menutup hampir semua aduan rasuah terhadap Datuk Seri Muhammad.

Antara tuduhan-tuduhan yang dihadapi Muhammad Hassan adalah pembabitan ahli keluarga dalam pentadbiran kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan politik wang.

“Laporan bukan sahaja dibuat oleh individu atau pembangkang, tetapi laporan yang dibuat dari kumpulan pemerintah juga tidak dilayan,” katanya.


Badrul berkata Pengarah SPRM Negeri Sembilan telah menghantar sepucuk surat memohon sumbangan menampung perbelanjaan bagi menghantar kakitangannya untuk menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 11 hingga 16 Jun 2009,” kata Badrul.

Muhammad Hassan bingkas bersetuju dan telah memberikan cek bernilai RM20,000 kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan, kata Badrul.

“Ini jelas melanggari etika,” kata Badrul, yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Sembilan.

“Memohon, menyumbang dan menerima sumbangan ini telah menjadi kesalahan dari segi etika. Menteri Besar dan SPRM mempunyai pertembungan kepentingan,” tambah Badrul.

Sisasat Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan - Solidariti Anak Muda Malaysia

Gerakan mahasiswa, Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini membidas keengganan kerajaan menyiasat kenyataan bersumpah tiga pegawai polis yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bersekongkol dengan Ah Long atau ceti haram tanah air.
Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.

“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.

Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.

Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.

Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.

Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.

Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.

Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.

Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.

“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.

Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.

Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul.

TVA