Wednesday, December 2, 2009

Angkatan Pemuda Pakatan Rakyat serah rakaman P. Bala ke SPRM

Putrajaya, 2 Disember - Angkatan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan rakaman temuramah penyiasat kontroversi, P Subramaniam ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya petang tadi.

Ketika dihubungi TV Selangor, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohamad Akin berkata rakaman temubual ini adalah bukti jelas hubungan rapat Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.




“Di dalam CD tersebut ada lebih kurang tujuh perkara yang telah diberikan fokus, dimana tujuh perkara itu telah saya simpulkan dan jadikan ia sebagai satu laporan rasmi terhadap SPRM. Antara yang penting ialah kita minta SPRM menyiasat terdapat usaha daripada pihak Dato Najib sendiri melalui agen agennya menawarkan wang sejumlah 5 juta ringgit bagi mendorong Balasubramaniam menarik balik akuan sumpah betarikh 1 julai 2008”,kata Shamsul.

Shaariibuugiin Altantuyaa mati dibunuh dua pengiring Najib pada Oktober 2006 di Shah Alam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati keatas Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar, namun membebaskan pembantu Najib, Abdul Razak Baginda.

P. Bala mengundang kontroversi dengan akuan bersumpah yang mengaitkan Najib kepada pembunuhan Altantuya.

Bekas anggota Cawangan Khas yang diupah Abdul Razak Baginda untuk memantau gerak-geri Altantuya mendakwa pihak polis telah membuang maklumat perselingkuhan Najib dan wanita Mongol itu.

P. Bala menghilangkan diri bersama keluarga, sebelum muncul kembali tahun dan mendedahkan bahawa beliau telah dibawa lari ke India oleh kerajaan Malaysia.

Rakaman perbualan P Bala bersama 3 orang peguam membutirkan perencanaan menutup hubungan Najib-Altantuya dari terbongkar.

P Bala mendakwa beliau disogok RM5 juta ringgit untuk menarik balik akuan bersumpah itu oleh Deepak Jaikshnan, yang dikatakan rapat dengan isteri PM, Rosmah Mansor.

Tambah Shamsul lagi,“Terdapat keyakinan dan ulangan beberapa kali Balasubramaniam yang mengatakan beliau konsisten dengan pendirian affidavit yang pertama yang ditandatnagani pada 1julai 2008 itu, ia satu affidavit yang sah,yang mengzahirkan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang hubungan rapat Dato Najib dengan perempuan Mongolia yang dibunuh itu iaitu Altantuya”.

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Rakyat akan melipat-ganda tekanan terhadap Najib sehingga Perdana Menteri itu sendiri tampil membuat penjelasan terbuka kepada rakyat Malaysia.

Shamsul berkata jentera sayap pemuda PKR, Pas dan DAP akan mengadakan kempen melalui laman sosial Facebook, meraih sebanyak mana tandatangan rakyat menggesa inkuiri bebas diadakan bagi menyiasat skandal memalukan ini.

“Saya ingin mendesak perdana menteri dan saya ulangi petang tadi di hadapan pejabat SPRM supaya beliau tampil dan berikan pendirian beliau dan ulasan beliau memberi penjelasan dimana kita lihat ini ada kaitan dengan soal kepimpinan,ini memalukan Negara dan kerajaan”,katanya lagi. -NADIA MOHSIN(TV SELANGOR)

ehsan : SelangorKini, KelabGB

Pulau Pinang turut haramkan BTN

"Mulai hari ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikuti langkah Kerajaan Selangor yang mengharamkan BTN kerana tidak melaksanakan modul sebenar bahkan mengisi modul dengan sikap jijik, menghina dan mencemuh kepimpinan Pakatan Rakyat,"


Mohd Sabri Said

GEORGETOWN 2, Dis : Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengikuti langkah Selangor apabila memutuskan bahawa semua kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri diharamkan dari mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman dibuat Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tengahari tadi.

"Mulai hari ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikuti langkah Kerajaan Selangor yang mengharamkan BTN kerana tidak melaksanakan modul sebenar bahkan mengisi modul dengan sikap jijik, menghina dan mencemuh kepimpinan Pakatan Rakyat, " jelasnya.

Kerajaan juga sedang mengkaji mana-mana pihak yang menganjurkan kursus serupa kerana ada laporan mengatakan mereka sengaja melemparkan kata-kata nista kepada pihak tertentu yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurut Dr Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, laporan yang diterima daripada peserta amat mendukacitakan malahan ada yang tertekan dengan tindakan membuli peserta jika mereka tidak memberi kerjasama kepada penganjur.

Walaupun ada usaha kerajaan BN untuk mengkaji semula BTN namun ia sudah terlambat kerana sudah ramai minda peserta telah dirosakan dengan doktrin perkauman dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya remaja sepatutnta dididik dengan modul yang baik bukan memburukan kepimpinan Pakatan Rakyat kerana golongan remaja adalah pemimpin masa depan yang semestinya mempunyai mutu pemikiran yang matang dan tidak terikat dengan kedangkalan fikiran terhadap Umno dan BN sahaja.

"Walaupun ada usaha BN untuk kaji semula namun ia sudah terlambat kerana sudah ramai pemikiran remaja telah diselewengkan dengan melemparkan tuduhan tanpa bukti semata-mata untuk menarik kembali sokongan terhadap BN, " katanya.

25 November lalu, Kerajaan Negeri Selangor, negeri pertama Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengharamkan kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri daripada mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN.

Sehubungan itu, beberapa buah negeri Pakatan Rakyat yang lain juga sedang menimbang perkara tersebut.

Harakahdaily

Husam mahu jumpa PM isu royalti minyak

dari Mkini Dis 2, 09 11:28am

Kerajaan Kelantan semalam menghantar surat permohonan untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Datuk Husam Musa berkata, permohonan itu dibuat berikutan kenyataan Najib bahawa pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Oleh kerana perdana menteri telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri yang dilantik oleh exco, telah menghantar surat kepada perdana menteri," katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen semalam.


Najib ketika sidang medianya di Port Of Spain (Trinidad & Tobago) dilaporkan berkata, tuntutan tersebut boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Katanya, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

Sehubungan itu, Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, telah meminta jasa baik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengatur pertemuan antara kerajaan Kelantan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membincangkan isu royalti minyak.

Menyentuh tentang laporan media bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa Jumaat lepas supaya Allah menurunkan bala ke atas perdana menteri kerana enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, beliau mendakwa hanya sebahagian daripada ucapan mursyidul am PAS itu dilaporkan.

Katanya, doa Nik Aziz sebenarnya bukan terus minta Allah jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri sebaliknya supaya Najib berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.

"Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah Tok Guru (Nik Aziz) minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri.

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagian terakhir ucapan itu untuk menggambarkan menteri besar Kelantan hanya sukakan konfrontasi dengan perdana menteri," katanya.

Najib dilaporkan berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz memohon maaf sebaliknya menyarankan menteri besar sedar bahawa perbuatannya dilihat oleh ramai umat Islam sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman.

Mengenai laporan sebuah harian baru-baru ini bahawa beliau akan meletakkan jawatan exco, Husam berkata laporan berkenaan menjejaskan reputasinya sebagai anggota exco negeri Kelantan.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali. Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan menerusi pelbagai cara, menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Husam berkata peguamnya telah menghantar notis kepada harian berkenaan semalam menuntut agar permohonan maaf secara terbuka segera dibuat. BERNAMA

Penzalim yang degil wajar didoa bala - Ulama

"Doa itu senjata orang mukmin, tidak menjadi satu kesalahan dibaca selepas orang Islam sendiri menganiayai orang Islam lain.

"Dipanjatkan doa semoga dibuka pintu hati dan kalau tetap berdegil juga dipohonkan kepada Allah supaya ditimpa sesuatu musibah kepada mereka,"



M Faqih & Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 2 Dis : Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata doa meminta ditimpa musibah kepada orang yang membuat kezaliman bukan sesuatu kesalahan.

Bagaimanapun ia adalah pilihan terakhir selepas pihak yang melakukan kezaliman itu tetap berdegil selepas pelbagai kaedah lain digunakan.

"Doa itu senjata orang mukmin, tidak menjadi satu kesalahan dibaca selepas orang Islam sendiri menganiayai orang Islam lain.

"Dipanjatkan doa semoga dibuka pintu hati dan kalau tetap berdegil juga dipohonkan kepada Allah supaya ditimpa sesuatu musibah kepada mereka," katanyai disini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mendoakan diturunkan musubah kepada mereka yang menzalimi rakyat negeri itu ekoran keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar wang royalti minyak.

Rakyat Kelantan katanya sedang dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak dan itu adalah satu bentuk kezaliman yang tidak boleh dimaafkan.

Doa menurunkan bala kepada orang yang zalim katanya tidak lebih sebagai satu ugutan agar mereka gerun dengan janji Allah dan terbuka pintu hati untuk mengembalikan semula hak orang lain.

"Doa seperti itu tidak lebih sebagai satu ugutan atau peringatan kepada pihak yang cuba membuat zalim seperti disebut Tok Guru Nik Abdul Aziz," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, sirah zaman Nabi Muhammad saw memperlihatkan bagaimana baginda memanjatkan doa kepada Allah supaya diturunkan bala ke atas kaum Quraisy Mekah yang menganiaya baginda dan menentang dakwah Islam.

Ekoran itu katanya Allah Taala telah menurunkan kemarau selama tujuh tahun sehingga wujud asap dari langit.

Kata beliau adalah wajar didoakan semoga dibuka pintu hati orang yang cuba membuat aniayai kepada rakyat Kelantan supaya menunaikan tanggunggawab mereka.

Selain itu beliau juga menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak 5 peratus daripada kerajaan pusat.

Dewan Ulama katanya menyambut baik saranan Mursyidul Am Pas itu agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama membantu mempertahankan dan menuntut hak mereka itu.

Dalam kenyataan tiga muka surat bekas anggota Exco kerajaan negeri itu berkata buat masa ini mereka hanya mampu bermunajat dan berdoa agar dibuka pintu hati pihak yang terbabit sehinggalah hak rakyat mendapat royalti minyak itu ditunaikan.

"Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ihsan dan penyerahan faedah petroleum itu kepada pihak lain adalah perbuatan khianat dan tidak bertamadun," katanya.

Mengenai kepimpinan Menteri Besar, Mohamad berkata Dewan Ulamak berpendirian menyokongnya mengekalkan kepemimpinan dalam kerajaan dan parti.

"Buat masa ini Tok Guru Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Ketokohan dan gaya pemerintahannya menjadi contoh yang terbaik sehingga disegani kawan dan lawan," katanya.

Harakahdaily