Wednesday, November 3, 2010

Perutusan PRK N.45 Galas

Salam persaudaraan semua Pengundi Galas.

Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita semua bertemu dalam pilihan raya kecil N.45 Galas, Gua Musang.

Semoga semua Pengundi Galas daripada orang Melayu, Cina, Orang Asal sampai kepada orang India berada dalam sihat dan ‘afiat.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan pengharapan agar Pengundi Galas dapat menghayati jasa dan bakti serta ketulusan pihak Kerajaan Negeri Kelantan bersempena panggilan keluar mengundi pada hari Khamis, 27 Zulkaedah 1431 bersamaan 4 November 2010 nanti.

Maka, undilah Calon Kito, Dr. Zul dari Parti PAS, iaitu Parti Kerajaan yang mentadbir Negeri Kelantan hari ini.

Sesungguhnya, ambillah pengajaran daripada tujuan Allah SWT menciptakan manusia ini "lelaki dan perempuan, dan berbangsa-bangsa, supaya kita semua berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain". (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:13).

Justeru Allah menciptakan manusia semua adalah dari satu keturunan, iaitu Nabi Adam.

Ini bermakna asal-usul sesuatu kaum itu, tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asal adalah dari seorang manusia bernama Adam yang kemudian berkembang menjadi pelbagai keturunan, bangsa, bahasa, budaya, warna kulit dan pelbagai adat resam.

Maka Islam memandang tinggi dan memberi kemuliaan di atas semua perbezaan, asalkan mereka beriman dengan Allah SWT.

Memahami ciptaan Allah itu, saya dapati Saudara Dr. Zul selaku Calon Kito telah memberi kesanggupan untuk berkhidmat kepada semua rakyat, Pengundi Galas, termasuk Melayu, Cina, Orang Asal dan India.

Ini sesuai dengan perintah Allah SWT, agar kita semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan, menerangkan kebenaran dan jangan timbul rasa kebencian terhadap sesuatu kaum sehingga melakukan ketidak-adilan ke atas kaum itu (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Maidah 5: 8).

Inilah misi dan matlamat sebenar Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’ tatkala berkuasa– sedia membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat– sentiasa utamakan prinsip keadilan untuk semua.

Begitu pula dari segi kemasyarakatan, Allah SWT melarang perbuatan saling cemuh-mencemuh dan rendah-merendah terhadap kaum tertentu. Ini mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik.

Dan kita harus mengelakkan daripada panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:11).

Oleh itu, semua Pengundi Galas sama ada orang Melayu atau Cina, India atau Orang Asal hendaklah saling hormat-menghormati.

Prinsip ini telah menjadi pendirian dan dasar sosial Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang mentadbir Negeri ini sejak pilihan raya umum 1990 lagi.

Maka prinsip ini menjadi panduan Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan (dari Parti PAS/Pakatan Rakyat) menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin Saudara Dr. Zul bersedia mengamalkan khidmat terbaik untuk rakyat Galas berpandukan prinsip
tersebut.

Sesungguhnya, pilihan raya kecil Galas berlaku pada saat Kerajaan Negeri Kelantan sedang menyambut 20 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.

Dalam tempoh 20 tahun itu, banyak usaha pembangunan sudah dibuat dan sedia dinikmati oleh semua rakyat.

Aspek kebajikan rakyat, kepentingan dan hak rakyat menikmati hasil pembangunan adalah keutamaan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

Termasuklah, Pengundi Galas sudah menerima banyak perubahan hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri di Jajahan Gua Musang.

Justeru itu, tiada pilihan lain bagi Pengundi Galas, melainkan bersetuju untuk mengundi Calon Kito, Dr. Zul yang sanggup memberi khidmat terbaik bagi menyambung usaha Wakil Rakyat sebelum ini, malah sedia menjadi penghubung dan pemudah-cara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Semua Pengundi Galas harus menerima hakikat bahawa segala rancangan pembangunan akan berjalan lancar apabila Dun Galas ini mempunyai Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri. Ini kerana banyak urusan pembangunan adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Di antaranya rancangan pemilikan tanah, pembinaan jalan, bekalan air paip, pembinaan rumah, bangunan perniagaan dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

Maka, pesanan saya, janganlah mudah percaya kepada janji pemimpin BN yang jelas menentang Kerajaan Negeri, kononnya mereka ada kuasa untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah atau bekalan air, atau pun perumahan rakyat.

Semua urusan ini tidak akan selesai tanpa kerjasama Wakil Rakyat dari Parti yang mewakili Kerajaan Negeri.

Memahami keadaan yang sedemikian, apa pasal kita nak pilih calon BN?

Natijahnya calon BN tidak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Ini kerana kebelakangan ini, ramai pemimpin BN yang terlibat dengan rasuah, kroni dan pilih kasih yang jelas berlawanan dengan ajaran agama, bercanggah dengan hasrat rakyat dan tidak sehaluan dengan dasar-dasar Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Maka seruan saya, berilah keyakinan dan kepercayaan kepada Calon PAS, Dr. Zul sebagai Calon Kito yang sedia berkhidmat untuk semua Pengundi Galas.

Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi dan undilah bulan.

“Pertahan Galas Kito”

Calon Kito, Dr. Zul – Cakno & Mesra


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Harakahdaily

PAS membantah peti undi di bawah DUN Galas yang dibawa menggunakan helikopter oleh SPR kerana berkemungkinan akan berlaku penipuan



PAS bantah penjumlahan 4 peti undi Orang Asli

PAS akan menghantar notis bantahan berhubung proses penjumlahan undi bagi empat kawasan mengundi Orang Asli dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Pengarah pilihan raya PAS negeri Abdul Fatah Haron berkata, proses berkenaan dicurigai kerana ia hanya akan dikira di pusat penjumlahan.

Amalan sebelum ini adalah mengira undi berkenaan di pusat mengundi masing-masing, katanya.

Jelasnya, ejen calon tidak dapat mengikuti helikopter yang membawa peti peti undi dari empat pusat mengundi Orang Asli - di Belatim, Balar, Bihai dan Hau.

"Kita ragui keselamatan peti undi ini kerana (ejen parti) tidak dapat ikuti bersama (dalam helikopter tersebut)," katanya.

Ketika ditanya, beliau berkata PAS mengambil masa yang lama untuk membuat bantahan kerana perlu meneliti peruntukan undang-undang yang ada.

"Memang ada fakta untuk kita bantah. Kita akan bawa ke mahkamah.

"Peguam kita sedang buat persiapan terakhir. Esok pagi kita akan faks surat (bantahan)," katanya lagi dalam sidang media lewat petang ini di markas jentera PAS di Gua Musang.

SPR menetapkan untuk membawa peti undi di empat pusat mengundi berkenaan dengan dua perjalanan selepas tamat tempoh mengundi.

Perjalanan pertama akan membawa peti undi dari Balai Rawatan JHEOA Pos Belatim dan SK Bihai ke pusat penjumlahan di Dewan Sivik.

Perjalanan kedua helikopter berkenaan pula akan membawa dua lagi peti dari Dewan TBK Ladoi dan SK Balar.

Mkini