Thursday, November 26, 2009

Peguam : 'Anwar tidak terbabit dengan dakwaan Bala'

Nov 26, 09 2:55pm

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terbabit langsung dengan perkembangan terbaru berhubung dakwaan P Balasubramaniam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata peguam penyiasat persendirian itu.

Tahun lalu, Balasumbramaniam telah membuat akuan bersumpah mendakwa Najib mempunyai hubungan rapat dengan Altantuya Shaariibuu.

Tetapi 24 jam kemudiannya, penyiasat persendirian itu telah menarik balik akuan bersumpah tersebut dan kemudiannya lari bersembunyi di India selama lebih setahun.

Ogos lalu, dia muncul semula di Malaysia untuk mempertahankan akuan bersumpah pertamanya, dengan berkata doa diugut oleh pihak-pihak tertentu supaya mengubah ceritanya.

Peguam Balasumbramaniam Americk Singh Sidhu, dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, menafikan Anwar ada kaitan di sebalik perkembangan terbaru itu.

"Ramai yang fikir Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik semua ini. Ia tidak benar sama sekali. Anwar tidak tahu menahu mengenai semua episod tersebut kecuali apa yang mungkin beliau baca dalam blog dan di Malaysiakini," kata Americk dalam wawancara tersebut.

"Anwar tidak ada sebarang kaitan dengan pengeluaran akuan bersumpah pertama kecuali menyampaikan ucapan sebelum sidang akhbar di ibupejabat PKR Julai lalu. Saya tidak pernah berkomunikasi langsung dengan Anwar ataupun beliau atau mana-mana anggota PKR cuba menghubungi saya," tambahnya.

Wawancara Americk Bhg 1 & Bhg 2

malaysiakini

Pemimpin parti politik wang tiada upaya selesai krisis MCA - Nik Aziz

M Faqih

KOTA BHARU, 26 Nov : Terlebih sudu dari kuah, mungkin ia dapat menggambarkan peringatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin parah sekarang.

Sedangkan Umno sendiri banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan, malah lebih teruk berbanding MCA.

Ini dibuktikan dengan rekod pertembungan sesama pemimpin Umno sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada 1987. Ketika itu berlaku perebutan jawatan presiden Umno antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemudian berlaku lagi pertembungan di antara Dr Mahathir dengan ramai pemimpin Umno lain termasuk Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertelingkahan dalaman Umno sehingga membawa kepada pengharaman parti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah parti politik di Malaysia.

"Saya hairan tiba-tiba seorang pemimpin dari parti yang begitu tenat dengan masalah politik wang mampu menyelesaikan krisis MCA seperti yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri.

"Bagi saya politik orang Cina lebih ke hadapan dan lebih matang. Macam mana Umno hendak ajar orang Cina berpolitik.

"Apa perasaan orang Cina apabila Umno hendak ajar mereka berpolitik sedangkan rumah guru pun berselerakan," katanya di sini.


Baru-baru ini Muhyiddin mahu diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin tenat sekarang.

Beliau membuat kenyataan itu selepas diberi amanah bagi menyelesaikan kemelut MCA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sibuk ke luar negara.

Ekoran kenyataan Muhyiddin tersebut ramai pemimpin Cina marah kerana memperlihatkan sikap Timbalan Presiden Umno itu seorang yang angkuh dan memperkecil keupayaan pemimpin MCA menyelesaikan masalah mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin politik Melayu Umno hanya masyhur mempertahankan politik wang.

"Rekod pemimpin Umno cemerlang dalam sektor mengutip komisen. Sesetengahnya ada kelulusan sehingga peringkat PhD apabila mendapat kontrak memberi ali baba kepada pihak lain pula," tambahnya.

Beliau juga berkata, sekiranya benar orang Cina mendengar nasihat pemimpin Umno, sudah tentu mereka telah memberi undi besar kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini Muhyiddin gagal menyelesaikan krisis Umno Terengganu yang kini terbelah kepada dua kumpulan iaitu Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh.

Harakahdaily

'Jangan larang Nik Aziz letak jawatan'

Jimadie Shah Othman
Nov 26, 09 11:26am


Anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap tiada pihak yang yang melarang ayahnya meletak jawatan jika beliau berhasrat berbuat demikian "kerana ayahanda telah tua dan keletihan".

"Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya semalam.

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!', tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.


Tulisan Nik Abdul itu menyemarakkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dalam barisan kepimpinan di Kelantan.

Nik Aziz yang juga mursyidul Am PAS, memegang jawatan menteri besar Kelantan sejak 19 tahun yang lalu.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Nik Aziz menamakan bakal penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

Bagaimanapun, exco Kanan negeri, Datuk Husam Musa, antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Nik Aziz pula dilaporkan tidak berhasrat dan tidak mahu namanya dikaitkan dengan perkara itu.

Satu lagi nama yang disebut-sebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Beliau yang baru pulang daripada perkhemahan Pemuda PAS di Sepang baru-baru ini juga akur terhadap desas-desus peletakan jawatan yang mengocak politik Kelantan mahu dinafikannya sebelum ini.

Katanya, melalui kiriman SMS yang diterimanya, terdapat juga ura-ura peletakan jawatan seorang pemimpin kesayangan Nik Aziz.

Dalam artikel panjang berjudul 'Abdul Ariffahmi Abdul Rahman – Moga Awan Berarak Lalu', Nik Abduh mempertahankan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu yang didakwanya tidak harus dibiarkan bersendirian mempertahankan diri.

Beliau dlihat menyerang balas bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Aziz Syed Abdul Aziz yang dipecat Abdul Ariffahmi pada 11 November lalu dan kemudiannya mendedahkan di blog dakwaan salah urus menantu Ni kAziz itu.

Nik Abduh menyifatkan tulisan Syed Azidi - penulis blog Kickdafella itu - sebagai "hukuman melalui tulisan" dan "sama seperti hakim yang menghukum dalam keadaan mabuk kedarah arak terlarang."

Nik Abduh - yang sebelum ini yang mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sesetengah pembantu Nik Aziz sebagai "ulama mi celup" - kini dilihat konsisten mengulanginya.

"Saya tahu mereka tidak menyetujui pelantikan (Abdul) Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda.

"Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan.

Nik Abduh juga mengumumkan hasranya melepaskan semua jawatan politik dan ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu bermula tahun depan bagi "membuka buku baru".

Malaysiakini

Tok Guru dan Husam diserang untuk alih isu

Sofi Wahab

Satu demi satu berita fitnah, tohmah dan bohong dihidangkan oleh media BN semata-mata untuk memburuk-buruk Pakatan Rakyat(PR) dan pimpinannyadi mata rakyat. Ianya tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PR adalah parti bermasalah, pimpinannya bermasalah dan perpaduan dalam PR juga bermasalah.

Sebab itulah berita-berita fitnah ini bertali arus tanpa dibuktikan fakta dan kesahihannya. Kini PR dan pimpinannya sibuk mempertahankan diri dari serangan fitnah yang tidak mengenal dosa dan pahala. Asal ada sedikit ruang dan maklumat yang mereka dapat maka ianya digunakan semahunya untuk 'menelanjangkan 'PR dan pimpinannya.

Seperti biasa pimpinan-pimpinan utama PR akan menjadi sasaran. Tentunya 'figure' seperti Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, YAB Lim Guan Eng, YAB Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, YAB Dato Seri Azizan, YB Azmin Ali, YB Dato Haji Husam Musa dan lain-lain menjadi bahan tohmahan dan fitnah.


Pelbagai isu dan masalah diutarakan antaranya rasuah, kronisme, penyelewengan, tajaan, salah laku, penipuan, persengketaan, pertentangan pendapat dan lain-lain menjadi siulan media jahat ini

Seminggu dua Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Dato Husam Musa menjadi sasaran media. Bermula dengan kisah Pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di'serang' 2 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merebak kepada isu kronisme yang didakwa dilakukan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz yang melantik menantu Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK. Arif dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, namun sehingga kini tiada sebarang bukti untuk mendakwanya.

Tok Guru Nik Aziz atas sifat tawaddhuk dan zuhudnya meminta menantunya itu melepaskan jawatannya di PMBK. Suatu tindakan yang disifatkan amat berat untuk dilakukan oleh seseorang yang tidak punya prinsip. Berapa ramai pemimpin Umno/BN boleh melakukan perkara ini sebagaimana yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz. Boleh dibilang dengan jari, yang ramainya ialah mereka yang berlumba-lumba menggunakan kuasanya untuk meletakkan saudara-mara terdekat menduduki jawatan itu dan ini, mendapat projek besar dan kecil.

Ramai pemerhati dan ahli politik menyifatkan t9ndakan Tok Guru Nik Aziz ini mencerminkan keterbukaan dan integriti beliau. Sebagai Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan beliau menerima saranan dan pandangan parti dan pimpinan partinya.

Tok Guru sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa untuk tidak menasihati Ariffahmi yang juga menantunya supaya tidak meletakkan jawatan. Namun oleh kerana sifat terbuka dan ikhlas beliau Tok Guru bersedia melakukan perkara tersebut.

Kalau pimpinan Umno/BN sudah tentu tidak akan tunduk kepada nasihat dan saranan orang bawahannya. Tetapi inilah sikap pemimpin PAS yang bersedia melakukan apa juga kebaikan hatta tindakan itu sukar dan memberikan yang tidak kurang besarnya.

Kini bersediakah pemimpin Umno/BN melakukan apa yang dilakukan oleh Tok Guru. Berani dan sanggupkah pemimpin Umno menasihatkan anak, adik, saudara dan kawan mereka meletakkan jawatan di mana-mana agensi kerajaan dan pejabat kerajaan yang ada kaitan dengan mereka. Kalau berani sila buat!

Tindakannya menutup mulut musuh-musuh PAS yang sentiasa mengintai peluang untuk menyerang dalam isu ini.

Tok Guru juga diserang dengan isu tajaan naik haji bersama keluarga beliau berjumlah RM65,000. Ruih rendah 1Malaysia membesar-besarkan isu ini, sedangkan pemimpin-pemimpin Umno berbelanja ratusan ribu malahan jutaan ringgit menaja perwakilan Umno pelbagai peringkat makan angin tidak pula dibisingkan. Tok Guru dikatakan mungkin akan terdorong melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika orang yang menaja meminta sesuatu.

Ada juga yang mendakwa kalau tidak ada apa-apa kepentingan takkanlah penaja sanggup menaja puluhan ribu ringgit untuk Tok Guru dan keluarga naik haji. Isu ini padam begitu sahaja apabila Tok Guru membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardhu haji atas 'package' tajaan tersebut.

Minggu lalu orang kuat Tok Guru iaitu Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Haji Husam Musa pula diserang dan difitnah kononnya beliau akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan PAS. Ianya suatu laporan yang paling tidak bertanggungjawab. Husam dan Tok Guru Nik Aziz menafikan berita itu.

Husam menafikan laporan tersebut dalam kenyataan yang disiarkan melalui blog peribadinya cetusan-hati.blogspot.com. Husam berkata beliau mengambil cuti sakit untuk melakukan pembedahan kecil bukannya mengambil cuti sebelum meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti. Besar sungguh fitnah dan tohmah yang dilakukan oleh media pengampu ini.

Dalam blognya Husam menulis bahawa "Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu?

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?

Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.

Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.

Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti? cetus Husam.

Dalam isu ini sepatutnya Utusan bukan sahaja menyiarkan penafian tersebut malah memohon maaf kepada Husam, Tok Guru Nik Aziz, pimpinan PAS, ahli PAS serta rakyat Kelantan kerana pemfitnah Husam dalam isu perletakkan jawatannya dalam kerajaan negeri dan parti.

Namun seperti biasa memohon maaf tiada dalam kamus hidup Utusan yang tugasnya hanya memfitnah, mentohmah, berbohong dan adu domba. Hanya Allah yang akan membalas semua kejahatan Utusan selagi fitnah tersebut terlekat pada kepala pembaca. Sebelum terlambat pohonlah kemaafan segera.

Selasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyerang Tok Guru dengan menyatakan Mursyidul Am PAS itu sebagai tidak hala dalam membuat sesuatu keputusan dalam pentadbirannya. Muhyiddin berkata peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.

Muhyiddin Yassin juga berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya. Tuduhan Muhyiddin ternyata tidak tepat kerana Tok Guru melantik Ir Ariffahmi atas dasar pengalaman dan kelayakannya bukannya atas dasar kepentingan peribadi. Malah Tok Guru bersedia pula mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan selepas beberapa isu kecil berkaitan dengan tuduhan tidak berasas pelbagai pihak.

Ramai pemerhati melihat serangan media kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Husam ini adalah senjata serampang dua mata BN. Pertama BN cuba memburuk-burukkan PAS dan kerajaan Kelantan di mata rakyat dan kedua mereka cuba mengalih tumpuan rakyat khasnya rakyat Kelantan dari terlalu memberi perhatian kepada isu royalti minyak Kelantan yang sedang hangat diperkatakan.

Kita semua sedar bahawa BN berada dalam keadaan tersepit dalam isu royalti minyak dan masalah dalaman MCA. Maka cara untuk mengalihkan tumpuan rakyat ialah membesar-besarkan isu kecil yang dikatakan sensasi.

Jadi sebagai rakyat yang bermaruah kita jangan mudah terpedaya dengan mainan media jahat dan menyesatkan ini.

Harakahdaily

Husam tidak mahu jadi MB K'tan

dari Mkini Nov 25, 09 7:27pm

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi menteri besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi menteri besar kerana kekananan serta hirarki dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai timbalan menteri besar dan timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, timbalan menteri besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down syndrome di Kampung Becah Keranji dekat Kota Bharu hari ini.


Beliau mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai menteri besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hirarki dalam parti di peringkat negeri seperti pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya satu hingga tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontroversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Kelantan berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Katanya, beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas kedua-dua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA