Monday, February 22, 2010

Nik Aziz : Keakraban PAS-bukan Islam tidak direka kerana politik

“Sejak 20 tahun PAS memerintah, seluruh rakyat Kelantan merasai keharmonian hubungan kaum yang mana tidak pernah berlaku sebarang pergolakan, pergeseran atau pertelingkahan sehingga menimbulkan perasaan dendam antara kaum. Bahkan sebelum pada itu lagi, ketika peristiwa 13 Mei, terjadi pertumpahan darah, tapi Kelantan sikit pun tidak berlaku sedemikian. Dan contoh terdekat, ketika negeri-negeri lain baru-baru ini kalut ribut bertelagah sampai berlakunya perbuatan ganas seperti membakar gereja tapi di Kelantan, aman,”

Oleh Mohd Zuharman

BACHOK, Feb 22 — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) memberitahu hubungan kerajaan PAS Kelantan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama negeri ini bukan sesuatu yang dibuat-buat berdasarkan kepentingan politik sebagaimana diandaikan sesetengah pihak.

Keluhuran itu kata Mursyidul Am PAS itu, sebaliknya adalah anugerah Allah kepada orang yang sentiasa beristiqamah mendokong kesucian agamanya dalam apa jua aspek kehidupan berasaskan al-Quran dan hadis.

“Sejak 20 tahun PAS memerintah, seluruh rakyat Kelantan merasai keharmonian hubungan kaum yang mana tidak pernah berlaku sebarang pergolakan, pergeseran atau pertelingkahan sehingga menimbulkan perasaan dendam antara kaum.

“Bahkan sebelum pada itu lagi, ketika peristiwa 13 Mei, terjadi pertumpahan darah, tapi Kelantan sikit pun tidak berlaku sedemikian.

“Dan contoh terdekat, ketika negeri-negeri lain baru-baru ini kalut ribut bertelagah sampai berlakunya perbuatan ganas seperti membakar gereja tapi di Kelantan, aman,” katanya sewaktu meraikan sambutan Tahun Baru Cina PAS kawasan Bachok.

Majlis tersebut diadakan di pekarangan rumah bekas penghulu Tanpa Mukim Dun Jelawat mendiang Koh Soh Cheng di Jelawat dekat sini, petang ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Nik Aziz berkata tuduhan pihak tertentu kononnya tindakan PAS mengambil langkah berbaik-baik dengan kaum lain semata-mata bagi menjaga kepentingan politik di samping untuk menarik sokongan bukan Melayu adalah tuduhan orang yang dengki dengan kejayaan PAS yang mampu dijadikan model dalam konsep hubungan kaum.

Sementara itu Nasharudin memberitahu bahawa dalam konteks Islam masyarakat bukan Islam adalah saudara seinsan dengan masyarakat Islam.

“Ini adalah hakikat ajaran nabi Muhammad SAW.

“Berdasarkan satu riwayat, sekumpulan orang sedang mengusung jenazah melintasi hadapan nabi, tiba-tiba nabi bangun menghormatinya. Lalu sahabat tanya baginda kenapa bangun sedangkan jenazah yang diusung itu adalah mayat orang Yahudi.

“Maka jawab Rasulullah semua penganut agama di atas muka bumi ini dituntut agar saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

“Demikian betapa luhurnya sifat Rasulullah dalam menjaga kepentingan atau kehormatan lain-lain agama,” tambah beliau.

PAS sokong Mustapa adalah penderhaka

“Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri. Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini,”


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb : PAS menyokong dakwaan rakyat Kelantan bahawa Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah pendehaka kerana enggan menyokong perjuangan rakyat menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM1 bilion.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Mustapa sepatutnya malu kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang begitu nekad menyokong perjuangan rakyat Kelantan walaupun tahu akibat perbuatan itu boleh menyebabkannya dipecat dari Umno.

“Tengku Razaleigh tahu untuk membezakan yang mana satu hak rakyat dan yang mana satu hak Kerajaan Persekutuan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya mengecam surat layang yang diedarkan bagi memburuk-burukkan imej ahli parlimen Gua Musang itu.

Menurutnya, adalah tidak wajar Razaleigh menjadi mangsa sedangkan seluruh rakyat berdiri di atas perjuangan yang sama dan menolak pandangan Mustapa yang jelas menyeleweng dari fakta sebenar.

Tambahnya, PAS juga kesal kerana Mustapa mengungkit dana RM9.3 juta yang digunakan bagi projek pembangunan Medan Tuan Padang, Pasar Siti Khadijah dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan, walhal itu sememangnya hak dan duit rakyat Kelantan, bukan Umno.

Menurutnya lagi, Mustapa lupa bahawa segala hasil cukai kastam, saman trafik dan pelbagai hasil lain yang dikutip di negeri Kelantan telah banyak disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Dan tidak sepatutnya menjadi isu jika Kelantan menerima semula peruntukan itu daripada Persekutuan dan kerana duit itu bukan datang dari poket Mustapa untuk diungkit-ungkit.

“Amat memalukan kenapa pemberian kecil itu diungkit semula sedangkan rakyat Kelantan kini menuntut dana yang menjadi hak mereka iaitu duit royalti minyak bernilai RM1 bilion,” ujarnya.

Baginya, hanya kerana Kelantan diperintah oleh PAS, Mustapa dan Umno mencipta pelbagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka sedangkan pada hakikatnya rakyat sedar bahawa tindakan itu dibuat atas dasar politik, sama seperti apa yang dilalui oleh Terengganu ketika diperintah PAS.

Katanya, jika di Perak, Umno merampas kuasa rakyat, di Kelantan pula Umno merampas wang rakyat.

“Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri.

“Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini,” ujarnya lagi.



Anwar : BN akan ditolak rakyat dalam p'raya nanti

Athi Shankar
Feb 21, 10 6:38pm


Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan BN bahawa rakyat akan menolak BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang - tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak.

Katanya, rakyat sudah begitu bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada hadirin yang membanjiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, Anwar berkata, BN, Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor "tidak seharusnya hidup dalam ilusi palsu'.

Katanya, mereka tidak seharusnya mempunyai persepsi salah yang para pengundi akan kembali menyokong BN jika beliau dipenjarakan.


Anwar merujuk kepada perbicaraan tuduhan kes liwat terhadapnya yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat akan bangun menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau di dalam penjara ataupun tidak.

Anwar berkata, di mana-mana sahaja, rakyat dilihat sudah bersedia untuk menolak Umno dan BN.

Beliau berkata, rakyat sudah lama hilang kepercayaan kepada Umno dan BN kerana "rasuah telah menjangkiti pentadbiran Putrajaya hingga ke akar umbinya".

Kerana rasuah, katanya, Malaysia telah jauh ketinggalan dalam bidang ekonominya, termasuk di rantau Asean.

Malaysia, katanya, kini ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia, malah Vietnam di segi pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

"Kita hanya baik sedikit daripad Burma dan Zimbabwe," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Majlis rumah terbuka itu dihoskan oleh ADUN Machang Bubok yang juga timbalan speaker DUN Pulau Pinang, Tan Hock Leong.

Ia turut dihadiri ADUN tunggal PAS di negeri itu, Mohd Salleh Man (Permatang Pasir).

[Baca berita penuh]