Thursday, May 14, 2009

PAS Lancar Gerbang Maklumat Sempena Muktamar PAS Ke-55

Muktamar PAS kali ke-55 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Jun ini bakal dimeriahkan lagi dengan portal maklumat laman web Muktamar di http://muktamar55.pas.orgg.my/.

Laman web khas sempena muktamar ini telah dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pagi tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Semasa melancarkan portal itu, Kamarudin menyatakan gerbang muktamar yang dilancarkan itu berobjektifkan saluran maklumat kepada seluruh rakyat termasuk untuk masyarakat antarabangsa yang kini sudah mengenali dan kagum dengan PAS sebagai parti politik yang berjaya di negara ini.

Bahan-bahan yang akan mengisi gerbang maklumat itu antaranya siaran langsung terus menerus sidang muktamar bermula dengan muktamar dewan hinggalah muktamar penuh, katanya.

"Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlansung sejak beberapa minggu ini," katanya.

Laman web ini ujar Kamarudin diselia oleh Jabatan IT PAS Pusat dan telah pun beroperasi sejak beberapa minggu lalu.

"Saya mengharapkan dengan adanya laman ini, semua maklumat mengenai muktamar dapat kita sampaikan kepada seluruh rakyat.

"Kita bukan macam Umno yang ada televisyen dan media tetapi menyekat maklumat termasuk maklumat perbahasan sidang mereka kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua perwakilan akan berbahas dengan penuh etika dan beradab seperti muktamar-muktamar yang lalu di samping mempersembahkan isi kandungan ucapan dan usul secara matang dan penuh tertib seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kakitangan Unit IT yang terlibat secara langsung dan para penaja yang menjayakan operasi pengendalian laman web ini.

artikel asal : HarakahDaily


Gabungan Ulama dan Profesional Bentuk Kestabilan Ummah - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Iraqi

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Iraqi tidak menolak gabungan ulama dan profesional mampu membentuk kestabilan ummah.

Beliau berkata, sebenarnya tidak ada jurang di antara ulama dan profesional.

"Mereka harus duduk bersama demi kekuatan sistem pemerintahan Islam. Bagaimanapun sejarah membuktikan gerakan Islam menjadi kaku sekiranya ulama dinafikan peranannya.

"Ulama menjadi tonggak kepada perjuangan Islam sejak dahulu dan ia tidak boleh dipertikai," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan kali ke-38 di Markaz Dewan Ulama di Labok, semalam.

Mohamed berkata, peranan ulama bermula sejak zaman Rasulullah saw kemudian diwarisi para sahabat sehingga diteruskan ulama sampai sekarang.

"Peranan ulama dalam institusi kepimpinan negara sangat besar, lebih-lebih lagi ketika menghadapi dunia global penuh cabaran dan rintangan.

"Meskipun begitu, syiar Islam harus diutamakan. Jadi ulama tidak terkecuali daripada tanggungjawab menghadapi sebarang situasi? katanya.

Pada muktamar tersebut semua jawatan utama Dewan Ulamak PAS Kelantan dikekalkan tanpa ada sebarang pertandingan.

Mohamed kekal menerajui dewan tersebut, timbalannya, Ustaz Hassan Mohamood dan naib ketua, Dato' Hassan Mohamad.

Manakala dua ulama muda dilantik sebagai anggota jawatankuasa baru iaitu Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Dewan Pemuda PAS Ketereh, Nik Mahadi Nik Mahmud.

Hassan ketika berucap sebelum itu berkata, ulama umpama kilang memproses manusia untuk menjadi bertakwa kepada Allah Taala.

Menurutnya sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin dengan syarat perlu ada ilmu agama dan arif dalam konteks perundangan Islam.

Beliau juga berharap ulama perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan hal ehwal semasa di samping mendalami ilmu keagamaan.

artikel asal : HarakahDaily

Video Forum : From 513 to 1 Malaysia di Dewan Sivik MBPJ Semalam

Sempena Memperingati 40 Tahun Peristiwa 13 Mei forum tersebut bertajuk 13 Mei hingga 1 Malaysia : Masa Nepan Pembinaan Negara Malaysia


PENYELESAIAN KRISIS PERAK, NAJIB SEDIA TEMUI PAKATAN RAKYAT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Bagaimanapun, katanya, tidak harus ada sebarang prasyarat untuk mengadakan perbincangan tersebut dan ia harus terbuka untuk menerokai semua kemungkinan.

"Saya telah berkata, prinsip nombor satu ialah hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di Putrajaya pagi ini.

"Nombor dua, kita mesti mengikut aturan dan peraturan dalam Dewan dan di luar Dewan," tambahnya.

Perdana menteri juga menolak tanggapan bahawa BN takut untuk berdepan dengan pilihanraya di Perak - sepertimana yang dikehendak Pakatan - kerana bimbang BN akan kalah.

"BN tidak takut. Jika kita perlu berdepan dengan rakyat, maka kita akan berdepan dengan rakyat. Kita telah banyak kali berdepan dengan rakyat," tambahnya.

Najib juga ditanya mengenai gesaan pemimpin BN bahawa penyelesaian kemelut politik di Perak adalah dengan mengadakan pilihanraya baru di negeri itu.

Katanya, itu adalah satu daripada pilihan tetapi menegaskan bahawa di bawah perlembagaan, ia tidak semestinya sedemikian.

"Ia bergantung kepada Sultan untuk menimbangnya," tambahnya.

Beliau juga menolak kebimbangan bahawa krisis di Perak akan membawa kepada keadaan sepertimana yang berlaku di Thailand.

Perak dilanda kemelut politik yang membabitkan perebutan kuasa antara BN dan Pakatan yang menang di negeri itu dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, kemelut itu tercetus apabila tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas serta menyokong BN.

Ekoran itu Sultan telah meminta Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya melepaskan jawatan menteri besar.

Baginda kemudiannya melantik Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN sebagai menteri besar yang baru.

Bagaimanapun, Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya mendapat perintah penangguhan penghakiman tersebut sehingga selesai rayuannya.

Semalam, Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan tersebut, yang akan didengar Isnin ini.

artikel asal : malaysiakini

DBP DISARAN ANJUR 'PERAYAAN BULAN BAHASA MELAYU'

Selepas berjaya mencetus pelbagai kelainan di Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan pula kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan perayaan Bulan Bahasa Melayu.

Katanya, perayaan itu boleh diadakan sempena kempen Bulan Bahasa yang diadakan setiap tahun.

"Ini penting bagi memberi kesedaran terhadap kepentingan penggunaan bahasa ibunda (Melayu) dalam setiap aspek kehidupan harian rakyat.

"Selain itu bahasa Melayu juga wajar diperkasakan di sekolah-sekolah bagi memastikan ia dapat diwarisi kepada generasi akan datang," katanya pada pertemuan dengan Ketua Pengarah DBP, Dato' Termuzi Abdul Aziz baru-baru ini.

Termuzi yang baru dilantik mengetuai DBP mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di JKR 10, Sabtu lalu.

Hadir sama Pengarah DBP Wilayah Timur, Yussup Ishak, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Abdul Ghapur Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Haron.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mencadangkan DBP mengkaji dan menterjemahkan nahu yang terlalu kaya dalam bahasa Arab ke bahasa Melayu bagi memperkasakan lagi penggunaan bahasa ibunda.

"Bahasa merupakan nikmat yang tidak terkira yang dianugerahkan Allah SWT ke atas seluruh manusia dan ia mesti digunakan sepenuhnya dalam berkomunikasi sesama manusia.

"Sebagai contoh, Thailand berjaya menghasilkan produk buah-buahan melalui teknologi terkini tanpa menggunakan bahasa asing," tambahnya.

Sementara itu, Termuzi berkata, sebagai Ketua Pengarah baru, beliau akan cuba memperkasakan semula bahasa Melayu melalui pelbagai program yang akan diperkenalkan.

Katanya kerajaan sentiasa memberi sokongan untuk mengadakan pelbagai program termasuk kempen Bulan Bahasa 2009 yang akan diadakan tidak lama lagi.


artikel asal : HarakahDaily

KUBU UMNO JOHOR SEMAKIN RETAK!

Umno kini hanya mampu berkubu di Johor bagi meneruskan kelangsungan politik di negara ini.

Apabila kubu itu berjaya diroboh bermakna Umno akan lenyap di semenanjung.

Namun kini ternyata Umno tidak lagi kebal di Johor apabila Pakatan Rakyat berjaya bertapak kukuh pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, perubahan pola politik di Johor semakin jelas sekarang apabila rakyat mulai sedar terhadap perkembangan politik negara.

"Dianggarkan tidak kurang rakyat 29 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen di Johor sudah menampakkan riak perubahan.

"Kawasan itu sedang menunggu untuk merubah lanskap politik khususnya dalam pilihan raya umum akan datang," katanya pada majlis mesra bersama sukarelawan Tabung Amanah Tok Kenali baru-baru ini.

Menurut beliau sebelum ini Johor terkenal sebagai 'Darul Umno', namun pada pilihan raya umum lalu beberapa kubu Umno sudah berjaya dirobohkan.

"Saya ada menerima maklumat daripada penyokong Pakatan Rakyat kaum India di Johor yang mengatakan PAS kini sudah berada di hadapan kerana berjaya memecahkan benteng pertahanan Umno di negeri itu," ujarnya.

Menurutnya rakyat di negara ini sudah melihat PAS dan Pakatan Rakyat semakin hampir menguasai politik negara.

Oleh itu beliau berharap anggota parti di semua peringkat perlu menggerakkan jentera bagi mendekati masyarakat khususnya golongan bukan Melayu.

Pada majlis itu beliau berharap sukarelawan Tok Kenali melaksanakan tanggung jawab melaksanakan tugas dengan sistematik bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Kata beliau, Presiden Barrak Obama memenangi pilihan raya Amerika tahun lepas hasil usaha sukarelawan yang turun ke bawah sewaktu kempen pilihan raya.

"Untuk itu saya mencadangkan sukarelawan kita turun ke bawah bersama masyarakat dengan mengedarkan risalah kepada rakyat," ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Timbalannya, Rosli Abdullah serta 200 sukarelawan.

artikel asal : HarakahDaily

KEKUATAN PAS GAGAL DIGUGAT UMNO/BN - DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yakin kekuatan PAS gagal digugat melalui serangan media arus perdana, yang menjadi jentera propaganda Umno-BN.

Antaranya, termasuklah akhbar arus perdana, majalah, televisyen kerajaan dan swasta, pasukan keselamatan, Cawangan Khas, unit gerak saraf Umno dan sebagainya.

"Semua agensi-agensi berkenaan telah dikenalpasti sebagai jentera propaganda Umno-BN dan ahli parti PAS tidak perlu melayan sebarang adu-domba musuh," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, media berkenaan menjalankan propaganda dengan pelbagai cara tetapi semuanya menjurus ke satu arah iaitu memecahkan PAS. Maka ditimbulkan isu kononya pertembungan profesional dengan ulama. Isu ini dipilih kerana Umno-BN tahu kekuatan PAS berpunca daripada jalinan pelbagai latar belakang para pemimpinnya.

"Untuk merealisasikan cita-citanya, Umno-BN mereka cipta istilah dan dimainkan melalui media setiap hari untuk meracuni pemikiran mana-mana ahli PAS," katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua dekad kepimpinan ulama, PAS sebenarnya telah berjaya melahirkan golongan 'profesional ulama dan ulama yang profesional' yang mempunyai kemahiran di dalam kedua-dua cabang ilmu.

Malah, katanya ada pemimpin PAS yang mempunyai kepakaran di dalam bidang agama tetapi pada masa sama merupakan seorang peguam sivil, begitu juga sebaliknya mahir di dalam bidang profesional dan mampu memperjelaskan isu-isu agama dengan berkesan.

"Ini adalah suatu kejayaan yang tidak terdapat di dalam Umno tetapi ada di dalam PAS," ujarnya.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berpendapat, PAS sedang mengalami perubahan besar apabila ia semakin dipercayai rakyat pelbagai kaum.

"Kita telah mengalami perubahan besar dan mendapat sokongan rakyat. Jika sokongan rakyat terus meningkat, tidak musthil PAS dan rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat mampu memerintah negara," katanya.

artikel asal : HarakahDaily

"Ini pertama kali Adun BN bertindak keluar Dewan. Hari ini kami mahu menunjukkan kepada mereka, siapa bos," George Chan

ADUN BN Sarawak Keluar Dewan

Buat pertama kali dalam sejarah Dewan Perundangan Negeri Sarawak, Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan sehingga menyebabkan persidangan terpaksa ditangguhkan semalam.

Ia bermula apabila Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) mengemukakan satu usul berhubung isu tanah, apabila majoriti ADUN BN mula meninggalkan Dewan.

Hanya tinggal tujuh ADUN termasuk Chong dan seorang lagi ADUN DAP serta lima ADUN BN di dalam Dewan.

Kejadin ini berlaku berselang lima minit selepas ketua pembangkang, Wong Ho Leng (DAPBukit Assek) digantung dari menghadiri Dewan selama 12 bulan berhubung kenyataan yang dibuatnya di dalam Dewan semasa persidangan tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kemudiannya memberitahu pemberita bahawa tindakan keluar Dewan itu bagi memberitahu pembangkang "siapa sebenarnya bos" di dalam Dewan. "Jika kami mahu bertindak nakal, setiap kali pembangkang mahu membangkitkan isu, kami akan keluar dan mereka tidak boleh bercakap. Tetapi kami tidak pernah melakukannya.

"Ini pertama kali Adun BN bertindak keluar Dewan. Hari ini kami mahu menunjukkan kepada mereka, siapa bos," katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata usul yang cuba dibentangkan Chong mempunyai kepentingan politik.

"Tahun lalu, kita telah banyak mengambil masa membincangkan isu berkaitan tanah. Jadi ia hanya membuang masa. Kini masanya untuk menyelesaikan masalah berkaitan," katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing berkata tindakan keluar Dewan oleh Adun BN adalah bagi mengajar pihak pembangkang tentang sistem demokrasi berparlimen, bahawa pihak majoriti yang lebih berkuasa.

"Setiap kali pembangkang keluar Dewan, ia tidak meninggalkan sebarang kesan. Tetapi sekarang apabila BN bertindak demikian, ia menyebabkan sehingga Dewan terpaksa ditangguhkan," kata Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak.

artikel asal : mStarOnline

ADUN DAP BUKIT ASSEK, WONG HO LENG DIGANTUNG HADIR SIDANG DUN SARAWAK SELAMA 12 BULAN

DUN Sarawak gantung ADUN DAP 12 bulan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menggantung Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Wong Ho Leng daripada menghadiri persidangan Dewan selama 12 bulan berkuatkuasa serta-merta mulai semalam.

Penggantungan Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak sehingga Mei tahun depan, dibuat berhubung kenyataannya semasa persidangan Dewan pada November tahun lalu.

Speaker Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar meluluskan usul penggantungan tersebut yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Datuk Seri Dr James Masing dan disokong oleh ADUN Tarat, Roland Sagah.

Seramai 60 Adun Barisan Nasional mengundi menyokong usul tersebut sementara tujuh ADUN pembangkang tidak menyokong usul tersebut.

Di luar Dewan kemudiannya, Ho Leng memberitahu pemberita bahawa penggantungan beliau sebagai tidak demokratik dan sangat malang.

"Kami bercadang akan mengambil tindakan undang-undang," katanya.

artikel asal : mStarOnline

Pandangan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat isu golongan ulama dan profesional dalam PAS

Usahkan Bezakan Ulama Dan Profesional

KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar. Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa lalu.


Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?

Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan. Dalam al Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita. Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains.


Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?

Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini. Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan. Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya nonMuslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu. Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.

Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.


Kebiasaannya ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama?

Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu, orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al Quran dia hafal dan akademik pun tahu. Generasi baru sekarang menerajui gerakan Islam.


Apa pula maksud profesional?

Pada tanggapan saya orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok. Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.


Bolehkah dikatakan pakar ekonomi dan bidang lain dikenali sebagai ulama memandangkan pengetahuan agama pun ada?

Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut. Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama.

Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.


Barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang dikategori sebagai ulama?

Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.


Apa nasihat Tuan Guru mengatasi percanggahan pandangan sekarang?

Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah. Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah. Kita cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama. Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno, namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.


Sekarang ramai pemimpin tampil merebut jawatan dalam PAS, tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?

Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.


Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?

Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus.


Tidakkah boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?

Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut ‘Hai Adam apabila kamu turun ke bumi kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah.’ Sekarang apabila perwakilan ramai kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan.


Sebelum ini media harian menganggap wujud dua kelompok dalam PAS iaitu pro Endorgan dan konvensional. Benarkah demikian?

Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka. Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat. Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu ditempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.


Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang cuba melagakan dengan Presiden. Sejauh mana kebenarannya?

Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.


Bagaimana pula dengan isu unity government?

Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.


artikel asal ehsan : http://www.blogtokguru.com/

ZAMBRY : 'I never likened myself to Mandela, Gandhi' BUT COMPARED HIMSELF AS MUGABE!!!

Zambry Abd Kadir today denied comparing himself with historical greats Nelson Mandela and Mahatma Gandhi in his recent blog.

Zambry compares himself to Mandela, Gandhi

read more : http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/5/12/nation/20090512124751&sec=nation



klip video ehsan : malaysiakini

ISU BAWA PISTOL DEWAN DUN PERAK : SIDANG MEDIA SETIAUSAHA DAP PERAK NGA KOR MING

DAP State Assemblyperson have urged the authorities to investigate their claim that weapons, including a firearm, were brought into the state assembly on May 7.



klip video ehsan : malaysiakini

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM CABAR NAJIB ADAKAN PILIHANRAYA DI PERAK

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemelut politik di Perak bukanlah isu perundangan yang boleh diselesaikan di mahkamah.

Sebaliknya, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, ia hanya boleh diselesaikan melalui pilihanraya yang bebas dan adil.


"Penyelesaiannya bukan pada istana atau mahkamah, tetapi mahkamah rakyat yang akan menentukannya," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan pilihanraya baru di Perak bagi menyelesaikan kemelut politik sekarang.

Apabila beliau bertanya mengapa Najib perlu takut untuk mengadakan pilihanraya baru di Perak, kira-kira 3,000 hadirin yang memenuhi dewan tersebut melaung: "Najib salah". Najib dikaitkan dengan tindakan BN merampas kuasa di Perak dari Pakatan Rakyat.


Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan demikian dalam satu forum di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Tajuk forum tersebut bertajuk 13 Mei hingga 1 Malaysia : Masa depan pembinaan negara Malaysia, anjuran pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

'Saling bertukar MB'

Ahli panel lain ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur serta Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Ketibaan mereka menerima tepukan gemuruh para hadirin.

Kemelut politik antara BN dan Pakatan Rakyat semakin parah apabila jawatan menteri besar salih berganti disandang oleh wakil kedua belah pihak.

Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu juga menyaksikan berlaku kekecohan dan pergaduhan antara kedua belah pihak, termasuk insiden Speaker V Sivakumar diseret keluar DUN.

Sebelum ini, BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak selepas mendapat sokongan majoriti apabila tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menyokong BN.

Ekoran itu, Nizar Jamaluddin membawa kes itu ke mahkamah dan kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai menteri besar Perak yang sah.

Berikutan keputusan tersebut, Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan exconya mengosong pejabat dan Nizar kembali bertugas.

Bagaimanapun, Zambry berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan penghakiman mahkamah tinggi itu dan kembali bertugas semula semalam.

Mengulas lanjut mengenai kemelut di Perak itu, Anwar menyifatkan Nizar sebagai "bendahara Tun Perak yang baru".

Mengenai 13 Mei pula, Anwar yang berucap selama 15 minit berkata, selepas peristiwa tersebut, pelbagai slogan perpaduan dilaungkan - termasuk Islam Hadhari dan 1Malaysia - tetapi menurutnya tidak ada sebarang perubahan dasar.

Lim: 7 Mei 'hari memalukan'

"Malaysia tidak perlukan slogan baru, tetapi dasar dan program baru kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, program dan dasar yang diperkenalkan mestilah mengambil kira kepentingan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum, terutamanya yang miskin dan terpinggir.

Sementara itu, Kit Siang menyifatkan tanggal 7 Mei sebagai 'hari yang memalukan; dan sebagai 13 Mei yang baru apabila SpeakerSivakumar diseret keluar daripada DUN Perak dan stesen TV dilarang menyiarkan gambar insiden tersebut.


"Tiada lagi 13 Mei, tetapi 7 Mei - hari yang memalukan," katanya, sambil menyifatkan pelik keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi - yang mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah - dalam masa yang singkat.

Beliau juga menyindir Zamry sebagai "3 in 1" -- Mandela-Gandhi- Zambry.

Lim juga menyelar rencana di Utusan Malaysia baru-baru ini yang berjudul "Malaysia di ambang republik".

Katanya, tulisan berunsur "hasutan, fitnah dan dusta" itu patut diheret ke mahkamah.

ADUN pelbagai latarbelakang

Sementara itu, Nizar pula berkata, 13 Mei dan politik perkauman wujud akibat warisan penjajah sebelum merdeka.

Katanya, keharmonian kaum sejak ratusan tahun di Malaya sebelum itu, antaranya melalui hubungan perdagangan, tidak mempunyai sebarang masalah.


Menteri besar Pakatan itu mendakwa, Umno menjadi penerus kepada politik perkauman penjajah.

Katanya, kerajaan Perak yang diwakili ADUN pelbagai latarbelakang kaum, jantina dan profesyen, telah berjaya menjamin keharmonian pelbagai pihak - tidak seperti yang berlaku di Terengganu.

"Di Terengganu, semua ADUN Melayu, orang Terengganu makan nasi dagang, tetapi bergaduh tidak selesai sampai sekarang," katanya merujuk kepada konflik majoriti ADUN BN menolak kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Mengulas mengenai kepelbagaian latarbelakang, beliau turut menyebut tentang terdapatnya "satu wanita dan dua lelaki lompat" sambil disambut sorakan "boo" penonton.

Katanya, konspirasi BN di Perak bermula sejurus selepas kemenangan Pakatan dalam pilihanraya umum lalu, dengan tawaran wang berjumlah jutaan ringgit kepada ADUN Pakatan supaya melompat parti.

artikel asal : malaysiakini

KRISIS PERAK : PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT BERBINCANG

Pemimpin Pakatan bincang krisis Perak hari ini

Para pemimpin Pakatan Rakyat akan mengadakan perjumpaan hari ini bagi membincangkan isu berhubung krisis politik Perak.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata, perbincangan itu bagi menentukan langkah seterusnya.

Pemimpin DAP itu memberita pemberita demikian selepas menghadiri satu froum umum di Petaling Jaya malam tadi, lapor Bernama.

Katanya, krisis Perak bukan sesuatu yang bersifat kenegerian semata-mata.

Sebaliknya, tambah beliau, adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.

Lim bagaimanapun enggan memberitahu di mana mesyuarat itu akan diadakan nanti.

Katanya, beliau juga akan mencadangkan supaya satu perjumpaan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Lim berkata, ini kerana ia membabitkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.


artikel asal : malaysiakini

“Bubar DUN Terengganu, tak boleh nak selesai, tak boleh nak jalan, tak boleh apa, bubarlah!,” Dato' Mustafa Ali

"Bubarkan DUN Terengganu Mendahului Negeri Perak” kata Dato’ Mustafa Ali

Sejak penubuhan kerajaan baru selepas pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, negeri Terengganu tidak putus-putus menghadapi masalah.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata ia disebabkan terdapat dua kumpulan dalam UMNO Terengganu iaitu kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh dan kumpulan yang menyokong Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Beliau berkata perkara terakhir yang berlaku, rentetan dari pertelingkahan diantara dua kumpulan tersebut adalah penangkapan Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

“Dato’ Ramzi ditahan oleh polis kerana disyakki terlibat dengan yang mengugut ‘bunuh’, walaupun sudah dibebaskan, tetapi beliau (Ramzi) telah dicari polis dan tidak menyerah diri sehingga ditangkap,” kata Dato’ Mustafa dalam satu sidang media di pejabat Perhubungan PAS Terengganu semalam.


Katanya kes penangkapan Ramzi adalah satu tamparan kepada Dato’ Seri Idris Jusoh dan kumpulannya kerana Ramzi merupakan bekas Setiausaha Politik Idris.

Beliau menganggap ugutan bunuh melalui SMS yang berlaku pada 13 April lepas adalah satu ugutan yang bukan sebenar, sengaja diada-adakan dan dirancang oleh pihak tertentu.

“Pada saya, ugutan bunuh ini tidak ‘real’ (bukan sebenar) dan ‘orchestrated’ (diada-adakan dan dirancang), tapi cukup untuk mengelirukan masyarakat tentang apa yang berlaku,”jelasnya.

Beliau berkata masalah diantara dua kumpulan UMNO Terengganu yang bertelingkah tidak akan dapat diubati walaupun menjemput ‘bomoh’ dari luar.

“Tok bomoh dalam (Terengganu) semua tak layak nak selesaikan masalah, panggil tok bomoh luar, (Dato’ Seri) Hishamuddin datang, saya tak fikir (dia boleh selesaikan),”katanya.

Apabila ditanya apakah saranan beliau dalam menghadapi kemelut UMNO Terengganu yang tidak akan selesai itu, beliau berkata cara yang terbaik adalah “bubar mendahului Perak”.

“Bubar Dewan (Undangan Negeri Terengganu), tak boleh nak selesai, tak boleh nak jalan, tak boleh apa, bubarlah!,”katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS berkata apabila di bubarkan Dewan Undangan Negeri, UMNO akan bersatu.

Katanya masalah perpecahan UMNO boleh di selesaikan dengan pilihanraya kerana menurutnya UMNO boleh disatukan dalam menghadapi pilihanraya untuk melawan Pakatan Rakyat.

"Dato' Ahmad Said juga telah berkata, kalau ada undi tidak percaya keatasnya, dan mendapat sokongan, beliau akan membubarkan DUN Terengganu," tambah Dato' Mustafa.




artikel asal : BuletinOnline

Nga Kor Ming dakwa senjata api telah dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei

SENJATA API DIBAWA KE DALAM DUN PERAK

DAP hari ini mendakwa senjata api telah dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ketika Speaker Pakatan Rakyat V. Sivakumar telah di heret keluar dari DUN.

Setiausaha DAP Perak yang juga ADUN Pantai Remis Nga Kor Ming berkata dari klip video yang diperolehi menunjukkan seseorang lelaki yang tidak dikenali mencapai sesuatu objek dibelakang pinggangnya, yang disyaki adalah sepucuk pistol semasa pergelutan untuk mengheret Sivakumar.

Nga menggesa Peguam Negara bertindak keatas kes ini supaya tindakan penyelewengan seumpama itu dapat dibendung pada masa depan, termasuk di Parlimen.

Mengenai tindakan menyembur larutan berlada yang dilakukan oleh Timbalan Speaker Hee Yit Foong semasa sidang tersebut, ADUN pakatan Rakyat akan mengemukakan bukti, termasuk daripada video klip kpada peguam negara supaya tindakan mendakwa Hee dapat dilakukan dibawah seksyen 323 Penal Code, dengan sengaja mencederakan seseorang.




artikel asal : BuletinOnline

Mahkamah dengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin 18 Mei


Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.
Tarikh itu ditetapkan selepas Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Ali membenarkan Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam afidavit sokongannya, Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam.

artikel asal : HarakahDaily

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tolak kerajaan perpaduan bersama Umno

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sama sekali tidak bersetuju cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau berkata, PAS sudah hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana penipuan yang dilakukan semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan pada 1974.

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi analoginya diibarat PAS menolak kereta lama Umno-BN, setelah enjin kereta itu hidup, kereta itu berjalan meninggalkan PAS di belakang yang sudah terpalit asap dan lumpur.

Mengenai Deklarasi Perpaduan Nasional yang baru dicetusnya, beliau berkata PAS ada penawarnya bagi menjalin hubungan dengan Umno dengan syarat dasar parti itu ditukar daripada kebangsaan kepada Islam.

"Sekiranya Umno menukar dasarnya dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri-negeri kepada Islam maka PAS akan menyokong.

"Tidak ada sebab kita hendak melawan dasar dan perjuangan Islam. Kami melawan sekarang kerana Umno membawa jalan sesat," katanya.

Beliau juga berkata, Umnolah punca kekalutan dalam politik di negara ini kerana mereka hanya mementingkan bangsa, sedangkan Islam milik sejagat.

Menyentuh suasana politik di Perak yang semakin kalut katanya, biarlah rakyat yang menjadi hakim bagi memilih seseorang Menteri Besar.

Namun katanya kini sudah terbalik pula apabila mahkamah yang menjadi hakim memilih ketua kerajaan.

"Saya hairan di Malaysia nampaknya ada pihak-pihak tertentu yang menjadi dalang kepada wujudnya suasana kalut ini," ujar beliau.

Ditanya mengenai konsep '1 Malaysian' yang diuar-uarkan Perdana Menteri sekarang katanya, BN hanya mencedok apa yang telah dilaksanakan PAS.

Menurutnya PAS membawa dasar perjuangan Islam sehingga masyarakat Cina dan India sudah menerima konsep tersebut seperti yang berlaku di Kelantan sekarang.

"Di Kelantan, kita ada wakil masyarakat bukan Melayu dalam kerajaan bagi menghubungkan mereka dengan bukan kaum Islam," ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan Kenny Chua, 53 berkata, keluarganya mendapat perlindungan di kediaman Menteri Besar Kelantan, Dato' Asri Muda semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau, bapanya Chua Say Paw pernah memberitahu PAS satu hari nanti akan berjaya memerintah Kelantan sekiranya mereka mengambil berat masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku sekarang.

artikel asal : HarakahDaily