Friday, April 2, 2010

16 Sept : Anwar mengaku hantar surat kepada Agong

KUALA LUMPUR, 1 April — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku beliau ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Pengakuan Anwar itu dibuat ketika beliau mencelah ucapan penggulungan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat di sini.

“Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

“Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan,” katanya.

Pendedahan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika dan beberapa anggota Parlimen menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada Seri Paduka Baginda jika beliau berjaya “menarik” antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama dan kedua itu.

“Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu,” katanya.

Mohamed Nazri juga berkata dakwaan bahawa ramai anggota Ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya, anggota Parlimen mereka pula yang keluar parti untuk menjadi calon Bebas.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada wakil rakyat pembangkang yang menyertai BN juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas anggota Parlimen terbabit membuat pendedahan.

Beliau berkata BN tidak perlu mencuri wakil rakyat pembangkang kerana mereka mempunyai kerusi mencukupi di Dewan Rakyat walaupun bukan dua pertiga.

Mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamed Nazri berkata, bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 28 Feb lepas, seramai 25 ahli politik ditahan dan 15 daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata 13 daripada BN.

“Ini membuktikan SPRM badan profesional dan bukannya alat politik Umno dan BN. Sumbangan agensi itu perlu diberi pengiktirafan tinggi kerana siasatan dilakukan tanpa dipengaruhi arahan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Dewan kemudian meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Persidangan dewan bersambung Isnin ini. — Bernama

themalaysianinsider

Calon Hulu S'gor : Zaid antara dipanggil Anwar

Jimadie Shah Othman
Apr 1, 10 5:00pm


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

malaysiakini