Tuesday, October 20, 2009

Makkal Sakti tidak jejas Kelab Penyokong PAS

"Tidaklah sebesar mana untuk dianggap sebagai ancaman, kita lihat jangka masa panjang, selalunya parti yang ditubuhkan kerana tak setuju khususnya dari kaum India ini tak kekal lama. Tengok PPP berpecah, IPF hampir tak ada. Saya Yakin Makkal Sakti akan temui jalan yang sama,"

kenyataan Dr. Mujahid Yusuf Rawa dipetik dari Hrkh





KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS tidak melihat penubuhan parti serpihan kaum India yang baru, Makkal Sakti memberi ancaman besar terhadap Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dipelopori parti Islam itu sejak dua tahun dahulu.

Malah menjangkakan ianya tidak kekal lama dan bakal senasib parti serpihan kaum india yang lain seperti Parti Progresif Rakyat (PPP), dan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, PAS lebih melihat pnubuhan parti baru itu untuk jangka masa panjang, di mana parti yang ditubuhkan atas dasar protes dan kecewa tidak akan kekal lama.

"Tidaklah sebesar mana untuk dianggap sebagai ancaman, kita lihat jangka masa panjang, selalunya parti yang ditubuhkan kerana tak setuju khususnya dari kaum India ini tak kekal lama. Tengok PPP berpecah, IPF hampir tak ada. Saya Yakin Makkal Sakti akan temui jalan yang sama," katanya ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Mengulas penubuhan parti itu juga, Mujahid berkata BN sengaja mengatur strategi untuk memadam semangat masyarakat India yang nyata menolak parti berasaskan perkauman samada MIC, IPF ataupun PPP.

Justeru itu, BN terpaksa mencipta parti baru untuk mengembelengkan tenaga masyarakat India agar memberikan kepercayaan kepada parti baru kononnya hasil perjuangan rakyat akar umbi untuk menggantikan parti perkauman India lainnya.

Tetapi Mujahid juga tidak menolak kemungkinan ada di kalangan ahli biasa KPP akan menyertai parti itu memandangkan KPP hanya sebuah organisasi yang bernaung di bawah sebuah lajnah dalam PAS.

Namun beliau memberi jaminan KPP tidak akan terjejas memandangkan kepimpinan tertinggi KPP dan aktivis kelab itu masih bersama PAS.

"Saya tiada maklumat, mungkin sebahagian dari ahli kita (KPP) akan menyertai parti itu (Makkal Sakti), itu hak demokrasi ahli, tetapi saya memberi jaminan pimpinan dan aktivis KPP belum dengar lagi ada yang terlibat dengan Makkal Sakti," katanya lagi.

Beliau juga memberitahu penubuhan parti baru itu juga sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan terhadap ahli kelab tersebut. Bagaimanapun menurut beliau, Pimpinan KPP telahpun memtuskan supaya ahli mereka tidak boleh mempunyai dua keahlian dalam satu masa.

Menurutnya, ahli KPP pada waktu ini hanya diikat berdasarkan ideologi dan keyakinan mereka sendiri terhadap PAS.

Beliau turut mengakui masih belum ada sesuatu yang boleh mengikat ahli kelab ini untuk terus bersama PAS selain daripada menyegerakan penyerapan KPP sebagai sayap PAS berbanding hanya berada dibawah lajnah pada masa ini.

Difahamkan jawatankuasa teknikal yang ditugaskan berhubung perkara ini telah selesai menyiapkan draf mereka dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

"Kita kena segerakan KPP menjadi satu struktur berpelembagaan dalam PAS, diiktiraf dan ada keahlian. Ini akan memberi lebih keterikatan dan kawalan kepada ahli," katanya.

10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan parti baru itu dan besedia memberi RM30 juta bagi mengembangkan parti itu.

Bagaimanapun Najib menafikan penubuhan Makkal Sakti itu bagi menggantikan MIC.