Monday, December 14, 2009

Skandal PKFZ : Selesaikan segera sebelum Mahathir tiada

"Skandal Perwaja umpamanya berlaku di zaman Mahathir dan cuba diselesaikan di zaman Abdullah (Perdana Menteri) dengan mendakwa Eric Chia, cumanya skandal itu diam begitu saja apabila yang didakwa (Eric) mati saja.

"Samalah seperti skandal PKFZ, Mahathir perlu tampil selesaikannya sebelum dia mati kerana ia melibatkan dia sewaktu jadi Perdana Menteri,"

"Usus yang busuk yang dia (Mahathir) kata kepada Umno sebenarnya membarah sejak jadi Perdana Menteri, jadi tidak perlulah (Mahathir) mengangkat diri sendiri kalaupun nak menutup beberapa skandal yang mula berlaku di zamannya,"



Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Dis : Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad didesak segera campur tangan untuk membantu menyelesaikan skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).

Desakan tersebut dibuat selepas tiga Pegawai Kanan Lembaga Pelabuhan Klang (PLB) didakwa di Mahkamah dua hari lalu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendesak demikian supaya skandal PKFZ tidak terkubur begitu sahaja seperti skandal Perwaja disebabkan yang tertuduh, Tan Sri Eric Chia meninggal dunia.

"Skandal Perwaja umpamanya berlaku di zaman Mahathir dan cuba diselesaikan di zaman Abdullah (Perdana Menteri) dengan mendakwa Eric Chia, cumanya skandal itu diam begitu saja apabila yang didakwa (Eric) mati saja.

"Samalah seperti skandal PKFZ, Mahathir perlu tampil selesaikannya sebelum dia mati kerana ia melibatkan dia sewaktu jadi Perdana Menteri," kata Badrul.

Ujarnya lagi, Mahathir tidak perlu mengangkat diri sendiri dengan mendakwa Umno seperti usus yang busuk, di dalam blognya.

"Usus yang busuk yang dia (Mahathir) kata kepada Umno sebenarnya membarah sejak jadi Perdana Menteri, jadi tidak perlulah (Mahathir) mengangkat diri sendiri kalaupun nak menutup beberapa skandal yang mula berlaku di zamannya," ujarnya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi kemudian, mendesak suatu suruhanjaya diraja yang bebas segera ditubuhkan.

Ujarnya, penubuhan itu membolehkan Mahathir dan beberapa pemimpin Umno serta BN yang lain segera dalam masa.

"Kalau dibuat Suruhanjaya Diraja, Tun Dr. Mahathir boleh segeralah dipanggil," tegasnya.

"Bukan saja Tun boleh dipanggil jika Suruhanjaya segera dibentuk, malah Abdullah (bekas Perdana Menteri) pun boleh dipanggil kerana minit mesyuarat kabinet yang bocor itu berlaku dizamannya (Abdullah)."

Beliau meminta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu dipanggil oleh Suruhanjaya Diraja kerana beliau selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Abdullah turut mengetahui minit kabinet berkaitan skandal pembelian tanah nelayan di PKFZ yang telah dibocorkan.

Beliau turut mendoakan Mahathir panjang umur supaya skandal PKFZ boleh diselesaikan, tidak seperti skandal PERWAJA yang terbengkalai disebabkan kematian Eric Chia.

Menurut Laporan Audit Price Waterhouse Coopers (PWC) yang diumumkan pada era Mahathir, 2002, dipercayai minit kabinet berhubung menjadikan tanah Pulau Indah sebagai kawasan pelabuhan bebas bocor.

Kebocoran itu mendorong salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (1997-2003) bagi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Abdul Rahman Palil membeli tanah tersebut melalui Koperasi Pembangunan Koperasi Nelayan Selat Lumut (KPNSL), sebelum kebinet mengumumkan projek PKFZ.

Abdul Rahman kemudiaannya dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Pengerusi KPNSL.

Dilaporkan KPNSL menjual tanah tersebut dengan harga yang murah, RM3 perkaki persegi.

Tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga berlipat kali ganda, RM25 kaki persegi.

Menurut Laporan Audit PWC juga, skandal PKFZ di PPSB ini turut membabitkan beberapa pemimpin Umno dan BN.

Antaranya, Pengerusi KDSB Datuk Seri Azim Zabidi yang juga Bendahari Umno - Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) - Timbalan CEO Datuk Faizal Abdullah yang juga Ketua Pemuda Umno Kapar, dan sebagainya.

Dalam Hansard Parlimen Mei lalu, dilaporkan skandal yang bernilai RM1.6 bilion pada tahun 2002 itu melambung antara RM7.4532 bilion dan RM12.5 bilion.

Harakahdaily

Dasar Pakatan : CC PAS beri lampu hijau

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Dis 14 — PAS yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat semalam telah memberikan lampu hijau kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang akan dibentangkan pada konvensyen pertamanya Sabtu ini.

Langkah itu dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha PR untuk mengharungi liku-liku politik ikatan PAS-DAP-PKR itu.

"Ya, kami bersetuju untuk menerima. Ia pencapaian yang signifikan, kami tidak menerima bulat-bulat tetapi kepimpinan PAS telah meneliti dengan mendalam kandungan dasar bersama ini sebelum ia diluluskan," kata salah seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider.


Jawatankuasa teknikal PR dijangka melengkapkan kandungan dasar itu hari ini sebelum diterima oleh Majlis Presiden ikatan itu yang dijadual bermesyuarat esok.

Tanpa menghuraikan lanjut, Dzulkefly yang juga salah seorang ahli jawatankuasa teknikal itu menambah, beberapa perkara yang menarik boleh diharapkan daripada dasar bersama itu hujung minggu ini.

"Ini akan menjadi paksi permuafakatan bagi Pakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Dasar ini menyentuh keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Perlembagaan, demokrasi, ekonomi dan sebagainya... yang mencerminkan pendirian kami selepas 20 bulan melalui situasi jatuh bangun, yang menarik dan yang tidak menarik.

"Kini sudah sampai masa bagi kami memperlihatkan kesungguhan, lebih muafakat, wibawa untuk menghadapi masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, konvensyen akan bermula dengan pembentangan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

"Ia akan disusuli dengan ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat dan sesi perbahasan sebelum menerima deklarasi di akhir konvensyen," katanya.

Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara, kata beliau ketika ditemui.

"Dasar Pakatan Rakyat akan berteraskan pada soal persoalan demokrasi, negara hukum dan institusi negara, ekonomi, bahasa dan agama... kami mengambil pendekatan yang mudah dalam merangka dasar ini, yang menyentuh kepentingan rakyat," kata Saifuddin yang merupakan penyelaras konvensyen pertama ini.

Menurut beliau setiap anggota komponen PR akan menghantar 500 perwakilan menjadikan kira-kira 1,500 wakil akan mengambil bahagian dalam pertemuan ini.

Kata beliau usaha untuk mengadakan konvensyen ini telah dimulakan sejak dua bulan lalu selepas ia diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 21 Oktober lalu.

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Ia akan membincangkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyebut konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.

themalaysianinsider

Siapa sentuh Tok Guru Nik Aziz akan dapat tentangan - Anwar Ibrahim

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.


Ali Hashim

KULIM, 13 Dis : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan.

"Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.

"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.

"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

Harakahdaily