Saturday, June 6, 2009

Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat Raikan Pemimpin dan Ahli-Ahli Kelab Penyokong PAS

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, hadir Jamuan Meraikan Pemimpin dan Ahli-Ahli Kelab Penyokong PAS, sejurus selepas menunaikan solat Jumaat semalam. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa delegasi pimpinan parti dari luar negara seperti Sheikh Marwan Abu Ras (Ketua Lembaga Ulamak HAMAS) bersama isteri, Dr. Syeikh Mahmoud Siyyam (Mantan Khatib Masjid Al-Aqsa & Rektor Universiti Islam Gaza), Dr. Khalilur Rahman (Lajnah Antarabangsa Jamaat E Islami Sri Lanka) dan Mr. Fathurohman Mahfudz (Parti Bulan Bintang, Indonesia).

Selain itu, majlis ini turut dihadiri oleh Y.B. Ustaz Mujahid Hj Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) bersama isteri, Y.B. Tuan Hj. Khalid Abd Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), Y.B. Dr. Halimah Ali (ADUN Selat Kelang, Selangor), Mr. Hu Pang Chau (Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum Cina), Mr. Balasubramaniam (Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India) dan Mr. Vincent Lee (Timb. Pengerusi Kelab Penyokong PAS).

Tuan Guru Nik Aziz di dalam ucapannya mengimbas kembali kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Beliau menerangkan bahawa sebenarnya orang Cina terlebih dahulu kenal dengan agama Islam kerana agama Islam telah datang ke Negara China lebih awal sebelum datang ke Tanah Melayu.

Beliau juga turut menekankan bahawa agama Islam ini adalah untuk semua golongan dan kaum tanpa batasan sama ada kaum Melayu, Cina mahupun India.

Selepas, menikmati sedikit jamuan, Tuan Guru Nik Aziz Mat bergegas ke stadium untuk menyambung semula sesi Muktamar yang telah ditangguhkan.

JANGAN GHAIRAH UNTUK KE PUTRAJAYA HINGGA LUPA BELA ISLAM

PAS diingatkan jangan terlalu ghairah bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara tetapi mula lupa untuk menjadi pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama.

Demikian luahan perwakilan Johor, Ahmad Zulkornian apabila dalam ucapan perbahasannya atas ucapan terima kasih Presiden PAS itu beliau turut mencipta kelainan semasa berucap mengungkapkan ungkapan berirama ala-ala sajak.

Sajaknya telah memukau hadirin seketika yang berada dalam persidangan Muktamar PAS Tahunan ke-55 yang berlangsung di Stadium Malawati, hari ini.

Dengan penuh semangat beliau mendeklamasi bait-bait yang mempunyai maknanya tersirat dan tersurat :

Negara kita amalkan demokrasi
Musuh kita banyak konspirasi
Banyak autokrasi
banyak birokrasi
Banyak kuku besi
Banyak buta tuli
Banyak provokasi
banyak eksploitasi
Hingga tercetus reformasi

Ini sebagai satu manifestasi
Namun kita kurang integrasi
Hidup bagai nafsi-nafsi
Macam tak boleh kongsi
Mental kita telah direvolusio
Kita sering dimanipulasi
Bimbang berlaku korupsi
bila jiwa tak diisi
Inilah implikasi


Sementara itu, selain menyelitkan bait-bait tersebut beliau berkata," sepatutnya tahaluf bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat, membawa maslahah dan kita mengikat parti."

Namun katanya, apa yang membimbangkan PAS Johor di dalam keghairahan bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil pemerintahan negara, PAS dilihat seolah-olah mula longgar di atas beberapa teras perjuangan yang selama ini PAS sebagai pembela dan berada di barisan hadapan untuk pertahankan isu-isu agama.

Isu-isu tersebut katanya, seperti penutupan atau perampasan sekolah agama rakyat, menghina Islam, murtad dan sebagainya.

"Dalam isu murtad, dulunya bila berlaku perkara ini, ia akan menjadi keutamaan untuk dipertahankan.

"Tetapi sekarang seolah-olah kita mendiamkan diri, lesu dan tidak memberikan perhatian lagi, kalau ada pun sekadar melepaskan 'batuk di tangga'," katanya.

Beliau berkata dahulu, sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam ia akan menjadi keutamaan untuk diambil tindakan.

Ahli-ahli PAS tegasnya, sanggup turun ke padang dan bermandi darah demi menjaga maruah dan kesucian agama Islam.

Hari ini pula katanya, seolah-olah hanya mempunyai satu agenda perjuangan iaitu bagaimana hendak ke Putrajaya.

Matlamat agenda tersebut katanya, seolah-olah mengharuskan PAS menangguhkan agenda-agenda utama lain termasuk menangani isu akidah.

Contohnya, baru-baru ini kabinet mengeluarkan keputusan yang jelas bertentangan dengan syarak dan perlembagaan berhubung hak menentukan agama anak-anak di bawah umur.

"Keputusan ini jelas mencabar hak umat Islam namun berapa ramai ahli PAS yang membantah, di mana Pemuda PAS, di mana Muslimat PAS, adakah kita ingin melihat saja dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila berdepan dengan isu ini?" soalnya.

Beliau berkata, menegakkan negara Islam, melaksanakan sistem perundangan Islam, memerangi gejala murtad dan sebagainya mesti menjadi agenda utama dan diutamakan dalam perjuangan PAS.

"Walaupun ia adalah di luar kerangka Pakatan Rakyat, perkara ini mesti jelas kerana ia prinsip perjuangan," ujarnya.

HarakahDaily

Sajak Altantuya Shaariibu Yang Dikarang dan Dideklamasi Mohamad Sabu Dapat Tepukan Gemuruh

Sajak yang dikarang Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dideklamasikan beliau di Stadium Malawati sempena Wacana Seni, Muktamar PAS ke-55 malam tadi mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.

Di hadapan kira-kira 5000 penonton sempena malam wacana muzik Islam, Mohamad Sabu membacaan sajak yang membicarakan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu, seorang model warga Mongolia.

Sebaik bait-bait sajak sajak yang dikarang hanya dalam masa 20 minit itu dituturkan, laungan takbir dan tepukan gemuruh silih berganti.

Tidak kurang juga ada yang tertawa dengan sindiran sinis bait-bait sajak yang sangat unik itu.

Menyusul selepas Mohamad Sabu membacakan sajak, Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli turut membacakan sajak kemanusiaan yang turut menghiburkan penonton.

Dua tokoh ini turut membicarakan isu seni dan budaya dengan kupasan mengenai pengaruhnya dalam lapangan dakwah dan mengubah minda anak muda.

Sebelum itu, juara Akademi Nasyid, Azhan Atan mendendangkan lagu-lagu ketuhanan, selain bekas penyanyi kumpulan Arrow, Renggo dan Ito Blues Gang yang turut memeriahkan malam Wacana Seni.

Terkemudian selepas bacaan sajak dua tokoh besar dalam PAS itu, Akhil Hayy dan beberapa penyanyi nasyid lain mengambil tempat untuk menghiburkan penonton.

Di bawah ini adalah petikan sajak yang dideklamasikan Mohamad Sabu :


'Atantuya'


Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga


Aku wanita Ajnabi merantau kemana=mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Kukuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama


Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa


Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku


Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah

"Saya Tetap Bersama PAS Dan Terus Berjuang Pastikan PAS Bersama Pakatan Rakyat Berjaya Bentuk Kerajaan Pusat Dalam PRU ke 13" - Dato' Husam Musa

Bekas Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menegaskan beliau akan tetap meneruskan perjuangan bersama PAS.

Beliau yang tewas pertandingan jawatan Timbalan Presiden menegaskan kekalahan bukan bererti segala pandangan politiknya akan terhenti sebaliknya percaya rakan-rakan yang memenangi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan meneruskan pandangan beliau.

Husam menjelaskan, sejak awal lagi beliau sudah menjangka akan mengalami kekalahan dan menawarkan diri untuk menyatakan pandangan politiknya.

Beliau menolak tanggapan mengatakan pandangan politiknya ditolak perwakilan kerana calon-calon Naib Presiden dan AJK PAS Pusat mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

"Saya menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan sudah menjangkakan sejak awal akan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan saya, Nasharudin Mat Isa yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandang.

"Saya akan tetap bersama PAS dan akan terus berjuang untuk memastikan PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13 atau pada bila-bila masa," tegas beliau dalam satu sidang media sebentar tadi.

Husam juga menjelaskan, kekalahan beliau tidak akan memberikan kesan kepada pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana PAS tidak memerintah berdasarkan individu sebaliknya kerana kekuatan parti.

Beliau untuk sekalian kalinya menegaskan penolakan sebarang perundingan untuk bersama Umno sebaliknya akan memastikan PAS menggantikan parti tersebut.

"Saya tidak faham kenapa ketika rakyat menolak Umno dan menerima PAS, kita mahu bersama mereka... sepatutnya mereka datang kepada kita bukan kita pergi kepada mereka. PAS perlu ganti Umno bukan bersama Umno," tegas beiau.

Biarpun tewas, Husam tetap menjadi buruan media untuk mendapatkan pandangan politiknya yang bernas dan tajam. Ini terbukti ketika turun ke pentas untuk ke tandas, beliau dikejar wartawan untuk mendapatkan respons dan komen mengenai keputusan pemilihan.

HarakahDaily

Contohi Kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat Yang Ikhlas

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nazir Zakaria menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PAS agar mencontohi kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ikhlas.

Berucap bagi menyokong Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar PAS ke-55 dekat sini, Ustaz Nazir mengingatkan seluruh ahli PAS agar tidak tenggelam di sebalik nikmat kemenangan hari ini.

Katanya, inilah masa untuk bekerja berdasarkan janji yang telah diberikan kepada rakyat dan melaksanakan amanah dengan penuh keadilan dengan merealisasikan konsep Kepimpinan Ulama di negeri yang diperintah.

Beliau juga menggesa ahli PAS khususnya dari kalangan Adun, Ahli Parlimen dan pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan agar mencontohi keikhlasan Mursyidul Am PAS.

"Kita mahu pemimpin yang ikhlas bukannya menjadi pemimpin 'E-Class'," ujarnya lagi.

Katanya, terdapat golongan yang berubah setelah menerima kemenangan dan mendapat jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa jawatan seharusnya menjadikan seseorang itu lebih bertakwa.

Sebagai gerakan Islam, PAS juga perlulah memainkan peranan penting dalam membela umat Islam seluruh dunia dengan pemerkasaan jaringan bersama gerakan Islam antarabangsa, katanya.

"Gerakan Islam antarabangsa perlu mengambilalih peranan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat gagal membela umat Islam dari keganasan antarabangsa.

"Penyertaan PAS di peringkat antarabangsa perlu diberi sokongan padu kerana PAS mampu dilihat sebagai model ke tengah masyarakat sebagaimana kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," ujarnya.

Beliau juga melahirkan harapan agar 'engagement' PAS diperluaskan dengan mengorak langkah menganjurkan lebih banyak program di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, usaha itu sesuai dengan sifat alamiah gerakan Islam dan pendekatan yang telah ditunjukkan Baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menempelak pendekatan "Satu Malaysia" oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak.

"Kalau dulu dia ambil setakat kapal selam dan jet, sekarang ini 'Satu Malaysia' dia hendak beri kepada 'RM'," sindirnya yang merujuk 'RM' sebagai Rosmah Mansor.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut menggesa agar pembahagian kerusi untuk pilihan raya di Wilayah Persekutuan diperhalusi semula pimpinan PAS.

HarakahDaily

PAS Mahu Jawatan Perdana Menteri Jika Tumbangkan UMNO/BN

Jawatan Perdana Menteri hendaklah diberi kepada PAS sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan Barisan Nasional menurut Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Beliau berkata PAS haruslah menjadi alternatif kepada Umno dan bukannya berada di bawah parti itu.

“Sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno pemimpin kami akan diturun taraf kepada hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Adalah menyedihkan jika PAS hanya memainkan peranan sampingan kepada Umno. Umno hanya akan menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan,” kata beliau yang kalah kepada Nasharuddin Isa dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan mengadakan perbincangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata parti tersebut menolak sebarang rancangan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional.

Bekas Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata Umno seharusnya bersedia untuk menarik diri daripada arena politik. Umno akan dikebumikan,” katanya.

TVA

"Saya terima kekalahan dengan rasa terbuka", Dato' Husam Musa

Exco kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa mahu PAS menggantikan BN dalam memimpin negara. Beliau akan terus menunggu detik tersebut tidak kira ia akan dicapai dalam tempoh masa yang panjang mahupun terdekat.

Beliau menyatakan dalam sidang media muktamar tahunan PAS ke-55 di Stadium Melawati sebentar tadi.

Beliau tidak berasa kecewa walaupun kalah dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden hari ini. "Saya terima kekalahan dengan rasa terbuka" ujar beliau. Menurut beliau apa yang penting ialah mesej politik sampai kepada ahli dan kepimpinan parti.

Menurut beliau, beberapa orang pimpinan yang menang turut mempunyai pandangan politik yang selari dengan beliau.

TAHNIAH : Nasharudin Kekal, Salahuddin,Mahfuz dan Tuan Ibrahim Menangi Naib Presiden

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Muktamar PAS ke-55, Dato' Mustafa Ali mengumumkan, Ustaz Nasharudin Mat Isa menang jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Sementara, bagi jawatan Naib Presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar menewaskan dua lagi pencabar, Mujahid Yusof Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.

Di bawah ialah keputusan penuh pemilihan PAS sesi 2009/2011:

Presiden

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden

PAS Nasharudin Mat Isa, (480)

Naib Presiden

1)Tuan Ibrahim Tuan Man, (871)
2)Salahuddin Ayub, (824)
3)Mahfuz Omar, (636)


Ahli Jawatankuasa Kerja

1) Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, (854)
2) Ustaz Idris Haji Ahmad, (799)
3) Dato' Kamarudin Jaffar (769)
4) Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, (653)
5) Dato' Dr Hasan Mohd Ali (642)
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli (638)
7) Ustaz Abdul Ghani Samsudin, (637)
8) Dato' Ustaz Abu Bakar Chik (622)
9) Mohamed Hanipa Maidin, (619)
10) Ir Amiruddin Hamzah, (606)
11) Dr Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali, (589)
12) Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman,(584)
13) Dr Dzulkefly Ahmad, (576)
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, (536)
15) Ustaz Hashim Jasin, (522)
16) Mazlan Aliman, (513)
17) Ustaz Taib Azamudden Md Taib, (508)
18) Dr Mujahid Yusof Rawa, (488)

HarakahDaily