Tuesday, March 30, 2010

Nik Aziz : Bantu saya jayakan misi Pakatan

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilantik semula sebagai Mursyidul Am PAS semalam berkata semua pihak dalam PAS perlu membantunya bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai pelantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi PAS untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini (semalam).

“Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub dalam Perlembagaan PAS,” kata Menteri Besar Kelantan ini.

Kenyataan ini dibuat selepas dikekalkan sebagai Mursyidul Am.

Keputusan mengekalkan beliau dibuat oleh Majlis Syura Ulamak PAS pagi semalam.

Turut dikekalkan kedudukan adalah Datuk Dr Haron Din sebagai timbalannya.

Dalam kenyataan itu beliau berkata, “menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.”

Nik Aziz menambah, kemampuannya untuk menjalankan amanah yang diberikan bergantung pada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan beliau.

“Bahkan pada pagi ini (semalam) pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian,” katanya.

Nik Aziz yang beberapa hari lalu memberitahu beliau akan “rasa bahagia” jika tidak dilantik semula menambah, “seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis

Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya.”

“Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini.

“Lebih-lebih lagi dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 nanti,” katanya.

Oleh itu Nik Aziz yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan terus utuh bersama-sama rakan-rakan PR dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.


themalaysianinsider

Nik Aziz dahului senarai 639 penerima anugerah gelaran kebesaran

KOTA BHARU 30 MAC : Datuk Nik Aziz Nik Mat mendahului senarai 639 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah, bintang dan pingat daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Menteri Besar Kelantan itu menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia membawa gelaran Datuk, bersama tiga individu lain.

Seramai 70 pula menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK), juga membawa gelaran Datuk, antaranya Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Pelbagai darjah kebesaran lain turut dikurniakan dalam majlis yang dijadual bermula esok di Istana Balai Besar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengurniaan itu tidak ada kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman.

Katanya, Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan berlangsung esok.

tvSelangor
Sidang media Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang di parlimen mengenai yang dilantik semula YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am dan Datuk Dr Harun Din sebagai timbalan.




tvpas09