Saturday, January 9, 2010

Hadi kutuk perbuatan bakar gereja

Jan9, 10 4:30pm

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyerang tiga buah gereja di Lembah Klang semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau kerosakan bangunan gereja Metro Tabernacle di Wang Maju hari ini.

Malah, kata Abdul Hadi, sewaktu perang pun umat Islam dilarang memusnahkan tempat ibadat, "apatah lagi ketika kita hidup dalam aman".

Beliau ditemani timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa. Mereka adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang melawat bangunan gereja tersebut.


Dalam kejadian tengah malam semalam, pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.

Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dijadual melawat bangunan gereja itu pada jam 5 petang ini.

[Berita penuh menyusul]

Banyakkan menerang bukan menyerang - Abdul Hadi

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 9 Jan : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan seluruh kepimpinan parti di seluruh peringkat agar terus memberi penerangan kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melanda negara.

Berucap sewaktu merasmikan program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi ini beliau memberitahu tugas menyedarkan masyarakat bukan sahaja diberi ganjaran pahala yang besar malah ianya juga prasyarat mencapai kemenangan.


"Kewajipan kita lebih banyak menerang, bukan menyerang, sebab itu kita namakan lajnah penerangan, bukan penyerangan," ujarnya.

Apatah lagi katanya, perkembangan teknologi sekarang khususnya kemunculan blog yang kadang kala melaporkan maklumat yang tidak benar boleh memberi kesan buruk jika tidak pandai ditangani.

Namun apa yang penting ujarnya, adalah iltizam dan istiqamah pimpinan parti memberi keterangan sebenar kepada masyarakat berdepan maklumat yang salah yang dilapor dalam blog.

"Maklumat yang betul tidak apa, maklumat salah menimbulkan masalah kadang kadang menimbulkan masalah dalaman.

"Sebab itu tugas penerangan sangat besar dalam hal ini," katanya lagi.

Menyentuh isu semasa, beliau turut mengutuk keras serangan membakar gereja yang dianggap bukan dari ajaran Islam.

"Kenapa berlaku bakar gereja, serang gereja? Ajaran mana mereka dapat?

"Ini punca sikap jahil terhadap agama Islam itu sendiri, jahil feqah dan jahil politik," katanya lagi.

Lebih 500 pemimpin PAS khususnya jentera penerangan di segenap peringkat hadir menyertai taklimat anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat hari ini.

Mereka terdiri dari Ahli Majlis Syura Ulama, AJK Pusat, pimpinan dan AJK Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat Pusat, Dewan Harian Badan Perhubungan Negeri dan Wilayah, Ketua dan Setiausaha Penerangan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri-Negeri, AJK Lajnah Penerangan Dan Dakwah Pusat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Adun-Adun dan Ketua serta setiausaha Penerangan Kawasan.


Program sehari ini antara lain akan membentangkan secara khusus isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Dalam program ini juga semua jentera penerangan akan didedahkan cara berdepan dengan beberapa isu yang dimanipulasi media dan parti pemerintah.

Mereka juga akan dibentangkan isu-isu nasional dan isu-isu di sekitar negeri Pakatan Rakyat sama ada Kelantan, Kedah, Selangor dan termasuk juga isu Perak.

Program hari ini juga dijangka berakhir jam 5.30 petang ini dengan perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Harakahdaily

Isu kalimah ‘Allah’ curi fokus kempen perang saraf Umno, PAS hari ini?

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 9 — Di sebalik suasana tegang yang masih dirasai ekoran serangan ke atas tiga gereja di Lembah Klang semalam, dua parti politik utama negara mewakili orang Melayu — Umno dan PAS — secara kebetulan mengadakan perhimpunan di Selangor bagi menyuntik semangat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Umno akan melancarkan program "Umno Juara Rakyat" di Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor manakala PAS akan melancarkan program "Umno Pengkhianat Rakyat" di Shah Alam.

Ia akan dilancarkan oleh masing-masing ketua parti-parti itu pagi ini.

Walaupun kedua-dua program berkenaan dilancarkan secara kebetulan, yang telah diatur sejak awal bulan lalu tetapi ia menarik fokus banyak pihak ekoran isu kalimah "Allah" dan tindakan pihak yang belum dikenali pasti membakar gereja di ibu negara dan Petaling Jaya semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam ekoran kejadian membakar gereja berkata, pihaknya akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

"Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program penerangan PAS Pusat pada hari esok (hari ini) di Shah Alam," katanya.

Hadi juga berkata, tindakan pihak tertentu yang memilih cara ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap gereja adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

"Perlulah diingat bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam," katanya.

Selain Hadi, turut akan hadir pada majlis Taklimat Penerangan Isu-Isu Semasa itu ialah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program ini diadakan khusus untuk membentangkan isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Menurut ketua penerangan PAS Idris Ahmad dalam program ini juga segala pengkhianatan Umno dan Barisan Nasional terhadap rakyat akan dibongkar dan didedahkan kepada seluruh jentera penerangan yang hadir.

Dalam kejadian semalam selain Gereja Assumption dan Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur menjadi sasaran serangan koktel molotov.

Bagaimanapun, lontaran koktel molotov ke atas Gereja Metro Tabernacle menyebakan letupan disusuli kebakaran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan hanya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian cubaan menyerang gereja.

Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri dan Presiden Umno menolak andaian bahawa kononnya ahli Umno yang cuba menimbulkan ketegangan selepas keputusan mahkmah yang membenarkan kalimah "Allah" digunakan oleh Herald.

"Jangan menuding jari kepada Umno atau sesiapa saja. Kami memang sentiasa bersikap amat bertanggungjawab. Jangan menuduh bahawa serangan ini didalangi oleh Umno.

"Apa yang baru anda nyatakan itu sangat menghina... anda bermaksud begitu. Hentikanlah," katanya.

Semalam PKR dan PAS mahu Umno bertanggungjawab atas situasi semasa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua lapisan rakyat di seluruh negara untuk menyokong aspirasi parti dan kerajaan termasuklah bersedia terhadap perkembangan semasa khususnya program terbaru yang dinamakan "Umno Juara Rakyat".

Dalam hal ini katanya, semua peringkat dalam masyarakat khususnya para pemimpin termasuklah di peringkat akar umbi perlu memahami hasrat perdana menteri terutamanya untuk melihat parti ini lebih berjiwa rakyat dan terus berada di landasan perjuangannya.

“Kita telah pun menggariskan tumpuan yang bakal dilalui oleh ahli-ahli parti dan rakyat keseluruhannya dalam memastikan kesinambungan perjuangan terus relevan dengan mengaktifkan melalui progam dan aktiviti yang bertemakan Juara Rakyat,” katanya.

Dalam perancangan yang digariskan tahun lalu, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi yang bermesyuarat telah meluluskan program bagi tahun 2010 akan dimulakan dengan pelaksanaan program yang bertemakan Juara Rakyat.

“Sebenarnya program yang dirancang tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi ia diperincikan dengan lebih teratur dan mantap melalui pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan,” kata beliau dalam portal Umno Online.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata program tersebut tidak mengkhusus kepada Umno semata-mata tetapi ia merangkumi penglibatan langsung rakan-rakan kompenan dalam BN dalam usaha untuk terus bersama-sama menggembling tenaga memastikan kerukunan dan keharmonian terpelihara.


themalaysianinsider

Agong titah semua pihak bertenang, hormati tempat ibadah

Mkini Jan 9, 10 12:17am

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambillangkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

"Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia," titah Tuanku Mizan.


Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

- Bernama

(Video 8 Okt 2010) Sekitar Himpunan Bantah Mesir




tvpas09

Demonstrasi Membantah Kerajaan Mesir Menganiayai Penduduk Gaza

PAS menyerahkan bantahan kepada kedutaan Mesir ekoran kerajaan tersebut telah bersepakat dengan Israel tidak membenarkan bekalan makanan dan perubatan dibawa masuk ke Gaza.




BuletinOnline