Sunday, May 31, 2009

Kelab Penyokong PAS akan diserap sebagai Dewan

PAS sedia menerima Kelab Penyokong PAS sebagai sayap parti memandangkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pelbagai kaum terutama Cina dan India.

Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sepatutya kelab Penyokong PAS itu sudah lama dijadikan sayap parti.

"Saya kata terlewat, patut lama jadi Dewan. Umno selalu ganggu akhir sekali atas kesedaran rakyat Umno telah digulingkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009, di Dewan Majlis Daerah Klang.

Program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat itu dihadiri lebih 600 anggota Kelab Penyokong PAS.Turut hadir pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional bagi kaum Cina, Vincent Lee dan pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional bagi kaum India, N.Balasubramaniam.

Beliau bersyukur kerana diberi peluang merasmikan Konvensyen itu menambah, Kelab Penyokong PAS bukan kelab Penyokong Melayu.

Katanya, PAS telah wujud pada tahun 1951 dan rakyat Malaysia melihat bagaimana PAS mengendalikan negeri Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama.

Misalnya tambah beliau, kerajaan Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama telah memberi bantuan kepada pelajar cemerlang sebanyak RM500 tanpa mengira bangsa dan agama.

"Melayu, Cina, India, Siam, Umno semua diberi kerana Islam mengajar kita supaya baik kepada semua manusia," jelasnya.

Beliau berkata, oleh kerana manusia dijadikan Allah maka sebagai orang Islam perlu mengendalikan manusia tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

Hasil daripada pentadbiran kerajaan Kelantan yang adil terhadap semua bangsa maka mereka terbuka pintu hati untuk menyokong Islam, tegasnya.

Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa menjelaskan satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan bagi melihat aspek yang memungkinkan kelab itu diserap sebagai sayap parti dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, memandangkan ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan parti satu muktamar khas akan diadakan manakala Majlis Syura secara asasnya tiada masalah.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar telah diamanahkan menjadi Pengerusi Kelab Penyokong selama lima tahun dan telah berjaya mengumpulkan ahli Kelab seramai 20,000 orang.

HarakahDaily

Kelab Penyokong PAS Akan Jadi Sayap Baru

PAS sedang membuat persediaan menyerap Kelab Penyokong PAS sebagai satu sayap parti yang sah mengikut perlembagaan parti dalam tempoh setahun lagi.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kali Pertama Kelab tersebut Peringkat Nasional yang diadakan di Pejabat Daerah Kelang, hari ini.

Beliau berkata, orang Melayu, Cina dan India adalah adik beradik kerana mereka berasal dari ibu dan bapa yang sama iaitu Adam dan Hawa.

Katanya, sepatutnya sudah lama kelab itu diserap sebagai satu lagi sayap dalam PAS

Katanya gerakan Islam di luar negara kagum dengan PAS kerana dapat menyatukan orang bukan Islam untuk menyokong Islam d Malaysia.

Sehubungan itu, Kajian untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal sedang giat berjalan.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, PAS sudah membentuk jawatankuasa teknikal bagi mengkaji perkara tersebut secara mendalam.


"Saya yakin harapan ini akan menjadi realiti selepas Muktamar PAS bulan depan," katanya dan menambah perkara tersebut adalah penting bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam
dalam parti itu.

Manakala Pngerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata hanya Islam PAS sahaja yang berjuang untuk keadilan semua kaum.

Beliau mengajak semua kaum untuk menyokong PAS.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sudah tiba masanya PAS membuat satu lonjakan paradigma.

Beliau berkata beliau sangat bersetuju dan menyokong Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf dan diiktiraf sebagai sebuah sayap parti.

"Pengiktirafan Kelab Penyokong sebagai satu sayap parti akan memberikan lonjakan kepada politik PAS dalam membuat persediaan menghadapi pilihanraya umum ke 13 dan persediaan untuk mengambil alih pemerintahan negara,"ujarnya.

Seramai 600 orang perwakilan dari seluruh Negara hadir dalam konvensyen yang disifatkan sebagai bersejarah dan sangat meriah itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayob, Ahli Parlimen Shah Alam, Khaid Samad dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.

Najib Cuba Tutup Mulut Rakyat Bicara Pasal Altantuya

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shahrin yang disoalsiasat polis selama tiga jam selama berhubung ceramah beliau di Penanti yang menyentuh mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu berkata isu tersebut mempunyai kepentingan awam dan harus diterangkan sejelas-jelasnya kepada rakyat.

Ketika ditemubual oleh TV Antara beliau hairan mengapa perlu kerajaan Umno dan Barisan Nasional memandang serius perihal beliau membangkitkan isu pembunuhan kejam Altantuya semasa berkempen di pilihan raya Penanti.

Semalam Chegu Bard hadir di ibupejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kira-kira jam 3.30 petang bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan dari ejen-ejen Cawangan Khas yang memantau aktiviti ceramah pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau yang lantang menyuarakan isu-isu rakyat berkata isu Altantuya adalah isu nasional kerana ia membabitkan nama baik dan maruah Perdana Menteri Malaysia.

Chegu Bard dalam ceramahnya mencabar Najib supaya menyaman akhbar dan media luar negara yang melaporkan pembabitannya dalam kes pembunuhan kejam ini dan jangan hanya berani bertindak terhadap media tempatan.

Beliau didakwa melanggar undang-undang di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 500 (1)(b) Kanun Keseksaan.

Sebelum itu sekitar jam 2.30 petang semalam, sekumpulan anggota polis telah pergi ke rumah Badrul di Bangi dan Seremban.

Polis juga telah menyampaikan amaran pada jam 7 malam kelmarin supaya beliau tampil ke IPD Seberang Perai Tengah.

Selain Badrul, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang turut disoal-siasat polis atas dakwaan yang sama.

Kit Siang disiasat berhubung ucapan beliau yang mengatakan Najib bertanggungjawab terhadap rampasan kuasa di Perak.

Polis tiba di kediaman beliau di Pulau Glade, Pulau Pinang jam 11.30 pagi tadi untuk mengambil keterangan.

Sementara itu Pengarah Strategik, Tian Chua berkata terdapat kecenderungan di pihak polis untuk menekan dan menahan pemimpin Pakatan Rakyat kebelakangan ini terutamanya semasa kempen pilihan raya kecil Penanti.

Sikap, tindakan Umno lebih buruk daripada Cheng Peng - Dato' Seri Anwar Ibrahim

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, kelakuan Umno merampas Perak lebih teruk daripada isu Cheng Peng yang sengaja dimainkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghidupkan kembali kemarahan rakyat.

Tambahan lagi sekarang ini terlalu banyak isu dan skandal terpaksa dijawab oleh kepimpinan negara maka tiada jalan lain untuk beralih kepada isu kepulangan Cheng Peng untuk dijadikan sasaran.

"BN mainkan isu Cheng Peng untuk tingkatkan kemarahan rakyat tanpa mereka sedar tindakan merampas Perak dengan cara tidak beradab dan membelakangkan demokrasi lebih teruk daripada Cheng Peng," ujarnya ketika berceramah di Kubang Semang semalam.

BN hendak mainkan isu ini semata-mata untuk membangkitkan soal perkauman dan menimbulkan pandangan serong terhadap pembangkang yang menggangap isu ini sebagai isu kemanusiaan, katanya.

Menurut Anwar, jika BN sanggup meningkatkan kemarahan rakyat tentang isu Cheng Peng kenapa pada masa yang sama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula mengadakan lawatan ke China yang merupakan 'bapa komunis'.

Sepatutnya isu Cheng Peng itu tidak dimainkan untuk tujuan itu kerana yang perlu ditangani segera ialah kembalikan hak kepada rakyat di Perak supaya kestabilan dibina semula demi pembangunan negeri dan rakyat, jelasnya.

"Bila keadaan di Perak tidak stabil macam mana pelabur nak datang. Siapa yang rugi bukan sahaja kerajaan malahan rakyat yang paling menderita," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menyentuh mengenai pengundian di Penanti Anwar berkata, beliau yakin rakyat N12 Penanti tidak berubah haluan sokongan pada Pakatan Rakyat kerana calon bebas tidak mempunyai agenda membantu rakyat sebaliknya suka-suka atau mencari publisiti murahan.

Justeru, semua petugas sama ada daripada KeADILan, PAS dan DAP harus menjalinkan usahasama yang lebih padu untuk memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

Kezaliman BN Sama Dengan Parti Komunis Malaya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma.

Menurut beliau lagi tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman, pembunuhan, kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang.Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah. Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam baru-baru ini.

Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP.Mereka mulai berpecah kepada dua presiden.Begitu juga di Terengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri di sana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk memilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

TVAntara

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," Pengarah Strategi PKR, Tian Chua

PKR tingkat usaha bawa pemilih ke pusat pengundian

Memandangkan peratus pengundian yang rendah sehingga ini, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata parti itu akan menggerakkan sepenuhnya usaha membawa pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti hari ini.

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," katanya.

Beliau juga berkata, kadar pengundian yang rendah itu mungkin disebabkan pemilih memikirkan bahawa PKR pasti memenangi pilihanraya kecil ini.

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 12 tengahari ini adalah 29.86 peratus atau 4,593 orang.

Sehingga jam jam 11 pagi seramai 23.5 peratus atau 3,590 orang, berbanding dengan 2,252 orang atau 14.6 peratus pada jam 10 pagi tadi.

SPR sebelum ini mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

malaysiakini

'KOMPLOT' Untuk Mensabotaj Pengundian, Pengundi Penanti Dipindah Ke Kawasan Lain

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Mansor Othman mendakwa berlaku kes kehilangan nama pengundi dalam senarai pemilih.

Mansor mendakwa, sehingga jam 9.30 pagi tadi, terdapat tujuh hingga lapan nama pengundi, tidak ada dalam senarai pemilih.

Katanya, apa yang berlaku sama seperti ketika pilihanraya umum 2004 lallu di mana ramai pengundi dipindah ke kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.

Sehubungan itu, Mansor menyuarakan kebimbangan bahawa perkara itu akan menjejaskan jumlah pengundian hari ini.

Lim juga menyifatkannya sebagai satu 'komplot' untuk mensabotaj pengundian hari ini.

Mansor pula berkata, PKR akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jika terdapat banyak lagi kes kehilangan nama pengundi.

Sementara itu, seorang pengundi, Tan Soon Guan yang sudah dua kali mengundi sebelum ini - sewaktu pilihanraya umum 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu - mendapati namanya tiada dalam senarai pemilih di pusat pengundian Jit Sin.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati nama beliau telah dipindahkan ke DUN Berapit yang terletak di dalam kawasan Parlimen Bukit Mertajam.

Sementara itu, dalam reaksinya, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata pengundi sepatutnya memeriksa lebih awal nama mereka dalam senarai pemilih.

Dengan itu, katanya, pihak SPR akan dapat mengenalpasti masalah tersebut.

Oleh itu, Abdul Aziz berkata, mereka tidak boleh menyalahkan SPR mengenai perkara itu.

Keadaan Tenang dan Aman di Penanti

Pilihanraya Kecil N12 Penanti bermula seawal jam 8 pagi tadi, namun situasi lengang dengan kehadiran pengundi yang sedikit.

Suasana di kesemua sembilan pusat pembuangan undi tenang tanpa sebarang hingar-bingar berbanding keadaan pada pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini bahkan terlalu aman sehingga ia mengejutkan ramai pihak, terutamanya peniaga-peniaga kecil yang menantikan kehadiran pelanggan dari kalangan pengundi.

Di Berapit, tidak lebih dari 100 orang membuang undi setakat 10 pagi tadi, namun pembuangan undi lebih memberangsangkan di Guar Perahu dengan lebih daripada 400 orang keluar mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selepas dua jam tempoh mengundi berlansung, sekadar 2,252 pegundi telah keluar mengundi, bersamaan 14.6 peratus.

Kehadiran pengundi meningkat selepas jam 11 pagi. Setiausaha SPR Ngah Senik berkata selepas tiga jam tempoh mengundi berlangsung, 3,590 telah membuang undi, bersamaan 23.5 peratus.

Penanti mempunyai 15,384 undi, dengan dan SPR menjangkakan 70 peratus keluar mengundi sehingga tempoh undi tamat jam 5 petang nanti.

Pilihan raya Kecil N12 Penanti menyaksikan pertarungan empat penjuru. Calon Parti Keadilan Rakyat Mansor Othman berhadapan tiga calon bebas, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Penanti : Polis, Media Lebih Ramai Dari Pengundi, Proses Pengundian Lembab

Senario hari mengundi di sini berbeza dengan pilihanraya-pilihanraya kecil yang lain dengan jumlah anggota polis, wartawan, jurugambar serta pekerja pilihanraya lebih ramai daripada jumlah pemilih.

Keadaan tersebut jelas kelihatan di pusat-pusat mengundi Berapit, Kubang Ulu, Tanah Liat, Guar Perahu dan Mengkuang.


Sehubungan itu, National Institute Electoral Integeraity (NIEI) telah membantah kehadiran polis yang terlalu ramai di pusat pengundian.

Menurut Pengerusinya, Yunus Ali, ia boleh ditafsirkan sebagai menggangu proses pengundian dan mengganggu para pengundi membuang undid an mengundang ketakutan kepada pengundi.

”Saya melihat ini sebagai satu itimiditasi kepada pengundi. Berdasarkan peratusan mengundi yang masih rendah, kemungkinan kehadiran polis menakutkan pengundi,” katanya.


NIEI telah memantau pilihanraya kecil DUN Penanti sejak hari penamaan calon, sebelum ini menyatakan keadaan kempen sangat berbeza dengan keadaan kempen semasa PRK Permatang Pauh ketika Anwar Ibrahim (PR) bertanding melawan Arif Shah (UMNO) dulu.

Menurut Yunus, ketika PRK Permatang Pauh Ogos tahun lalu berlangsung, banyak kerumitan, kerenah dan gangguan terhadap ceramah dan kempen PR.

Beliau berkata antaranya adalah berkaitan pengurusan ceramah dimana permit ceramah kerapkali tidak tidak diluluskan ataupun dilewat-lewatkan kelulusan.

Katanya, ketika itu juga banyak sekatan jalanraya yang seolah-olahnya dibuat-buat, supaya perjalanan lalu-lintas jadi sesak dan lambat.

“Orang nak pergi mendengar ceramah tergendala, orang awam yang menggunakan jalanraya menyumpah seranah,”katanya dalam laman blog NIEI.

Mengulas lanjut perbezaan dua pilihanraya itu, katanya, ketika PRK Permatang Pauh dulu, meski pun permit dilulus dan ceramah diadakan, berlaku gangguan helikopter berlegar-legar terbang di atas ruang angkasa tempat perhimpunan ceramah.

“Suara orang berceramah ditenggelamkan oleh bunyi bising helicopter,
“Lampu spotlight dari helikopter itu pula disuluhkan kepada orang ramai yang berhimpun berceramah, sehingga menaikkan kemarahan – pastinya provokasi,”ujarnya.

Tetapi kali ini, katanya, tanpa UMNO bertanding, keadaan terurus dengan aman dan damai.

Mengulas situasi pengundian awal pagi ini, Pengarah pilihanraya KeADILan Saifuddin Nasution berkata, pihaknya berharap sekurang-kurangnya 65 hingga 70 peratus keluar mengundi hari ini.

Beliau berkata PKR mensasarkan calonnya Dr. Mansor Othman memperolehi 7,000 undi, untuk menang dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang mengakui bahawa proses pengundian hari ini agak lembab.

Sementara itu, para petugas pilihanraya menjangka lebih ramai pemilih akan keluar mengundi mulai tengahari ini.

Menurut SPR, jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 11 pagi, kira-kira tiga jam selepas proses pengundian dimulakan, adalah 23.5 peratus atau 3,590 orang.