Mungkin bagi mengelakkan 'rumah siap, pahat berbunyi', PAS memperkenalkan peraturan baru dalam pemilihannya kali ini.
Menurut Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman calon-calon jawatan tertinggi kali ini dibenarkan membawa pemerhati ketika proses pengiraan jawatan berlangsung.
Selain itu, tambahnya, sistem Borang 14 seperti yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan penipuan jumlah undi turut diperkenalkan.
Sementara itu, lebih 1,000 orang perwakilan PAS mula membuang undi bagi memilih barisan pemimpin tertinggi di muktamar parti itu di Gombak petang ini.
Abdul Halim mengumumkan, proses pengundian tersebut diadakan bermula jam 4 petang dan berakhir pada jam 6.15 petang tadi.
Seramai 1,077 orang pengundi yang layak itu memilih seorang timbalan presiden, tiga orang naib presiden serta 18 orang jawatankuasa pusat.
Jumlah pemilih itu termasuk empat orang pengundi yang dipilih melalui mesyuarat agung di setiap cawangan PAS, kata Abdul Halim lagi.
Jawatan presiden, pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap serta pemeriksa kira-kira telah dimenangi tanpa bertanding ketika senarai calon berkenaan diumumkan pada 26 Mei lalu.
Keputusan bagi pemilihan hari ini akan hanya diumumkan pada jam 10 pagi esok.
Antara yang sengit menjadi rebutan adalah kerusi timbalan presiden di mana penyandangnya Nasharudin Md Isa cuba mempertahankan jawatannya ditentang oleh Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim, seorang tokoh ulama dikatakan calon pilihan untuk mengambil alih jawatan itu manakala pemimpin akar umbi Mohamad pula mengikuti rapat.
Penyandangnya Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar dicabar oleh ketua penerangan PAS Idris Ahmad, mantan naib presiden Datuk Husam Musa, anggota exco Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Selain itu, 18 jawatan anggota jawatankuasa pusat juga dipertandingkan.
No comments:
Post a Comment