Tuesday, December 22, 2009

Pemimpin kanan Pemuda PAS letak jawatan

Jimadie Shah Othman
Dis 22, 09 11:25am


Ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan - yang tegas mendesak pengunduran segera menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - dijangka meletakkan semua jawatannya dalam parti hari ini.

Dr Rosli Allani Abd Kader, yang dipaksa berpisah dengan isteri keduanya semalam, bagaimanapun tidak berbuat demikian kerana kegagalan mesyuarat Pemuda PAS negeri berhubung peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Sebaliknya beliau ingin berundur dengan alasan tidak mahu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu itu menjejaskan imej PAS.

Menurut sumber, beliau juga mahu memberikan isyarat kepada Abdul Ariffahmi, juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, supaya melakukan perkara yang sama.

"Apabila seseorang menjejaskan imej parti, beliau patut berundur," kata sumber dewan itu kepada Malaysiakini pagi ini.


Dr Rosli dijadual mengadakan sidang akhbar pada jam 1 tengah hari ini di sebuah hotel di Kota Bharu bagi mengumumkan hasratnya itu.

Beliau mendapat perintah mufarakah (berpisah sementara) dengan isterinya Ilyana Mohd Noor kerana perkahwinannya pada Disember tahun lalu diragui oleh bapa mertuanya.

[Berita penuh menyusul]



Pendaftaran Pakatan Rakyat di tangan ROS - Presiden PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Dis : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, apa yang dimaksudkan oleh beliau dalam kenyataannya baru-baru ini adalah Pakatan Rakyat masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia masih dalam proses pertimbangan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Penjelasan ini diberikan oleh beliau kepada Harakahdaily ekoran kekeliruan yang dibuat oleh media berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar berkata, beliau telah diminta menjelaskan perkara ini oleh presiden PAS itu.

"Saya telah dihubungi oleh Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada hari ini dan telah dimaklumkan oleh Tuan Guru bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau adalah:

"bahawa penubuhan Parti Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ianya masih dalam proses pertimbangan kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.


Ustaz Hadi ketika bercakap kepada media selepas Konvensyen Blogger PAS dilaporkan berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, sebuah akhbar Cina melaporkan kononnya PAS tidak berminat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Dengan penjelasan ini bermakna, Ustaz Hadi bermaksud, Pakatan masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia terletak di tangan ROS.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pendaftaran Pakatan Rakyat mengambil sedikit masa kerana ia hak ROS.