Monday, June 22, 2009

Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

anwaribrahimblog.com

Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

22 Jun 2009- Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang





Pemecah Berita : Muktamad! Tiada Lagi Kerajaan Perpaduan!


Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS

Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.




Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno/BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, Pakatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

HarakahDaily

AJK PAS : Mat Sabu buat keputusan 'Maghrib ini'

Bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu masih berteka-teki sama ada ingin menerima pelantikan sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS atau sebaliknya.

Ditemui Malaysiakini sebentar tadi, keputusan muktamad penyertaannya dalam jawatankuasa tertinggi parti itu akan diketahui "Maghrib hari ini."

Mohamad dan seorang bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa - yang tewas dalam perebutan mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden ditawarkan jawatan tersebut dua minggu lepas.


Namun kedua-duanya belum menjawab tawaran tersebut.

Mohamad pada awalnya ingin mengambil masa seminggu hingga 18 Jun lepas, manakaa Husam pula dilaporkan sedang menunggu penceramah popular itu membuat keputusan dahulu.

Sumber-sumber yang dekat dengan kedua-dua pemimpin itu memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menasihat mereka berdua agar menerima tawaran tersebut.

malaysiakini

Pra Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat




klip video ehsan : jiwokelate2009

SIS seret KDN ke mahkamah, Rabu ini

Kes mahkamah Sisters in Islam (SIS) mencabar keputusan kerajaan mengharamkan bukunya Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism tahun lalu akan didengar Rabu ini.

Peguam NGO terkenal itu Malik Imtiaz Sarwar dan K Shanmuga akan mendengar permohonan untuk semakan kehakiman kes tesebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, jam 11 pagi.

Ogos lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tersebut yang disunting seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norani Othman dengan alasan "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya."


Norani seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.

Buku setebal 215 halaman itu memuatkan 10 bab hasil karangan beberapa pemikir wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Norani, bertindak sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pertama yang dijadikan judul buku berkenaan.

Beliau bersama bekas pemimpin utama SIS Zainah Anwar menghasilkan bab terakhir 'Muslim women, the challenge of Islamic extremism and the way forward to building bridges between Southeast Asia dan the Middle East.'

Makalah-makalah ini hasil perbincangan penyumbang- penyumbangnya di Bellagio, Itali pada 2003 dengan biaya Yayasan Rockefeller.

Pertemuan pertama bermula di Kuala Lumpur pada Januari tahun itu.

Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).

Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif dilaporkan berkata, jika penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat.

malaysiakini

'Percubaan bunuh politik pemimpin muda GERAKAN'

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung keahliannya selama tiga tahun, kecewa dengan tindakan parti itu yang menurutnya, akan menghancurkan karier politiknya.

"Penggantungan itu akan menghalang saya daripada bertanding jawatan parti pada 2011, serta bertanding kerusi parlimen dan DUN," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengesyaki ada beberapa 'orang tua' dalam parti itu yang cuba untuk membunuh karier politik pemimpin muda yang mendapat sokongan akar umbi, bagi memberi laluan kepada "putera dan puteri" mereka mengambil alih kepimpinan parti itu.

Bagaimanapun, Huan menolak sebarang kemungkinan keluar dari Gerakan untuk menyertai pembangkang.


"Gerakan adalah isteri kedua saya," katanya kepada pemberita.

Kebelakangan ini, tersebar spekulasi bahawa Huan dari Pulau Pinang, akan menyertai PKR.

Sementara itu, Huan mengecam jawatankuasa kerja pusat Gerakan yang mengumumkan penggantungan keahliannya melalui media.

"Ini berniat jahat, (dan dilakukan) untuk menghasut penyokong saya, sedangkan saya telah bersusah payah menenangkan mereka," katanya.

malaysiakini

Haji Mohamad Sabu di Bandar Baru Bangi 19/6/09




klip video ehsan : mediarakyat

Saya Istiqomah Bukannya Degil - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membuat kenyataan lebih 'lembut' dan memberi persetujuan bersyarat terhadap rundingan mengenai kerajaan perpaduan PAS dan Umno hasil cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau seorang yang degil kerana 'berkeras' menentang kerajaan perpaduan, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau seorang yang 'istiqamah', tegas memperjuangkan perkara yang benar.

Jelas Nik Aziz, sikapnya itu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh setahun lepas iaitu PAS mesti bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Ada yang kata saya degil kerana enggan terima kerajaan perpaduan. Saya nak jawab saya bukan berdegil tapi saya beristiqamah. Degil bermakna kita pertahan benda salah bermatimatian, dah tahu benda salah tapi pertahankan juga, itu degil namanya. Tapi bila barang (perkara) yang benar, yang betul, itu kita istiqamah.

"Jadi kalau ada pihak dalam PAS yang nak perpaduan dengan Pakatan Rakyat, dan nak juga perpaduan dengan Umno, itu sudah kacau. Jangan buat begitu," katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata beliau boleh menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan namun ia perlu dibuat mengikut salurannya. "Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepikan keputusan mesyuarat (muktamar) dan pandai-pandai buat keputusan sendiri, tak boleh.

"Kalau nak juga bawa cerita perpaduan ni, bawa dulu ke PAS Pusat, bahas di peringkat negerinegeri dan lepas tu bawa ke Pakatan. Sekarang ni Pakatan pun sudah marah pada kita," katanya.




Menurutnya, perbincangan dengan Umno juga perlu berkisar kepada isu Islam, bukan isu Melayu.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAS dan Umno membuka lembaran hubungan baru, ketika melawat Kuala Krai Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau mahu Umno memohon maaf kepada PAS terlebih dahulu. Nik Aziz juga berkata beliau masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, dan Nasharudin juga belum menghubungi beliau untuk menjernihkan suasana tidak enak yang timbul di antara mereka berdua. Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Bachok kerana kesungguhannya untuk menjayakan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Aziz berkata satu pertemuan akan diadakan melibatkan beliau, Abdul Hadi, Nasharudin dan beberapa pemimpin lain malam ini untuk meredakan ketegangan dalam parti itu. BERNAMA

artikel asal : mStarOnline

klip video ehsan : greenboc

Drs. Idham Lim Dipanggil Beri Keterangan

Kes bomoh : Saya dipanggil beri keterangan di IPD Ipoh hari ini.

Saya telah dipanggil melalui satu surat rasmi yang dihantar melalui fax oleh IPD Ipoh dengan ditandatangani oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayahnya, DSP Glenn Sinnapah. Tajuk surat " Siasatan bersabit Kg. R$apat RPT 2088/09" bertarikh 17 Jun 2009.

Jam 10.00 pagi ini saya telah membuat temujanji dengan pegawai penyaiasat yang ditugaskan untuk mengambil keterangan saya bagi membantu siasatan dibawah seksen 112 Kanunu Prosuder Jenayah (KPJ). Saya juga dimaklumkan kes ini ada kaitan dengan Akta 500(Fitnah).

Insya Allah saya akan bertanggung jawab dengan segala kenyataan saya sebelum dari ini berkaitan kes bomoh tersebut dan saya akan memberikan keterangan yang sewajarnya bagi membantu pihak keselamatan dalam kes ini.




Kes Anwar Ditunda 1 Julai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Julai ini bagi mendapatkan lebih 10 dokumen daripada pendakwaan berhubung kes liwatnya.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 8 Julai untuk mendengar permohonan penasihat PKR itu bagi membuang kes tersebut.

Jika permohonannya ditolak, perbicaraan kes liwat akan bermula pada hari yang sama.

Kesnya pada asalnya dijadual bermula 1 hingga 24 Julai ini.


Anwar memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen pada 10 Jun lalu, manakala permohonan untuk mengetepikan kes liwatnya difail seminggu kemudian.

Dokumen yang dimohon, antaranya, rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di sebuah kondominium di Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, dan kenyataan daripada saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mantan timbalan perdana menteri itu menghadapi pertuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jala Setiakasih, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun lepas.

malaysiakini

Manohara Lantik Peguam Malaysia

Sebagai tekadnya untuk mencabar suaminya, Manohara Odelia Pinot telah melantik seorang peguam Malaysia untuk meneruskan dakwaannya bahawa putera Sultan Kelantan itu pernah menderanya.

Bekas model muda itu, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, dan ibunya Daisy Fajarina sepakat untuk lebih serius dalam dakwaannya terhadap Tengku Muhammad Fakhry Petra, lapor akhbar web Detik.com.

"Hari ini resmi keluarga menunjuk pengacara asal Malaysia," peguamnya Hotman Paris Hutapea dipetik berkata di Jakarta malam tadi.

Menurutnya, pelantikan peguam dari Malaysia mengisyaratkan Manohara tidak main-main untuk mengambil tindakan serius terhadap suaminya di negara ini.

"Ini menunjukan kita serius mengambil tindakan hukum," kata Hotman lagi seperti dilaporkan.

Menurut akhbar web itu lagi, Manohara merancang mengambil tiga bentuk tindakan perundangan - dakwaan jenayah, saman sivil dan permohonan cerai - terhadap Tengku Muhammad Fakhry.


Kerabat raja itu bagaimanapun menafikan semua tuduhan isterinya dan Daisy, termasuk dalam aduan polisnya di Kuala Lumpur, 11 Jun lalu.

Tengku Temenggong Kelantan juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya dan ibu mertuanya berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.

Manohara melarikan diri ke Jakarta awal bulan ini dan melancarkan tuduhan-tuduhan serius terhadap suaminya, lebih dua bulan selepas dakwaan seumpamanya dilemparkan oleh Daisy, 20 April lepas.

malaysiakini

UMNO/BN MENGAKU BERTANGGUNGJAWAB TRAGEDI MEMALI?

Tragedi Memali tidak boleh dimaafkan begitu saja

Oleh Black

Tragedi pembunuhan ngeri yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional yang pada ketika itu dipimpin oleh Dr. Mahathir Mohammad di Kampung Memali, tidak boleh dimaafkan begitu sahaja sehinggalah satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan oleh menyiasat kembali peristiwa ngeri pada 19 November 1985.

Insiden tersebut mengorbankan 14 penduduk kampung tersebut dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang.

Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) . Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’.

Peristiwa pembunuhan kejam kerajaan Barisan Nasional terhadap penduduk Kampung Memali itu walaupun telah lama berlalu masih belum diselesaikan kerana “pembunuh-pembunuh” tersebut masih lagi bebas sehingga hari ini dan keadilan masih belum dikembalikan kepada keluarga para Syuhada!

Isu ini telah melangkaui PAS dan telah menjadi satu isu Hak Asasi Manusia yang harus diselesaikan dengan segera! Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Barisan Nasional harus memohon maaf dan membicarakan kesemua pelakunya termasuklah bekas PM, Dr. Mahathir dan bekas TPM, Musa Hitam.

Sehingga perkara ini belum diselesaikan, jangan bicara soal PERPADUAN!



PerakExpress

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Negeri Pahang Mimpi Jumpa Nabi

Pengerusi kelab penyokong PAS Pahang, Balakirsnan telah memberitahu Ustaz Dato` Tuan Ibrahim bahawa dia telah bermimpi berjumpa dengan baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Ustaz Dato` Tuan Ibrahim bertanya bagaimana dia boleh tahu bahawa individu yang datang berjumpa dengannya didalam mimpinya itu adalah baginda Nabi Muhammad s.a.w.?

Balakirsna memberitahu Ustaz Dato` Tuan Ibrahim bahawa individu yang dilihat didalam mimpinya itu memakai serban dan berjubah dan mengakui bahawa dia adalah Rasulullah s.a.w. dan baginda Rasulullah s.a.w lalu memberikan satu nama muslim kepadanya.


Berkenaan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w ini, Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w berkata, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguh syaitan tidak mampu menjelma rupaku“.

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

Masya Allah, selepas Ustaz Dato` Tuan Ibrahim memberitahu didalam ceramahnya saya berfikir, ” Non-muslim pun boleh jumpa Nabi. Namun kita yang sedia Islam ini bukan mudah mahu dapat mimpi jumpa Nabi”.

Berdasarkan pengalaman ramai non muslim yang revert sebelum ini, mimpi sebegini adalah lumrah dialami oleh mereka sebelum kembali ke agama fitrah mereka. Insya Allah, mimpi itu merupakan hidayah dari Allah untuk menambah keyakinan mereka terhadap kebenaran Islam.

Sama-samalah kita doakan mereka agar hati kita dan mereka tetap dengan Islam di masa-masa akan datang.

Mengenai lintasan fikiran saya di atas, saya gembira dengan khabar itu namun sedikit rasa cemburu menyelinap juga. Cemburu kerana mahu turut bertemu Nabi s.a.w.

Apa pun bila teringatkan bahawa ummah yang berpegang teguh dengan syariat Allah dan sunnah Nabi s.a.w tetap akan bersama Rasulullah s.a.w di akhirat kelak, maka cukuplah hal itu menjadi penawar untuk saya terus berusaha meneladani Rasulullah s.a.w sedaya mampu.

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Surah al-Nasr (Kemenangan)

dupahang.wordpress.com


SabahDaily

100 Dalil Kenapa Najib Tak Boleh Jadi PM?

chegubard.blogspot.com

Dahulu Anwar Ibrahim dijatuhkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno selepas buku “100 Dalil Mengapa Anwar Tidak boleh jadi PM” di keluarkan.

Buku tersebutlah punca Anwar diperlakukan dengan kejam dan akhirnya merengkok dalam penjara selama 6 tahun.

Semalam saya menerima email dari seseorang yang tidak dikenali iaitu email yang sama menghantar link video mengenai Rosmah. Email tersebut bertajuk “100 Dalil Mengapa Najib tak boleh jadi PM“. Ditinggalkan link yang membawa kita kesebuah blog yang mempaparkan sebahagian daripada buku tersebut.

Sila klik disini untuk melihat sendiri sebahagian daripada buku “100 Dalil Mengapa Najib tak boleh jadi PM”.

Setelah diselidiki ia iadalah buku yang pernah diterbitkan beberapa tahun lalu, tetapi menurut email yang dihantar menyatakan buku ini sedang peringkat akhir akan dicetak sebanyak puluhan ribu naskah untuk edaran percuma.

Nampaknya serangan terhadap Najib bertambah serius... dengan cara kempen taktik dan wang yang dibelanjakan nampaknya 'geng dalam Umno' yang menyerangnya amat serius.




Anwar Ibrahim hangatkan kempen pilihan raya Manek Urai

Kehangatan pilihan raya kecil Dun Manek Urai kini semakin terasa apabila kempen kedua-dua parti semakin agresif.

PAS sudah memulakan gerak kerja kempen sejak akhir Mei lalu di Kampung Manek Urai Baru yang disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamed sudah beberapa kali datang ke Manek Urai.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan penduduk di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok.

Dun Manek Urai akan tambah sendat malam ini dengan kehadiran tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat pada program ceramah perdana di Padang Majlis Daerah Laloh.


Kehadiran Menteri Besar bersama Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim tentunya menarik perhatian penduduk tempatan.

Anwar juga dijangka menziarahi keluarga Adun Manek Urai, Allahyarham Ismail Yaacob di Kampung Manek Urai Lama sebelum menyampaikan tazkirah di sebuah masjid.

Anwar dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja tiba di Kota Bharu petang ini.

Beberapa penduduk di Laloh ketika ditemui petang semalam menjangka kampung tersebut akan sendat dengan limpahan manusia malam ini.

Beberapa peniaga termasuk dari Pulau Pinang sudah tiba sejak semalam.

Manakala petugas bahagian keselamatan PAS sudah memulakan gerak kerja sejak beberapa hari lalu bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

Pasukan polis juga sudah memasang khemah besar di simpang tiga Laloh yang difahamkan akan dijadikan markaz taktikal.



HarakahDaily

Oooops.. Police did it again...



Police again intervened during a dinner-cum-ceramah by DAP, this time in Klang, by withdrawing a police permit for the event at the last minute.
After some intense negotiations with the police, the dinner was allowed to proceed at about 8.15pm, but the long list of speakers for the night were unable to proceed with their ceramah as the PA system was confiscated by the police.

Earlier, the police had issued a permit for the event but specified that no ceramah was allowed.




malaysiakini

“Saya Bersedia Disaman………” Kata Cikgu Fariz Musa

KUALA TERENGGANU – Ketua Angkatan Muda Keadilan Terengganu, Cikgu Fariz Musa bersedia menghadapi saman dari pihak-pihak yang cuba berselindung dan menyembunyikan kebenaran dan fakta tentang tragedi runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

”Saya telah menerima panggilan telefon yang memberikan (menyampaikan) maklumat bahawa Datuk Bandar Kuala Terengganu dijangka akan saman saya kerana dikatakan kenyataan media saya menuduh beliau terlibat dalam pengeluaran CF (Sijil Layak Menduduki – Certificate of Fitness) Stadium Sultan Zainal Abidin,”katanya dalam laman blognya.


Menurutnya, alasan Datuk Bandar akan mengambil tinfakan saman itu adalah kerana bangunan kerajaan tidak memerlukan CF.

”Bermakna stadium tersebut siap dibina tanpa perlu kepada Sijil Layak Menduduki (CF),

”menarik dan pelik ! setiap rumah dan bangunan persedirian perlu kepada CF , tetapi bangunan kerajaan tidak perlu ?,”soalnya.

Katanya, beliau dimaklumkan bangunan kerajaan hanya memerlukan Sijil Siap Kerja (SSK) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

”sedangkan (dalam kes Stadium Sultan Mizan) JKR bagi tahu (mendedahkan) yang bumbung stadium (itu) tidak ada SSK!,”jelas Fariz turut mempersoalkan, mengapa setiap bangunan kerajaan tidak perlu ada CF.

Katanya, beliau bersedia di saman oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu sekiranya betul (benar) beliau tidak keluarkan CF kepada Stadium Sultan Mizan.

”Kepada (menurut) amalan biasa bahawa pengeluaran CF adalah di bawah tanggungjawab (pihak) Kerajaan Tempatan, sama-sama kita kaji dan selidiki,

“kalau betul bangunan kerajaan tidak perlu ada CF, ini peranan yang perlu kita perjuangkan demi kepentingan rakyat!,”tegasnya.

Beliau terus menyoal, bukankah keselamatan rakyat perlu diutamakan? Isu bangunan kerajaan tidak perlu CF adalah menarik !

”Bagaimana pula dengan bangunan tanpa SSK dibenarkan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu menggunakannya (digunakan) untuk rakyat umum ? bagaimana JKR benarkan stadium tersebut digunakan tanpa JKR keluarkan SSK ? menarik !,”katanya.

BuletinOnline

Ahmad Said : MB ‘serba tidak tahu’

Menteri Besar Terengganu , Dato’ Ahmad Said boleh digelar sebagi Menteri Besar ‘serba tak tahu’ kerana sering menjawab tak tahu apabila ditanya sesuatu perkara oleh pihak media.

Minggu lalu sekurang-kurangnya dua perkara besar isu berkaitan negeri Terengganu yang beliau jawab tak tahu.

Yang pertama, Ahmad berkata beliau tidak tahu punca sebenar kelewatan pihak yang dipertanggungjawab mengurus perpindahan penghuni rumah setinggan di Pantai Kuala Ibai ke kawasan penempatan baru di Kampung Tok Adis, di sini.

“Saya pun tak tahu (punca lewat), bila jumpa kata masalah elektrik saya beritahu supaya selesaikan semua itu dengan cepat dan elakkan berlaku sampai berbulan-bulan, saya tidak faham macam mana.

“TNB (Tenaga Nasional Berhad) kata begini, orang itu kata begitu. Saya cakap kalau ada masalah elektrik TNB, beritahu saja berapa kosnya dan kerajaan akan bayar, ketika i Kuala Lumpur saya dah arahkan pegawai periksa dan selesaikan.

“Kenapa perlu tunggu sampai enam bulan, ada masalah tapi tak beritahu kita (kerajaan), saya ingatkan (perpindahan) sudah selesai, tapi tiba-tiba keluar dalam akhbar,” katanya ketika di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai dua orang ‘kuatnya’ disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua pemimpin kanan Umno Terengganu bergelar ‘Dato’ itu pernah dilantik sebagai Senator di negeri ini ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu.
Bahkan, kedua-dua individu yang dikaitkan dengan kes rasuah meminta wang suapan bernilai RM3 juta dalam pembinaan lebuh raya di ibu negara 10 tahun lalu juga tidak menghubunginya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu bertegas tidak mengetahui apa-apa mengenai dua pemimpin Umno negeri bergelar Dato’ disiasat oleh SPRM.

“Saya sendiri pun tidak tahu, nak ‘charge’ (dakwa) kes apa saya tidak tahu. BPR (SPRM) tidak beritahu saya pun, Hisyammuddin pun tidak pernah beritahu saya pun…
“Saya tidak tahu dan dia (dua pemimpin Umno) tidak pernah menyatakan apa-apa pun kepada saya.

Jika awak (wartawan) lebih tahu, awak buat ‘ceritalah’ (lapor) tapi jangan kata saya kata, sebab saya tidak tahu, ”ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Rabu lalu.

Selain itu, ketika ditanya mengenai rombakan serta perlantikan barisan kepimpinan Umno Terengganu, Ahmad juga mendakwa tidak mengetahui kerana katanya bukan urusannya lagi.

“Itu bukan saya yang lantik, itu Pengerusi Perhubungan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang lantik. Saya tidak tahu dan bukan saya yang buat.

“Saya jumpa sekali dulu dengan Dato’ Hishamuddin dan sampai sekarang tidak jumpa lagi. Saya sendiri tidak tahu.

“Orang lain mungkin lebih tahu tapi saya sendiri tidak tahu dan dia (Hishamuddin) tidak beritahu saya pun…saya ‘no komenlah’. Saya cuma dengar ‘orang’ bercakap tetapi saya sendiri tidak tahu (isu rombakan jawatankuasa Umno Terengganu), jelasnya - apakhabarganukita

BuletinOnline