Wednesday, December 14, 2011

Penal khas SPRM bincang kes Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Panel Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi, bagi membincangkan desakan dari 13 NGO supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja Pengerusi AJK Panel itu, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dimaklumkan mengenainya.

Menurutnya, permintaan agar diadakan mesyuarat tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri kepada Radzi atas kapasitinya selaku salah seorang AJK Panel tersebut.

Katanya, tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk membincangkan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh panel tersebut berhubung laporan berkenaan.

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Datuk Radzi nanti untuk meminta beliau memanggil mesyuarat khas AJK Panel Khas SPRM, bagi meminta SPRM menerangkan kepada kami mengenai laporan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Antara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.

Mereka telah mengemukakan surat bertarikh semalam kepada Kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.

Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.

"Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi," kata NGO itu dalam surat mereka.

Selain Abdul Taib, 75, mereka yang dinamakan itu adalah anak-anaknya, Jamilah Hamidah Taib Murray, Mahmud Abu Bekir Taib, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Hanifah Hajar Taib.

Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud dan Raziah Mahmud.

Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.

Menurut Salahuddin, kes tersebut merupakan sesuatu yang amat serius dan pihaknya amat perlu mendapatkan keterangan lanjut dari SPRM dengan segera sama ada benar telah menerima laporan tersebut atau sebaliknya.

"Sekiranya SPRM memang telah menerima laporan itu, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh SPRM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak-pihak terbabit," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Aziz Muda Hrkh

Surendran: Dakwa Taib Mahmud dan keluarga

N.Surendran | Dec 14, 2011 11:11:17 am

Saya merujuk kepada surat bertarikh 13 Disember 2011 daripada badan-badan bukan kerajaan enam negara, yang mendesak penangkapan dan pendakwaan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya di atas penipuan, rasuah, rampasan tanah secara haram dan penyalahgunaan kedudukannya. Kekayaan Taib dan keluarganya yang diperoleh secara haram bukan lagi rahsia bagi rakyat Malaysia.

Selama bertahun-tahun individu, pertubuhan dan parti-parti pembangkang telah mendesak BN untuk menghentikan rompakan kekayaan dan hasil mahsul Sarawak oleh Taib (gambar kiri). Tetapi tiada tindakan diambil terhadap Taib dan kroni-kroninya.

Fakta-fakta yang didedahkan di dalam surat ini amatlah memeranjatkan. Kepentingan keluarga Taib di dalam 14 syarikat sahaja bernilai RM4.6 bilion. Keluarga Taib dikenalpasti mempunyai kepentingan di dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing. Aktiviti haram empayar Taib sedang diteliti di Australia, Jerman, Switzerland, UK dan Kanada. Syarikat-syarikat keluarga Taib telah diberikan konsesi balak yang besar dan projek-projek pembinaan besar tanpa tender terbuka dan mempunyai monopoli terhadap eksport simen dan balak.

Kekayaan dan aset Sarawak bernilai ratusan juta ringgit sedang diseludup keluar Malaysia menerusi pegangan hartanah mewah yang dimiliki anak-anak Taib di Kanada, England dan Amerika Syarikat. BN telah mengkhianati rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia umumnya. Dalam usaha mengekalkan undi "deposit tetap" mereka bagi mengekalkan kekuasaan BN, mereka telah membenarkan Taib memerintah Sarawak sesuka hatinya.

Meskipun kekayaan dan rasuah besar-besaran Taib dan keluarganya, mereka tidak dapat diusik dan dilindungi oleh kerajaan BN. Jumlah ini jauh lebih besar berbanding skandal rasuah NFC, yang juga turut dilindungi oleh BN dengan kerjasama polis dan peguam negara. Empayar rasuah Taib yang melibatkan begitu banyak negara luar merupakan bukti kepada salahtadbir Malaysia dan kekayaannya oleh BN. Imej negara di masyarakat antarabangsa telah pun rosak teruk berikutan keengganan kerajaan untuk menghentikan rompakan ini dan mendakwa Taib dan keluarganya. Kami mendesak:

i) pembentukan serta-merta Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat empayar perniagaan Taib;
ii) penangkapan dan pendakwaan serta-merta Taib dan 13 ahli keluarganya;
iii) perletakan jawatan serta merta Taib sebagai Ketua Menteri dan anggota keluarganya yang memegang jawatan di dalam anak-anak syarikat atau badan-badan berkanun kerajaan
iv) pembentukan pasukan bertindak pelbagai agensi untuk mengembalikan aset dan harta yang diperoleh secara haram di Malaysia dan seluruh dunia
v) agar kerajaan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dan negara-negara luar bagi membawa Taib dan keluarganya ke muka pengadilan;
vi) Perdana Menteri Najib Razak dan Kerajaan BN meminta maaf kepada rakyat Malaysia, khususnya Sarawak, kerana menyokong dan membenarkan Taib untuk merompak kekayaan rakyat sesuka hati selama ini.

*Kenyataan media oleh N.Surendran (gambar kanan) selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.


Wacana Sinar Harian Ke 9 - PRU 13 - UNDI SIAPA JADI PENENTU.



Ahli panel : YB Dato Saifuddin Abdullah, YAB Lim Guan Eng, YB Nurul Izzah Anwar, Datuk Zaid Ibrahim dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah manakala moderatornya adalah Dr Maszlee Malik dari UIAM.

iarnewsfb